Pasti ada yang tercari-cari tempat ootd di Terengganu kerana Terengganu sememangnya terkenal dengan banyak tempat yang cantik dan indah. Oleh sebab itu, Terengganu sering menjadi tumpuan pengunjung tempatan mahupun luar negara untuk bercuti.

Selain banyak pantai yang terdapat di sini, ada juga tempat ootd lain yang sangat memukau yang mungkin anda belum tahu. Jadi kami senaraikan 20 tempat ootd di seluruh pelusuk Terengganu yang mungkin anda boleh lawati ketika bercuti.

Pantai Mangkuk

Imej via [ HeartPatrick ]

Jika anda masih ingat, Pantai Mangkuk pernah tular suatu ketika dahulu membuatkan pantai tersebut masih dikunjungi ramai lebih-lebih lagi untuk bergambar di sana. Suasana yang nyaman dan cantik memang menarik perhatian ramai.

Jika anda ke sini, bergambarlah diantara pokok-pokok rhu dan pokok-pokok kelapa yang tinggi. Datang pada waktu tengahhari dan petang untuk mendapatkan kesan pencahayaan semula jadi yang mencantikkan lagi gambar anda.

Alamat: Jln Penarik – Mangkuk, Kampung Penarik, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu.

Rumah Api Pantai Chendering

Imej via [ Amazing Terengganu ]

Pasti ramai yang suka memilih untuk ootd di pantai. Efek tiupan angin, pencahayaan yang baik serta kebiruan laut dan langit pasti dapat mencantikkan lagi gambar anda. Di sini juga terdapat pantai cermin yang membentuk kerana air laut yang surut.

Berbezanya dari pantai lain, di sini anda boleh mengambil gambar sewaktu berkelah ataupun bergambar di rumah api. Pemandangan di rumah api tidak kurang hebatnya kerana berada di tengah jambatan menyeberangi laut.

Alamat: Kuala Terengganu, Terengganu.

Langgar Rindu

Imej via [ Impiana.My ]

Langgar Rindu adalah surau paling unik di Terengganu kerana diperbuat sepenuhnya daripada kayu cengal dan tembusu. Sambil singgah untuk solat, bolehlah anda ootd untuk dijadikan kenangan.

Keunikan dan kekemasan seni bina ini bukan sahaja telah menarik perhatian pelancong muslim, bahkan pelancong bukan muslim dari luar negara juga turut kagum dengan surau yang dibina sendiri oleh Hj. Abdul Karim Embong.

Alamat: 3685, Kampung Rhu Tapai, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu.

Drawbridge

Imej via [ Terengganu Drawbridge ]

Tidak lengkap tempat ootd di Terengganu jika tidak masukkan Drawbridge dalam senarai. Drawbridge yang juga satu-satunya jambatan angkat di Asia Tenggara kini menjadi tarikan utama pelancong untuk bergambar di sana.

Nak lagi cantik, datanglah pada waktu malam. Jambatan ini dihiasi dengan lampu berwarna-warni sememangnya sangat mengagumkan setiap pengunjung yang datang.

Anda juga boleh memasuki Menara di jambatan tersebut dan bergambar di lantai yang berkaca. Semestinya anda disajikan dengan pemandangan laut dan bandar ini yang cantik.

Alamat: 20000 Kuala Terengganu, Terengganu.

Pasar Payang

Imej via [ Abdul Bar ]

Pasar Payang juga mesti ada dalam senarai jika ke Terengganu kerana lazimnya pengunjung ke sini untuk membeli cenderahati seperti batu permata, baju batik dan keropok. Harga juga lebih murah jika dibeli di tempat lain.

Sambil membeli-belah jangan lupa untuk ambil gambar. Pemandangan dari tingkat dua sangat cantik yang memperlihatkan dinding berwarna-warni dan kawasan bawah dipenuhi dengan penjual memang cantik dan kelihatan meriah!

Alamat: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung Kapur, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu.

Taman Tamadun Islam

Imej via [ Taman Tamadun Islam ]

Taman Tamadun Islam merupakan sebuah tempat sejarah islam yang memaparkan 21 monumen atau bangunan bercirikan islamik di serata dunia. Di sini anda boleh bergambar berlatarbelakangkan Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Taj Mahal dan lain-lain.

Monumen tersebut terlihat seperti bangunan sebenar walaupun saiznya mengikut skala yang lebih kecil. Taman Tamadun Islam juga merupakan taman tema pertama yang mengiktiraf senibina atau rekabentuk Islam.

Alamat: Pengkalan Tok Ku Paloh, Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu.

Masjid Kristal

Imej via [ Islam Tourism Centre ]

Tak jauh dari Taman Tamadun Islam, jangan lupa singgah di Masjid Kristal. Bangunan masjid yang diperbuat daripada kaca, kristal dan keluli sangat memukau setiap mata yang memandang. Rekabentuk dalaman masjid dihiasi dengan corak bunga manakala di pintu-pintu masuk terdapat tulisan khat yang kemas dan cantik.

Alang-alang ke masjid ini, berhentilah untuk solat kerana anda akan merasai keselesaan dan ketenangan yang berbeza. Pelbagai sudut luar juga anda boleh bergambar. Berada terapung di tengah air dengan sinaran matahari memancar telah memperlihatkan masjid berkilau.

Alamat:  Pulau Wan Man, Losong Panglima P’erang, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

Imej via [ Tempat Menarik ]

Turut dikenali sebagai masjid terapung dan Masjid Kampung Ibai, masjid ini sangat unik dan berkonsepkan moden dan ‘Moor’. Masjid yang dikelilingi air setinggi 1.5 meter ini juga menggabungkan senibina Islam dengan gabungan seni tempatan.

Masjid putih ini kelihatan sangat indah, suci dan nyaman. Gambar ootd anda akan menjadi gambar istimewa untuk dijadikan kenangan.

Alamat: 1010, Jalan Batu Buruk, 20400 Kuala Terengganu, Terengganu.

Kelip-kelip Sungai Yak Yah

Imej via [ Findbulous Travel ]

Jika anda mahukan kelainan untuk ootd, datanglah bergambar bersama kelip-kelip atau ada yang memanggilnya sebagai kunang-kunang. Anda perlu menaiki bot terlebih dahulu dari Jeti Yak Yah.

Di sini anda dapat melihat kelip-kelip berada mengerumuni pokok-pokok di sepanjang sungai yang sangat banyak. Hal ini kerana Sungai Yak Yah merupakan habitat terbesar kelip-kelip di Malaysia.

Alamat: Kampung Yak Yah, 24000 Chukai, Terengganu.

Kampung Budaya

Imej via [ Kampung Budaya ]

Terletak di Muzium Negeri Terengganu, Kampung Budaya menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan yang terdapat di seluruh pelusuk Terengganu. Sambil berootd anda juga dapat mempelajari dan menambah pengetahuan tentang warisan terdahulu.

Tiket masuk adalah RM 15 untuk dewasa manakala RM 10 untuk kanak-kanak. Jom berootd ala-ala zaman dahulu dan anda akan rasakan seolah-olah berada di kampung.

Alamat: Terengganu State Museum, Kampung Bukit Losong, 20566 Kuala Terengganu, Terengganu

Tasik Puteri Bukit Besi

Imej via [ Syafiqariffin ]

Tasik yang cukup terkenal di Terengganu ini mempunyai air yang jenih dan kehijauan. Walaupun sekadar tasik buatan, namun kelihatan sangat cantik dan bersih dikelilingi alam semulajadi.

Anda bukan saja dapat melihat, namun anda dibenarkan mandi di sini. Pasti segar. Ootd dengan latar alam memang mempersona lagi-lagi bila bergambar di air terjun.

Alamat: Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

Setiu wetland savannah

Jambatan Kayu Pulau Kerengga

Imej via [ Malaysia Blogspot ]

Sesuai untuk sesi fotografi dan ootd, memang cantik jika bergambar di jambatan kayu ini. Jambatan yang berada di Kampung Pulau Kerengga ini menghubungkan jalan darat ke kawasan pantai.

Waktu yang sesuai untuk bergambar di sini adalah waktu petang kerana anda dapat melihat panorama laut dan langit membiru serta paya yang menghijau.

Alamat: Kampung Pulau Kerengga, 21600 Marang, Terengganu.

Muzium 3D Kerteh

Imej via [ Muzium 3D Kerteh ]

Muzium ini merupakan muzium 3D terbesar di pantai timur dan pertama di Terengganu. Bergambarlah sepuas hati dengan lukisan yang kelihatan asli hasil tangan anak tempatan.

Terdapat enam galeri 3D yang berbeza yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri. Setiap lukisan memberi memori bayangan indah seperti berada di zaman dahulu kala.

Alamat: Lot 10 & 11 Bandar Baru, Jalan Kemaman – Dungun, 24300 Kerteh, Terengganu

Pulau Redang

Imej via [ Lokal Lokal ]

Pulau Redang merupakan salah satu pulau yang cukup terkenal dan menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun dari luar negara. Pulau yang cantik ini juga sering menjadi lokasi tumpuan untuk berbulan madu.

