Banyak tempat menarik di KL waktu malam yang boleh anda kunjungi. Sesuai untuk anda yang ingin meluangkan masa bersama keluarga, pasangan atau rakan-rakan. Kuala Lumpur sememangnya sangat cantik pada waktu ini kerana dihiasi lampu berwarna-warni dan meriah.

Ramai yang suka untuk keluar ke mana-mana tempat pada waktu malam. Hal ini kerana waktu malam lebih tenang dan sejuk berbanding waktu siang. Ramai juga yang suka keluar pada waktu malam untuk merehatkan dan menenangkan diri setelah penat bekerja.

Jom lihat tempat menarik di Kuala Lumpur yang boleh anda kunjungi.

Tasik Simfoni

Imej via [ Extravel Money ]

Bersebelahan Suria KLCC, terdapat sebuah tasik buatan di tengan kesibukan kota ini. Di tengah-tengah tasik terdapat dua lingkaran air pancut yang sangat cantik. Tasik ini lain daripada yang lain kerana dihiasi lampu yang beraneka warna serta mempunyai lagu.

Persembahan air pancut akan diadakan pada setiap hari. Untuk melihat pancutan air berwarna-warni diiringi muzik yang tenang, datanglah pada pukul 8.00 malam, 9.00 malam dan 10.00 malam. Manakala persembahan air pancut sahaja pada pukul 7.30 malam, 8.00 malam dan 9.30 malam.

Alang-alang berada di sekitar KLCC untuk bergambar dengan menara berkembar, rugi jika tidak datang ke Tasik Simfoni untuk melayan panorama yang sangat cantik ini.

Alamat: KLCC Park, Kuala Lumpur City Centre, 50450 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur.

Dining In The Dark

Imej via [ Tripadvisor ]

Dining In The Dark adalah sebuah restoran halal yang terletak di Changkat Bukit Bintang. Berbezanya dari restoran yang lain, restoran ini penuh keunikan kerana anda perlu makan dalam gelap.

Satu-satunya restoran yang seumpamanya di Malaysia, anda dapat menikmati setiap hidangan menggunakan pancaindera yang ada dengan penuh romantis dan mencabar. Memang sesuai jika hendak makan bersama pasangan.

Konsep restoran ini bertujuan menggalakkan pengunjung untuk meneroka aroma, tekstur dan rasa setiap bahan dalam masakan. Makanan yang dihidangkan mengikut standard halal Malaysia lengkap dengan appetizer, sup, menu utama dan pencuci mulut.

Alamat: 50A, Changkat Bukit Bintang, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tapak Urban Street Dining

Imej via [ TAPAK ]

Satu-satunya tapak urban yang meriah dengan kehadiran pengunjung untuk makan malam ini terletak di Jalan Ampang. Syurga makanan di Ampang ini dipenuhi peniaga food truck, kabin dan gerai kecil.

Banyak pilihan makanan yang semestinya sedap serta minuman yang menyegarkan. Dari makanan barat, makanan Korea, masakan kampung, masakan panas semua ada.  Hanya di satu tempat sahaja anda boleh pilih aneka makanan mengikut citarasa.

Sambil makan boleh layan busking atau dan anda sendiri berpeluang untuk menyanyi. Tapak ini dibuka setiap hari bermula dari 5.00 petang hingga 12.00 malam. Selain di Jalan Ampang, Tapak Urban Street Dining juga terdapat di Taman Melawati, Tapak Stadium KL dan Shah Alam.

Alamat: Persiaran Hampshire, off, Jalan Ampang, Hampshire Park, 50450 Kuala Lumpur.

Pasar Malam Jalan Tar

Imej via [ CARI ]

Jalan Tar lazimnya terkenal dengan syurga membeli-belah pakaian paling lejen. Namun ia juga cukup sinonim dengan kemeriahan pasar malam yang menjual pelbagai jenis makanan lazat.

Dibuka dari 5.00 petang hingga 10.00 malam, anda boleh dapatkan makanan tempatan, makanan barat, kuih muih dan sebagainya dengan harga berbaloi. Barang keperluan harian dan cenderamata juga turut ada dijual di sini dengan berpatutan.

Pasar malam ini juga adalah antara pasar malam terbesar di Kuala Lumpur dengan anggaran lebih 400 peniaga. Jika anda ingin datang ke sini menaiki kenderaan sendiri, datanglah pada hari Sabtu seawal yang mungkin kerana pada pukul 5.00 petang kawasan ini sudah mulai sesak.

Alamat: Midfields square west, Jalan 11/108c, Taman Niaga, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur.

KL Hop-On Hop-Off

Imej via [ KL Hop On Hop Off ]

Bagi anda yang malas untuk memandu dan layan kesesakan jalan tetapi mahu bersiar mengelilingi Kuala Lumpur memang sangat digalakkan menaiki bas Hop On Hop Off KL ini. Pilih seat yang berada di tingkat atas dan tidak berbumbung untuk merasakan angin malam dan melihat kecantikan kota tanpa batas.

Dengan tiket hanya RM 25 untuk dewasa manakala RM 15 untuk kanak-kanak, anda boleh bawa keluarga bersama menaiki bas ini untuk layan panorama Kuala Lumpur yang sangat cantik pada waktu malam. Perjalanan mengambil masa selama dua jam memang sangat memuaskan.

