|

15 Tempat Viral di Kelantan

Banyak tempat viral di Kelantan yang perlu anda kunjungi jika bercuti di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Kelantan menjadi lokasi percutian ramai kerana keindahan alam semula jadi, kaya dengan adat dan budaya, kaya dengan pelbagai makanan yang enak dan sebagainya.

Jika disebut tentang tempat menarik di Kelantan, pasti Pasar Siti Khadijah dan Pantai Cahaya Bulan yang kerap muncul di bibir kebanyakan orang. Namun sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang berbaloi untuk dikunjungi.

Kami senaraikan 15 tempat viral di Kelantan yang perlu anda masukkan ke dalam senarai tempat yang bakal dikunjungi. Jom ke tempat-tempat ini:

Jeram Mengaji

Imej via Kelantan

Jeram Mengaji yang terletak di Pasir Putih ini pernah viral kerana mempunyai permandangan persis di Kundasang hingga mendapat jolokan sebagai ‘Kundasang Kelate’. Kawasan Jeram Mengaji sangat luas dan banyak spot untuk ootd yang cantik.

Dari kawasan luar, pengunjung akan melihat sebuah padang menghijau yang luas. Jangan risau, ada banyak tempat duduk atau pondok untuk pengunjung berehat jika sudah keletihan berjalan. Pengunjung juga boleh menyewa ATV atau skuter untuk mengelilingi tempat viral di Kelantan ini.

Selain port ootd, ada juga mini zoo dengan pelbagai jenis haiwan seperti kuda, arnab, beberapa jenis burung, rusa dan sebagainya. Bayaran masuk sekadar RM 2 sahaja dan bayi boleh masuk dengan percuma.

Di suatu kawasan lain yang berhampiran, terdapat sungai dan kolam untuk pengunjung bermandi-manda dan berkelah. Jika mahukan aktiviti yang lebih mencabar, sertailah aktiviti flying fox.

Alamat: Lot 972, Kg. Sungai Durian Mukim Banggol Setoi, 16800 Pasir Puteh, Kelantan

Pantai Irama

Pantai Irama Bachok kini makin meriah kerana lebih banyak tarikan dan kemudahan disediakan buat pengunjung. Jika sudah terbiasa ke Pantai Cahaya Bulan, apa kata anda ke Pantai Irama untuk menikmati keindahan pantai dan laut.

Buat mereka yang mencari port healing dan port untuk bersantai seisi keluarga, Pantai Irama memang sesuai buat anda. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah taman permainan kanak-kanak, tandas dan pondok untuk berehat. Paling best, ada juga port ootd untuk anda bergambar dengan latar laut mahupun sungai.

Banyak juga gerai yang menjual makanan, cenderamata, alat permainan kanak-kanak dan lain-lain. Bolehlah anda mencuci mata bersama yang tersayang!

Alamat: Bachok, Kelantan

Pasar Bawah Pokok Getah

Pasar Bawah Pokok Getah turut dikenali sebagai Pasar Pendekar di kalangan warga Kelantan. Pasar pagi yang berada di kebun getah ini menjadi satu keunikan bagi rakyat Malaysia kerana ia dapat mengimbau nostalgia pasar-pasar klasik terdahulu.

Ada yang datang ke Kelantan semata-mata ingin mencari makanan Kelantan? Jom ke pasar ini dan nikmati makanan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang yang pasti membuatkan anda rambang mata!

Kedai Kopi Pendekar antara yang viral di sini kerana menawarkan nasi berlauk dan nasi dagang yang sedap dan lejen. Bukan sahaja makanan, malah ada juga yang menjual hasil laut dan bahan mentah, pakaian, buah-buahan dan lain-lain.

Alamat: Kampung Guntong, Pasir Puteh, Kelantan

Waktu operasi: Jumaat (8.00 am-11.30 pm)

Kampung Kraftangan

Terletak di Kota Bharu, Kampung Kraftangan kini menjadi tumpuan ramai untuk dilawati kerana anda boleh mendapatkan pelbagai jenis kraftangan yang menggambarkan seni dan budaya masyarakat Kelantan.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyertai aktiviti mencanting batik yang amat terkenal di pantai timur. Pengunjung boleh memilih sendiri corak batik yang ingin dicanting dan bayaran yang dikenakan sangat murah!

Alamat: Jalan Merbau, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (8.30 am-4.45 pm)

Melawifornia

Imej via Que Yahaya

Satu lagi port healing dan lepak best di Bachok adalah Melawifornia. Tempat viral di Kelantan ini memang best untuk dikunjungi untuk anda ‘mengopi’ bersama yang tersayang.

