Rumah P. Ramlee merupakan salah satu muzium yang boleh dikunjungi dan dilawati di Pulau Pinang. Jika anda merancang hendak bercuti ke negeri ini, bolehlah singgah ke Rumah P. Ramlee yang terletak di Jalan P. Ramlee, George Town.

Rumah kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, seniman tanahair yang sangat terkenal dan berbakat luar biasa ini telah dijadikan muzium mini bagi mengenang serta memperingati beliau.  

Memang sudah tidak asing lagi dan Rumah P. Ramlee ini telah menjadi salah satu tempat pelancongan yang sering dikunjungi oleh orang awam terutama orang-orang yang meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Jadi, buat anda yang bertanya-tanya dan ingin tahu tentang kisah serta bagaimana kehidupan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ketika beliau kecil, di rumah inilah anda boleh melihat serta mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah hidup beliau.

Bukan sahaja mempamerkan sejarah hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi rumah ini turut menempatkan barang-barang peribadi milik beliau dan pusaka tinggalan keluarga beliau untuk diperlihatkan kepada para pelancong yang mengunjungi rumah tersebut. 

Latar belakang Rumah P. Ramlee

Imej via [ Rumah Kelahiran P Ramlee ]

Pada tahun 1926, rumah kelahiran seniman agung Tan Sri P. Ramlee ini telah dibina oleh bapanya dan Rejab bin Husin iaitu bapa saudaranya. Walaupun rumah ini pernah dibaiki semula oleh bapa saudaranya ketika zaman Jepun, namun rumah ini masih kekal seperti reka bentuk asalnya.

Rumah P. Ramlee dengan reka bentuk senibina Melayu ini tidaklah besar mana dan diperbuat daripada kayu serta bumbungnya beratapkan rumbia. Dikatakan rumah ini juga dijaga dengan sangat baik meskipun sudah dibaik pulih beberapa kali sebelum Arkib Negara mengambil alih sepenuhnya.

Apa yang menarik di Rumah P. Ramlee?

Di Rumah P. Ramlee ini mempamerkan pelbagai koleksi barang-barang milik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee serta pusaka tinggalan keluarganya. Antara barang milik beliau yang dipamerkan di rumah ini ialah pakaian, pekakas dapur serta peralatan muzik. 

Terdapat dua bahagian pameran di Rumah P. Ramlee ini. Bahagian pertama ialah bahagian dalam di mana bahagian ini memperlihatkan serba sedikit pengenalan tentang P. Ramlee. Ruang seni dan sukan, bilik tidur dan juga ruangan dapur turut terdapat di bahagian dalam.

Bahagian luar pula merupakan bahagian pameran yang kedua. Di bahagian luar ini dipamerkan basikal lama yang digunakan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sewaktu beliau kecil. Dikatakan, basikal tersebut digunakan oleh beliau untuk pergi ke sekolah dan bersiar di waktu petang.

Selain basikal, terdapat juga sampan milik keluarga beliau yang diletakkan di bawah rumah. Sampan tersebut digunakan oleh keluarga Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk keluar mencari pendapatan bagi menyara keluarga mereka.

Bukan itu sahaja, pengunjung yang datang ke Rumah P. Ramlee juga pasti akan terpesona melihat keindahan kawasan halamannya yang dihiasi dengan bunga-bunga yang sungguh cantik dipandang. Malah, pokok-pokok asalnya juga masih terlihat kekal sehingga kini.

Bersebelahan dengan Galeri P. Ramlee

Jika anda datang berkunjung ke Rumah P. Ramlee ini, anda juga boleh menyempatkan diri untuk singgah ke Galeri P. Ramlee. Lokasinya tidaklah jauh, terletak bersebelahan sahaja dengan Rumah P. Ramlee.

Galeri P. Ramlee ini diuruskan oleh Arkib Negara dan terdapat pelbagai maklumat, barang-barang serta gambar-gambar yang berkaitan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dipamerkan di galeri ini. 

Di Galeri P. Ramlee ini, anda bukan sahaja dapat melihat majalah, poster-poster filem dan gambar-gambar berkaitan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, malah anda juga dapat melihat sendiri depan mata anda barang-barang peribadi yang pernah digunakan oleh beliau.

Jika anda salah seorang penggemar Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee dan ingin tahu tentang kisah hidup beliau, galeri ini sangat disyorkan untuk anda kunjungi kerana begitu banyak maklumat mengenai sejarah hidup, kerjaya dan sumbangan beliau yang diperlihatkan di galeri ini.

Waktu Operasi

Selasa hingga Ahad: 9 pagi hingga 5.30 petang

Jumaat: 9 pagi hingga 12 tengahari dan 3 petang hingga 5.30 petang

Isnin: Tutup kecuali cuti umum dan cuti sekolah

Harga Tiket

Harga tiket untuk masuk ke dalam Rumah P. Ramlee dan Galeri P. Ramlee ini adalah percuma sahaja.

Berkunjung ke Rumah P. Ramlee ini sememangnya dapat memberikan satu pengalaman yang cukup memuaskan. Hal kerana di sini anda bukan sahaja dapat mengenali serta mengetahui lebih dalam mengenai kisah seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, malah anda juga berpeluang melihat sendiri barang-barang lama yang pernah menjadi milik beliau pada suatu ketika dahulu. 

Sesekali berkunjung ke tempat yang memberikan pelbagai informasi bermanfaat dan sejarah, pasti seronok lebih-lebih lagi membawa anak-anak agar mereka terdedah dengan sejarah seni di Malaysia.

Banyak lagi tempat menarik di Pulau Pinang untuk anda kunjungi. Jom ke tempat-tempat ini:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.