10 Ikan Bakar Penang (Sedap dan Menyelerakan)
Mencari port ikan bakar Penang yang sedap? Jangan risau, kami senaraikan port ikan bakar di Penang yang sedap dan mendapat pujian ramai dari pengunjung yang pernah datang ke tempat tersebut.
Ikan bakar menjadi kegemaran ramai. Tak kira di negeri mana, menu ikan bakar pasti dicari oleh ramai orang terutama untuk makan tengahhari. Pasti berselera makan ikan bakar yang dicicah dengan air asam atau sambal kicap. Makan pula bersama nasi panas dan ulam-ulaman, pasti menjilat jari.
Apa tunggu lagi? Jom pilih port ikan bakar Penang ketika percutian anda di sini.
Sham Hammer Bay Ikan Bakar
Terletak di Bayan Lepas, datanglah ke Sham Hammer Bay untuk makan ikan bakar sedap sambil menikmati pemandangan laut. Ikan dan makanan laut lain yang digunakan dalam masakan memang segar belaka.
Jika anda datang dengan kelompok yang ramai, anda boleh memilih makanan mengikut set. Namun jika anda mahukan menu berbeza, anda boleh memilih ikan atau makanan laut lain untuk dimasak pelbagai menu yang anda inginkan.
Ramai yang memuji keenakan ikan bakar yang dihidangkan bersama air asam yang padu. Bukan sahaja ikan bakar yang ada,malah pelbagai menu lain turut menjadi pilihan pengunjung. Apa kata anda cuba siakap bakar, sotong goreng tepung dan sebagainya.
Kedai ini sentiasa dipenuhi ramai pengunjung walaupun tempatnya luas. Sambil menikmati hidangan, pengunjung disajikan dengan persembahan busker secara langsung.
Waktu operasi: Setiap hari (4.00 pm-12.00 am)
Lokasi: Gerai 46 Kompleks Selera Seri Pantai SM, Lebuhraya Tun DDr Lim Chong Eu, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Abang Jit Ikan Bakar
Selain di Permatang Nibong. Abang Jit Ikan Bakar juga mempunyai cawangannya di Georgetown. Restoran ini merupakan salah satu port ikan bakar Penang terkenal dengan keenakannya di negeri ini.
Dengar kata Siakap Ikan Bakar di sini memang sedap bersama gabungan sambalnya yang padu. Tak hairanlah Abang Jit Ikan Bakar menjual sambalnya tersendiri di dalam bungkusan.
Selain ikan bakar, anda perlu cuba Telur Mayong, Kari Kepala Ikan, Shellout, Gulai Ikan Sembilang dan lain-lain. Untuk pilihan minuman, apa kata anda cuba minuman istimewa seperti Honeydew, Ais Lemon Blue dan Ais Latte.
Waktu operasi: Rabu-Isnin (4.00 pm-11.00 pm)
Lokasi: Lot 2277, Jln Permatang Nibong, Permatang Nibong, 13500 Permatang Pauh, Pulau Pinang
Gerai Ikan Bakar Adnan Hassan Telok Tempoyak
Ikan Bakar di Gerai Ikan Bakar Adnan Hassan juga tidak kurang hebatnya. Walaupun ikan bakar telah disalut sambal istimewanya, pelanggan boleh mencicah ikan bakar bersama sambal kicap atau air asam.
Tak hairanlan ikan dan makanan laut yang dimasak segar-segar kerana sumbernya adalah dari laut berdekatan. Pasti lebih berselera untuk makan kerana dapat menikmati keindahan pantai serta menu-menu yang mengiurkan.
Waktu operasi: Selasa-Ahad (5.30 pm-11.00 pm)
Lokasi: Lot 7, Jalan Teluk Tempoyak, Besar, Kampung Teluk Tempoyak Kecil, 11960 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Kak Cik Ikan Bakar
Jika kedai sebelum ini dibuka pada waktu petang, lain pula Kak Cik Ikan Bakar yang dibuka seawal 10.00 pagi. Jadi ianya sesuai untuk dijadikan lokasi ikan bakar Penang sebagai tempat untuk makan tengahhari.
Merupakan restoran yang terkemuka di Kepala Batas, banyak pilihan menu yang boleh dipilih oleh pengunjung. Masuk sahaja kedai, pengunjung boleh terus mencedok nasi, aneka gulai dan ulam-ulaman yang mereka inginkan tanpa menunggu atau membuat sebarang pesanan.
Walaupun banyak pilihan menu yang dhidangkan, namun pengunjung perlulah datang seawalnya kerana kebanyakan menu habis dengan cepat walaupun kedai ditutup sebelum pukul 4.00 petang.
Waktu operasi: Khamis – Selasa (10.00 am – 4.00 pm)
Lokasi: 1, Lorong Aman Putera 1, Taman Aman Putera, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang
Sri Anjung Ikan Bakar
Selain ikan bakar, Sri Anjung Ikan Bakar turut menawarkan makanan ala Thai, makanan laut dan masakan panas. Sumber ikan dan makanan laut semestinya segar untuk dimakan.
Menariknya ikan bakar di sini kerana dihidangkan bersama sambal dan petai. Jika anda seorang hantu petai, anda memang perlu makan di Sri Anjung Ikan Bakar.
Banyak menu sedap yang boleh anda cuba seperti udang masak petai,ketam tiga rasa, siakap stim limau, mi ketam dan banyak lagi!
Waktu operasi: Setiap hari (6.00 petang-1.00 pagi)
Lokasi: Jalan Teluk Kumbar, Kampung Teluk Kumbar, 11920 Teluk Kumbar, Pulau Pinang
Anjung Ikan Bakar Nory
Anjung Ikan Bakar Nory terletak berhadapan MARDI. Bukan sahaja dijamukan makanan yang sedap malah pengunjung dapat menikmati suasana yang mendamaikan dengan pemandangan sawah padi dan Gunung Jerai.
