Banyak tempat ootd di Selangor yang cantik dan memang Insta-worthy. Oufit Of The Day atau Ootd kini menjadi suatu perkara yang mesti dilakukan jika bercuti tidak kira yang kecil, dewasa mahupun golongan berusia. Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk dijadikan sebagai kenangan dan rujukan pada masa akan datang.

Walaupun Selangor pesat dengan kegiatan ekonomi dan pembangunan, namun negeri Darul Ehsan ini juga menjadi tempat pelancongan dan banyak tempat menarik untuk spot ootd. Pelbagai latar tempat yang boleh anda rakamkan gambar seperti pantai, alam semula jadi, bandar dan macam-macam lagi. Jom lihat tempat Ootd yang lawa di Selangor.

Laman Seni 7

Imej via [ Foursquare ]

Laman Seni 7 merupakan sebuah street art district ataupun dikenali sebagai seni jalanan. Laman Seni 7 bukan sahaja tempat untuk bergambar tetapi bagi menghargai bakat-bakat pelukis jalanan. Hanya bersebelahan dengan I-City Shah Alam, pelbagai sudut bangunan yang cantik dengan mural-mural pelbagai bentuk.

Di setiap dinding bangunan tercoret empat mural berlainan iaitu lukisan 3D, pemasangan 3D, perabot jalanan dan On-Side Painting. Laman Seni 7 dibuka setiap hari dan tiada sebarang tiket diperlukan untuk masuk.

Alamat: Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.

Trick Art Museum I-city

Imej via [ Foursquare ]

Trick Art Museum memaparkan lukisan purba Trompe L’oeil. Lukisan 2 dimensi ini pasti mengelirukan anda kerana kelihatan seperti lukisan 3 dimensi yang betul-betul wujud. Muzium ini memaparkan lima latar iaitu Masterpiece, Egypt, kehidupan laut, dunia haiwan dan moden klasik.

Jadi anda boleh bergambar mengikut reaksi dan lukisan yang dipaparkan. Tiket masuk adalah berbayar. Di buka pada setiap hari bermula 11.00 pagi sehingga 12.00 malam.

Alamat: i-Gallery, Jalan Multimedia 7/Ah, I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.

Rainbow Bridge

Imej via [ Heartpatrick ]

Rainbow Bridge merupakan satu tarikan baru di Elmina City, Shah Alam. Di sana terdapat dua buah gegelung berbeza yang bewarna-warna. Gegelung yang panjang dan besar sememangnya mampu memuatkan ramai orang dalam satu masa.

Masuk adalah percuma. Seeloknya datanglah waktu pagi atau lewat petang dan jangan datang ketika waktu hujan kerana gegelungnya tidak berbumbung.

Alamat: Persiaran Elmina, 47000 Shah Alam, Selangor

Kota Bridge

Imej via [ Findbulous Travel ]

Kalau anda nak tahu, Kota Bridge atau Jambatan Kota merupakan jambatan dua tingkat pertama dan satu-satunya yang ada di Malaysia. Jambatan di tingkat atas digunakan untuk kenderaan berat manakala jambatan bawah untuk pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal.

Keunikan dan kecantikan jambatan ini memang sangat sesuai untuk berootd sehinggakan ada juga syarikat pengambaran yang melakukan pengambaran di sini.

Alamat: Kota Bridge, Klang River,41300 Klang, Selangor

Padihijau Homestay

Imej via [ PadiHijau Homestay ]

Padihijau homestay adalah penginapan ala-ala kampung. Homestay yang berwarna-warni ini terletak dikelilingi sawah padi. Konsep rumah sangat cantik, suasana nyaman dan tenang. Jauh dari kepikukan kota.

Kaki selfie boleh lah menginap di sini sambil menikmati keindahan seperti berada di kampung. Nak rakam gambar dengan lebih bergaya? Pakai pakaian ala kampung seperti baju kurung kedah dengan kain batik. Mesti nampak anggun.

Alamat: Unnamed Road, Parit 7 Timur, 45300 Sungai Besar, Selangor.