Melawifornia terletak di tepi pantai, Pantai Melawi. Memang mendamaikan mengopi sambil melihat permandangan laut yang memukau dan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Makanan barat banyak dijual di beberapa vendor yang ada di sini.

Banyak lagi aktiviti pantai yang boleh anda lakukan di sini termasuklah menunggang kuda, menunggang ATV, bermain bola pantai, berkelah dan bergambar!

Alamat: Pantai Melawi, Bachok, Kelantan

Waktu operasi: Jumaat & Sabtu (4.00 pm-10.00 pm)

Pantai Senok

Imej via Bachokku

Pantai Senok merupakan tempat viral di Kelantan dari dulu sampai sekarang. Kenapa viral? Hal ini kerana permandangannya persis Pulau Nami yang terletak di Korea.

Banyak pokok rhu berada di sepanjang pantai ini. Memang cantik bergambar dengan latar pokok rhu dan laut yang membiru. Tak peliklah jika ramai yang ke sini untu mengadakan pengambaran untuk perkahwinan dan sebagainya.

Nak aktiviti yang lebih menarik? Jom menunggang ATV bagi dewasa dan kanak-kanak di trek yang disediakan. Ada juga Soopa Doopa untuk anak-anak bermain dengan riang.

Alamat: Bachok, Kelantan

Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung

Jom ke Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung untuk merasai pengalaman membeli-belah di atas bot seperti yang popular di Thailand. Buat anda yang suka food hunting pelbagai jenis makanan yang sedap, ini salah satu port yang perlu anda kunjungi. Antara menu viral adalah Miang Pla, Ayam Susu dan Hwachee.

Pasar terapung ini dibuka pada setiap Jumaat dan Sabtu sahaja. Untuk ke sini, pastikan anda datang bukan pada musim tengkujuh kerana tempat ini ditutup pada musim tersebut.

Pengunjung perlu menaiki bot selama 5 hingga 10 minit sama ada dari Jeti Kuala Besar atau Jeti Pulau Pisang di Kota Bharu mahupun Jeti Kok Majid di Tumpat. Bayaran bot adalah RM 3 hingga RM 4 untuk sehala.

Alamat: Sri Tanjung, Pulau Sri Tanjung, 16200 Tumpat, Kelantan

Waktu operasi: Jumaat & Sabtu (8.00 am-5.00 pm)

Rumah Tiang 12

Imej via Sri Getam Guri

Jika ada yang tidak tahu, Rumah Tiang 12 merupakan seni bina Kelantan yang masih kukuh hingga kini sejak pembinaannya lebih 150 tahun yang lalu. Berada di Kota Bharu, rumah ini dinamakan Sri Getam Guri sejak pembinaan semula yang memakan masa dua tahun mengikut rumah asalnya.

Buat mereka yang suka dengan sejarah dan seni bina, berada di sini pasti memberikan satu kepuasan kerana melihat seni bina melayu Kelantan terdahulu. Setiap barangan rumah juga antik dan mengimbau kembali barangan tradisi tinggalan orang terdahulu. Jika anda ingin ke Rumah Tiang 12, pastikan buat tempahan slot awal di media sosial Sri Getam Guri

Alamat: Rumah Tiang 12, Jalan Dusun Muda, 15200 Kota Bharu, Kelantan

Guillemard Bridge

Guillemard Bridge merupakan jambatan keretapi yang telah siap dibina pada tahun 1924. Jambatan ikonik ini merentasi Sungai Kelantan dari Paloh Rawa hingga ke Kursial di Tanah Merah.

Merupakan jambatan keretapi terpanjang di Malaysia, Guillemard Bridge menjadi port healing terbaik di Tanah Merah. Banyak port ootd buat pengunjung yang instagrammable! Tempat ini juga sesuai dijadikan lokasi untuk beriadah bersama yang tersayang.

Alamat: Kg Kusial Bharu, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Istana Jahar

Istana Jahar merupakan istana yang dibina oleh Sultan Muhammad ke-2 dan kini berusia lebih 180 tahun. Kini, Istana Jahar telah menjadi muzium untuk pameran pelancong.

Pada asalnya, Istana Jahar dinamakan Istana Raja Bendahara. Pengunjung boleh melihat sendiri artifak, pakaian dan barangan diraja. Bagi yang suka akan sejarah, anda pasti suka berada di sini.

Alamat: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (8.30 am-4.45 pm)

Warung Acu Tera

Warung Acu Tera merupakan salah satu tempat makan viral di Kelantan. Bukan sekadar viral, malah menu-menu yang ditawarkan juga sangat sedap dan harga yang sangat berbaloi!

