Tak dinafikan memang banyak tempat makan di Selangor namun bukan mudah untuk mencari tempat makan yang kena dengan tekak dan harga yang berpatutan. Apabila menikmati menu-menu di luar, semestinya kita mahukan menu yang terbaik terutama buat mereka yang bercuti ke negeri ini.

Dari sembilan daerah di sini, kami kongsikan tempat-tempat yang menjadi pilihan ramai untuk sarapan, makan tengah hari mahupun makan malam istimewa. Jadi anda tak perlu ragu-ragu dan terus datang mencubanya sendiri!

Banyak tempat makan menarik di Selangor yang boleh anda kunjungi. Nak senaraikan kesemua tempat bagai tiada penyudah. Jadi, kami rangkumkan 25 tempat makan di Selangor yang viral dan sedap!

De.Wan 1958 by Chef Wan @ Bangi

Restoran milik Chef Wan ini sering dikunjungi oleh pengunjung yang rindu dan ingin merasai keenakan lauk-pauk tradisi. Merupakan salah satu cawangan yang terletak di Selangor, restoran ini berada di dalam kawasan Bangi Resort Hotel.

Dekorasi dalaman restoran sangat memukau dan puas untuk ootd. Pelbagai menu menanti anda dari pembuka selera, menu utama hinggalah ke pemanis mulut. Rambang mata untuk memilihnya kerana kesemua menu sedap dan mengimbau kenangan lama.

Aneka kerabu, bakar-bakar, sup dan sebagainya ditawarkan dengan harga berpatutan. Cucur udang salah satu menu yang terkenal dengan keenakannya dan anda perlu cuba! Pastikan buat tempahan terlebih dahulu sebelum datang ke sini.

Alamat: Bangi Resort Hotel, Off, Persiaran Bandar, Bandar Baru Bangi, 43650 Bangi, Selangor

JIBRIL

Siapa sahaja yang tak kenal dengan restoran terkemuka di ibu kota yang menawarkan pelbagai jenis makanan berasaskan butter ini? Restoran ini menjadi pilihan ramai untuk menikmati makan tengah hari mahupun makan malam. Di Selangor, terdapat dua cawangan iaitu JIBRIL SS15 dan JIBRIL Bangi.

Menu utama yang menjadi pilihan ramai semestinya Butter Chicken. Selain ayam, pengunjung juga boleh menikmati makanan laut yang lain seperti sotong, udang dan lobster! Selain Butter Chicken, cuba juga Nasi Lemak Butter Combo iaitu nasi lemak yang dihidangkan bersama ayam, sotong dan udang salted egg yang sedap serta sambal yang memikat!

Bukan itu sahaja, ramai pengunjung mencadangkan untuk cuba Hot Chilli Clam, Salted Egg Butter Lobster dan Pisang Goreng XL. Kuantiti setiap hidangan sangat mengenyangkan dan apa yang lebih mengejutkan adalah harga yang ditawarkan sangat berbaloi! Tempat makan setaraf hotel tapi harga marhaen!

Bagi yang tak pernah menjejaki ke restoran ini, anda pasti teruja dengan pintu masuk rahsia untuk ke ruangan makan. Di sebalik dinding berbatu-bata, siapa sangka sebenarnya terdapat pintu rahsia tersebut. Dekorasi dalaman sangat cantik dengan vibe klasik tetapi eksklusif dan privasi. Sangat sesuai untuk membuat sebarang majlis seperti majlis hari jadi atau sambutan ulang tahun perkahwinan.

Nak tahu lebih lanjut? Jom ke salah satu cawangan JIBRIL berdekatan anda!

Cawangan SS15

Alamat: No. 25, Jalan SS15/4B, 47500 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am-11.00 pm)

Cawangan Bangi

Alamat: No 26A, Jalan 3/70, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan

Waktu operasi: Setiap hari (11.00 am – 10.00 pm)

Nurul Sate Batang Pinang

Jarang sekali port breakfast menyediakan sate sebagai menu utama namun anda boleh dapatkannya di Nurul Sate Batang Pinang yang terletak di Puchong. Hari biasa sudah ramai yang datang, inikan pula sewaktu hujung minggu. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda sebaiknya agar tidak terlepas peluang merasai menu-menu sedap ini.

Sate daging batang pinang mempunyai rasa yang lembut, juicy dicicah pula dengan kuah kacang yang pekat. Saiz sate besar dan dihidangkan kepada pelanggan sewaktu panas. Selain sate, lemang, lontong sambal sotong, mi bandung dan nasi beriani dulang menu yang digemari ramai.

Apa lagi yang best di sini? Semestinya minuman free flow yang boleh anda refill sebanyak mana anda mahu!

Alamat: 10, Jalan Tempinis, Kampung Tengah, 47100 Puchong, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Ahad (7.30 am – 2.30 pm)

Restoran Jaosamut

Ada yang teringin untuk makan makanan Thai tetapi tak tahu restoran mana yang sedap? Jom ajak yang tersayang ke Restoran Jaosamut yang terletak di Cyberjaya. Pemilik restoran adalah Muslim dari Bangkok, semestinya rasa setiap menu original seperti berada di Thailand.

Sebut sahaja makanan Thai, menu utama yang menjadi tumpuan semestinya tom yum. Tom yum di Restoran Jaosamut mempunyai tekstur yang pekat, berlemak dan secukup rasa. Daging Harimau Menangis, Somtam dan Sotong Masak Telur Masin antara yang perlu anda cuba untuk makan bersama nasi putih dan tom yum. Pad Thai, Pad Kra Pao dan Pulut Mangga juga menu yang pasti memikat selera anda!

Alamat:  4807-0-20, CBD Perdana, 2, Persiaran Flora, Cyber 12, 63000 Cyberjaya, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-10.00 pm)

Wakey Breaky @ASAP Steamboat & Grill

Nak sarapan yang berlainan dari kebiasaan? Ini tempatnya yang boleh anda bersarapan dengan menu-menu barat. Sesekali cuba menu barat untuk sarapan pasti membuatkan anda mahu mencubanya lagi.

Tak tahu nak makan apa? Cuba signature menu mereka iaitu Big Breakfast Set, Breaky BurgerBeef Bacon Aglio Olio, Rigatoni Ragu Lamb mahupun set Carnivore. Untuk minuman pula, apa kata anda cuba Sunshine, Wake Me Up mahupun Blessed Morning yang mampu menyegarkan tekak dan hari anda!

Alamat: 94, Jalan Tempinis, Kampung Tengah A, 47100 Puchong, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Isnin (7.30 am – 2.30 pm)

Sisik Ikan Bakar

Mencari tempat makan di Selangor yang menyediakan menu bakar-bakar yang sedap? Apa kata anda datang ke Sisik Ikan Bakar yang berada di Seksyen 13. Restoran sangat eksklusif, selesa dan cantik. Pengunjung boleh makan di ruangan dalam mahupun luar.

Siakap bakar tempoyak dan sotong bakar madu adalah menu yang perlu anda cuba dan makan bersama nasi panas. Ikan dan makanan laut yang lain tak dinafikan sangat besar dan segar. Anda boleh pilih sendiri saiz makanan laut atau ikan serta jenis menu yang anda mahu.

Selain itu, telur sotong bakar rempah, asam pedas telur mayong dan udang goreng tepung berempah merupakan menu unik, sedap dan sukar untuk dijumpai di restoran lain. Banyak lagi pilihan menu tradisi yang ada. Makan bersama pelbagai jenis ulam dan sambal-sambal menjadikan hidangan anda lengkap.