Pantai Morib

Imej via [ Visit Selangor ]

Terletak di Hulu Langat, pecinta pantai dan laut pasti suka berootd di Pantai Morib. Kawasan pantai yang bersih, cantik dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam pasti memuaskan hati anda.

Kesan angin yang bertiup dan mengalunkan selendang pasti mencantikkan lagi gambar anda! Sambil berootd, sambil tenangkan fikiran.

Alamat:Pantai Morib, Banting, Kuala Langat, Selangor.

Gamuda Gardens

Imej via [ Gamuda Garden ]

Gamuda Gardens bukan sahaja tempat untuk bereakreasi, malah menjadi tempat ootd untuk anda yang suka kan ootd berkonsep santai.

Banyak juga tarikan lain seperti taman tema air, taman permainan, go kart dan anda juga boleh menunggang kuda. Ootd sambil menunggang kuda pun menarik kan?

Alamat: Persiaran Gamuda Gardens 1, Bandar Gamuda Gardens, Kuang, 48050 Rawang, Selangor.

Tamarine Square

Imej via [ Tamarind Square ]

Tamarind Square juga merupakan pusat rekreasi yang berkonsepkan ‘urban village’. Penuh dengan tumbuhan menghijau, nature lover pasti suka untuk berootd di sini.

Bangunan yang dibina juga sangat unik dan cantik. Memang susah nak cari tempat yang mempunyai struktur binaan yang unik dan moden dikelilingi tumbuhan segar. Lepas penat berselfie, anda boleh layan suasana tenang sambil menjamu selera di kafe yang terdapat di sana.

Alamat: Tamarind Bldg Rd, Cyberjaya, 63000 Cyberjaya, Selangor.

Souq Shoppe

Imej via [ Chocolate Souq Putrajaya ]

Pasti ramai penggemar coklat kan? Souq Shoppe merupakan kedai coklat terbesar di Lembah Klang. Anda juga boleh dapatkan pelbagai jenis coklat dengan harga yang berbaloi.

Paling penting, banyak sudut ootd dipenuhi coklat yang boleh anda rakamkan gambar di sana sebagai kenangan. Jangan lupa untuk berootd di replika Reese dan Hershey gergasi yang pertama di Malaysia.

Alamat: Souq Putrajaya, Presint 1, Putrajaya (Bawah Masjid Putra).

Rumah Kebun Camping Ground

Imej via [ Rumah Kebun Camping House ]

Anda yang suka bercuti dan menghayati keindahan alam pasti jatuh cinta dengan tempat campsite ini! Berada dikeklilingi alam semula jadi sambil mendengar deruan sungai dan kicauan burung memang mendamaikan.

Jangan lepaskan peluang berootd di sini. Pasti cantik jika bergambar dengan alam yang sememangnya dapat memukau setiap mata yang memandang.

Alamat: Kampung Sungai Semungkis, 43100 Hulu Langat, Selangor.

Batu Caves

Tidak lengkap senarai tempat ootd di Selangor jika tidak masukkan Batu Caves. Batu Caves menjadi tempat tarikan utama pelancong tempatan mahupun luar negara untuk bergambar.

Tempat popular untuk ootd ini mempunyai 272 anak tangga yang berwarna-warni yang menuju ke gua batu kapur. Anda yang berperwatakan ceria wajib berootd di sini kerana sesuai dengan lambang warna-warna yang ada.

Alamat: Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor.

Kepong Metropolitan Park

Imej via [ Visit KL ]

Kawasan yang bersih dan cantik ini berkeluasan 95 hektar. Terkenal dengan aktiviti rekreasi seperti berbasikal dan bermain layang-layang sambil menikmati pemandangan tasik.

Walaupun tempat yang santai, namun jika anda pandai mencari sudut bergambar memang cantik! Lagi-lagi gambar waktu matahari terbenam, memang memukau!

Alamat: Jln Lingkaran Tengah 2, Kepong Metropolitan Lake-garden, 52100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Spacerubix

Imej via [ Spacerubix ]

Jangan lepaskan peluang untuk ootd di Spacerubix! Terletak di Puchong sahaja, anda boleh bergambar dengan latar bangunan berkonsepkan rubix. Sebuah bangunan rubix terbesar di Malaysia yang berwarna-warni.