Menu utama yang menjadi tumpuan semestinya aneka celup tepung. Ada ikan, sotong, isi ketam dan udang celup tepung yang rangup, segar dan cukup rasanya! Pesan juga coconut shake yang lebih segar dimakan lebih-lebih lagi sewaktu cuaca panas.

Apa yang lebih menarik, kedai ini berada betul-betul di tepi Pantai Sabak. Sambil makan pengunjung boleh layan permandangan laut yang memukau. Rugi jika ke Kelantan jika tidak singgah makan di kedai celup tepung terbaik di sini!

Alamat: Pantai Sabak, Kota Bharu Kelantan.

Waktu operasi: Khamis hingga Selasa ( 3.00 pm – 10.00 pm)

Pasar Terapung Pulau Suri

Satu lagi pasar terapung yang terdapat di Kelantan adalah Pasar Terapung Pulau Suri. Dibuka pada setiap Jumaat dan Sabtu, namun kadangkala dibuka juga pada Khamis dan Ahad. Layari laman Facebook Floating Market Pulau Suri untuk maklumat terkini.

Pengunjung perlu menaiki bot samada dari Jeti Kuala Besar mahupun Jeti Kok Majid untuk ke pasar ini. Tiket bot bermula RM 3 hingga RM 5 untuk perjalanan sehala. Tiket masuk pula sekadar RM 2 sahaja untuk dewasa.

Nama pun pasar terapung, sudah pasti banyak makanan yang dijual seperti pasar terapung yang lain. Antara menu yang mencuri tumpuan adalah koklu, akok, tiram dan aneka celup tepung. Tempat makan juga banyak tersedia untuk pengunjung.

Alamat: Tumpat, Kelantan

Waktu operasi: Jumaat & Sabtu (8.00 am-4.00 pm)

Muse Ecopark

Imej via Muse Ecopark

Muse Ecopark merupakan tarikan baru yang terletak di Gua Musang. Muse Ecopark merupakan tempat bermandi-manda untuk kanak-kanak dan dewasa. Terdapat tiga kolam dengan kedalaman berbeza, sesuai untuk semua peringkat umur. Apa yang lebih menarik adalah permandangan di sekitar kolam yang mempersona. Kolam ini berlatarkan gunung-ganang.

Harga tiket masuk adalah RM 12 untuk dewasa dan kanak-kanak manakala kanak-kanak berumur 2 tahun ke bawah boleh masuk secara percuma. Jika anda datang dari jauh, anda boleh menginap di resort yang cantik, bersih dan selesa yang berada berhampiran kolam ini.

Nak lebih mencabar? Jom menyelusuri gua dan anda boleh turun dengan flying fox! Semua ini ditawarkan dengan harga bawah RM 100 sahaja.

Alamat: VXH9+Q7, 183000 Gua Musang, Kelantan

Min House Camp

Nak rasa pengalaman berada di suasana kampung? Jom ke Min House Camp yang dapat mengimbau nostalgia berada di kawasan kampung! Bukan sekadar rumah tradisional malah terdapat banyak barangan antik dan klasik. Pengunjung juga boleh menginap di sini sama ada di chalet batu, chalet kayu, mahupun khemah.

Berada dikelilingi alam semula jadi yang menghijau, membuatkan pengunjung tenang berada di sini. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti berkayak, menunggang jet ski dan ATV, night walk, paintball, mandi di kolam dan menaiki bot kayuh dan banyak aktiviti lain.

Alamat: Lot 1287, Kampung Pulau, Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan

Pantai Tapang

Satu-satunya taman tema air mini yang berada di tepi pantai adalah di Pantai Tapang. Tempat viral di Kelantan ini menjadi port santai untuk seisi keluarga.

Banyak kemudahan disediakan termasuk penginapan, tandas, kolam renang, pondok rehat, tempat makan dan lain-lain. Banyak aktiviti juga boleh dilakukan seperti bermandi-manda, menunggang kuda, berkayak dan sebagainya.

Alamat: 16300 Kota Bharu, Kelantan

15 tempat viral di Kelantan ini mendapat perhatian ramai di media sosial. Ada yang baru dibuka dan ada yang masih mendapat sambutan ramai dari dahulu hingga sekarang.

Bukan sekadar viral malah tempat-tempat ini memang seronok untuk dikunjungi. Jadi jika anda mempunyai perancangan untuk ke Kelantan, masukkan tempat-tempat ini dalam senarai tempat untuk anda kunjungi kelak.

Rancang perjalanan sebaiknya kerana ada tempat yang berjauhan antara satu sama lain. Jom ajak yang tersayang bercuti di Kelantan!

Berikut merupakan tempat di Kelantan yang pernah viral dan masih dikunjungi ramai hingga kini:

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *