Apa keistimewaan Kota A Famosa hingga menjadi tempat perlu dikunjungi di Melaka? Kota A Famosa sememangnya sudah tidak asing lagi bagi orang ramai dan merupakan salah satu tempat pelancongan utama di Negeri Melaka buat pelancong dari dalam dan juga luar negara.

Lokasi Kota A Famosa ini terletak bersebelahan dengan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul di Bandar Hilir. Ianya merupakan bangunan seni bina Eropah yang tertua dan masih ada sehingga kini. 

Sungguh tidak dinafikan, Kota A Famosa telah menjadi antara tempat bersejarah yang cukup popular dan tak putus-putus orang ramai datang berkunjung hanya untuk menyaksikan sendiri keunikan seni bina Kota A Famosa ini.

Malah, Kota A Famosa ini bukan sahaja menjadi tumpuan para pelancong kerana keunikan dan keindahan seni binanya tetapi juga kerana Kota A Famosa ini memiliki sejarah yang cukup menarik.

Sejarah Kota A Famosa

Imej via [ Our Memory ]

Kota A Famosa atau dalam bahasa Portugis membawa maksud “Yang Termasyhur” telah dibina pada tahun 1511 oleh Portugis selepas mereka berjaya menawan Melaka. Masa yang diambil untuk membina Kota A Famosa ini hanya 5 bulan sahaja dan bahan yang digunakan adalah bahan dari runtuhan masjid dan juga bangunan lain.

Dengan ketebalan tembok batu setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter, bangunan Kota A Famosa ini dikatakan sangat kukuh dan membantu melindungi Portugis dari semua bentuk serangan.

Kota A Famosa yang telah dibina atas arahan Alfonso de Albuquerque ini juga sebenarnya merupakan tanda penolakan penduduk Melaka ketika itu sehingga menyebabkan portugis membina kota pertahanan tersebut setelah menguasai Bandar Melaka bagi mengelak dari orang-orang Melayu yang menyerang mereka.

Menurut sejarah, pada tahun 1641, Kota A Famosa telah diserbu oleh pihak Belanda. Akibat dari pertempuran tersebut, seramai 7000 orang telah terkorban dan pintu utama kota tersebut, Santo Domingo Gate mengalami rosak teruk. Namun, pintu tersebut telah diperbaiki oleh pihak Belanda setelah mereka berjaya menakluk kota tersebut dan pintu tersebut masih kekal sehingga kini.

Dikatakan, pada tahun 1795 pula, Melaka telah dikuasai oleh Kerajaan Inggeris dan mereka telah menghancurkan Kota A Famosa bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan. Malah, pemusnahan Kota A Famosa ini juga telah dianggap sebagai tindakan pertama Inggeris melemahkan Melaka.

Keistimewaan Kota A Famosa

Imej via [ Cetusan Minda ]

Cara Pembinaan

Antara keistimewaan yang dimiliki oleh Kota A Famosa ini adalah dari segi cara pembinaannya. Setelah Portugis menguasai Melaka, mereka menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara.

Kubu tersebut dibina bertujuan untuk menghalang orang-orang Melayu dari menyerang mereka. Ketika itu, Portugis sedang membina kubu utama yang dipanggil A’Famosa atau disebut sebagai Kubu Melaka (Fortaleza de Malacca).

Pengubahsuaian

Kota A Famosa ini sebenarnya telah diubah suai dan dibaik pulih oleh pihak Belanda setelah mereka dapat menawan Melaka. Kota tersebut telah mengalami rosak teruk akibat terjadinya pertempuran pada ketika itu.

Jika anda berkunjung ke Kota A Famosa, anda bolehlah melihat sendiri jata Belanda yang diletakkan di atas pintu gerbang yang masih kekal dengan ukiran ‘Anno 1670’. Dan hanya pintu kota itu satu-satunya tinggalan yang dapat diselamatkan dari kemusnahan kota tersebut yang terjadi pada tahun 1807.

Keunikan Seni Bina

Kota A Famosa ini juga memiliki keistimewaan dari segi keunikan seni binanya. Uniknya seni bina Kota A Famosa ini dapat dilihat dari bangunannya yang diperbuat daripada batu laterit dan batu jenis laterit ini biasanya ditemukan di pinggir pantai atau pulau-pulau di negeri Melaka.

Batu laterit ini digunakan pada zaman pemerintahan Portugis untuk pembinaan kota pertahanan milik mereka. Ciri khas yang terdapat pada batu laterit ini adalah berlubang-lubang di mana bijih timah serta aluminium yang terdapat di dalam batu laterit tersebut bertindak balas apabila terdedah kepada udara.

Oleh itu, batu laterit yang digunakan pada seni bina Kota A Famosa ini jelas menampakkan ciri unik dengan warnanya yang coklat kemerahan sekaligus memberi kesan tarikan yang luar biasa kepada para pelancong.

Secara ringkasnya, keistimewaan Kota A Famosa dapat dilihat dari segi struktur binaan, seni bina dan peninggalan sejarah yang menarik.

Kota A Famosa ini bukan sahaja tempat penuh bersejarah yang boleh anda kunjungi semata-mata untuk melihat keunikan seni binanya, namun anda boleh merasai sendiri pengalaman masuk ke dalam kubu pertahanan yang telah wujud beratus-ratus tahun dahulu. 

Secara tidak langsung, anda dapat belajar dan menambah pengetahuan mengenai sejarah yang ada di Malaysia.

Banyak lagi tempat menarik di Melaka yang boleh anda kunjungi. Tak tahu nak pergi mana? Kami senaraikan tempat menarik dan tempat makan yang perlu anda kunjungi jika ke negeri Hang Tuah ini.

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.