Alamat: No. 1A Jalan Earobik 13, 43, Persiaran Kayangan, Seksyen 13, 40700 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (11.00 am-12.00 pm) | Sabtu & Ahad (10.30 am – 12.00 am)

La Padella Western & Itallian

Ada penggemar makanan barat? Di Puchong ada satu port western viral yang sedap iaitu La Padella Western & Itallian yang dibuka seawal 4.00 petang. Sebut sahaja menu barat yang anda tahu, semuanya ada di sini.

Nak cuba menu yang berlainan dari kebiasaan? Cuba Chicken Parmigiana, Spaghetti Beef Meatball Arabiata dan Nachos Gonzlez.  Kuantiti hidangan besar dan membuatkan ramai yang tersandar kekenyangan selepas makan.

Alamat: Jalan 3, Kampung Pasir Puchong, 47100 Puchong, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (4.00 pm-12.00 am)

Gerai Syam Bawah Pokok

Bagi yang rindu makanan Kelantan, datang saja ke Gerai Syam Bawah Pokok. Menu yang viral baru-baru ini juga ada iaitu colek-colek. Pengunjung boleh memilih pelbagai jenis menu colek seperti ketam celup tepung, udang celup tepung dan lain-lain. Colek buah tidak ketinggalan!

Nak mudah, pilih saja set talam colek yang mengandungi ikan siakap goreng, kerang, udang, suhun, , somtamdan lain-lain. Colek dengan beberapa jenis sos istimewa pasti lebih berselera. Set Mukbang Talam dan Sotong Buncit Bakar juga memuaskan!

Bagi yang datang untuk sarapan atau makan tengah hari, anda perlu cuba nasi kak wok, menu yang amat terkenal di Kelantan.

Alamat: Lot 535 Jalan Indah 1 ,Taman Puchong Indah, Puchong 47150, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (9.30 am – 3.30 pm| nasi kak wok) | (5.30 pm – 1.30 am (colek viral kelate)

Ikan Bakar Terangkat

Teringin makan ikan bakar sedap pada waktu malam? Ikan Bakar Terangkat pasti menjadi port yang anda setiap kali ingin makan ikan bakar. Ikan dan makanan laut semuanya besar dan segar. Ikan bakar dan sotong bakar petai antara yang terlaris. Menu yang dibakar bersama rempah istimewa menambahkan keenakan menu ini. Cicah pula bersama sambal kicap, memang berapi!

Jika tanya pelanggan tetap apa makanan yang perlu dicuba, pasti mereka mencadangkan Shell Platter Terangkat, Udang Butter dan Ketam Telur Masin menjadi pilihan untuk makan bersama nasi panas.

Alamat: No.1, Lot 3083, Jln Ayer Hitam, Kampung Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (4.30 pm-12.00 am)

Aroi Street Food

Satu lagi port makanan Kelantan dan Thai yang boleh anda cuba di Selangor adalah Aroi Street Food. Selain di Shah Alam, ada lagi beberapa cawangan termasuklah di Ampang.

Colek-colek dan aneka menu bakar merupakan best seller di Aroi Street Food. Kesemuanya segar, besar, tidak liat dan dihidangkan ketika masih panas. Jika datang bersama pasangan apa kata pesan set Aroi yang mengandungi udang harimau menangis, daging dan sotong bakar, suhun, salad dan 2 jenis sambal yang padu serendah RM 50 sahaja.

Jika tak cukup, pesan pula set Mukbang yang dihidangkan dengan udang, sotong, pepahat, kepah dan ketam yang disiram bersama sambal yang mengancam!

Alamat: 1-01-1, presint alami, Persiaran Akuatik, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Khamis – Selasa (1.00 pm-12.00 am)

Mameen Celup Tepung Selambak

Celup tepung sangat terkenal di Terengganu lebih-lebih lagi port yang berada di tepi pantai. Nak ke Terengganu semata-mata untuk makan celup tepung memang tak berbaloi. Oleh itu, Celup Tepung Selambak yang berada di Shah Alam dapat mengubat kerinduan ramai terhadap menu ini.