Waktu trip bermula dari 8.00 malam hingga 10.00 malam bermula dari Bukit Bintang. Memang sesuai meneroka bandar Kuala Lumpur pada waktu ini kerana sangat meriah dan dipenuhi keindahan cahaya kota.

Kampung Baru

Imej via [ The Gallery ]

Kampung Baru memang sangat terkenal dengan banyak tempat makan atau restoran yang menarik dan sangat sedap tak kira siang atau malam. Namun anda dapat lihat suasana yang lebih meriah dengan ramai pengunjung pada waktu malam.

Pelbagai jenis makanan yang anda idamkan terdapat di sekitar Kampung Baru. Pilih sahaja makanan barat, masakan thai, masakan melayu atau yang lain semua ada di sini.

Jika anda ke Kampung Baru pada hari Sabtu, bolehlah datang ke pasar malam berdekatan Stesen LRT Kampung Bharu. Memang cukup meriah bagaikan sebuah pesta.

Alamat: Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sky Deck, Menara Kuala Lumpur

Imej via [ Traveloka ]

Sky Deck merupakan salah satu tarikan yang terdapat di Menara Kuala Lumpur. Pilihan kunjungan pada waktu malam sangat digalakkan kerana anda dapat pemandangan Kuala Lumpur yang sangat cantik.

Penuh dengan kilauan lampu berwarna-warni, anda juga boleh melihat pemandangan yang sangat cantik berbeza dengan pemandangan berada di Observation Deck. Sambil melihat keindahan Kuala Lumpur di luar menara, tiupan angin sepoi-sepoi bahasa pada waktu malam sangat menenangkan.

Berada di ketinggian 300 meter dari paras bawah memang tidak terasa gayat jika anda melayan suasana yang istimewa ini. Persis berada di puncak tertinggi.

Alamat: Menara Kuala Lumpur No. 2 Jalan Punchak Off, Jalan P. Ramlee, 50250 Kuala Lumpur.

Jalan Bukit Bintang

Imej via [ Unsplash ]

Jalan Bukit Bintang juga meriah pada waktu malam dan menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara. Bukan sahaja penuh dengan tempat membeli-belah, namun juga cukup terkenal dengan aktiviti hiburan.

Bukit Bintang sinonim dengan pusat membeli-belah yang trendy dan mewah seperti Pavilion, ISETAN, Lot 10, Sephora dan pelbagai kedai berjenama yang lain. Memang puas jika hendak membeli-belah pelbagai jenama hanya di satu tempat.

Tak cukup dengan itu, kawasan ini juga terkenal dengan persembahan secara langsung oleh band atau busker tempatan. Ada juga artis yang datang membuat persembahan bersama mereka. Layan persembahan mereka di kala kepenatan membeli-belah memang mengasyikkan.

Alamat: Bukit Bintang St, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur.

Uptown Danau Kota

Imej via [ Bazaria Wangsa Maju ]

Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Lumpur jika tidak masukkan Uptown Danau Kota sebagai pilihan tempat menarik di KL waktu malam. Uptown Danau Kota juga antara tempat yang ramai dikunjungi oleh penduduk tempatan atau dari luar. Suasananya sangat meriah walaupun sudah larut malam.

Aneka pakaian, kasut tudung dan sebagainya anda boleh dapatkan dengan harga yang murah dan sangat berbaloi dengan kualitinya. Ada juga yang ke sini untuk mencari dan merasai pelbagai variasi makanan yang lazat. Ada menu western, masakan panas dan sebagainya.

Uptown Danau Kota dibuka bermula Selasa hingga Ahad dari pukul 9.00 malam hingga 3.00 pagi. Jangan lepaskan peluang datang ke sini jika anda bercuti ke Kuala Lumpur sambil menikmati kemeriahan Danau Kota.

Alamat: Jln Taman Ibu Kota, Taman Setapak Indah, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

River Of Life

Imej via [ BFM ]

Bukan sekadar sungai biasa, sungai ini telah diinovasikan dan dibaikpulih menjadi lebih cantik hingga menjadi salah satu tarikan pengunjung ke Kuala Lumpur. River of Life perlu ada dalam short list anda jika anda bercuti di sini.

Panorama River of Life sangat cantik pada waktu malam. Dihiasi dengan lampu kebiru-biruan dengan persekitaran yang nyaman dan bersih. Ramai ke sini untuk melihat keindahan sungai yang berada di tengah bandar dan tidak ketinggalan untuk bergambar.

Ada jambatan kecil yang menyeberangi atau menghubungkan dua sungai. Bergambarlah sepuasnya di tengah jambatan ini kerana anda akan dapat hasil yang menakjubkan, seolah-olah berada di alam fantasi.

Alamat: Kuala Lumpur City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur.

Sangat cantik dan meriah tempat menarik di KL waktu malam. Memang rugi percutian anda ke Kuala Lumpur jika tidak mengunjungi tempat-tempat tersebut. Tak perlu ke luar negara, negara sendiri sudah cukup istimewa jika anda terokai dan manfaat apa yang disediakan.

Apa kata anda rujuk aktiviti menarik di Menara Kuala Lumpur dan tempat lepak yang best di sini, mudah untuk rancang percutian anda di KL.

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.