Ipoh merupakan Ibu Negeri Perak. Terdapat banyak tempat menarik di Ipoh yang menawarkan hiburan buat anda sekeluarga malah turut menyajikan keindahan alam semula jadi buat anda yang ingin mencari ketenangan serta kesegaran udara serta panorama yang penuh kehijauan. Jom kita lihat 15 tempat menarik di Ipoh yang sesuai dilawati buat anda sekeluarga.

 

1) Muzium Darul Ridzuan

Muzium Darul Ridzuan

Imej via wanderlustdj

Bangunan Muzium Darul Ridzuan ini sudah berusia lebih 100 tahun. Seni bina bangunan ini dipengaruhi oleh seni bina Inggeris. Ia dibina pada 1926 oleh seorang pelombong bijih timah yang berjaya, Foo Choong Kit. Pada awalnya, bangunan ini merupakan kediaman Foo Choong Kit, tetapi pada tahun 1950, ia telah dijual kepada Kerajaan Perak dan digunakan sebagai pejabat Jabatan Kerja Raya. Manakala pada tahun 1992, bangunan ini akhirnya dijadikan sebagai muzium.

Di Muzium Darul Ridzuan ini anda dapat mengenali sejarah Negeri Perak dengan lebih terperinci. Bagaimana dan siapa yang terlibat dalam pentadbiran Perak semasa zaman penjajahan British juga turut dipamerkan di muzium ini.

 

Lokasi: Muzium Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.30pagi – 5.00petang) | Jumaat (9.30pagi – 12.15petang & 2.45petang – 5.00petang) | Hari Raya Puasa & Hari Raya Haji (Tutup)

Harga Tiket: Percuma

 

2) Masjid Sultan Idris Shah II

Masjid Sultan Idris Shah II

Imej via flickr

Masjid ini merupakan Masjid Negeri bagi Perak. Pada awalnya masjid ini memang dikenali sebagai Masjid Negeri, tetapi pada tahun 1984 nama masjid ini telah ditukar kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.

Alang-alang sampai ke Ipoh, haruslah singgah untuk solat di masjid negerinya, kerana setiap negeri mempunyai masjid negeri tersendiri yang menjadi salah satu ikonik bagi setiap negeri.

 

Lokasi: Masjid Sultan Idris II, Jalan Sultan Iskandar, 30000 Ipoh

 

3) Lost World of Tambun

Lost World of Tambun

Imej via klook

Taman tema Lost World of Tambun antara tempat yang popular di Ipoh. Ia merupakan sebuah taman tema yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu dry park dan wet park. Di dry park, terdapat roller coaster, rumah hantu dan juga permainan yang sesuai untuk kanak-kanak. Di samping itu, anda boleh melawat Petting Zoo yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti arnab, rakun, ular, zirafah, harimau dan bermacam lagi. Terdapat juga aktiviti-aktiviti lasak seperti berakit, merentas hutan, meneroka gua, mendaki gunung dan banyak lagi.

Di wet park pula terdapat Jungle Wave Pool yang memiliki kolam berombak yang terbesar di Malaysia, Adventure River pula adalah di mana anda dapat mengelilingi sungai buatan yang agak panjang dengan menaiki pelampung. Aktiviti-aktiviti lain di wet park ini adalah seperti Sandy Bay, Kids Explorabay, Cliff Racer dan Tube Raiders. Bawalah anak-anak anda ke sini. Pasti mereka seronok bermandi-mandi di Lost World of Tambun.

 

Lokasi: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat kecuali Selasa (11.00pagi – 6.00petang) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah & Cuti Umum (10.00pagi – 6.00petang) | Selasa Kecuali Cuti Sekolah/Cuti Umum (Tutup)

Harga Tiket: Dewasa RM65 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM60.50 (Harga belian online)

 

4) Fantasy House Trick Art

Fantasy House Trick Art

Imej via discoveryperak

Galeri gambar pelbagai dimensi ini sudah ada di kebanyakan tempat tumpuan pelancong, begitu juga di Ipoh. Namun, setiap galeri ini ada keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Fantasy House Trick Art ini dibuka pada tahun 2015. Proses menyiapkan semua lukisan di sini memakan masa sekitar empat bulan. Terdapat lapan orang pelukis yang terlibat dalam projek ini.

Fantasy House Trick Art memiliki empat bahagian yang berbeza antara satu sama lain dari segi tema mereka. Pertama adalah galeri yang memaparkan bandaraya Ipoh, yang kedua adalah bahagian rumah terbalik ataupun upside-down house, yang ketiga adalah dunia fantasi dan yang terakhir sekali bertemakan Bilik Penderaan.

