Resort menarik di Kuala Selangor kini menjadi tumpuan ramai terutamanya pelancong tempatan untuk bercuti bersama yang tersayang. Kuala Selangor menjadi salah satu tempat pelancongan terbaru dengan wujudnya lebih banyak tempat menarik di sini.

Merupakan bandar terbesar di Kuala Selangor, sudah tentu banyak tempat menarik di sini dan antara tempat terkenal adalah Sky Mirror, Pantai Remis Jeram, Bukit Melawati, Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Taman Alam dan sebagainya.

Nak kunjungi kesemua tempat menarik di Kuala Selangor memang tak cukup untuk satu hari. Apa kata anda menginap di resort Kuala Selangor yang menyeronokkan. Nak tahu resort terkenal yang ada di sini? Jom teroka resort-resort tersebut.

The Kabin

The Kabin merupakan salah satu resort terkenal di Kuala Selangor. Terletak di Jeram, The Kabin terkenal dengan penginapannya yang berkonsepkan kabin. Resort ini menjadi tumpuan ramai pengunjung kerana lokasinya strategik dan berdekatan pantai.

Terdapat Sembilan jenis penginapan berbeza mengikut pakej. Setiap bilik juga mempunyai nama unik iaitu bandar-bandar yang berada di seluruh dunia. Kemudahan yang disediakan pasti membuatkan anda selesa dan seronok kerana mereka menyediakan kolam renang, kafe, tempat barbeku, surau dan sebagainya.

Banyak aktiviti menarik tersedia buat pengunjung termasuklah karaoke, menunggang ATV, kayak dan SUP dan barbeku. Kanak-kanak pasti seronok bermain di mini taman permainan. Lengkap aktiviti untuk seisi keluarga.

Lokasi: Jalan Haji Zainal, Jeram, 45800 Jeram, Selangor

De Palma Eco-Resort

De Palma Resort atau kini lebih dikenali sebagai The Blanket Resort menjadi pilihan penginapan buat mereka yang suka berada di kelilingi alam semula jadi. Terletak berdekatan Sungai Selangor, Jeti Sky Mirror dan Bukit Melawati merupakan tempat menarik berdekatan resort ini.

Resort ini menawarkan 84 jenis bilik yang terdiri daripada empat jenis chalet dan suite. Setiap bilik mempunyai banyak kemudahan termasuk televisyen, almari, cerek, toiletries,  tab mandi dan sebagainya.

Kemudahan umum yang bakal dinikmati setiap pengunjung adalah parkir yang luas, taman, wifi, kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak serta dewasa dan lain-lain. Aktiviti yang sesuai buat pengunjung adalah berbasikal, badminton, barbeku dan mandi-manda di kolam.

Lokasi: Jalan Tanjung Keramat, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Firefly Park Resort

Imej via [ Firefly Park Resort ]

Nak merasai pengalaman melihat kelip-kelip? Bawa seisi keluarga menginap di Firefly Park Resort untuk melihat sendiri kumpulan kelip-kelip yang banyak dan bersinar pada waktu malam. Tempat tersebut berdekatan dengan resort ini dimana pengunjung perlu menaiki bot di Jeti Kampung Belimbing Firefly Park Resort dan menyelusuri sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip tersebut.

Satu lagi keunikan mengenai resort ini adalah resort yang berada terapung di atas air. Setiap chalet memang selesa kerana bukan sahaja terdapat bilik tidur malah ada juga ruang tamu luas yang disediakan sofa, kerusi dan meja serta televisyen.

Empat jenis chalet ditawarkan dengan harga yang sangat berbaloi. Pengunjung boleh memilih sama ada ingin chalet dengan pemandangan kolam, chalet keluarga mahupun chalet biasa.

Walaupun berada di sungai, resort ini turut menyediakan kolam renang yang luas. Kola mini boleh diakses oleh pengunjung yang tidak menginap dan dikenakan bayaran RM 15 untuk dewasa manakala RM 10 untuk kanak-kanak. Kola mini dibuka bermula 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Lokasi: Jalan Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Kuala Selangor Cabin Camp

Imej via [ Kuala Selangor Cabin Camp ]

Kuala Selangor Cabin Camp atau KSCC turut popular dengan gelaran Kampung Pelangi. Mana tidaknya, warna-warna pelangi menghiasi segenap sudut resort ini, memberi satu kelainan yang mampu menarik perhatian ramai pelancong.

Pelbagai penginapan unik ditawarkan selain homestay seperti bus stay, type-A stay, kabin, hobbit stay dan tube stay. Harga penginapan serendah RM 70 sahaja. Setiap unit mempunyai kemudahan berbeza.

Banyak aktiviti boleh dilakukan di sini termasuk Yoyocart, memanah, berbasikal, menaiki drum ATV, memancing, dan banyak lagi! Banyak aktiviti menarik, lasak dan sesuai untuk mereka yang datang secara berkumpulan. Ada yang berbayar dan ada juga yang percuma. Paling best, ada mini zoo dengan aneka haiwan. Anak-anak pasti suka!

Buat mereka yang tidak mahu menginap, boleh juga melawat ke sini dengan kadar tertentu. Sebahagian bayaran penginapan dan tiket masuk akan diperuntukkan untuk Pondok Balai Ilmu iaitu pusat mengaji percuma untuk penduduk setempat.

Lokasi: Lot 4021, Jalan Rizab Zazuli, Kampung Bukit Hijau, 45800 Jeram, Selangor

Sembilang Eco Resort

Imej via [ Sembilang Eco Resort ]

Apa ada di Sembilang Eco Resort? Resort ini menawarkan dua jenis penginapan chalet satu bilik dan chalet dua bilik yang memuatkan dua hingga empat orang dalam satu chalet.

Menariknya setiap chalet umpama homestay atau rumah yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Walaupun kelihatan kecil, banyak kemudahan disediakan termasuk ruang tamu yang dilengkapi televisyen, kerusi dan meja, serta dapur yang dilengkapi peti sejuk, microwave, periuk nasi dan sebagainya.

Resort ini turut menyediakan beberapa kolam mandi buat pengunjung. Anak-anak pasti seronok apabila dapat bermandi-manda di kolam.

Lokasi: Lot 1615, Jalan Lintang, Off, Jalan Pantai Remis, 45800 Jeram, Selangor

Ada yang ingin bercuti di resort menarik di Kuala Selangor setelah melihat resort-resort tersebut? Lakukan tempahan awal kerana resort tersebut memang sedang hangat dan sentiasa dipenuhi dengan pelancong tempatan dan luar negara.

Lengkap dengan pelbagai kemudahan, resort menjadi pilihan penginapan ramai orang untuk bercuti kerana selesa dan memudahkan dari segala hal berbanding menginap di hotel. Selamat bercuti bersama yang tersayang!

Nak tahu lebih banyak tempat menarik di sekitar Kuala Selangor? Jom kunjungi tempat-tempat ini!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.