Pernah dengar tentang Pantai Mek Mas? Jika anda bukan penduduk Kelantan, mungkin anda tak pernah atau jarang mendengar tentang pantai ini.

Pantai Mek Mas terletak di Kota Bharu, Kelantan. Ramai yang tidak mengetahui kewujudan pantai ini kerana pantai yang popular dan hanya diketahui ramai di Kota Bharu semestinya Pantai Cahaya Bulan, Pantai Senok dan Pantai Kundur.

Pantai Mek Mas pernah tular di seluruh Malaysia suatu ketika dahulu ekoran terjadi fenomena unik dan jarang berlaku di Malaysia. Fenomena laut terbelah pernah terjadi di pantai ini pada Oktober 2021 sehingga pantai ini kembali meriah. Ramai yang mengambil peluang untuk merasai pengalaman dan merakamkan gambar berjalan di tengah-tengah beting pasir antara laut.

Jadi, apa yang sebenarnya terdapat di Pantai Mek Mas? Berbaloi atau tidak mengunjungi pantai ini? Jom teroka dan ketahui informasi penting dan fakta menarik sebelum anda merancang percutian anda untuk ke sini.

Waktu Terbaik untuk Dikunjungi

Kami mencadangkan pengunjung untuk datang ke sini bermula Mac hingga September. Elakkan datang sewaktu musim tengkujuh kerana terdapat risiko banjir dan pasir terhakis. Jika anda datang pada musim atau cuaca yang elok, pasti puas untuk menikmati persekitaran di sini dengan cuacanya yang cerah.

Keunikan Pantai Mek Mas

Keistimewaan Pantai Mek Mas adalah keadaan pantainya yang mempunyai pasir kasar berbentuk sebuah bukit. Bayangkan sahaja padang pasir yang berada di tanah Arab atau Dubai yang sering anda lihat di kaca tv dan media sosial, begitulah persekitarannya di sini. Namun keluasannya tidaklah sebesar di sana.

Pantai ini sentiasa menjadi tempat untuk sesi fotografi. Nak bergambar ala-ala di Dubai tetapi mempunyai bajet yang rendah, cukuplah bergambar di sini kerana pemandangan yang cukup memukau dan mirip di sana.

Bergambarlah sepuasnya dengan pelbagai latar istimewa iaitu bukit pasir atau gumuk, laut kebiruan yang luas dan berada mengelilingi bukit pasir serta tumbuhan menghijau. Banyak pokok rhu yang tumbuh tinggi.

Pada ketika ini, terdapat sebuah kapal laut yang terdampar di pantai ini. Mungkin ini boleh dijadikan latar unik untuk anda ootd! Tak hairanlah ramai yang ke sini untuk pengambaran bagi muzik video, fotografi perkahwinan mahupun modelling. Pemandangannya memang sukar diperolehi di tempat menarik lain yang berada di Malaysia.

Aktiviti Menarik Di Sini

Terletak di Kuala Besar, antara aktiviti lain yang boleh anda lakukan di sini selain bergambar adalah berkelah, bermain layang-layang dan melihat matahari terbenam.

Perlu diingatkan bahawa pantai ini tidak sesuai untuk dijadikan tempat bermandi-manda. Hal ini kerana ombaknya yang besar.

Aktiviti utama yang unik di Pantai Mek Mas adalah meluncur atau Sand Boarding di bukit pasir. Situasinya seakan sama seperti di Lancelin Sand Dunes, Australia. Bukan sahaja anak-anak, dewasa dan ibu bapa juga tidak melepaskan peluang untuk gelongsor di pasir ini. Tak perlu bawa apa-apa peralatan meluncur kerana peralatan ini ada disewakan dengan harga yang berpatutan di sana.

Pantai Mek Mas sebenarnya adalah perkampungan nelayan. Jika anda berpeluang, anda boleh melihat para nelayan dan menyelusuri suasana kehidupan mereka.

Tempat Makan Terdekat

Imej via [ Selera Signal ]

Jika sudah penat berada di pantai dan berasa lapar, jangan risau kerana terdapat banyak gerai jualan makanan dan warung-warung. Menariknya di sini, ada juga warung yang pernah tular dengan keenakan menu yang disediakan Selera Signal dan Warung Pak Mat Pulau Pisang.

Selera Signal terkenal dengan Maggie Telur Sotong, Maggie Telur Gedik dan aneka sup. Warung Pak Mat Pulau Pisang pula terkenal dengan menu Teh Tarik Madu, sup kepala ikan dan menu untuk makan tengahhari.

Bersebelahan Pantai Kundur, pengunjung bebas untuk datang ke sini kerana tiada sebarang bayaran dikenakan. Nak ke pantai utama yang berada di Kota Bharu iaitu Pantai Cahaya Bulan juga berdekatan.

Kesimpulannya, Pantai Mek Mas memang perlu dikunjungi jika anda ke Kelantan untuk merasai pengalaman unik, makanan enak dan buat mereka yang suka akan ootd. Bukan senang nak cari dan rasai pengalaman berada di tempat seperti ini.

Namun dalam keseronokan, ibu bapa perlulah sentiasa mengawasi anak-anak ketika berada dan bermain di pantai ini.

Rancang perjalanan anda sebaiknya bersama pasangan, keluarga atau rakan-rakan agar anda tak terlepas merasai semua keunikan di sini. Selamat bercuti!

Nak tahu tempat menarik di Kelantan yang perlu dikunjungi? Tempat-tempat ini pasti memuaskan percutian anda!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.