Sandakan merupakan salah satu daerah di negeri Sabah. Ia merupakan salah sebuah bandar utama di Sabah dan merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini.  Sandakan terkenal sebagai pintu masuk ke destinasi-destinasi ekopelancongan di Sabah. Contohnya Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Taman Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Taman Pulau Penyu. Di sini juga terdapat Lapangan Terbang Sandakan yang menjadi pintu masuk utama para pelancong dari seluruh Malaysia dan luar negara ke bandar ini.

 

1) Masjid Jamek Sandakan

Masjid Jamek Sandakan

Imej via wikimedia

Masjid Jamek Sandakan ataupun Masjid Jamek As-Sheikh Hasbullah At-Tohiri adalah sebuah masjid klasik yang berusia lebih daripada 130 tahun. Masjid tua ini memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu agama Islam ketika zaman pemerintahan British di Borneo Utara. Masjid yang terletak di lereng bukit ini dikatakan telah diasaskan oleh pedagang dan pendakwah yang datang dari Yaman menggunakan hasil sumbangan penduduk setempat. Namun ada juga yang mengatakan ianya telah dibina oleh seorang penduduk Sandakan berketurunan India Muslim.

Lokasi: Lebuh Empat, Pusat Bandar Sandakan, 90000 Sandakan

 

2) Bulatan Buaya

Bulatan Buaya

Imej via flickr

Jika di Kundasang popular dengan tugu replika kubis, di Sabah pula ada tugu seekor buaya yang terletak di sebulatan bulatan di Jalan Lubuk. Muncung buaya ini dikatakan menghala ke arah Sandakan Crocodile Farm yang terletak tidak jauh dari sini. Dah alang-alang sampai ke tugu buaya ini, bolehlah singgah ke taman buaya yang terbesar di Malaysia ini. Tapi sebelum itu, jangan lupa bergambar kenangan berlatar belakangkan tugu buaya ini ya!

Lokasi: Bandar Labuk Jaya, Batu 7, Sandakan

 

3) Sandakan Memorial Park

Sandakan Memorial Park

Imej via picpanzee

Sandakan Memorial Park ataupun Taman Peringatan Sandakan merupakan sebuah tapak yang menjadi saksi kepada kekejaman tentera Jepun yang telah menjadikan sebilangan besar askar Australia dan British sebagai tawanan perang sekitar tahun 1945.

Terdapat lebih daripada 2400 nyawa terkorban dan yang terselamat hanyalah 6 orang tawanan yang berjaya melarikan diri.

Oleh sebab itu, taman peringatan ini dibina untuk memperingati mereka yang telah terbunuh. Anda juga berpeluang melawat sebuah muzium kecil yang terdapat di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Sandakan yang penuh dengan peristiwa hitam.

Lokasi: Sandakan Memorial Park, Mile 8, Jalan Labuk Utara, Taman Rimba, 90702 Sandakan, Sabah

 

4) Sandakan Liberation Monument

Sandakan Liberation Monument

Imej via wikimedia

Sandakan Liberation Monument adalah sebuah monumen yang dibina untuk memperingati tentera bersekutu yang terkorban di Borneo Utara sewaktu menentang askar Jepun. Ia terletak di hadapan High Court Sandakan.

Tugu yang berbentuk senapang rifle dengan topi di hujungnya ini menunjukkan tradisi yang diamalkan tentera bagi melambangkan tempat dimana pejuang telah gugur.

Lokasi: Sandakan Liberation Monument (Hadapan High Court Sandakan)

 

5) Agnes Keith House

Agnes Newton Keith

Imej via penang-traveltips

Agnes Keith House adalah sebuah rumah yang menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Tahukah anda? Rumah ini, pada suatu ketika dahulu dimiliki oleh pasangan mat saleh, Mr Harry Keith dan isterinya Agnes Newton Keith.

Siapakah Agnes Newton sehinggakan rumahnya menjadi tumpuan para pelancong di Sandakan? Agnes Keith adalah seorang penulis yang telah menghasilkan tiga buah buku yang diinspirasikan dari kehidupan di Sabah, salah satunya adalah buku yang bertajuk “Land Below The Wind” yang menjadikan negeri Sabah terkenal sehingga ke peringkat dunia.

