River & Glamp: Apa Yang Menarik Di Sini?
Apa yang menarik di River & Glamp? Berbaloikah untuk percutian merehatkan minda dan fizikal? Apa yang boleh dilakukan di sini? Jangan risau, semua yang berlayar di minda anda berkaitan River & Glamp akan terjawab.
River & Glamp terletak di Ulu Yam, Selangor. Ia adalah sebuah tempat rekreasi dan penginapan yang dikelilingi alam semulajadi. Pasti ramai yang mengetahui kewujudan tempat menarik ini lebih-lebih lagi buat mereka yang suka berkhemah dan cinta akan alam. Tempat ini juga pernah tular dengan keindahan alam dan perkhidmatan yang best!
River & Glamp adalah sebuah tempat percutian yang jauh dari kesibukan kota dan mampu memberikan ketenangan. Nak bercuti bersama keluarga atau rakan, teambuilding atau sebarang kem memang sesuai diadakan di sini.
Jika anda mahu berkhemah tetapi tiada kelengkapan berkhemah atau malas mahu siapkan peralatannya, penginapan secara glamping ini sangatlah sesuai untuk anda! Lagi-lagi mereka yang mahu membawa anak-anak merasai pengalaman berkhemah.
Anda hanya perlu membawa diri dan menikmati suasana lengkap berkhemah tanpa bersusah-payah membawa banyak peralatan dan mengambil masa yang lama untuk siapkannya. Ini semua anda boleh rasakan di River & Glamp.
Buat anda yang baru pertama kali ingin datang ke sini, anda memang perlu baca artikel ini sehingga habis kerana kami akan kongsikan maklumat yang anda perlu tahu sebelum membuat tempahan!
Penginapan
Terletak kira-kira 20 minit dari Batu Caves, River & Glamp menyediakan penginapan trend terkini iaitu glamping. Khemah yang berada berhampiran sungai pasti membuatkan penginap tidur dengan nyaman ditemani deruan air sungai.
Setiap penginapan telah disediakan dengan pelbagai kemudahan termasuk tilam, bantal, selimut quilt, tuala, plug point, kipas dan portable air-cond. Setiap khemah juga mempunyai tandas khas dan penginap tidak perlu berkongsi dengan penginap yang lain.
Tak cukup dengan itu, pihak resort membekalkan pelbagai keperluan lain seperti pinggan, cawan, sudu, cerek, sinki, tempat makan serta ruang berehat dan penyidai baju. Lengkap seperti menginap di sebuah homestay.
Harga penginapan adalah mengikut pakej bermula untuk 2 pax serendah RM 249 seorang sehingga 5 pax dengan harga RM 99 seorang. Harga penginapan akan meningkat pada cuti umum, cuti sekolah dan cuti hujung minggu.
Lagi ramai anda datang, lagi rendah harga yang anda akan peroleh. Menariknya setiap pakej termasuk penginapan dan tiga kali makan iaitu makan malam, sarapan dan makan tengahhari. Jika anda mahu memasak, peralatan memasak dan barbeku juga disediakan. Memang berbaloi dengan pakej dan servis yang diberi.
Selain khemah glamping, pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di chalet. Terdapat dua pilihan chalet dengan harga berbeza iaitu chalet dengan pemandangan sungai yang memuatkan dua hingga tiga orang serta chalet untuk lima orang. Semua kemudahan bilik hampur sama seperti glamping.
Pengunjung akan menikmati percutian dengan lebih privasi memandangkan hanya penginap sahaja yang dibenarkan masuk dalam kawasan resort.
Kemudahan dan Perkhidmatan
River & Glamp memang mesra muslim kerana mereka menyediakan surau yang cantik dan selesa. Ada juga tandas awam dan mini gazebo untuk penginap bersantai.
Bukan itu sahaja, kawasan parkir luas dan berdekatan dengan tapak glamping. Jadi penginap boleh mengangkut barang dengan mudah ke tempat penginapan. Buat pengunjung yang mahu lakukan aktiviti campfire, ada tempat khas untuk anda lakukan aktiviti ini dengan riang bersama rakan-rakan atau keluarga.
