Pernah dengar atau pernah nampak Ruma Puteh di media sosial? Pasti anda pernah melihatnya kerana rumah yang serba putih ini sedang hangat diperkatakan lagi-lagi buat mereka yang suka akan ootd.

Jika anda ke Istana Budaya atau Taman Tasik Titiwangsa, bolehlah terus datang ke sini untuk makan sambil bergambar di Ruma Puteh kerana kedua-dua tempat menarik ini berhampiran antara satu sama lain.

Ruma Puteh adalah sebuah restoran berkonsepkan alam semula jadi, taman dan minimalist. Bukan bahagian luaran sahaja serba putih dan dipenuhi tumbuhan, malah dekorasi dalaman juga dihiasi dengan indah.

Imej via [ Ruma Puteh ]

Pada awalnya, Ruma Puteh adalah sebuah rumah yang berada di sebuah kawasan perumahan namun telah diubahsuai menjadi tempat makan yang instagrammable di Kuala Lumpur.

Masuk sahaja ke kawasan Ruma Puteh, anda akan melalui pintu gerbang berwarna-warni yang panjang. Pilih sahaja sama ada untuk makan di halaman rumah berlatarkan tumbuhan menghijau atau makan di dalam kawasan rumah yang berpendingin hawa.

Di sini anda juga boleh mengadakan pelbagai majlis seperti majlis hari jadi, majlis perkahwinan atau sambutan ulang tahun perkahwinan. Lebih-lebih lagi majlis dengan tema dalam taman, memang sesuai. Ada juga yang menjadikan Ruma Puteh sebagai lokasi untuk pengambaran atau photoshoot.

Menariknya Ruma Puteh, mereka menawarkan masakan tempatan dari setiap pelusuk negeri. Ada juga makanan barat yang pasti menambah selera anda. Aneka pencuci mulut juga anda perlu nikmati jika ke sini.

Tak tahu nak makan apa? Jangan risau, kami ada beberapa cadangan menu buat anda. Antara makanan yang patut anda cuba adalah Nasi Kerabu Puteri Saadong, Lontong Darat dan Laksa Bugis. Untuk pencuci mulut, apa kata anda cuba Puding Cendol, Ketayap French Toast dan Bandung Crème Caramel.

Minuman pula, kami mencadangkan anda untuk memesan Orange Sunrise, Velvet Lime dan Smashing Apple. Pasti tak menyesal!

Jika anda ingin makan di sini, pastikan datang seawal yang mungkin kerana kedai ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung yang datang dari segenap pelusuk negeri. Harga makanan sedikit mahal namun masih berbaloi dengan perkhidmatan, keselesaan anda dan keenakan makanan.

Namun tidak hairanlah tempat ini sentiasa penuh dengan pengunjung. Rata-rata yang datang dengan tujuan utama iaitu bergambar dengan latar yang cantik di pelbagai sudut. Bergambarlah sepuasnya di pelbagai sudut, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan.

Bagi warga kota, anda tak perlu lagi mencari tempat untuk menenangkan jiwa yang jauh. Datang sendiri ke Ruma Puteh, pasti anda akan merasai suasana mendamaikan. Lebih-lebih lagi berada dekat dengan alam.

Tengok dari gambar sudah cukup mempersona. Inikan dapat melihatnya secara berdepan, pasti anda terpukau dengan keindahan landskap Ruma Puteh. Jom ajak, pasangan, keluarga dan rakan-rakan ke sini. Jadikannya sebagai salah satu destinasi yang perlu anda datang jika anda ke Kuala Lumpur.

Alamat: 60A, Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa, 54200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu Operasi: Setiap hari (10.00 pagi-8.00 malam)

No telefon: 014-714 0993

Media Sosial: Facebook | Instagram

Berada di Kuala Lumpur? Tahu tak tempat menarik di negeri ini? Jom baca artikel kami yang lain tentang tempat di Kuala Lumpur yang mungkin anda belum tahu dan belum pernah jejak. Ini tempatnya:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.