Bergambar berlatarkan laut yang membiru dan jernih pasti dapat hasil yang cantik. Nakkan kelainan? Apa kata anda cuba scuba diving atau snorkelling dan bergambar bersama terumbu karang dan hidupan marin yang lain.

Untuk ke Pulau Redang anda perlu menaiki boat sama ada di Jeti Shahbandar atau Jeti Merang. Menaiki boat dari Jeti Merang lebih cepat kerana mengambil masa selama 45 minit sahaja.

Alamat: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu, Terengganu.

Kampung Jambu Bongkok

Imej via [ Malaysia Blogspot ]

Satu lagi pantai yang sememangnya mempunyai panorama yang cantik terdapat di Kg Jambu Bongkok. Tempat ini juga sering menjadi lokasi pengambaran produksi filem.

Ootd di tepi pantai sambil ditiup angin dengan pancaran cahaya matahari pasti menghasilkan gambar yang sangat cantik. Pantai ini berlainan dengan pantai yang lain kerana terdapat boat dan rumah-rumah nelayan yang klasik.

Alamat: Kampung Jambu Bongkok, 21610 Marang, Terengganu.

Bukit Singa

Imej via [ Foursquare ]

Kalau anda tak tahu, Bukit Singa terletak di Pulau Kapas iaitu antara pulau yang terkenal dengan destinasi percutian. Oleh itu anda perlu menaiki boat dari Jeti Marang selama 15 minit ke Pulau Kapas.

Nama pun Bukit Singa, sudah pasti anda perlu mendaki untuk sampai dan melihat pemandangan menarik di sana. Trek agak mencabar namun jika tiba di Bukit Singa, hilang segala penat apabila melihat sekitar Pulau Kapas yang sangat cantik.

Alamat: Pulau Kapas, Kuala Terengganu, Terengganu.

Pulau Warisan

Imej via [ Terengganu Latest Trend ]

Pulau Warisan turut dikenali sebagai I-City Terengganu. Anda digalakkan datang pada waktu malam untuk menyaksikan panorama yang lebih menarik, penuh dengan cahaya lampu berkelipan.

Terletak di China Town dan berdekatan Pasar Payang, anda boleh melihat sungai Terengganu yang sangat luas. Nak lagi cantik ootd di jambatan kecil yang melintasi laut. Angin bertiup kuat memang sangat mendamaikan dan nyaman.

Alamat: Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu.

Kenyir Elephant Conservation Village

Imej via [ KECV.com ]

Bagi peminat gajah anda boleh ootd dengan haiwan tersebut dengan jarak dekat di Pusat Konservasi Gajah di Kenyir. Di sini anda boleh melihat telatah gajah yang jinak bersama penjaga. Memang menyeronokkan!

Kalau anda seorang yang berani, naiklah jambatan gantung dan menara tinjau. Anda dapat melihat habitat sebenar gajah sambil ootd. Lain daripada yang lain.

Alamat: Pengkalan Gawi, Sungai Telemong, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, Malaysia.

Pacific Funland

Imej via [ Funland ]

Bawa anak-anak ootd di Funland pasti mereka seronok! Sementara mereka main pelbagai permainan, anda bolehlah mengambil peluang bergambar di bawah lampu neon yang sangat cantik! Banyak sudut yang boleh anda rakamkan untuk dimuatnaik ke media sosial.

Tempat permainan ini sangat luas dan mengandungi empat zon permainan iaitu FunLand, FunGround, FunCate dan FunRide. Tengok kanak-kanak bermain pasti yang dewasa turut ingin bermain!

Alamat: Level 3, Lot 3-38, KTCC Mall Muara Selatan, 20000 Kuala Terengganu, Terengganu.

Rumah Botol

Imej via [ The Star ]

Asalnya pemilik rumah ini hanya mengutip botol di sekitar pantai yang terbuang begitu saja. Namun lama-kelamaan jumlah botol bertambah hingga memberi ilham kepadanya untuk membuat Rumah Botol.

Sehingga kini terdapat lebih 7000 botol yang terkumpul dan dihiasi di segenap rumah. Jangan ketinggalan untuk bergambar di rumah yang unik ini. Sambil bergambar sambil belajar untuk menghargai alam sekitar.

Alamat: Jln Penarik – Mangkuk, Kampung Penarik, 21010 Kuala Terengganu, Terengganu.

Banyak betul tempat ootd di Terengganu. Penuh dengan keunikan, keindahanan dan sejarah tempat-tempat tersebut. Sambil berootd anda juga dapat mempelajari sesuatu. Jom baca artikel kami yang lain tentang tempat yang boleh anda lawati di Terengganu.

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.