Sekiranya ada pengunjung yang kesini untuk menyambut harijadi, ulangtahun perkahwinan, reunion, hari keluarga atau sebagainya, perkhidmatan event planner ada disediakan oleh pihak River & Glamp. Servis memang tiptop kerana mereka akan menyediakan kesemuanya mengikut citarasa anda.
Aktiviti Menarik
Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini. Ada aktiviti santai dan ada juga yang lasak. Jika anda datang dalam kelompok yang ramai, ianya memang sesuai kerana boleh memilih aktiviti yang dikehendaki.
Sekiranya anda ingin bercuti dengan santai, aktiviti yang sesuai adalah mandi sungai, berkelah di tepi sungai, berbasikal, bermain board games, nature walk dan sebagainya. Bagi kanak-kanak, aktiviti membina istana pasir di tepi sungai pasti menyeronokkan bagi mereka.
Namun jika anda seorang yang lasak dan suka akan cabaran, jangan lepaskan peluang untuk berkayak, river tubing, menunggang ATV dan memanah. Segala peralatan permainan lengkap disediakan dan anda boleh menyewanya dengan pihak resort.
Tempat Menarik Berdekatan
Pengunjung yang datang dari luar negeri semestinya mencari tempat menarik yang berada berdekatan di sini. Bukan apa, sesekali bercuti pasti mahu melawati pelbagai tempat menarik yang lain.
Kira-kira 20 minit dari River & Glamp, anda boleh menuju ke 99 Wonderland Park yang menawarkan lima taman tema hanya disebuah tempat. 99 Dinasour Park, 99 Panda Street, 99 Wild Island, 99 Zoo Lights dan 99 LED Eiffel Tower mempunyai tarikan tersendiri. Datanglah pada waktu malam untuk nikmati pemandangan yang lebih menarik.
Selain itu, di Batu Caves terdapat satu kedai makan yang unik tetapi menyeramkan iaitu Char Kuey Teow Hantu. Terletak 10 minit dari River & Glamp, ajak rakan-rakan dan uji keberanian mereka untuk makan di sini. Makan char kuey teow yang sedap sambil ditemani pocong, pontianak, kuntilanak dan hantu-hantu lain pasti membuatkan ramai yang seram sejuk.
Nature lover pasti menyukai tempat-tempat seperti Gua Damai Extreme Park, Muzium Orang Asli, Taman Rimba Komanwel, Hutan Rimba Templer dan Hutan Lipur Kanching.
Cara Membuat Tempahan
Untuk membuat sebarang tempahan, anda perlu semak kekosongan tarikh penginapan yang anda inginkan di Facebook RIVER & GLAMP. Pihak resort sentiasa mengemaskini tarikh kekosongan di Facebook mereka agar pengunjung mudah untuk membuat pilihan tarikh menginap.
Tempahan yang dibuat perlu disertakan dengan bayaran deposit keselamatan sebanyak RM 50 dan diserahkan sewaktu pendaftaran.
Facebook: River & Glamp
Instagram: River & Glamp
Website: River and Glamp
No Telefon: 017-402 3966
Sesekali bercuti dikelilingi alam flora dan fauna serta dapat mendengar suara alam, pasti menenangkan minda dan fizikal. Setelah penat bekerja, kembalilah pada alam yang sememangnya memberi ketenangan yang sukar diperolehi di tempat lain.
Datanglah ke River & Glamp untuk merasai pengalaman tersebut. Buat para campers, anda pasti menggemari tempat ini dan pasti akan datang lagi dengan perkhidmatan menarik ditawarkan. Tunggu apa lagi? Jom rancang percutian anda ke sini!
Lokasi: NUR LAMAN BESTARI ECO RESORT, Jalan Sungai Tua, Kampung Batang Batu, 68100 Batu Caves, Selangor.
Suka akan alam sekitar? Kami sediakan tempat bertemakan alam untuk anda mencari ketenangan di sekitar Selangor!