Perth merupakan ibu negeri Australia Barat. Perth sebagai bandar terbesar di Australia Barat. Bandar ini juga adalah penduduk kawasan bandar keempat terbesar di Australia. Memandangkan ia antara bandar besar di Negara Australia, sudah pastilah banyak tempat menarik terdapat di sini sebagai tarikan pelancong. Jom kita lihat 18 tempat menarik di Perth yang sesuai untuk anda sekeluarga lawati.

 

1) Elizabeth Quay

Elizabeth Quay

Imej via mra

Elizabeth Quay adalah sebuah destasi untuk mengisi masa lapang anda di Perth dengan aktiviti santai bersama keluarga. Banyak tarikan yang ada di sini seperti taman permainan, BHP Billiton Water Park, gerai-gerai makan dan banyak lagi. Antara aktiviti yang boleh dibuat di sini adalah menaiki Segway, feri dan gondola. Tapi, aktiviti-aktiviti memerlukan Harga Tiket tertentu. Jika anda tak nak keluarkan duit langsung pun tidak mengapa, anda boleh sahaja berjalan-jalan di sekitar sungai dan menaiki jambatan yang terdapat di sini untuk mengambil gambar kenangan bersama keluarga dengan latar belakang yang sangat cantik.

Lokasi: The Esplanade, Perth WA 6000

 

2) Kings Park

Kings Park

Imej via qantas

Tahukah anda? Kings Park merupakan taman di dalam kawasan bandar yang terbesar di dunia. Memang sesuailah dengan namanya, seperti raja bagi segala taman. Dari taman ini, anda berpeluang menikmati panorama memukau hati bandar Perth dan Swan River.

Anda juga boleh menaiki DNA Tower yang terletak di sini untuk menikmati pemandangan sekitar yang sangat mempesonakan.

Bersiar-siar di waktu petang bersama keluarga di sini sangat berbaloi. Bukan setakat dapat menjamu mata dengan keindahan flora dan fauna yang terdapat di sini, malah anda juga akan didendangkan dengan kicauan unggas yang terdapat lebih daripada 70 jenis burung yang terdapat di sini.

Lokasi: Fraser Ave, Perth WA 6005

 

3) John Forrest National Park

John Forrest National Park perth

Imej via metrotrekker

Jika di Kings Park anda berpeluang melihat keindahan Bandar Perth serta kecantikan flora dan fauna, di John Forrest National Park pula anda dapat melihat keindahan air terjun yang dikelilingi bunga-bungaan yang berkembang segar. Panorama terindah di sini dapat dilihat pada musim luruh.  Susah nak jelaskan bagaimana indahnya pemandangan pada musim ini.

Di sekitar taman ini juga anda sekeluarga boleh berkelah di meja-meja yang disediakan, kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat makan bersama haiwan comel yang menjadi ikon bagi Negara Australia iaitu kanggaru.

Lokasi: Park Rd, Hovea WA 6056

Harga Tiket: AUD 12 /Kenderaan

 

4) Araluen Botanic Park

Araluen Botanic Park

Imej via citrawidiastuti

Araluen Botanic Park ini ibarat sebuah taman yang dipenuhi bunga-bungaan berwarna-warna bukan setakat spesies flora daripada Australia, malahan dari seluruh dunia. Apa sahaja yang sesuai dengan tanah dan cuaca di sini, termasuklah bunga ros dan camellia.

Pemandangan di sini memang sangat cantik, apatah lagi bagi para wanita yang mencintai bunga. Dapat bergambar dengan berlatar belakangkan bunga-bungaan yang bermacam warna, memang buatkan anda gembira dan berpuas hati melawat Araluen Botanic Park ini.

Lebih menarik lagi, taman ini bukan dipenuhi dengan flora sahaja, malah terdapat juga beberapa jenis fauna di sini seperti pelbagai jenis burung, reptilia, kanggaru dan lain-lain lagi berkeliaran di sekitar taman.

Lokasi: 362 Croyden Road, Roleystone WA 6111

Waktu Operasi (Waktu Operasi Adalah Mengikut Musim + Dibuka Setiap Hari): 1 Ogos – 30 April (9.00 am – 6.00pm) | 1 Mei – 31 Julai (9.00am – 5.00pm)

Harga Tiket: Dewasa AUD 10 | Kanak-kanak (6 – 15 Tahun) AUD 5 | Warga Emas AUD 8

 

5) Round House

Round House

Imej via pinterest

Bangunan rumah ini dibina pada tahun 1830. Dikatakan bahawa bangunan Freemantle Round House ini merupakan yang tertua sekali di Western Australia.