Seperti biasalah, jika anda ke tempat seperti ini, bateri telefon pintar harus maksimum supaya anda boleh mengambil gambar sepuas-puasnya di sini. Lepas tu, bolehlah muat naik gambar anda beraksi dengan lukisan-lukisan itu di media sosial.

 

Lokasi: Funtasy House Trick Art 16, Jalan Market, 30000 Ipoh

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00pagi – 6.00petang) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (9.00pagi – 8.00petang)

Harga Tiket: Dewasa RM15 | Kanak-Kanak, Pelajar, Warga Emas RM10 | OKU, Kanak-Kanak Bawah 4 Tahun Percuma

 

5) Miniature Wonders Art Gallery Ipoh

Miniature Wonders Art Gallery Ipoh

Imej via wonderfoodtravel

Inilah dia tempat yang jarang-jarang dijumpai di tempat lain. Jadi, bila anda ke Ipoh, jangan lepas peluang untuk singgah ke Miniature Wonders Art Gallery. Di sini, anda akan diperlihatkan suasana yang kelihatan agak realistik tentang kehidupan zaman-zaman dinasti di negara China.

Galeri sebanyak 2 tingkat mempamerkan diorama-diorama yang pasti akan memukau sesiapa sahaja yang melihat memandangkan. Ini kerana hasil seninya terlalu sempurna dan teliti. Ekspresi wajah antara patung-patung di dalam setting yang juga diatur dengan sempurna.

Nak teliti semua miniature ini memang rasa tak cukup masa. Oleh sebab itu pemilik galeri ini bermurah hati menggalakkan pengunjung untuk mengambil gambar/video supaya boleh lihat semula segala ciptaan seni yang dipamerkan di galeri ini.

 

Lokasi: 49, Jalan Market, Ipoh, Perak

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30pagi – 6.00petang)

Harga Tiket: Percuma Tapi Untuk Ke Tingkat Atas Memerlukan Bayaran RM5

 

6) Bulatan Amanjaya

Bulatan Amanjaya

Imej via tripifyapp

Tahukah Anda? Bulatan Amanjaya adalah bulatan yang terbesar di negeri Perak dengan keluasan 7.3 hektar. Kebiasaannya bulatan atau dataran seperti ini memang sangat meriah dengan pelbagai aktiviti apatah lagi pada waktu malam.

Bulatan Amanjaya bukanlah sebuah tempat bersantai biasa sebab di sini terdapat kolam permainan air untuk kanak-kanak, gelanggang luncur untuk sesiapa yang nak bermain skateboard, khidmat sewaan basikal, kereta elektrik, kasut roda dan sebagainya. Anda tidak perlu terlalu risau tentang keselamatan anak anda di ruang terbuka sebegini. Ini kerana, kawasan ni dipantau oleh beberapa pengawal keselamatan serta kamera CCTV.

 

Lokasi: 30200, Bandar Meru Raya, 31200 Ipoh, Perak

 

7) Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam

Taman Rekreasi Dr. Seenivasagam

Imej via foojhiyeephotography

Taman rekreasi ini juga turut dikenali dengan nama Taman D.R. dan Coronation Park. Ia merupakan taman tertua di Ipoh. Ia telah dibuka sejak tahun 1950-an lagi. Apabila anda menjejakkan kaki ke taman ini anda akan dapat melihat tasik buatan yang di dalamnya terdapat beberapa spesies ikan yang berbeza.

Di samping itu, terdapat taman permainan kanak-kanak yang agak luas, tumbuhan-tumbuhan, tempat bermain roller skate serta arca-arca batuan. Anda boleh berehat-rehat di pondok-pondok yang disediakan sambil menikmati pemandangan.

Di sini juha terdpaat sebuah Taman Mini Jepun yang berkeluasan 1.2 hektar. Taman mini ini telah direka bentuk oleh pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh. Dalam penyediaan pelan taman ini, pegawai lanskap ini turut mendapatkan bantuan kepakaran daripada Majlis Bandaraya Fukuoka, Jepun.

Taman ini telah dirasmikan dan dibuka pada 30 Jun 1995 oleh Datuk Bandar Ipoh pada masa itu, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama bekas Datuk Bandar, Dato Haji Umar Haji Abu dan bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe.

Sangat berbaloi anda luangkan masa bersama keluarga di taman ini. Panorama indah di sini memberikan ketenangan kepada anda. Anak-anak juga boleh bermain-main di taman ini dengan girang hati.

 

Lokasi: Jalan Keliling Dalam, 30300 Ipoh

 

8) Taman Rekreasi Gunung Lang

Taman Rekreasi Gunung Lang

Imej via ikhlas-atilia

Keindahan taman rekreasi memang tidak dapat disangkal lagi kerana ia dikelilingi oleh hutan alam semulajad. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah bukit batu kapur.

Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang.

 

Lokasi: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00pagi – 12.00tengah hari/1.30petang – 7.00petang) | Jumaat (8.00pagi – 12.00tengah hari/2.45petang – 4.00petang) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (8.00pagi – 6.30petang)

Bayaran Bot: Dewasa RM3 | Kanak-kanak 3 – 12 tahun RM1.50 | Warga emas 55 tahun ke atas RM1.50

 

9) Ipoh Railway Station

Ipoh Railway Station

Imej via klezcar

Tahukah anda? Bangunan Stesen Kereta api ini mendapat julukan nama Taj Mahal Ipoh kerana ia direka bentuk oleh seorang arkitek British bernama AB Hubback yang juga merupakan arkitek bagi Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Rekabentuk bangunan ini tidak diubah sama sekali sehingga ke hari ini, yang dilakukan hanyalah pengubahsuaian dalaman bangunan ini pada tahun 1993.

Stesen keretapi ini sangat indah bukan hanya kerana seni binanya, malahan, ia dikelilingi oleh tumbuhan bunga-bungaan tempatan yang berwarna-warni. Kecantikan lokasi ini telah menarik perhatian Hollywood untuk merakamkan filem Anna and the King lakonan Jodie Foster di sini. Untuk penginapan pula, Majestic Hotel turut berkongsi bangunan dengan stesen keretapi ini.

 

Lokasi: Ipoh Railway Station, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, 30000 Ipoh

 

10) Kellie’s Castle

Kellie’s Castle

Imej via kuaby

Kellie’s Castle antara bangunan yang popular di Ipoh. Kellie’s Castle adalah sebuah istana tinggal yang walaupun hanya separa siap. Walaupun separuh sahaja yang siap, sudah unik dan cantik binaannya. Bayangkan kalau istana ini siap dibina sepenuhnya, pasti lebih tersergam indah.

Bangunan istana ini mula dibina pada tahun 1910 dengan reka bentuk istana daripada India.

Antara tarikan istana ini adalah kewujudan lorong-lorong bawah tanah, malah ada juga yang mengatakan istana ini sepatutnya menjadi bangunan pertama di tanah air yang lengkap dengan lif.

Sekiranya anda melawat istana ini, anda dapat melihat bilik-bilik tidur anak-anak Smith, ruang meletak wine, ruangan laluan lif dan lain-lain. Namun begitu, jangan terkejut jika anda ada terdengar kisah-kisah mistik tentang istana ini. Sejauh mana kesahihan cerita mistik yang sering tular tentang istana ini masih menjadi tanda tanya.

 

Lokasi: 31000 Batu Gajah, Perak

Waktu Operasi: 9.00 am – 6.00 pm

Harga Tiket: Dewasa RM5

 

11) Pasar Karat Ipoh

Pasar Karat Ipoh

Imej via chequesuechekgu

Pasar Karat Ipoh adalah salah satu tempat rare yang anda jumpa di Ipoh. Nama lain untuk pasar ini ialah Loken. Apa yang menariknya di sini adalah terdapat terlalu banyak barangan antik yang dijual, rambang mata dibuatnya. Semakin lama anda berjalan sekitar pasar ini, semakin susah untuk anda membuat pilihan.

Contoh barangan yang dijual adalah gramofon, radio lama, cermin mata klasik, basikal vintaj yang turut beserta dengan geran dan lain-lain lagi. Pasar ini boleh dianggap sebagai syurga bagi pengumpul barangan antik.

Namun, jika anda bukan seorang pengumpul barang antic sekalipun, anda tetap boleh berjalan sepanjang pasar ini untuk cuci-cuci mata melihat barangan antic yang sudah jarang dijumpai. Bila anda sudah penat berjalan-jalan, jangan risau kerana terdapat banyak gerai makanan yang boleh anda singgahi untuk membasahkan tekak dan mengisi perut yang lapar.

 

Lokasi: Jalan Horley (Gerbang Memory Lane)

Waktu Operasi: Ahad (7.00pagi– 1.00petang)

 

12) Movie Animation Art Studio (MAPS)

Movie Animation Art Studio (MAPS)

Imej via klook

Melihat pada namanya sahaja, anda pasti boleh mengagak taman tema ini berkonsepkan watak-watak animasi yang popular dalam & luar negara. Kalau anak-anak anda suka melihat kartun animasi Upin Ipin atau BoiBoiBoi, destinasi ini pasti membuatkan mereka senyum gembira kerana banyak aktiviti menarik yang berkaitan watak kartun tersebut boleh dilihat & dilakukan.