Instagrammable, rakam gambar anda dengan kreatif di sini!

Alamat: Jalan TPP 1/7, Taman Perindustrian Puchong, 47100 Puchong, Selangor.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Imej via [ Mosqpedia ]

Masjid ini merupakan salah satu masjid tercantik di Selangor. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Biru mempunyai senibina yang gah berkonsepkan melayu moden. Semestinya masjid ini sangat luas kerana mampu memuatkan sebanyak 24 000 jemaah dalam satu masa.

Tidak kira luar, hiasan dan senibina dalaman juga memang menarik. Dinding-dinding dan lengkungan dalam kubah juga mempunyai tulisan kaligrafi yang sangat kemas. Setiap sudut binaan mempunyai tujuan tersendiri bagi keselesaan jemaah.

Alamat: Persiaran Masjid, Seksyen 5, 40 000 Shah Alam, Selangor.

Tasik cermin

Imej via [ Azyyatiliah ]

Pemandangan yang sangat cantik ini semestinya memerlukan usaha yang lebih untuk sampai. Anda perlu mendaki terlebih dahulu bagi mendapatkan panorama semula jadi yang pasti memukau pandangan anda.

Persis seperti sebuah oasis, tasik jernih yang kebiruan dan kehijauan ini sangat cantik jika dirakam. Pendakian yang berbaloi, hilang rasa penat melihat keindahan alam.

Alamat: Tasik Cermin, Bukit Sapu Tangan, Shah Alam, Selangor.

Kampung Pelangi

Imej via [ Kampung Pelangi Kuala Selangor ]

Terletak di Kuala Selangor, Kampung Pelangi memang ceria suasananya seperti nama yang diberi. Hampir keseluruhan tempat termasuk bangunan dan jalan dicat berwarna-warni. Anda yang cintakan keunikan mesti datang ke sini dan bergambar.

Bukan itu sahaja, malah anda juga boleh menginap di pelbagai jenis chalet dengan rekabentuk berlainan. Tarikan lain adalah seperti mini zoo dengan bermacam jenis haiwan unik, tempat memancing, memanah dan aktiviti lain yang boleh anda cuba.

Alamat: Kuala Selangor Rainbow Village Lot 4021, Jalan Rizab Zazuli, Kg. Bukit Hijau, 45800 Jeram, Selangor.

Red Carpet Wex Museum

Imej via [ Red Carpet Wex Museum ]

Kalau anda nak tahu, red carpet ini terletak di I-City. Anda boleh bergambar seolah-olah berada di karpet merah dalam anugerah terbesar dunia kerana terdapat banyak replika terkenal di dunia. Bukan artis filem luar negara sahaja ada malah terdapat bintang sukan, pemimpin negara, ikon sejarah dan sebagainya.

Paling menarik, replika tersebut sememangnya menyerupai seperti ikon sebenar. Ha, jangan lepaskan peluang untuk bergambar dengan Mr Bean, Presiden Obama, Bill Gates, Jackie Chan dan banyak lagi! Feeling-feeling diva gitu.

Alamat: L-01-G Red Carpet/Wax Museum Jalan Multimedia Seksyen 7, I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.

BMC Blue Lake

Imej via [ Kaki Cuti ]

Sama seperti Tasik Cermin, anda perlu mendaki sekitar 10-20 minit untuk mendapatkan pemandangan tasik yang cantik ini. Tasik yang berwarna seakan biru turquoise pasti menghilangkan rasa penat mendaki.

Dengar kata tasik ini merupakan tanah persendirian dan merupakan bekas tapak kuari. Masuk adalah atas risiko sendiri dan perlulah jaga keselamatan anda kerana trek agak mencabar. Ingat, jaga kebersihan di tempat yang cantik ini!

Alamat: Persiaran Mahkota Cheras 1, Bandar Mahkota Cheras, 43200 Cheras, Selangor.

Nasi Ambeng D’rebung

Imej via [ Labur ]

Seakan berada di Jepun kerana dikelilingi oleh banyak pokok buluh, anda pasti tidak percaya tempat insta-worthy ini berada di Selangor. Sambil makan pun boleh ootd tau! Makan dalam suasana tenang dikelilingi kebun buluh pasti memberi pengalaman berbeza.