Pada asalnya bangunan ini digunakan sebagai penjara bagi tahanan-tahanan penduduk asli dan penjajah sehinggalah tahun 1990. Selepas itu, ia dijadikan kuarters bagi ketua konstabel dan keluarganya.

Namun kini, ia dijadikan destinasi pelancongan sebagai penjara pertama yang dibina di Fremantle. Jika anda datang ke sini, anda boleh memasuki terowong yang terletak di bahagian bawah bangunan dan berjalan-jalan di bahagian penjara yang turut lengkap dengan foto-foto lama dan informasi berkaitan penjara di sini.

Manakala di tingkat atas pula anda boleh menikmati pemandangan indah lautan yang terletak berdekatan dengan Round House sambil menikmati bayu laut.

Lokasi: Captains Lane, Fremantle, Western Australia 6160

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.30am – 3.30pm)

Harga Tiket: Seikhlas Hati

 

6) Old Mill

Old Mill

Imej via lechicenrose

Bangunan ini mula dibina pada tahun 1835. Old Mill pada asalnya merupakan tempat pemprosesan tepung sehinggalah tahun 1859. Kilang ini kemudiannya telah banyak diubah kegunaannya dari sebuah hotel, kepada tempat tinggal dan bermacam lagi.

Namun pada tahun 1992, Old Mill ini telah dibaikpulih dan diletakkan di bawah penjagaan National Trust. Selalunya kita hanya melihat Menara dengan kincir angin yang besar hanya dalam filem atau drama orang putih, kini anda dapat melihatnya depan mata di sini.

Lokasi: Old Mill, Melville Pl, South Perth WA 6151, Australia

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (10.00am – 4.00pm) | Sabtu & Ahad (1.00pm – 4.00pm) | Cuti Umum (Tutup)

Harga Tiket: Seikhlas Hati

 

7) Avon Valley

Avon Valley

Imej via scoop

Avon Valley adalah sebuah perkampungan yang sangat cantik suasananya. Sekiranya anda ke sini pada musim bunga, anda berpeluang melihat pelbagai tumbuhan dan bunga kembang mekar mewarnai kawasan perkampungan ini. Panoramanya sangat menenangkan jiwa.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini bersama keluarga seperti menaiki belon udara panas, paragliding dan skydiving. Anda juga boleh membawa keluarga melawat galeri-galeri seni, kedai-kedai antik, muzium dan tarikan bersejarah yang banyak terdapat di sini.

Lokasi: Avon Valley

 

8) Scitech Discovery Centre

Scitech Discovery Centre

Imej via cruisebe

Scitech Discovery Centre adalah sebuah Ppusat sains di Australia yang cukup interaktif dan menyeronokkan buat kanak-kanak. Terdapat lebih daripada 160 jenis pameran yang menarik dan khas untuk kanak-kanak. Antara yang terdapat di sini adalah simulasi taufan, permainan atau eksperimen fizik dan kejuruteraan, ruang bacaan, lego, stesen buih, kereta pintar, dan lain-lain lagi.

Lokasi: Sutherland Street, West Perth, WA 6005

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 4.00pm) | Sabtu & Ahad (10.00am – 5.00pm)

Harga Tiket: Dewasa AUD 19 | Kanak-kanak AUD 12 | Kanak-kanak (Bawah 4 Tahun) Percuma

 

9) Perth Zoo

Perth Zoo

Imej via wikimedia

Perth Zoo yang berkeluasan 41 ekar ini didiami lebih daripada 1250 ekor haiwan yang terdiri daripada 164 spesies yang berbeza.

Perth Zoo terbahagi kepada 3 bahagian berbeza iaitu Australian Walkabout, African Savannah dan Asian Rainforest serta beberapa pameran mini yang melibatkan burung-burung dari selatan Amerika, kura-kura Galapalagos dan bermacam lagi.

Kalau anda datang ke sini, pastikan anda luangkan masa 3-4jam untuk meneroka setiap sudut zoo ini. Pastikan pengalaman anda di sini berbaloi dengan harga tiket yang telah anda bayar.