Ikan, sotong, udang dan lain-lain dicelup dengan tepung, digoreng dengan rangup dan dihidangkan panas-panas. Kerangupannya memang memuaskan dan dihidangkan selambak dengan harga yang berbaloi! Banyak pilihan celup tepung namun jika anda ingin mencuba kesemua pilihan, pesan sahaja Set Dulang Serba Satu yang dihidangkan bersama sambal padang yang padu dan mengancam!

Selain celup tepung, cuba juga menu popular yang lain seperti nasi arab, Set Tulang Selambak, asam pedas, ikan bakar, teh madu leleh dan ABC Dol. Jangan risau, masakan panas yang lain juga ada, sebut sahaja apa yang anda mahu untuk mengisi perut yang kosong!

Alamat: Lot 4557, ABC Batu 8, Jln Kebun Tambahan, Seksyen 30, 40460 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Selasa – Ahad (12.00 pm – 10.30 pm)

Al-Fateh Steamboat & Grill

Port steamboat yang terkenal di Lembah Klang dengan harganya yang murah, anda boleh dapatkan di Al-Fateh Steamboat! Al-Fateh Steamboat mempunyai beberapa cawangan lain di Selangor seperti Klang dan Shah Alam. Datang sahaja ke cawangan yang berdekatan dengan anda.

Pilihan makanan laut memang banyak dan yang penting segar belaka. Pilihan sayur dan bebola juga banyak, tak lupa juga aneka daging dan ayam perap. Untuk pilihan sos, enam jenis sos istimewa ditawarkan buat pengunjung, pilih saja yang sedap! Pengunjung boleh memilih dua jenis kuah sama ada sup atau tom yam.

Tak cukup dengan steamboat, pengunjung juga boleh menikmati aneka kuih-muih, ayam Korea dan beberapa jenis fast food. Nak lebih kenyang? Makan pula dengan menu bergoreng dan pasta. Menu yang mesti anda cuba semestinya Roti Kukus Sang Kaya. Rotinya memang lembut dicicah pula dengan Sang Kaya yang rasanya manis-manis.

Alamat: 42, Jalan Kristal K7/K, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (5.30 pm-12.00 am)

Soru Station

Imej via Soru Station

Soru Station mempunyai banyak cawangan termasuk di Setia Alam, Bangi, Ampang dan Puchong. Jika ada yang tak tahu, Soru Station merupakan antara port western terbaik dan murah di Selangor. Dari aneka pasta, daging bakar, burger, nasi dan lain-lain dijual dengan kuantiti yang banyak dan harga yang berbaloi. Nak lagi berbaloi? Kunjungi website Soru Station untuk melihat promosi semasa.

Tak tahu nak cuba makanan western yang mana? Cuba sahaja kesemua menu yang didatangkan hanya dalam satu set sama ada set Mini Platter, Supreme Mini mahupun Prime Mini yang boleh dimakan dari 2 hingga 4 orang.

Setiap cawangan dibuka setiap hari kecuali Isnin dan dibuka bermula 12.00 tengah hari hingga 12.00 malam.

Kampung Lah

Imej via Kampung Lah

Datanglah ke Kampung Lah sekiranya tekak anda teringin untuk makan masakan kampung dari gulai, lauk-pauk dan kuih-muih. Bukan sahaja menu kampung, malah vibe di restoran ini juga membawa anda kembali ke kampung dengan dekorasi tradisional.

Antara menu lauk-pauk yang sedap termasuklah Udang Harimau Sambal Petai Menora, Daging Salai Batang Pinang Masak Nogori dan Sayur Bendi Ikan Bilis Mak Mertua merupakan gabungan terbaik untuk makan bersama nasi putih. Jangan lupa untuk makan bersama ulam dan sambal belacan. Baru lengkap menu tradisi ini!

Ubi Kayu Cik Ayu salah satu menu lain yang perlu dicuba. Ubi kayu rebus didatangkan dengan empat jenis sambal, ikan masin dan serbuk kelapa.