Kedai ini menawarkan masakan kampung dan menu spesial adalah nasi ambeng, makanan orang jawa. Memang sedap dan harga sangat berpatutan. Kedai ini dibuka Rabu hingga Jumaat.

Dah habis makan jangan lupa bergambar di rimbunan pokok buluh. Tak perlu ke Jepun, di Selangor pun anda boleh dapatkan view seperti di sana.

Alamat: Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Kampung Hulu Chuchoh, 43950 Sungai Pelek, Selangor.

Forest Research Institut Malaysia (FRIM)

Imej via [ Have Halal Will Travel ]

Di FRIM, anda boleh berootd samaada secara santai atau ekstrem. Kalau nak suasana santai anda boleh bergambar di Taman Botani Kepong. Bergambar belatarbelakang kehijauan tumbuhan dan tasik pasti mendamaikan.

Tapi kalau anda seorang yang berani dan tidak takut gayat, ootd lah di Forest Skywalk yang berketinggian 141 meter dari paras laut. Pakai pakaian sukan agar memudahkan perjalanan anda ke atas. Bergambar berada di tempat tinggi pasti cantik, berada di tengah-tengah tumbuhan menghijau pula.

Alamat: Jalan Frim, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, 52109 Selangor.

La Fleur x Uniqorn

Imej via [ Eat Drink KL ]

Comelnya kafe ni! Pink lover dan uniqorn lover patut datang ke sini! Makanan halal dan memang sedap. Harga sangat berbaloi! Di sini anda boleh membuat seni latte bertemakan tulip pada kopi anda sambil dibimbing oleh pelayan kafe.

Desert-desert di sini sangat sedap dan menarik. Sambil menjamu selera bolehlah bergambar. Struktur dalaman kafe memang sangat cantik, serba pink dan dihiasi patung uniqorn.

Alamat: 01, E1, 02, Jalan Lagoon Selatan, Sunway Geo Avenue, 47500 Subang Jaya, Selangor.

Book Xcess

Imej via [ Heart Patrick ]

Syurga buku buat ulat buku di Selangor! Terdapat lebih 500 000 buku dengan pelbagai genre seperti fiksyen, novel, buku cerita dan banyak lagi dijual dengan harga murah dan berpatutan! Masuk je pintu gerbang Book Xcess, terus nampak terowong buku yang besar.

Kalau anda nak tahu, Book Xcess Setia Alam sememangnya menjadi tempat Instagramable untuk merakamkan gambar mereka yang cantik. Banyak sudut menarik yang pasti dapat memenuhkan galeri anda!

Alamat: SB-1, Sunsuria Forum, No.1, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.

Eco Ardence

Imej via [ TripAdvisor ]

Tempat yang cantik, bersih dan luas ini tidak memerlukan bayaran untuk masuk. Berbaloi untuk bergambar di sini kerana banyak spot ootd yang memang menakjubkan.

Disini anda disajikan dengan pemandangan tasik yang cantik, kabin-kabin, taman permainan, kafe dan banyak lagi. Sambil ootd anda juga boleh berbasikal dan jogging.

Terdapat sebuah kafe berkonsepkan glasshouse iaitu Pola-Pola. Sambil menjamu selera anda dapat layan suasana santai dan relax. Ootd di sini pun cantik juga!

Alamat:  Eco Ardence, Persiaran Setia Alam, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor

Bonda Valley

Imej via [ Jelajah Maya ]

Tak perlu ke Bali, Indonesia. Anda boleh dapatkan pemandangan seperti ini di Selangor je! Sambil bermalam di sini anda boleh rehatkan mental dan fizikal setelah penat bekerja. Tempat sangat cantik, luas dan bersih.

Bonda Valley juga menyediakan banyak ruang untuk ootd. Selain keindahan tumbuhan menghijau di sini, ukiran dan senibina juga sangat memukau. Bergambarlah sepuas hati di sini!

Alamat:  Bonda Valley, Batang Kali, Selangor.

