Terletak di Taman Warisan Negeri Selangor, Sungai Chiling merupakan sungai tercantik di Selangor. Hanya 1 jam 30 minit dari kota Kuala Lumpur, anda boleh beriadah bersama keluarga di sini.

Sungai Chiling yang berada di Kuala Kubu Bharu dijaga oleh Pusat Perikanan Daerah Hulu Selangor. Jadi anda perlu memasuki Santuari Ikan Sungai Chiling untuk melakukan sebarang aktiviti di sungai ini.

Sungai Chiling mempunyai keunikan tersendiri berbanding sungai yang lain. Tempat rekreasi ini hanya dibuka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Jom baca aktiviti yang boleh dilakukan di sungai yang cantik ini.

Berkhemah

Imej via [ Go Kelah ]

Sebelum memulakan sebarang aktiviti, pengunjung perlulah mendaftar di pondok renjer bagi memudahkan sebarang urusan. Hal ini juga bertujuan memastikan jumlah pengunjung yang masuk adalah sama dengan jumlah pengunjung yang pulang.

Sewa tapak khemah dikenakan dengan kadar yang murah namun deposit juga diperlukan. Deposit akan dipulangkan sewaktu anda selesai berkhemah jika anda membersihkan semula kawasan yang di diami.

Anda dibenarkan untuk berkhemah di tapak perkhemahan di bawah sahaja dan dilarang sama sekali untuk berkhemah di air terjun Chiling. Namun begitu, tapak perkhemahan di bawah juga sangat menarik kerana bersebelahan sungai.

Surau, tandas, tempat persalinan baju dan pondok berehat juga telah disediakan. Kawasan perkhemahan sangat luas, bersih dan selesa. Pada waktu malam, memang sangat sejuk dan ditemani pula dengan suara alam membuatkan anda dapat tidur dengan nyenyak.

Berkelah dan Barbeku

Imej via [ Go Kelah ]

Peraturan sama seperti berkhemah, anda juga hanya dibenarkan untuk barbeku di tapak perkhemahan sahaja. Tidak dibenarkan sama sekali barbeku di air terjun Sungai Chiling bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Jika anda hendak berkelah di air terjun Sungai Chiling, anda perlu membawa makanan yang sudah siap dimasak dan digalakkan membawa dalam bekas makanan. Hal ini bagi mengelakkan berlaku pencemaran.

Jika anda ingin barbeku, anda perlulah membawa peralatan memasak sendiri kerana tiada kedai di sekitar kawasan terdekat.

Jungle Trekking

Anda yang ingin melihat keindahan air terjun Sungai Chiling semestinya perlu melakukan jungle trekking dan melintasi lima sungai sebelum tiba di sana. Sepanjang trek akan ada papan tanda penunjuk arah, jadi anda tidak perlu risau jika sesat.

Sepanjang perjalanan juga anda dihidangkan dengan pemandangan yang indah penuh kehijauan pokok-pokok dan kicauan burung. Sangat menenangkan!

Imej via [ Go Kelah ]

Jika anda ingin melakukan jungle trekking, anda haruslah datang sebelum pukul 3.00 petang. Hal ini kerana, pihak renjer melarang memasuki hutan dan kawasan air terjun selepas waktu ini kerana ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke sana.

Untuk tiba ke air terjun ini mengambil masa 40 hingga 45 minit. Anda seharusnya membawa pakaian lebihan kerana perlu merentasi sungai. Pakai pakaian dan kasut yang sesuai agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan anda berasa selesa.

Mandi di Air Terjun Sungai Chiling

Imej via [ Foursquare ]

Setelah mengharungi lima sungai dan melalui jalan berliku yang penuh cabaran di sepanjang trek, anda akan menemukan air terjun yang sangat tinggi dan lawa. Anda pasti kagum dengan keindahan ciptaan Tuhan.

Rugi jika anda tidak bermandi-manda di sekitar air terjun. Jangan lepaskan peluang juga untuk terjun di tengah-tengah sungai! Segar, sejuk dan sangat memuaskan.

Rakamlah banyak foto di air terjun ini untuk dijadikan kenangan. Gambar-gambar pasti cantik kerana tempatnya yang semula jadi cantik, bersih dan menghijau.

Memberi Ikan Makan

Imej via [ Foursquare ]

Memandangkan Sungai Chiling merupakan tempat pemeliharaan ikan, sudah tentu terdapat banyak ikan di sini. Paling banyak adalah ikan kelah. Di sini dilarang untuk memancing atau menangkap ikan kerana ikan kelah merupakan spesis yang perlu dilindungi.

Memang banyak ikan kelah terdapat di Sungai Chiling. Jika anda ingin memberi ikan makan, anda boleh membeli makanan ikan di tapak perkhemahan. Berada di tengah-tengah sungai sambil dikelilingi ikan pasti memberi pengalaman baru untuk anda.

Menarikkan Sungai Chiling? Kawasan yang sangat unik, cantik dan sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Jom baca juga artikel kami tentang:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.