Alamat: No. 43 Ground Floor, Jalan PJU 5/20E, Pusat Perdagangan Kota Damansara, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: 11.30 am – 10.00 pm

Hot Pot King

Imej via Hot Pot King

Hot Pot King juga port steamboat best di Shah Alam. Dua lagi cawangannya terletak Kuala Lumpur. Apa istimewanya Hot Pot King? Semestinya pilihan makanan yang lebih banyak yang dikatakan lebih 100 jenis pilihan. Banyak kan? Harga steamboat juga sangat berbaloi iaitu serendah RM 29.80 sahaja.

Pilihan makanan laut memang banyak termasuklah lala, kepah, pepahat, sotong dan udang. Pilihan bebola dan sayur memang rambang mata dibuatnya. Kuah tomyam terasa masam manisnya dan tidak terlampau pedas. Sesuai untuk kanak-kanak.

Mutton Signature, Beef Paprika dan Beef Teriyaki antara daging perap yang perlu dan mesti anda cuba. Setiap perapan memang terasa rempahnya, juicy dan paling penting tidak liat jika anda bakar dengan sempurna. Cicah dengan tujuh jenis pilihan sos sedap lebih memikat. Jika mahukan kelainan, cipta sendiri sos dengan mencampurkan pilihan bahan yang disediakan.

Alamat: 2, Jalan Kristal Ar7/Ar, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (1.00 pm – 11.30 pm)

Nan & Co

Imej via Nan & Co

Siapa sangka warung tepi jalan ini menjual aneka makanan barat yang sedap dan persembahan hidangannya memang padu, setaraf kafe dan hotel bertaraf tinggi! Harga yang ditawarkan sangat berbaloi.

Chicken Tenders, Lamb Chop, Lammee dan Spaghetti Carbonara antara yang menjadi kegemaran ramai. Rasanya memang sedap dah kuantiti hidangan mengenyangkan. Tak percaya? Banyak review baik yang diberikan oleh pelanggan. Cubanya sendiri anda pasti tak menyesal!

Alamat: 108, Jalan PJU 1a/5, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor

Waktu operasi: Isnin – Jumaat (12.30 pm – 6.00 pm)

Hanora Kitchen

Hanora Kitchen terkenal dengan menu-menu yang sedap dan harga yang murah. Bagi pelajar atau pekerja yang mencari port makan tengah hari, rugi jika tak datang ke sini. Namun, rancang perjalanan sebaiknya kerana kerana restoran ini sangat pada menjelang makan tengah hari.

Salted Egg Chicken, Butermilk Chicken, Lemon Dory Fish, Prawn Salted Egg dan Sweet Sour Chicken dihidangkan bersama nasi putih. Menu-menu ini antara yang terlaris tau! Satu portion memang cukup mengenyangkan dengan harga serendah RM 8.90 sahaja!

Alamat: No B2. Kiosk Shah Alam Walk, Jalan Majlis, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Isnin – Jumaat (10.45 am – 8.00 pm)

My Oppa Kitchen

Imej via My Oppa Kitchen

Satu-satunya kedai makan dengan makanan Korea yang tersenarai di sini kerana keenakannya semestinya My Oppa Kitchen. Bukan sahaja menu Korea, malah masuk sahaja ke kedai seolah-olah berada di Korea dengan dekorasi menggambarkan negara itu.

Tempat makan di Selangor ini mendapat pujian ramai. Pelbagai menu boleh dipilih dengan harganya yang murah. Buldak Ramyeon, Jjampong, Jajangmyeon dan Tteokbokki anda boleh rasai dengan puas. 5 jenis stew pasti puas dimakan ketika hujan. Aneka pancake yang terkenal di Korea juga ada. Nak lebih berbaloi, pesan sahaja hidangan dalam bentuk set.