Walaupun pemilik asal rumah ini adalah pasangan mat saleh, tetapi reka bentuknya cukup klasik seperti rumah di kampung-kampung Melayu. Rumah yang dicat putih ini telah dibina semula oleh Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1946 setelah dimusnahkan semasa Perang Dunia Ke-2. Rumah ini kini menyimpan pelbagai artifak peperangan, barangan antik termasuklah info tentang kehidupan Agnes Keith.

Lokasi: Agnes Keith House, Jalan Istana, 90709 Sandakan

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga: Warganegara Dewasa RM2 | Warganegara Atas 55 Tahun & Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Percuma | Pelancong RM15

 

6) Kampung Nelayan Sandakan

Kampung Nelayan Sandakan

Imej via latinamediacom

Perkampungann nelayan di Sandakan bukan seperti kampung-kampung nelayan yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Uniknya Kampung Nelayan di Sandakan adalah kerana kedudukannya berada di atas air laut.

Anda boleh sampai ke sini dengan menaiki bot. Seperti kampung nelayan yang lain, disinilah anda dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat yang menjadikan hasil laut sebagai mata pencarian utama dengan kewujudan bot yang begitu banyak disekitar jeti.

Dah alang-alang sampai ke sini, rugi rasanya jika tidak memborong hasil laut yang dijual dengan harga yang murah dan segar.

Lokasi: Kampung Pukat, Sandakan

 

7) Pasar Umum Sandakan

Pasar Umum Sandakan

Imej via mysabah

Bila bincang bab shopping di Sabah, pastinya para wanita dah terbayang-bayang barang perhiasan yang diperbuat daripada mutiara. Jika anda ingin luangkan masa untuk membeli-belah di Sandakan, Pasar Umum Sandakan adalah tempat yang ideal buat anda.

Pasar ini bukanlah seperti pasar biasa yang terletak di tepian jalan, tapi merupakan pasar di dalam bangunan 3 tingkat.

Terdapat pelbagai barangan yang dijual di sini, contohnya sayur-sayuran, hasil laut dan buah-buahan yang segar di tingkat 1, dan barangan yang merambangkan mata wanita di tingkat 2. Kalau anda nak merasa makanan tradisi orang Sabah, anda turut berpeluang merasai makanan penduduk tempatan Sandakan di sini.

Lokasi: Jalan Pryer, Pusat Bandar Sandakan, 90000 Sandakan

Waktu Operasi: Setiap Hari (3.00am – 7.30pm)

 

8) Harbour Mall

harbour mall

Imej via minube

Selain daripada Pasar Umum Sandakan, Harbour Mall juga merupakan salah satu tempat untuk anda membeli-belah di Sandakan. Banyak premis perniagaan dari pakaian, aksesori, gadget, dan restoran yang ada di sini. Tidak kurang juga tempat hiburan seperti panggung wayang LFS Cinema. Waktu malam di sini juga agak meriah dengan deretan kedai seperti kafe yang dibuka sepanjang jalan.

Lokasi: Sandakan Harbour Square, Sandakan, 90000 Sandakan, Sabah

Waktu operasi: Setiap hari (10.00am – 10.00pm)

 

9) Gua Gomantong

Gua Gomantong

Imej via klook

Untuk makluman anda, Gua Gomantong ini adalah gua batu kapur yang paling besar di negeri Sabah. Gua batu kapur ini memiliki 27 buah gua kecil yang telah beratus tahun menjadi tempat persarangan burung layang-layang.

Sekiranya anda merancang untuk ke sini, waktu yang terbaik adalah antara bulan Februari ke bulan Ogos untuk melihat sarang burung layang-layang.

Namun, harus diingat, di dalam gua ini juga terdapat banyak kelawar yang pelbagai jenis seperti Fawn Leaf-Nose dan Philippine Forest Horseshoe. Maka bawalah topeng muka ke sini untuk menapis bau najis kelawar yang agak menusuk hidung.

Lokasi: Gua Gomantong, 90000 Kinabatangan

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15

 

10) Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary

Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary

Imej via meanderwithmeg

Santuari ini menempatkan haiwan spesies Proboscis Monkey? Nama lain bagi monyet ini adalah Monyet Belanda iaitu spesies monyet yang berhidung besar dan panjang.

Untuk makluman anda, monyet unik ini hanya wujud di sekitar Borneo sahaja. Oleh sebab itu, manfaatkan keberadaan anda di Sandakan untuk melihat keletah monyet yang rare ini di Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary.

