Lata Kolam Air Deru Ecopark merupakan pilihan terbaik buat mereka yang mencari lokasi percutian dan penginapan berkonsepkan alam di Terengganu. Pusat rekreasi ini kian popular kerana keindahan alam semulajadinya.

Mana tidaknya, air sungai yang mengalir di sini berwarna hijau, jernih dan sangat bersih, tidak seperti kebanyakan sungai dan air terjun yang lain. Hal ini menarik perhatian ramai tidak kira pelancong tempatan mahupun luar negara.

Paling Menarik, Lata Kolam Air Deru Ecopark pernah memenangi anugerah ‘ Gold Award Eco Adventure Tourism’ pada 2022. Tak hairanlah ramai yang terpukau dengan landskap pusat rekreasi ini yang bukan sahaja menarik minat pecinta alam malah setiap mata yang memandangnya.

Pusat rekreasi yang terletak di Jerteh ini merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Gunung Tebu. Nak tahu apa yang ada di sini? Jom terokainya!

Harga Tiket Masuk

Dewasa: RM 3

Kanak-kanak: RM 1

Tarikan Utama

Kawasan rekreasi ini sangat luas dan mempunyai tiga bahagian atau fasa iaitu Pengkalan Raja, Pengkalan Dua dan Pengkalan Suri. Setiap fasa mempunyai kemudahan, keunikan dan tarikan tersendiri.

Dari ketiga-tiga fasa, fasa yang paling popular adalah fasa Pengkalan Raja atau lebih dikenali sebagai Lata Kolam. Hal ini kerana, struktur di kawasan air terjun tersebut berbentuk seperti kolam. Airnya juga kehijau-hijauan dan jernih.

Kedalaman paras air di Pengkalan Raja mencecah 15 kaki ke dasar iaitu di bahagian tengah kolam. Oleh itu, ianya sesuai untuk golongan remaja dan dewasa sahaja. Walaubagaimanapun, kederasan air di sini sangat berbahaya.

Fasa Pengkalan Dua pula sesuai untuk seisi keluarga. Ramai yang memilih lokasi ini untuk beriadah dan berkelah kerana kawasannya redup. Banyak pokok yang rimbun dan meneduhi pengunjung yang datang ke sini. Struktur sungainya pula memanjang seakan kolam renang.

Fasa akhir iaitu Pengkalan Suri merupakan kawasan paling luas dan berpasir. Fasa ini sesuai untuk semua peringkat umur melakukan pelbagai aktiviti termasuklah bermandi-manda, berkelah, berkhemah dan sebagainya. Lokasi ini juga menjadi tapak perkhemahan yang mampu memuatkan 300 orang dalam satu masa.

Penginapan

Seperti yang anda tahu, Lata Kolam Air Deru Ecopark mempunyai kawasan yang sangat luas dan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuklah penginapan. Menginap di sini memang sangat menenangkan lebih-lebih lagi dapat menghirup udara yang segar, jauh dari kesibukan kota serta mendengar suara alam yang tenang.

Penginapan hanya terletak di Pengkalan Suri dan Pengkalan Dua yang terdiri daripada chalet, tube lodge, villa dan kabin. Tak cukup dengan itu, pihak resort turut menyediakan tapak perkhemahan serta glamping buat mereka yang menginginkan suasana sebenar berada di tengah alam.

Harga penginapan murah dan sangat berbaloi iaitu bermula RM 80 hingga RM 170 mengikut pakej-pakej tertentu. Kadar untuk perkhemahan pula bermula RM 50 hingga RM 100 manakala RM 300 untuk pakej glamping yang mampu memuatkan 8 hingga 12 orang dalam satu khemah. Murah dan berbaloikan?

Bagi mereka yang dalam kelompok yang ramai, pihak resort menawarkan harga yang lebih berbaloi termasuk penginapan, makanan dan aktiviti tertentu. Memang sesuai jika anda ingin mengadakan hari keluarga, kem motivasi, reunion, team building dan sebagainya.

Kemudahan

Jika datang ke tempat rekreasi, faktor yang dipertimbangkan untuk memilih tempat yang selesa semestinya tandas, surau dan lain-lain. Jangan risau, kesemua kemudahan disediakan dengan bersih dan selesa. Parkir juga luas dan selamat.

Di Pengkalan Dua dan Pengkalan Suri, kedua-duanya disediakan tandas, kawasan parkir dan surau. Bukan itu sahaja, jika anda tidak membawa bekalan makanan anda boleh membelinya di kafe yang terdapat di kedua-dua pengkalan.

Nak cari tempat berkhelah yang lebih selesa? Jangan khuatir, kerana banyak wakaf atau pondok rehat yang disediakan buat pengunjung.

Paling menarik, pihak resort turut menyediakan plug point untuk kegunaan pengunjung dengan kadar sewaan tertentu. Namun penginap tidak dibenarkan untuk menggunakan peralatan elektrik kecuali untuk mengecas telefon bimbit.

Jika datang dalam kelompok yang ramai, pasti memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai aktiviti. Oleh itu, pihak resort menawarkan dewan yang luas.

Buat penginap, anda boleh menggunakan ruang memasak yang disediakan bersama peralatan asas memasak. Ia merupakan ruangan khas dan umum buat para penginap.

Aktiviti Menarik

Menginap atau tidak di Lata Kolam Air Deru Ecopark, banyak aktiviti yang boleh lakukan di sini. Pilih sahaja mahukan aktiviti santai ataupun yang lasak.

Jika tidak menginap, rugi jika tidak berkelah atau bermandi-manda di sini. Air sungai yang sejuk, jernih dan bersih memberikan kesegaran luar biasa. Sambil itu, jangan lepaskan peluang untuk ootd di latar alam yang sangat menawan lebih-lebih lagi dengan latar air sungai yang kehijauan.

Buat pecinta alam dan sukan lasak, tempat ini memang ‘syurga’ buat anda. Banyak aktiviti yang ditawarkan dengan harga berbaloi hingga tak cukup masa untuk anda lakukan dalam masa satu hari. Antaranya adalah menunggang ATV, white water rafting, abseiling, jungle trekking dan memanah.

Tak cukup dengan itu, ada juga aktiviti unik seperti mountain bike, fun boating dan walking ball. Untuk mereka yang datang dalam kelompok, pihak resort menawarkan pakej obstacle course, team building dan survival program dengan harga yang berbaloi.

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut atau ingin membuat tempahan, layari laman di bawah:

No telefon: 019 6931662 (Diana) | 017 3903649 (Zaini)

Email: [email protected]

Facebook: Lata Kolam Air Deru Ecopark

Instagram: latakolam_air_deru_ecopark

Lokasi: Lata Kolam Air Deru Ecopark, Kampung La, Jerteh, Terengganu

Lata Kolam Air Deru Ecopark memang berbaloi untuk dikunjungi seisi keluarga. Patutlah ramai menjadikannya salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi jika bercuti di Terengganu. Walaupun berkeluasan tujuh hektar, namun persekitaran memang terjaga rapi dan bersih.

Bukan sahaja keunikan dan kecantikan panorama yang menarik perhatian ramai pengunjung, malah kemudahan banyak tersedia serta aktiviti yang ditawarkan juga sangat menarik dan berbaloi. Apa tunggu lagi? Jom ajak seisi keluarga untuk bercuti ke sini! Selamat bercuti!

Jika datang ke Terengganu, ini tempat menarik yang perlu anda kunjungi!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.