Alamat:  07-G, Jalan Bidara 7/1, Bandar Saujana Utama, 47000 Sungai Buloh, Selangor

Waktu operasi:  Selasa – Ahad (11.30 am-9.30 pm)

Suatu Perjalanan

Mantao bun yang dicicah bersama Butter Chilli Clam adalah salah satu menu yang perlu anda cuba di Suatu Perjalanan. Signature menu di kedai ini semestinya buttermilk yang boleh dimakan bersama ayam, udang, sotong atau seafood. Tomyam juga menjadi pilihan ramai iaitu tomyam kaki ayam, ayam, udang, seafood dan tomyam campur. Memang tak jumpa tomyam kaki ayam di tempat lain.

Nak makan dengan latar yang estetik? Ini salah satu restoran yang mempunyai konsep minimalist dan elegan. Jom datang ke tempat makan di Selangor yang best dan sedap ini!

Alamat: Lot 4088 (Pt117802-2A Jalan Ikhsan, Batu 7, Jln Kebun, Seksyen 30, 40460 Shah Alam, Selangor

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (11.00 am-8.30 pm)

Ikan Bakar Petai Banjir

Kedai ini sering dipenuhi ramai pada waktu kemuncaknya iaitu tengah hari namun tak perlu risau kerana tempat makan luas dan selesa. Pihak restoran juga sentiasa menambah lauk-pauk dari semasa ke semasa.

Masak lemak siput sedut, kari sotong dan asam pedas ikan pari pilihan ramai pengunjung untuk makan bersama nasi panas. Lepas makan pasti menjilat jari. Jika anda datang sewaktu petang, ada tambahan menu lain yang istimewa iaitu Set Dulang. Nak tau apa lagi yang ada? Jom datang sendiri ke sini!

Alamat: Jalan Sungai Ramal Dalam, Dalam, Kampung Sungai Ramal, 40300 Kajang, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.00 am-10.00 pm)

Myewarung (Celup Tepung)

Imej via El Aryem Halim

Myewarung terkenal dengan kedai makan yang menjual aneka celup tepung yang sedap dan murah. Harga celup tepung serendah RM 3 hingga RM 10 sahaja untuk satu pinggan. Udang, sotong, ikan dan keropok lekor dicelup dengan tepung dan digoreng dengan rangup.

Nak makan makanan yang lebih berat? Antara menu best seller adalah nasi bujang, nasi lemak Rahmah, char kuey teow udang dan mi udang. Banyak lagi menu lain menanti anda termasuklah masakan panas, soto, rojak dan makanan barat. Harga memang sangat murah dengan setiap portion yang mengenyangkan!

Alamat: Jln Parit Omar, Kampung Bukit Kuching Tengah, 45800 Jeram, Selangor

Waktu operasi: Khamis-Selasa (12.00 pm – 9.00 pm)

BBQ Lamb KL Kemensah

Ini satu lagi tempat makan di Selangor yang sedap dan best! Warga KL dan Selangor pasti tidak asing lagi dengan BBQ Lamb KL Kemensah yang unik. Hal ini kerana pengunjung boleh makan sambil merendamkan kaki di dalam sungai. Memang seronok merasai pengalaman menarik ini dan pasti lebih berselera untuk menikmati setiap hidangan.

Set Mixed Meat sangat sesuai untuk yang dalam dalam kumpulan kerana satu set dulang dihidangkan dengan ayam, itik,lembu dan kambing bakar serta nasi, coleslaw dan sos. Ayam, itik dan daging dibakar dengan perapan khas. Makan begitu sahaja sudah cukup nikmat apatah lagi dicicah bersama sos.

Perlu diingatkan untuk membuat tempahan terlebih dahulu agar anda tidak perlu menunggu giliran dengan lama untuk makan. BBQ Lamb KL Kemensah sering dipenuhi pengunjung terutama pada waktu cuti.