Sampai sahaja ke sini, anda perlu menaiki platform pemerhatian yang disediakan untuk mendekati haiwan eksotik ini. Monyet ini bukan spesies yang agresif. Jadi anda tak perlu risau. Oh ya, jangan lupa bawa kamera jika anda ke sini. Bukan senang dapat rakam foto dan video live haiwan unik ini.

Lokasi: Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Yet Hing Oil Palm Estate, Off Jalan Labuk, Sandakan

Waktu Operasi (Jadual Waktu Pemerhatian): Platform A (9.30am – 2.00pm) | Platform B (11.30am – 4.30pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM60 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | Kamera RM10

 

11) Deramakot Forest Reserve

Deramakot Forest Reserve

Imej via borneoadventure

Deramakot Forest Reserve adalah hutan simpan yang berkeluasan 55,507 hektar. Tahukah anda? Hutan ini adalah hutan pertama di dunia yang diakui oleh  Forest Stewardship Council sebagai hutan yang dijaga dengan baik.

Apa yang menyebabkan Deramakot Forest Reserve ini layak mendapat pengiktirafan sebegitu? Sebabnya, aktiviti pembalakan yang dilakukan di sekitar hutan ini sentiasa dijalankan mengikut konsep “Reduced Impact Logging” (RIL) ataupun Pembalakan Kurang Impak yang mana, aktiviti pembalakan hanya boleh dilakukan ke atas pokok-pokok yang hanya memberikan kesan minimal kepada tanah dan hutan di sekitar apabila ditebang.

Lokasi: Deramakot Forest Reserve, Telupid, Beluran

Harga: Masuk RM15 | Kenderaan RM100 | Kamera RM10

 

12) Borneo Sun Bear Conservation Centre

Borneo Sun Bear Conservation Centre

Imej via bsbcc

Jika di Labuk Bay Proboscis Monkey Santuary anda telah menemui Monyet Belanda yang unik, di Borneo Sun Bear Conservation Centre ini pula anda dapat melihat di depan mata spesies beruang yang terkecil di dunia iaitu Sun Bear yang turut dikenali sebagai Beruang Madu atau Beruang Matahari. Beruang ini antara spesies yang terancam dan bakal pupus akibat pemburuan dan pembalakan haram.

Demi menjaga populasi haiwan ini daripada mengalami kepupusan, pusat pemuliharaan ini ditubuhkan.

Untuk melihat beruang ini, anda sekeluarga perlu berjalan di atas dek pemerhatian yang disediakan. Namun begitu, anda diingatkan supaya tidak terlalu teruja dan berbuat bising semasa berada di atas dek pemerhati. Ini kerana, beruang matahari ini teramatlah sensitif dengan bunyi bising. Kalau bising, pastilah beruang ini akan mencari tempat bersembunyi. Maka punahlah harapan anda untuk melihat haiwan ini bebas bergerak nanti.

Lokasi: Bornean Sun Bear Conservation Centre, PPM 219, Elopura, 90000 Sandakan

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 3.30pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM30 | 12 – 17 Tahun MyKad: RM2, Pelancong: RM5 | Bawah 12 Tahun Percuma

 

13) Rainforest Discovery Centre

Rainforest Discovery Centre

Imej via zeotrip

Rainforest Discovery Centre terletak di Hutan Simpan Sipilok-Kabili. Walaupun mungkin tidak banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di sini, tetapi bagi warga bandar yang rindukan kesegaran alam semula jadi, anda boleh luangkan masa di sini beriadah santai Bersama keluarga.

Anda akan berjalan melalui canopy walk yang disediakan untuk menikmati keindahan flora dan fauna yang terbentang luas di sekeliling anda sambil ditemani bunyian unggas.

Alang-alang sudah ke sini, bolehlah lajakkan kaki anda untuk melawat Santuari Orang Utan Sepilok yang terletak hanyalah bersebelahan dengan Rainforest Discovery Centre ini.

Lokasi: Sepilok, 90715 Sandakan

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM7, Pelancong: RM15 | Kanak-kanak MyKad: RM3, Pelancong: RM7 | Bawah 5 Tahun Percuma

 

14) Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre

Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre

Imej via insidethetravellab

Di sinilah tempatnya untuk anda melihat lebih dekat haiwan yang comel dengan gelagatnya ini iaitu Orang Utan ataupun nama lainnya Wild Red Apes.