Sky Mirror

Imej via [ Sky Mirror Malaysia ]

Pantai yang sememangnya berbeza dari pantai yang lain. Terletak di Kuala Selangor, pantai ini di beri nama Sky Mirror kerana kejernihan laut yang memantul bayangan langit. Anda perlu menaiki boat selama 30-35 minit untuk tiba di sini.

Tiket untuk dewasa adalah RM 80 seorang manakala kanak-kanak berumur 12-3 tahun adalah RM 60 seorang. Memang cantik jika berootd di sini kerana imej kerana terdapat pantulan diri anda.

Sebelum ke sini, anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu dengan agent-agent yang ada kerana cuma waktu-waktu tertentu seperti air surut sahaja anda dapat ke sini untuk bergambar.  

Alamat: Jalan Sultan Mahmud, 45000 Kuala Selangor, Selangor.

Taman Alam Kuala Selangor

Imej via [ Tripadvisor ]

Taman Alam Kuala Selangor adalah tempat rekreasi yang berkeluasan 296 hektar yang mengandungi hutan hujan tropika dan hutan paya. Tempat ini dikelilingi pelbagai jenis flora dan fauna.

Anda yang cinta akan alam semula jadi jangan lepaskan peluang untuk ootd di sini. Pasti gambar menarik dan cantik seperti keindahan alam yang sangat memukau setiap mata yang melihat.

Lover’s Bridge

Imej via [ Ezry Rahman ]

Nak Ootd dengan pasangan? Sesuailah datang ke Lover’s Bridge ini! Ootd dengan pemandangan laut semestinya memberi pengalaman yang sukar dilupakan.

Berada di jeti yang panjang di tengah-tengah laut pasti nyaman dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Waktu terbaik kunjungan anda adalah waktu petang, kerana anda dapat merakamkan gambar sewaktu matahari terbenam. Memang cantik segala ciptaan Tuhan.

Alamat: 21, Jalan Senangin 1, Taman Tanjung, 42800 Tanjong Sepat, Selangor.

KLIA Jungle Boardwalk

Imej via [ Convergence ]

Siapa sangka keindahan flora ini terletak di dalam kawasan KLIA. Walaupun ianya adalah hutan buatan namun kelihatan seperti berada di tengah-tengah hutan yang asli.

Selain terdapat tumbuhan menghijau, kebun bunga berwarna-warni dan kolam yang cantik juga dapat menjadi latar ootd anda. Jangan lupa juga untuk bergambar di titi, memang mempersona!

Alamat:  Kuala Lumpur International Airport, 43900 Sepang, Selangor.

Anjung Spotter, KLIA

Imej via [ Anjung Spotter ]

Anda mencari kelainan sewaktu ootd? Apa kata anda datang ke Anjung Spotter dan bergambar bersama kapal terbang yang baru berlepas atau hendak mendarat. Tempat ini disediakan khas oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Memang cantik tempat ootd ini, lain daripada yang lain! Bawa bersama keluarga anda ke sini! Tak kira kanak-kanak atau dewasa, pasti teruja melihat kapal terbang lalu di atas kepala dan boleh lihat dengan jarak dekat.

Alamat: Anjung Spotter, Kuala Lumpur International Airport, 64000 Sepang, Selangor.

Istana Bandar Jugra

Imej via [ Visit Selangor ]

Terletak di bandar bersejarah iaitu Kuala Langat, anda boleh datang ke Jugra dan ootd di Istana Bandar Jugra. Sambil berootd anda juga dapat mempelajari sejarah tentang Jugra yang sangat menarik.

Tiada sebarang bayaran untuk memasuki kawasan ini. Anda juga boleh melawat tempat bersejarah yang lain terdapat di sekitar ini seperti Masjid Alaeddin, Istana Bandar dan sebagainya.

Alamat: Jalan Istana Lama, 42700 Jugra, Banting, Selangor.

Tempat ootd di Selangor memang banyak dan sangat cantik. Sambil ootd anda dapat tenangkan fikiran, menambah pengetahuan tentang sejarah dan belajar menghargai keindahan alam. Jom baca artikel kami yang lain seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.