MAPS terbahagi kepada 6 zon dengan tema yang berbeza-beza, 25 tarikan interaktif dan 15 rides yang luar biasa seronok untuk dinaiki. Anntara tarikan yang ada kat sini adalah BoBoiBoy 4D Adventure Theatre, The Smurf Theater, Space X-Plorers, Hyperspin, Space Face, Coral Kingdom dan banyak lagi. 6 Zon Tema yang ada kat sini adalah seperti Animation Square Zone, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone.

Walaupun harga tiket MAPS Ipoh ini agak mahal, tetapi dengan tarikan taman tema yang hebat bertaraf dunia. Jika nak dibandingkan kos anda ke untuk ke Universal Studio di Singapura atau Disneyland di Hong Kong, pastilah MAPS Ipoh berkali-kali lebih murah belanjanya.

 

Lokasi: 3, Persiaran Meru Raya, 31200 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00pagi – 6.00petang) | Sabtu & Ahad (10.00pagi – 10.00malam)

*Tutup Pada Setiap Rabu, Kecuali Cuti Umum & Cuti Sekolah

Harga Tiket: Dewasa RM72 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM63 (Belian secara online)

 

13) Kinta Riverfront

Kinta Riverfront

Imej via lookeastmagazine

Kinta Riverfront ialah satu destinasi yang agak menarik untuk dilawati pada waktu malam kerana terdapat cahaya lampu LED yang dipasang pada pokok-pokok di sepanjang laluan sungai Kinta ini. Lampu-lampu berwarna-warni yang menerangi kawasan ini memberikan suasana yang agak romantik dan mengujakan. Ia memang lokasi yang sempurna untuk anda sekeluarga bersantai-santai di waktu malam.

 

Lokasi: Jalan Lim Bo Seng, 30000 Ipoh

 

14) Muzium Geologi Ipoh

Muzium Geologi Ipoh

Imej via mdfaiez84

Muzium Geologi Ipoh ini ditubuhkan pada tahun 1957. Ia merupakan tempat yang penting untuk memberi didikan kepada masyarakat tentang geologi dan geosains di Malaysia.

Muzium ini terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu dari A sehingga G. Anda akan mempelajari struktur geologi dan sejarah bumi serta bagaimana perlombongan mineral dilakukan.

Di sini juga anda dapat melihat pameran pelbagai koleksi yang unik melibatkan batuan, batu permata, fosil dan mineral yang turut didatangkan dari luar negara. Malah anda juga dapat melihat pameran sampel-sampel bijih timah yang boleh ditemui di Lembah Kinta.

Perjalanan anda di muzium ini akan ditutup dengan penceritaan tentang sumbangan geologi kepada manusia. Mungkin bagi orang dewasa yang tidak bekerja atau belajar dalam bidang geologi merasakan ilmu yang dipamerkan di sini agak janggal. Tetapi, percayalah bahawa anak-anak yang bersekolah pasti suka kerana mereka belajar ilmu baru dan sebahagiannya boleh dikaitkan dengan subjek Geografi yang diajar di sekolah menengah.

 

Lokasi: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (9.00pagi – 12.30tengah hari & 2.00petang – 4.30petang) | Jumaat (9.00pagi – 12.00tengah hari & 3.00petang – 4.30petang) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (Tutup)

Harga Tiket: Percuma

 

15) Hutan Simpan Kledang Saiong

Hutan Simpan Kledang Saiong

Imej via muinsapidin

Taman Rimba Kledang Saiong yang berkeluasan 2,188 hektar ini merupakan sebuah tarikan alam semula jadi yang terletak di Meru, Ipoh. Tarikan utama di dalam Taman Rimba ini adalah Taman Nepenthes ataupun taman periuk kera yang menempatkan lebih daripada 70 jenis periuk kera yang berbeza termasuklah 15 spesies periuk kera hibrid.

Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan selain melawat taman periuk kera ini adalah bersantai di ruang lepak yang turut dilengkapi dengan kemudahan BBQ, sekadar merehatkan diri sambil menghirup udara segar dari gazebo indah yang disediakan, ataupun berkhemah. Namun begitu, untuk berkhemah, anda perlu mendapatkan keizinan daripada Pejabat Hutan Daerah dulu.

Antara tarikan lain yang terdapat di sini adalah Lata Ulu Chepor. Lata Ulu Chepor menawarkan air sungai yang tidak begitu dalam dan sesuai untuk dijadikan tempat bermandi-manda seisi keluarga.

 

Lokasi: Persiaran Meru Utama, Negeri Perak

Waktu Operasi: 6.00pagi – 7.00petang

 

Itulah dia 15 tempat menarik di Ipoh yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Ipoh. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Taiping dan Tempat Menarik Di Pulau Pangkor.

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.