Telaga Tujuh Langkawi merupakan salah satu tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika datang bercuti ke Langkawi, Kedah. Menariknya, Telaga Tujuh Langkawi adalah lokasi yang terletak di tebing gunung kedua tertinggi di Langkawi iaitu Gunung Mat Chinchang.

Telaga Tujuh Langkawi turut dikenali dengan panggilan Air Terjun Telaga Tujuh kerana terdapat tujuh kolam semula jadi yang terbentuk pada tahap yang berlainan oleh aliran air yang mengalir menuruni Gunung Mat Chinchang. Bukan itu sahaja, air terjun ini memiliki ketinggian 91 meter.

Untuk sampai ke puncak Air Terjun Telaga Tujuh, pengunjung perlu mendaki 900 anak tangga yang sedikit curam dan mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit sehingga satu jam. Jadi, anda yang ingin datang ke air terjun ini, pastikan anda membawa air minum yang secukupnya dan mempunyai stamina yang kuat.

Waktu yang paling terbaik untuk anda datang ke Telaga Tujuh Langkawi adalah ketika musim hujan atau tengkujuh. Sekiranya anda berkunjung ketika musim panas, anda mungkin merasa sedikit kecewa kerana ketika itu airnya menjadi cetek.

Lagenda Telaga Tujuh Langkawi

Imej via [ Daily Travel Pill ]

Ada yang mengatakan Telaga Tujuh Langkawi mempunyai kisahnya yang tersendiri. Menurut cerita penduduk setempat, dulunya telaga ini dipercayai telah menjadi tempat bermandi-manda bagi tujuh orang puteri dari kayangan.

Ada juga yang mengatakan bahawa air terjun di Telaga Tujuh ini telah menarik hati puteri-puteri dari kayangan tersebut untuk bermandi-manda kerana kesejukan airnya. Oleh itu, puteri-puteri tersebut menjadikan telaga ini sebagai tempat mandi mereka.

Tak cukup dengan itu, air terjun di Telaga Tujuh ini dipercayai mempunyai khasiat perubatan di mana ia mampu merawat dan menyembuhkan penyakit.

Aktiviti di Telaga Tujuh Langkawi

Imej via [ Naturally Langkawi ]

Aktiviti utama yang boleh anda lakukan di Telaga Tujuh sudah tentulah bermandi-manda. Rugilah jika sudah sampai di sini tetapi anda tidak merasa kesejukan air bukit di telaga ini. Badan pasti terasa lebih segar setelah penat mendaki.

Anda tidak perlu risau jika segan atau malu ingin mandi di tempat orang ramai kerana kawasan air terjun ini sangat luas. Pilih sahaja tempat mana yang selesa dan nyaman untuk anda bermandi-manda.

Bagi kanak-kanak pula, terdapat kolam-kolam semula jadi dan anak sungai cetek yang sesuai untuk mereka bermandi-manda. Kawasan ini sesuai untuk mereka dan lebih selamat. Walaubagaimanapu ibu bapa haruslah memantau keadaan anak-anak.

Selain bermandi-manda, anda juga boleh melakukan aktiviti jungle trekking. Buat kaki-kaki hiking, jangan lepaskan peluang anda dan datanglah ke Telaga Tujuh Langkawi ini. Anda bukan sahaja dapat menikmati kecantikan air terjun, malah anda juga pasti mengagumi dan terpukau dengan keindahan flora dan fauna di dalam hutan di Telaga Tujuh.   

Tips Berkunjung ke Air Terjun Telaga Tujuh Langkawi

  • Pastikan anda makan dan minum terlebih dahulu sebelum naik ke puncak air terjun Telaga Tujuh. Hal ini kerana anda harus mendaki lebih kurang 900 anak tangga untuk sampai ke sana.
  • Pastikan anda memakai kasut yang sesuai kerana anda akan mendaki laluan yang berbukit dan berbatu.
  • Berhati-hati dengan sekeliling anda kerana terdapat monyet-monyet liar yang akan keluar untuk mencari makanan.
  • Pastikan anda tidak berdiri berhampiran batu di tepi air kerana batu-batunya sangat licin.

Tempat Menarik Berdekatan

Muzium Seni 3D

Imej via [ Panorama Langkawi ]

Terletak berdekatan Telaga Tujuh Langkawi, Muzium Seni 3D turut menjadi tempat tarikan ramai pelancong tidak kiralah dari dalam mahupun luar negara. Muzium seluas 2000 meter persegi ini memiliki tiga tingkat dan terbahagi kepada sembilan zon.  

Antara zon-zon yang terdapat di Muzium Seni 3D ini adalah Zon Ilusi Optik, Zon Interaktif, Akuatik, Safari, Fantasi, Klasik, Dewan Utama dan Zon Malaysia.

Muzium 3D terbesar di Malaysia ini mempunyai lebih 200 karya seni yang seakan-akan hidup yang dihasilkan oleh pelukis hebat dari Korea. Jika anda datang ke muzium ini, anda pasti terpukau dengan lukisan-lukisannya yang luar biasa.

Langkawi Skybridge Cable Car

Langkawi Skybridge Cable Car juga sering menjadi tumpuan para pelancong kerana jaraknya yang tidak terlalu jauh dengan lokasi Air Terjun Telaga Tujuh.

Tempat ini selalu dipenuhi oleh para pelancong yang tidak ingin ketinggalan untuk mencuba menaiki kereta kabel yang sememangnya dapat memberikan pengalaman yang sangat memuaskan.  

Lokasi: Telaga Harbour Park, 07000 Langkawi, Kedah

Buat anda yang ingin berkunjung ke Telaga Tujuh, pastikan anda membuat persediaan yang lengkap termasuk memakai pakaian yang sesuai. Elakkan datang ke sini sewaktu musim tengkujuh atau sewaktu hujan.

Telaga Tujuh Langkawi sememangnya tempat yang wajib anda kunjungi jika sudah menjejakkan kaki di negeri Kedah. Bukan hanya dihidangkan dengan pemandangan indah di Air Terjun Telaga Tujuh, malah anda juga pasti terpukau dengan keindahan tempat-tempat lain yang berdekatan yang terdapat di telaga ini.

Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Langkawi? Jom pergi ke tempat-tempat berikut:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.