Lokasi: 20 Labouchere Rd, South Perth, WA 6151

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga Tiket: Dewasa AUD 31 | Kanak-kanak (4-15 Tahun) AUD 15 | Warga Emas AUD 24

 

10) Cohunu Koala Park

Cohunu Koala Park

Imej via loonthego

Selain Zoo Perth, Cohunu Koala Park juga merupakan destinasi yang sangat baik untuk bermesra dengan haiwan. Taman ini telah di buka sejak 1972. Kakitangan di sini juga sangat ramah dan anda dapat melihat banyak haiwan yang berbeza terutama sekali beruang koala.

Lokasi: Lot 103 Lo Nettleton Road, Byford WA 6122, Australia

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00am – 4.00pm)

 

11) Hillarys Boat Harbour

Harbour

Imej via farphotography

Hillarys Boat Harbour adalah lokasi tumpuan pengunjung untuk beraktiviti bersama keluarga. Di sinilah juga terletaknya The Aquarium of Western Australia (AQWA) yang menempatkan pelbagai hidupan laut yang terdapat di lautan Western Australia.

Antara tarikan lain yang terdapat di Hillarys Boat Harbour adalah penerbangan helicopter,  menaiki kapal layar atau bot, memancing, bermain gelongsor air, menyelam skuba dan banyak lagi.

Lokasi: 5/86 Southside Dr, Hillarys WA 6025

 

12) Aquarium of Western Australia

Aquarium of Western Australia

Imej via experienceperth

Aquarium of Western Australia memberikan anda pengalaman seperti menyelam di dasar lautan untuk melihat hidupan marin yang cantik.

Melalui kaca akuarium, anda dapat melihat ikan jerung, ikan pari dan banyak lagi hidupan laut yang lain dengan dekat. Terdapat lebih daripada 4000 ekor hidupan laut kesemuanya yang terdiri daripada 400 spesies yang berbeza.

Lokasi: 91 Southside Dr, Hillarys WA 6025

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

Harga Tiket: Dewasa (16 Tahun Dan Ke Atas) AUD 30 | Kanak-kanak (4-15 Tahun) AUD 18

 

13) Fremantle Markets

Fremantle Markets

Imej via jenniferteophotography

Dah bercuti jauh dari Malaysia, haruslah singgah ke tempat yang best untuk shopping. Di Perth, Fremantle Markets adalah tempat yang ideal untuk anda mencari ole-ole sesuai untuk dibawa pulang ke tanah air.

Di sini anda boleh jumpa pelbagai barangan dari barang-barang antik, hasil kayu, barangan kulit sehinggalah ke barangan basah untuk dimasak sepanjang percutian anda di Perth.

Selain membeli-belah, anda juga akan dapat merasai aura klasik pasar ini. Ini kerana, bangunan pasar ini dibina pada tahun 1897. Pada waktu itu, masih ramai orang menggunakan kereta kuda sebagai pengangkutan utama di sini.

Lokasi: Cnr Henderson Street & South Terrace, Fremantle

Waktu Operasi: Jumaat (9.00am – 8.00pm) | Sabtu & Ahad (9.00am – 6.00pm) | Isnin – Khamis (Tutup)

 

14) Midland Gate Shopping Centre

Midland Gate Shopping Centre

Imej via cmseng

Midland Gate Shopping Centre adalah salah satu daripada 3 buah pusat membeli-belah di Western Australia yang menempatkan 3 buah kedai serbaneka murah iaitu Big W, Target dan Kmart.

Selain daripada kedai-kedai yang best ni, kalau anda nak merasa tengok wayang di Australia, anda sekeluarga boleh singgah ke Ace Cinema Complex.

Nak window shopping atau membeli-belah di Perth, Midland Gate Shopping Centre adalah tempat sesuai buat anda sekeluarga.

Lokasi: 274 Great Eastern Highway, Midland 6056

 

15) Adventure World

Adventure World

Imej via adventureworld

JIka anda bercuti bersama keluarga, pastinya taman tema antara destinasi wajib untuk anda singgah terutama bagi yang ada anak kecil. Adventure World adalah satu-satunya taman tema yang boleh anda temui di Perth.

Antara tarikan yang ada di sini adalah gelongsor Tornado yang merupakan yang terpanjang dan tercuram di taman tema ini, Kahuna Falls iaitu taman permainan air yang terbesar di Australia dan banyak lagi yang mesti anda sekeluarga rasai.

Baca tarikan yang yang ada di sini pun sudah buat rasa teruja, apatah lagi jika anda sekeluraga dapat merasainya sendiri di Advanture World Perth nanti.

