4 Taman Burung Di Malaysia Kena Pergi
Tak banyak taman burung di Malaysia namun kesemua taman ini memang berbaloi untuk dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan.
Sesekali berada dikelilingi haiwan ini sudah pasti memberi ketenangan. Bukan sahaja pelbagai bentuk dan rupa yang menarik, malah dengar bunyi kicauan burung juga memberi kedamaian dan ketenangan.
Sesekali bercuti dan ke taman burung bukan sahaja dapat menghilangkan rasa penat bekerja, malah dapat memberi pengetahuan baru terutama tentang spesis-spesis yang ada dan keistimewaannya. Ini 4 taman burung di Malaysia yang boleh anda kunjungi!
KL Bird Park
Pasti ramai yang tahu tentang taman burung yang terletak di Kuala Lumpur. Memang cukup terkenal dan sering dikunjungi oleh pelancong tempatan mahupun luar negara. Untuk ke sini hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dari bandar raya Kuala Lumpur.
KL Bird Park ini sangat luas dengan 20.9 ekar. Oleh itu ia dibahagikan kepada 4 zon. Zon pertama dan zon kedua adalah kawasan untuk burung berterbangan bebas. Zon ketiga adalah Taman Enggang manakala zon keempat kawasan sangkar berasingan.
Menariknya di sini, anda dapat melihat lebih 3000 ekor burung yang datang dari 200 spesis seluruh negara berterbangan dengan bebas di kawasan yang menyerupai habitat asal mereka. Hal ini bertujuan memastikan burung dapat membiak secara semula jadi dalam persekitaran mereka.
Setiap hari, ada aktiviti atau pertunjukan mengikut masa-masa tertentu seperti Bird Show, Eagle Feeding, Free Flying Birds Feeding dan macam-macam lagi. Nak tahu lebih lanjut, layari laman KL Bird Park.
Alamat: KL Bird Park, 920, Jalan Cenderawasih, Perdana Botanical Gardens, 50480 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 pagi – 6.00 petang)
Harga Tiket: Dewasa (RM 35.00) | Kanak-kanak (RM 15.00) | Warga emas (RM 15.00)
Penang Bird Park
Tahukah anda Penang Bird Park adalah taman burung pertama dan terbesar di Malaysia. Taman burung yang berkeluasan 5 ekar ini mempunyai lebih 3000 ekor burung dari 300 spesis seluruh dunia. Kesemua burung ini diletakkan dalam lebih 150 sangkar untuk pemeliharaan dan pembiakan.
Taman burung ini mempunyai landskap yang mempersona. Mana tidaknya, taman ini dibina dengan konsep taman yang dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman seperti bunga raya,orkid, pokok buluh dan sebagainya.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan burung pada setiap hari iaitu pada pukul 11 pagi dan 3.30 petang. Bukan burung je yang anda boleh lihat, malah ada beberapa spesis haiwan lain seperti rusa, ikan arapaima, buaya, ular sawa dan lain-lain.
Alamat: Jalan Todak Seberang Jaya, 13700 Perai, Penang.
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 pagi – 6.00 petang)
Harga tiket: Dewasa (RM 38.00) | Kanak-kanak (RM 15.00)
Taman Burung Kulim
Walaupun dinamakan taman burung, namun terdapat pelbagai haiwan peliharaan yang lain di sini seperti arnab, kuda, rusa dan lain-lain. Haiwan eksotik lain pun ada seperti ular, bearded dragon dan rakun.
Kanak-kanak khususnya pasti seronok apabila berada di sini kerana boleh melihat haiwan-haiwan tersebut dengan dekat dan juga boleh memegangnya. Nak bagi makan pun boleh! Jangan lepaskan peluang untuk bergambar bersama haiwan-haiwan comel ini.
Alamat: 60, Jalan Tunku Bendahara, 09000 Kulim, Kedah
Waktu operasi: Selasa – Ahad (10.00 pagi – 6.00 petang)
Harga Tiket: Dewasa (RM 5) | Kanak-kanak (RM 3)
Taman Burung Labuan
Terletak di Labuan, Labuan Bird Park ini mempunyai lebih 580 ekor burung dengan pelbagai jenis dan spesis. Burung-burung ini diletakkan di dalam 3 kubah besar yang berhubung antara satu sama lain melalui empat terowong.
Santuari burung ini dipenuhi dengan pelbagai tanaman hutan hutan tropika yang menghijau. Memang kelihatan menarik, segar dan pasti memikat tiap mata yang memandang lebih-lebih lagi dipenuhi dengan bunga-bunga berwarna-warni dan pokok-pokok yang rendang.
Taman yang berkeluasan 6.9 hektar ini juga memberi peluang buat pengunjung dapat berinteraksi dengan dekat bersama burung-burung. Banyak spesis burung-burung Borneo yang mungkin anda tak pernah lihat ada di sini.
Seperti taman burung yang lain, haiwan lain pun ada seperti itik, arnab dan ikan. Anda berpeluang memberi haiwan-haiwan ini makan mengikut jadual waktunya.
Alamat: Labuan Bird Park / Taman Burung Labuan, Jalan Tanjung Kubong, 87000 Wilayah Persekutuan Labuan
Waktu operasi: Sabtu-Khamis (9.00 am – 4.30 pm)
Harga tiket: Dewasa (RM 3) | Kanak-kanak (RM 1)
Berkunjung ke taman burung bukan sahaja dapat menghiburkan jiwa, malah dapat memberi pendedahan tentang spesis, tingkah laku, habitat dan pemakanan haiwan ini. Kanak-kanak juga dapat pendedahan awal dimana sangat bagus untuk perkembangan mereka dalam dunia mengenal haiwan.
Kami juga ada menulis artikel yang lain seperti: