Kuala Pilah yang terletak di Negeri Sembilan ini dikenali ramai bahkan seluruh penduduk Malaysia tahu tentang Bandar Kuala Pilah yang dimaksudkan ini.  Kuala Pilah merupakan salah satu daerah di Negeri Sembilan yang cukup terkenal dengan penduduknya yang amat peramah. Bandar Kuala Pilah ini berkeluasan 1090 kilometer persegi dengan populasi penduduknya yang lebih daripada 64100 orang mengikut bancian pada tahun 2010.

tempat menarik di Kuala Pilah

Imej via [mysinchew]

Tahukah anda Kuala Pilah terkenal sebagai salah satu bandar yang sering menjadi tarikan pusat pelancongan bagi kebudayaan serta seni warisan adat di Negeri Sembilan? Semua sudah tahu bahawa rata-rata masyarakat di sini mengamalkan Adat Perpatih. Adat Perpatih ini juga merupakan keunikan Negeri Sembilan di mana Adat Perpatih ini berkonsepkan segala harta pusaka nenek moyang mereka akan di warisi oleh anak perempuan manakala dilindungi oleh anak lelaki, ketua suku dan raja mereka. Wah, tak cukup dengan itu, kata-kata pegangan masyarakat mereka pula adalah ‘biar mati anak, jangan mati adat’ yang bermaksud adat resam nenek moyang hendaklah dijaga sampai bila-bila.

Kuala Pilah juga dikenali dengan gelaran ‘Bandar Diraja’ di Negeri Sembilan serta mempunyai banyak tempat istirehat atau rekreasi yang menarik yang sesuai dilawati oleh semua lapisan masyarakat. Jom kita ketahui antara tempat-tempat menarik di Kuala Pilah yang bakal membuatkan anda ingin ke sana.

1.  Bandar Diraja Seri Menanti

tempat menarik di Kuala Pilah

Imej via [OrangNogori]

Bandar Diraja Seri Menanti yang telah dibina pada tahun 1902 ini pada asalnya digunakan oleh Raja pada zaman dahulu sebagai sebuah tempat singgahsana serta menjadi tempat rehat (rumah rehat) bagi tetamu untuk tujuan rasmi seperti para pembesar, sultan serta raja yang datang ke Istana Seri Menanti ini. Selepas era kedatangan Kerajaan British di Seri Menanti, banyak perubahan yang telah berlaku. Antaranya adalah mereka telah memperkenalkan sistem jalan yang baik sekitar bandar, tandas yang lebih bersih, ruang yang lebih luas serta lebih moden.

Tahukah anda, terdapat pelbagai versi tentang asal usul Seri Menanti yang telah diketengahkan. Yang pertama adalah pada zaman dahulu terdapat seorang wanita yang bernama Seri yang sudah lama menanti kepulangan suaminya yang merantau. Daripada peristiwa itu, masyarakat disitu telah menamakan tempat itu dengan nama Seri Menanti.

Peristiwa yang kedua pula adalah kedatangan orang-orang Minangkabau ke sini menyebabkan mereka telah menemui tiga rumpun padi Meranti yang dipercayai dijumpa ketika bercucuk tanam. Seorang pawang pada masa itu iaitu Dato’ Putih telah menamakannya sebagai Seri Menanti. Mengikut dialek minangkabau terdahulu, seri bermaksud padi. Ada juga mengatakan nama Seri Meranti diambil sempena nama anak sungai di kawasan Kuala Pilah ini. Walau dari mana pun asalnya nama Bandar Diraja Seri Meranti, ia merupakan salah satu seni bina yang unik kerana tidak menggunakan paku. Hebat kan?

2. Tugu Lister

tempat menarik di Kuala Pilah

Imej via [OrangNogori]

Selain keunikan seni bina Bandar Diraja Seri Menanti, terdapat satu lagi tempat menarik di Kuala Pilah yang meninggalkan memori sejarah yang kuat semasa era pemerintahan Martin Lister, Residen British yang pertama di Negeri Sembilan, iaitu Tugu Lister. Ramai yang beranggapan bahawa tugu ini seperti tempat ibadat atau tokong cina. Namun sebenarnya ia adalah sebuah tugu untuk memperingati jasa dan pengorbanan Martin Lister semasa insiden beliau berjalan disitu untuk menamatkan sebuah konflik.

Anda nak tahu tak konflik apa? Konflik yang terjadi adalah konflik kongsi gelap Cina yang berleluasa di kalangan penduduk Cina asing yang semakin parah. Akhirnya Martin Lister di bunuh oleh musuhnya berhampiran sebuah bukit di Ulu Bendul.