Lokasi: 351 Progress Dr, Bibra Lake WA 6163

Waktu Operasi: Berubah-ubah Mengikut Jadual Di Dalam Website Adventure World

Harga Tiket: (Peak Day) Dewasa AUD 59.50 | Kanak-kanak AUD 49.50 | Warga Emas AUD 20 | (Off-Peak Day) Dewasa AUD 58 | Kanak-kanak AUD 48 | Warga Emas AUD 20

 

16) The Pinnacles

The Pinnacles

Imej via aussieperthtours

The pinnacle adalah sebuah destinasi yang terletak sekitar 3 jam perjalanan dari bandar Perth. Walaupun jaraknya agak jauh, tetapi, tempat ini tetap menjadi pilihan para pelancong kerana keunikan alam semula jadi di sini. Ia adalah sebuah kawasan padang pasir yang mana terdapat banyak batuan besar yang unik untuk anda jadikan subjek atau latar belakang foto. Kalau anda bernasib baik, mungkin anda dapat bertembung dengan kanggaru yang menjadikan kawasan ini habitat mereka.

Batuan besar ini terhasil selama ribuan tahun yang menjadikan fosil-fosil cengkerang laut menjadi serpihan pasir melalui proses pereputan. Bila hujan, air akan menyebabkan kalsium karbonat yang ada pada cengkerang yang reput dalam pasir itu mengeras dan berketul. Semakin lama, semakin besar. Apabila pasir-pasir ditiup angin dan proses hujan berulang-ulang, lama-kelamaan tunggul batu itupun Nampak di permukaan setelah sekian lama terkambus dalam pasir. Begitulah fenomena kejadian batu di The Pinnacles ini.

Memandangkan ia adalah kawasan padang pasir, jadi dinasihatkan bawalah air minuman untuk hilangkan dahaga. Selain itu, pakailah cermin mata agar pasir tidsak masuk mata apabila ada angin yang bertiup.

Lokasi: Pinnacles Drive, Cervantes WA 6511

 

17) Penguin Island

Penguin Island

Imej via budgetdirect

Seperti namanya, pulau ini adalah lokasi ideal untuk anda mendekati haiwan comel bernama penguin ini. Penguin Island hanyalah 45 minit perjalanan dari Perth. Semasa perjalanan feri untuk ke Penguin Island, anda berpeluang melihat singa laut dan ikan lumba-lumba yang berkeliaran di sekitar perairan. Pasti terujakan?

Sesampai sahaja di Penguin Island, anda berpeluang pula untuk mendekati penguin-penguin yang terdpaat di pulau ini. Dah puas bermain-main dengan penguin, anda boleh menghabiskan masa di pulau ini dengan aktiviti snorkeling, berenang, berjalan-jalan untuk menikmati flora dan fauna atau bersantai sambil menikmati pemandangan di sekitar pulau yang cukup mengasyikkan.

Lokasi: 153 Arcadia Drive (Corner of Penguin Rd), Shoalwater 6169, Western Australia

Waktu Operasi Penguin Island Discovery Centre: Setiap Hari (10.00am- 3.30pm)

Harga Tiket (Penguin Island Ferry & Discovery Centre): Dewasa AUD 27 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) AUD 20 | Warga Emas AUD 24

 

18) Rottnest Island

Rottnest Island

Imej via yogawinetravel

Rottnest Island tidaklah besar mana, dan hanya memiliki populasi sekitar 100 orang sahaja. Tetapi jangan tak percaya, pelancong yang datang ke pulau ini dianggarkan sekitar 500,000 orang dalam setahun. Agak-agaknya, kenapa ramai pelancong yang datang ke pulau ini ya? Antara tujuan utamanya adalah untuk menikmati pemandangan indah yang ditawarkan di pulau ini. Sangat cantik, ibarat syurga dunia.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah snorkeling di Little Salmon Bay dan Parker Point yang kaya dengan hidupan laut, bersiar-siar menikmati keindahan flora dan fauna, menaiki rumah api Wadjemup Lighthouse untuk melihat panorama indah di sekitar pulau yang seluas pemandangan dan banyak lagi.

Pemandangan indah sewajibnya dirakam ke dalam foto mahupun video untuk kenangan dan tatapan di kemudian hari. Jadi, jangan lupa bawa kamera ke sini ya.

Lokasi: Rottnest Island, Western Australia 6161

 

Itulah dia 18 tempat menarik di Perth, Australia yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Perth. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Australia dan Tempat Menarik Di Maldives.

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.