Setibanya anda di sini, anda akan melalui laluan kayu yang akan membawa kaki anda menuju ke arah galeri dan platform tempat memberi Orang Utan makanan. Waktu makan Orang Utan di sini bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00petang. Oleh itu, disarankan untuk anda datang sekitar 30 minit awal sebelum waktu haiwan ini diberi makan. Ini kerana sekiranya anda terlewat, kemungkinan pekerja di pusat ini tidak akan membenarkan anda masuk. Terlepas peluang keemasan anda melihat Orang Utan makan.

Lokasi: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 12.00pm & 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.00am & 2.00pm – 4.00pm) | Waktu Orang Utan Diberi Makanan (10.00am – 3.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15 | Kamera RM10

 

15) Sandakan Crocodile Farm

Sandakan Crocodile Farm

Imej via wikimedia

Sandakan Crocodile Farm merupakan taman buaya yang terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 3000 ekor buaya di dalamnya. Selain buaya, di sini juga terdapat taman kanak-kanak dan sebuah zoo mini yang menempatkan ikan Amazon bersaiz besar. Selain itu, anda juga berpeluang melihat buaya-buaya ini beraksi membuat pertunjukan buat para pengunjung pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Antara aktiviti menarik pada hari Ahad ataupun cuti umum, diadakan pertunjukan haiwan bukan setakat buaya, tetapi juga ular! Pasti ia suatu pengalaman menarik buat anda sekeluarga.

Lokasi: Sandakan Crocodile Farm, Batu 8, Jalan Labuk, Sandakan

Waktu Operasi: Setiap hari (8.00am – 5.00pm) | Pertunjukan Buaya: Isnin – Jumaat (11.45am & 4.00pm) | Pertunjukan Buaya & Ular: Ahad & Cuti Umum (11.00am, 2.00pm & 4.00pm) | Waktu Diberi Makan: Setiap hari (9.00am – 4.30pm)

 

16) Sungai Kinabatangan

Sungai Kinabatangan

Imej via nationalgeographiclodges

Sungai Kinabatangan merupakan sungai yang terpanjang di negeri Sabah dengan kepanjangan berukuran 560 km.

Aktiviti menyelusuri Sungai Kinabatangan ini adalah satu aktiviti yang amat berbaloi untuk anda lakukan. Dengan aktiviti ini, anda berpeluang menikmati pemandangan segar di sekitar Sabah, dan membuka mata tentang geografi sekitar Sabah yang menarik untuk diteroka.

Di sepanjang perjalanan, anda akan disajikan dengan pemandangan ladang kelapa sawit, kawasan perkampungan dan bandar-bandar kecil sekitar Sabah.

Malah anda juga boleh melihat kekayaan fauna yang ditawarkan muka bumi Borneo ini seperti orang utan, ungka, monyet, dan banyak lagi. Kalau bernasib baik, mungkin juga gajah-gajah besar yang digelar Borneo Pygmy Elephants akan munculkan diri.

Lokasi: Sungai Kinabatangan, Sabah

 

17) Pulau Lankayan

Imej via sabahtravelguide

Pulau Lankayan merupakan sebuah pulau resort batu karang tropika yang amat kecil yang berada di Laut Sulu, terletak di barat laut Pulau Borneo. Pulau ini cukup istimewa kerana ia menawarkan lebih daripada 30 lokasi yang best untuk aktiviti menyelam. Yang menariknya, ada juga kawasan menyelam yang memiliki bangkai kapal untuk diterokai. Sudah pastinya pulau ini menjadi syurga bagi kaki diving. Kalau anda tiada kemahiran menyelam, apa kata kalau mula belajar dari sekarang, barulah dapat menikmati travel ke pulau ini dengan keseronokan yang maksimum.

Selain terumbu karang hidup, dan kapal karam cekung terdapat di dasar lautan ini, Pulau Lankayan juga cukup terkenal dengan kehadiran Yu paus. Antara hidupan laut yang dapat dilihat adalah ikan anemone, ikan kerapu, blue ribbon eel, juvenile cat fish dan bermacam-macam lagi. Memang puas hati menikmati keindahan hidupan marin makro di sini secara live depan mata.

Lokasi: Pulau Lankayan, Sabah

 

Itulah dia 17 tempat menarik di Sandakan, Sabah yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Sandakan. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Sabah dan Tempat Menarik Di Kota Kinabalu.

 

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.