Pasti ramai yang tak tahu tentang Pantai Redang Sekinchan. Siapa sangka di Sekinchan ada sebuah tempat rekreasi yang tersembunyi dan menarik untuk datang bersama keluarga, pasangan atau rakan-rakan.

Bagi warga kota Kuala Lumpur, lembah Klang atau yang terdekat, tak perlu mencari pantai yang jauh-jauh. Datang dan nikmati sahaja di Pantai Redang Sekinchan.

Sekinchan memang banyak tempat menarik untuk pelancongan terutama dengan suasana desa dan dikelilingi sawah padi. Tapi pasti ramai yang tak tahu tentang kewujudan pantai ini. Banyak aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini bersama yang tersayang.

Menikmati Makanan Laut

Ada yang kata Pantai Redang Sekinchan adalah syurga makanan laut yang halal di tempat pelancongan ini. Banyak gerai dan restoran yang ada di sini dengan pelbagai pilihan makanan. Pilih sahaja yang mana anda berkenan.

Dekat dengan laut, sudah pasti makanan laut yang dihidangkan segar-segar belaka. Tak sah singgah makan di tepi pantai tetapi tak merasai keenakan aneka ikan bakar dan aneka celup tepung. Pasti menambah selera!

Memancing

Buat anda yang kaki pancing, lokasi ini memang sesuai untuk anda. Banyak sudut yang boleh anda jadikan port terbaik untuk memancing pelbagai jenis ikan.

Pantai ini sering dikunjungi ramai orang untuk memancing. Seringkali diadakan pertandingan memancing juga di sini. Mana tidaknya, hasil laut di sini sangat lumayan. Anda pasti tak akan pulang dengan tangan kosong.

Berkelah

Aktiviti utama yang sering dilakukan di tepi pantai sudah pasti berkelah. Hamparkan tikar di tepi pantai dan susun makanan yang di bawa. Banyak pokok yang rendang di tepi pantai, anda bolehlah berkelah dengan nyaman.

Terlupa bawa tikar? Tak mengapa kerana di sini terdapat banyak kerusi panjang di sepanjang pantai. Ada juga buaian kayu buatan dan pondok berwarna-warni. Anda pasti teruja berada di sini kerana pondok-pondok yang ada dibuat daripada papan sepenuhnya dan didirikan persis seperti rumah pokok.

Aktiviti Pantai

Imej via [ Menarik di Central ]

Pelbagai aktiviti pantai yang menarik yang boleh anda lakukan di sini. Kanak-kanak khususnya pasti terhibur sepanjang berada di Pantai Redang, Sekinchan.

Perlu diingatkan aktiviti bermandi-manda di sini tidak digalakkan.Keadaan pantai dan laut yang berselut agak berbahaya untuk bermandi-mana. Tak mengapa, aktiviti pantai yang lain masih ada untuk memastikan anda seisi keluarga tidak bosan!

Aktiviti bermain layang-layang, bermain buih-buih sabun dan membina istana pasir pasti dapat menghiburkan hati si kecil. Bagi yang dewasa, aktiviti yang sesuai adalah bermain bola pantai atau berjalan mengambil angina di laluan khas yang disediakan.

Paling unik, anda boleh melihat kehidupan nelayan. Banyak nelayan yang tinggal di sini dan ada diantara mereka yang membina rumah di atas air. Ada banyak bot nelayan yang diletakkan dalam satu kawasan berhampiran rumah air ini.

Sebelum terlupa, ada lagi satu aktiviti menarik buat kanak-kanak iaitu pusing kawasan pantai dengan menaiki bas mini. Bas ini mirip dengan bas merah dua tingkat yang mempunyai ruangan terbuka di bahagian atas yang terdapat di London. Bayaran sekadar RM 5, namun cukup puas untuk si kecil merasai pengalaman baru dan unik ini.

Bergambar

Aktiviti utama di pantai semestinya bergambar atau Ootd! Siapa saja tak suka bergambar, lebih-lebih lagi berada di persekitaran yang mempunyai banyak sudut menarik. Bergambar di bawah sinaran matahri pasti menambah kesan pencahayaan yang baik dan hasil gambar pasti lebih mantap!

Selain bergambar berlatarkan pantai dan laut, anda juga boleh bergambar dengan latar perkampungan nelayan dan pondok rumah pokok yang berwarna-warni. Nak gambar dengan latar lebih cantik? Nikmati suasana sewaktu matahari terbenam. Sungguh mengasyikkan!

Pantai Redang Sekinchan memang berbaloi untuk dikunjungi seisi keluarga dan rakan-rakan. Jom cuba semua aktiviti yang ada supaya anda tidak bosan. Setiap pantai mempunyai keunikan tersendiri. Yang pasti, berada di pantai membuatkan anda tenang apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan sambil menghirup udara yang segar.

Berada di Selangor? Ini lokasi yang boleh anda pergi untuk memenuhi percutian terbaik anda:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.