Alamat: 19, Jalan Taman Zooview, Kampung Kemensah, 68000 Ampang, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-12.00 am)

Restoran Kukus

Imej via KUKUS

Terletak di Klang, Restoran Kukus terkenal dengan konsep restoran yang klasik, mengimbau kenangan 60 an hingga 80 an. Mana tidaknya, restoran dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang terdiri daripada pinggan mangkuk, coklat, jajan dan mainan zaman dahulu. Dibuka untuk sarapan dan makan tengah hari, menu yang ditawarkan juga merupakan menu tradisi.

Sekiranya mahu bersarapan dengan makanan yang ringan, kami cadangkan anda untuk cuba roti bun cicah kari kaki ayam, ubi kayu rebus yang dicicah bersama sambal dan serbuk kelapa dan lempeng kelapa.

Untuk makan tengah hari, ada pelbagai menu nasi yang lebih mengenyangkan. Nasi ayam berempah, nasi ayam masak kunyit dan nasi ikan patin masak tempoyak antara yang mencuri tumpuan kami. Satu lagi menu istimewa adalah Tongmo yang mempunyai isi daging yang sangat padat dan dijual dengan harga RM 3 sahaja untuk biji.

Alamat: TBG 1004, 70, Jln Tepi Sungai, Taman Wangi, 41100 Klang, Selangor

Waktu operasi: Khamis-Selasa (9.30 am-3.30 pm)

Warung Dimyati/ Roti Canai Pelangi

Buat yang mahu sarapan di Kuala Selangor, terus sahaja ke Warung Dimyati atau dikenali dengan Roti Canai Pelangi. Ia dinamakan sempena roti canai yang mempunyai tujuh perisa atau warna seakan pelangi.

Roti canai bukan sekadar diletakkan perwarna malah mempunyai perisa tersendiri iaitu original, jagung, strawberi, epal, keladi dan durian. Selain roti canai, ada juga roti telur, roti jantan, roti sarang dan pelbagai lagi jenis roti.

Setiap roti ini didatangkan dengan kari biasa dan sambal. Nak lebih sedap, add-on kari ayam, kari daging dan kari kambing serendah RM 3 hingga RM 6. Selain roti canai, banyak pilihan menu lain seperti nasi lemak, mi goreng, pecal, nasi ambeng dan lain-lain. Aneka jenis kuih membuatkan ramai yang rambang mata.

Alamat: Lot 2430 Batu 3 Kampung Sungai Yu 1, Kampung Sungai Yu, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin & Jumaat (7.00 am-2.30 pm)

Nasi Kandar Mamu FZ

Baru-baru ini, kedai Nasi Kandar Mamu FZ di Puncak Alam telah viral kerana kesedapannya tiada tandingan dan harganya antara yang termurah di Selangor serendah RM 6.50 sahaja! Restoran besar, bersih dan selesa.

Lauk-pauk juga banyak pilihan dari kari ikan jenahak, ayam goreng bawang, kari sotong dan lain-lain. Kuah campur memang pekat. Sedap dan surr! Memang patut tersenarai dalam tempat makan di Selangor yang menarik dan sedap!

Alamat: 13, Jalan Puncak Alam Jaya 10, Bandar Puncak Alam, 42300 Bandar Puncak Alam, Selangor

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am – 10.00 pm)

Dalm 25 tempat makan di Selangor di atas, pasti ada yang mencuri tumpuan anda. Tengok gambar sahaja sudah terliur, apatah lagi menikmati sendiri menu-menu di atas.

Dari sarapan hinggalah makan malam, banyak pilihan menu yang pasti kena dengan tekak anda. Ada makanan tradisi, makanan barat, menu ala Thai dan lain-lain. Yang pasti, kesemua tempat makan di Selangor yang tersenarai merupakan cadangan dari ramai pengunjung yang telah mencubanya serta mereka telah memberikan komen positif terhadap kedai tersebut.

Sedang bercuti di Selangor bersama yang tersayang? Jika anda tak tahu tempat menarik yang boleh dikunjungi di negeri ini, kami kongsikan beberapa tempat best untuk anda!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.