Aneka set ikan bakar boleh dipilih sama ada ikan siakap, bawal, jenahak dan lain-lain. Ada juga set ikan bakar petai yang membuatkan penggemar petai lebih berselera lebih-lebih lagi dimakan bersama nasi panas.
Kami cadangkan anda untuk memesan ketam salted egg, sotong buttermilk dan puyuh blackpaper. Jangan lupa untuk mencuba aneka celup tepung seperti udang, sotong, ketam, ikan dan cendawan kerana menu ini turut menjadi makanan ramai pengunjung jika ke sini. Bukan sahaja sedap, kuantiti yang dihidangkan juga banyak.
Waktu operasi: Khamis – Selasa (3.30 pm-11.00 pm)
Lokasi: Lot 906F, Jln Paya Keladi, Hujung, 13200 Kepala Batas, Penang
Ikan Bakaq Street
Ikan Bakaq Street pernah tular suatu ketika dahulu dengan keenakan menu-menu terutama ikan bakar. Sebut sahaja ikan bakar, pasti ramai orang Pulau Pinang akan mencadangkan tempat ini. Sesuai untuk dijadikan lokasi makan tengahhari atau makan malam.
Jika kebanyakan kedai ikan bakar menghidangkannya dengan taburan petai, lain pula ikan bakar di Ikan Bakaq Street. Mereka membuat sedikit kelainan kerana ikan bakar yang disediakan bersama sambal ditaburkan dengan bendi di atasnya. Dihidangkan pula di atas daun pisang, pasti lebih syahdu.
Makanan laut juga ada disediakan. Ketam, udang, tiram dan lain-lain semestinya dimasak dari bahan yang segar. Jika anda memilih menu bakar, ia akan disajikan bersama sambal istimewa IBS manakala menu rebus disediakan bersama sos khas yang padu!
Waktu operasi: Selasa – Ahad (2.00 pm-11.00 pm)
Lokasi: 18, Jalan Permatang Rawa 1, Bukit Mrtajam, Pulau Pinang
Idruss Ikan Bakar
Ikan bakar yang disalut dengan sambal dan daun pisang memang tidak dinafikan sedap dengan aromanya yang wangi. Siakap, pari dan kerang bakar antara menu laris di sini. Menu bakar di Idrus Ikan Bakar dihidangkan bersama air asam yang pekat dan mengiurkan.
Bukan itu sahaja,turut menjadi pilihan ramai pengunjung adalah shellout, udang goreng butter, sotong celup tepung dan ketam masak pedas. Dengar sahaja menu sudah membuatkan ramai yang ingin mencubanya.
Waktu operasi: Jumaat-Rabu (4.00 pm-12.00 am)
Lokasi: No. 3,Idrus Ikan Bakar , (Depan Polis Marin, Lebuh Raya Sungai Nibong, Kampung Batu Uban, 11700 Gelugor, Pulau Pinang
Bayu Shellout & Ikan Bakar
Nak makan ikan bakar dengan suasana yang nyaman dan pemandangan yang cantik? Anda boleh rasainya di Bayu Shellout & Ikan Bakar yang berada di tepi laut. Buat pengetahuan anda, kedai ini terletak di bawah jambatan kedua Pulau Pinang iaitu di Batu Maung.
Tak cukup dengan itu, pengunjung disajikan dengan persembahan secara langsung dari band yang mampu menghangatkan suasana. Kedai ini memang terkenal dan sentiasa dikunjungi ramai orang. Namun tak perlu risau kerana kawasannya luas dan boleh memuatkan 500 orang dalam satu masa.
Ikan bakar dan kerang bakar yang dihidangkan bersama air asam maktok menjadi pilihan ramai. Menu laun yang laris adalah set lobster grill, set talam western, set Shellout Bayu, dan Sotong Buncit Bayu.
Waktu Operasi: Khamis – Selasa (5.00 pm-12.30 am)
Lokasi: Batu Maung Foodies, Lilitan Batu Maung, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Restoran Pak Man Ikan Bakar
Selain menu bakar, pengunjung boleh rasai aneka masakan kampung untuk dijadikan sebagai makanan tengahhari. Ada gulai kawah batang pisang, gulai itik, keli berlado dan aneka kerabu. Pasti mengimbau kembali air tangan ibu di kampung. Selain itu, nasi ayam madu juga menjadi menu terlaris di sini.
Bukan sahaja makanannya yang enak, malah minuman juga sedap dan paling istimewa adalah air balang disediakan secara percuma untuk pengunjung.
Waktu operasi: Isnin – Sabtu (9.00 am-4.00 pm)
Lokasi: 2, Jalan Persiaran Seksyen 4/5, Bandar Putra Bertam, 13200, Kepala Batas Pulau Pinang
Kebanyakan kedai ikan bakar Penang yang disenaraikan di atas memberi keistimewaan kepada pengunjung untuk memilih saiz ikan, jenis makanan laut dan menu yang ingin dimasak. Pilihlah mengikut bajet anda dan anda perlu tahu bahawa harganya sedikit tinggi berbanding menu ala carte.
Namun masih cukup berbaloi dengan harga, kuantiti, perkhidmatan dan rasanya yang enak. Sudah buat pilihan lokasi ikan bakar Penang yang bakal dikunjungi? Diharapkan kedai tersebut dapat memenuhi citarasa anda. Selamat mencuba!
Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Penang? Kami sediakan antara tempat yang boleh anda kunjungi di negeri ini.