 

3.  Tapak Megalitik

tempat menarik di Kuala Pilah

Imej via [OrangNogori]

Pernahkah anda mendengar mengenai ‘batu nisan hidup’ ataupun batu yang saiznya semakin panjang atau besar? Jika anda belum pernah mendengar atau melihat tentang ‘batu hidup’, anda boleh melawat ke tapak megalitik ini. Menurut kepercayaan penduduk di sini, saiz batu ini ada yang semakin lama semakin tinggi saiznya, selain itu ada yang semakin membesar saban hari. Ada juga mengatakan bahawa salah satu batu hidup ini milik batu nisan kuburnya ‘Tok Bongkok’ dan berkeramat.

Mengikut pandangan ahli arkeologi, usia batu ini adalah sekitar ribuan tahun dan merupakan kebudayan tertua di negara kita sebelum era zaman paleolitik, mesolitik dan logam dan mereka menamakannya dengan megalitik sempena ayat dari bahasa Greek, Mega Lithos bererti batu yang membesar. Jika anda merasa aneh tentang batu hidup ini, menurut ilmuan saintis pula, batu sememangnya hidup dan membesar dengan menyerap mineral-mineral tertentu. Banyak ilmu alam boleh anda pelajari setelah berkunjung ke sini.

 

4.  Kuil Sri Kanthasamy

tempat menarik di kuala pilah

Imej via [hanchoo]

Jika anda dari Tanjung Ipoh dan melalui jalan utama ke Juasseh, anda akan melihat satu kuil yang tersergam indah di tepi jalan iaitu kuil Sri Kanthasamy. Kuil ini dibina oleh Viswanathan Mudaliyar pada tahun 1896 di tanahnya yang seluas 1.25 ekar yang di penuhi dengan tanaman pokok kelapa pada mulanya. Pada awalnya kuil ini hanya berbumbungkan atap daun kelapa dan mempunyai empat tiang utama. Pasti anda tak percaya tentang kuil ini yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun. Kuil ini sangat indah dan dipenuhi dengan pelbagai corak mengikut budaya agama hindu malah turut berubah mengikut arus kemodenan zaman dengan terdapat pelbagai ubah suai serta coraknya dilukis oleh salah seorang pelukis dari negara India.

Antara beberapa sejarah mengenai kuil Sri Kanthasamy ini adalah pada tahun 1906, upacara Kumbabishegam pertama telah diadakan dan patung Dewa Asura telah dibawa masuk ke kuil ini. Untuk pengetahuan anda, patung Dewa Asura itu didatangkan khas dari negara India. Pada upacara Kumbabishegam kedua pada tahun 1930, binaan pada Athimoolam telah dipasang dengan kayu kalasam dan ia telah didirikan pada upacara Kumbabishegam ketiga pada 1950 pula.

Pada tahun 1964 pada upacara Kumbabishegam keempat, Moolastana Kopuram telah dibina di Kuil Sri Kanthasamy ini. Pada tahun 1980, gerbang depan kuil (Mandapam) telah dibina dan pembaik pulih kuil ini telah dilakukan pada upacara Kumbabishegam kelima. Dan akhir sekali pada tahun 1988 seluruh kuil telah dibina semula mengikut tradisi Agamic pada upacara Kumbabishegam keenam. Jadi bagi anda yang ingin melihat keindahan kuil ini bolehlah datang ke sini.

5.  Tokong Cina Sim Tong

tempat menarik di kuala pilah

Imej via [thymothye]

Bagi anda yang ingin mempelajari tentang budaya, adat resam dan keagamaan bagi masyarakat cina bolehlah datang ke Tokong Cina Sim Tong yang terletak di Kuala Pilah ini. Apabila melihat struktur binaan tokong ini, kita akan seperti seolah-olah berada didalam cerita kung fu shaolin. Tokong ini seluas 9600 meter persegi ini telah dibina pada tahun 1987. Warna bangunan yang kemerah-merahan ini memang nampak menyerlah dari jauh.

6.  Masjid Jamek Yamtuan Raden

tempat menarik di kuala pilah

Imej via [gerbangkeadilankp]

Tahukah anda tentang sejarah masjid Jamek Yamtuan Raden ini? Nama masjid ini diperoleh sempena nama Yamtuan Negeri Sembilan ke Empat pada tahun 1839 iaitu Yamtuan Raden. Masjid Yamtuan Raden ini dibina atas sebuah tapak masjid lama disini suatu ketika dahulu. Apa yang unik mengenai masjid ini adalah berdekatan dengan masjid ini terdapat sebuah tokong cina Sam Seng Kong. Lihat masyarakat di sini, elok semuanya hidup walaupun berlainan agama dan mereka saling menghormati antara satu sama lain. Bagi anda yang ingin melihat sendiri seni bina masjid di sini, anda bolehlah datang ke sini, yang pasti bersedialah untuk terpegun dengan melihat keindahan seni bina masjid ini.

 

7.  Makam Tuan Tulis

tempat menarik di kuala pilah

imej via [google]

Tun Tulis atau Tuan Tulis merupakan seorang Ulamak ataupun Wali Allah yang sangat suka mendekati rakyat dan menyebarkan ilmu agama. Beliau juga merupakan tempat masyarakat setempat membuat rujukan jika terdapat pelbagai masalah. Nama beliau turut tidak asing dalam kalangan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Kononnya dikatakan pada tahun 1925 beliau telah mengubati Yamtuan Besar Pertama di London, sedangkan pada ketika itu Tuan Tulis telah pun meninggal dunia.

Tuan Tulis merupakan seorang yang miskin semasa pengajiannya di Temerloh di pondok Tok Ayah Man. Akibat dari kemiskinannya, beliau telah meminjam kitab dari temannya dan menulis satu per satu isi kitab itu sehingga diberi gelaran ‘Ismail Tulis’ oleh kalangan rakan-rakannya. Beliau juga amat sukakan haiwan dan tidak sanggup melihat haiwan dalam kesusahan. Begitu tinggi sahsiah peribadi beliau kan, Masya-Allah.. Sehinggakan beberapa semut yang tidak boleh menyeberangi lopak air pun beliau membantunya dengan membina jambatan untuk semut tersebut melaluinya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1923.

8.  Gunung Ansi

imej via [travelledpaths]

Bagi anda yang gemarkan aktiviti ‘hiking’ ataupun mendaki gunung, jom kita ke Kuala Pilah. Ajak kawan-kawan anda semua mendaki Gunung Angsi yang berketinggian 825 meter dari aras laut. Gunung Angsi yang terletak di daerah Kuala Pilah ini biasanya akan mengambil masa selama empat jam untuk anda mendaki ke atas. Anda harus melalui laluan trek di sepanjang Sungai Batang Terachi, Ulu Bendul yang sejauh 4.5 kilometer. Setibanya di atas pucak Gunung Angsi ini, anda boleh melihat gunung-gunung berhampiran dan menikmati udara segar. Antaranya adalah Gunung Berembun, Gunung Datuk, Gunung Tampin dan Gunung Telapa Buruk. Tidak ketinggalan Bandar Seremban pun boleh dilihat dari puncak Gunung Angsi ini.

 

9.  Hutan Lipur Jeram Tengkek

Imej via [harith]

Selain tempat bersejarah yang menjadi tempat menarik di Kuala Pilah, daerah ini juga mempunyai hutan lipur yang sangat indah dan menarik, iaitu Hutan Lipur Jeram Tengkek. Hutan lipur yang kaya dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan ini terletak di Hutan Simpan Serting. Jika anda dari pekan Batu, ia mengambil masa 20 minit untuk sampai ke hutan lipur jeram tengkek ini. Hutan lipur ini amat sesuai untuk aktiviti berkelah, berkhemah dan sebagainya kerana landskapnya sesuai untuk aktiviti riadah. Di sini juga terdapat perkampungan orang Asli tau! Nanti bolehlah anda melawat mereka dan mempelajari kegiatan mereka mencari hasil hutan kan?

 

10.  Taman Ular Sawa Ulu Bendul, Kuala Pilah

Imej via [desaputeri]

Bagi anda yang sangat menggemari haiwan eksotik ini bolehlah datang ke Taman Ular Sawa Ulu Bendul Kuala Pilah ini. Taman Ular Sawa ini merupakan taman ular eksotik yang pertama dan satu-satunya di Asia. Di sini terdapat pelbagai jenis ular sawa yang bermacam-macam warna dan saiz. Jika anda suka bergambar dengan ular-ular di sini, bolehlah anda ke sini kerana ular sawa di sini sudah dijinakkan dan biasa dipegang oleh pengunjung yang datang.  

Imej via [google]

Kesimpulannya, tempat-tempat yang menarik di Kuala Pilah ini haruslah dijaga dengan rapi agar sentiasa terpelihara dan tidak ditelan zaman. Bagi anda yang merancang untuk ke Kuala Pilah tu bolehlah berkunjung ke salah satu tempat yang menarik ini.  Jemput baca tempat menarik di Cambodia dan tempat menarik di KLCC.

 

Rujukan:

  1. Wikipedia
  2. mdkp
  3. nagariperpatih

 

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis bebas sepenuh masa yang suka berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.