Teratak Tok Alang memang sangat terkenal dengan lokasi perkhemahan yang menarik. Nak tahu apa yang menarik di sini hingga dapat menarik ramai pengunjung? Jom kita terokainya sebagai lokasi percutian akan datang.

Teratak Tok Alang terletak di Batang Kali, Selangor yang sememangnya menjadi lokasi pecinta alam untuk bercuti dengan tenang dan jauh dari kesibukan kota. Tempat perkhemahan ini berada di kawasan dusun yang terjaga elok.

Terletak kira-kira satu jam dari ibu kota Kuala Lumpur, kawasan ini memang mudah untuk diakses atau ditemui. Namun jika anda ingin berkhemah di sini, anda haruslah membuat tempahan terlebih dahulu.

Tapak Perkhemahan

Tapak berkhemah memang banyak. Jika kesemua tapak mempunyai pengunjung sekalipun, privasi anda tetap terjaga kerana jarak antara setiap tapak memang jauh dan selesa buat setiap pengunjung.

Kadar sewaan setiap tapak sangat berbaloi. Harganya berbeza mengikut jenis dan saiz khemah. Buat masa kini, tapak khemah bersaiz standard adalah RM 50 manakala khemah bersaiz besar adalah RM 60. Camper car pula dikenakan bayaran RM 60 sahaja. Jika anda mahu menginap 3 hari 2 malam, harga yang dikenakan lebih berbaloi.

Buat mereka yang baru ingin merasai pengalaman berkhemah, kami cadangkan anda untuk memilih pakej The Spot iaitu pakej yang menawarkan kelengkapan berkhemah yang sempurna. Khemah, tarp, meja, tilam dan sebagainya siap dipasangkan untuk anda. Sesuailah untuk mereka yang mahu healing dan berkhemah tanpa bersusah-payah membawa barangan berkhemah.

Tak mahu menginap? Anda masih boleh menikmati persekitaran di sini. Malah ada pakej daytrip buat pengunjung.

Satu keunikan yang ada di sini adalah berada di dalam dusun buah-buahan. Anda bertuah jika datang pada musim buah kerana dapat merasai keenakan buah yang segar seperti durian, manggis dan cempedak.

Berbeza dari tempat perkhemahan yang lain, di Teratak Tok Alang anda boleh check in seawal 8.00 pagi dan tiada ketetapan untuk check out. Namun selewatnya adalah pada waktu petang.

Kemudahan

Tandas merupakan salah satu faktor utama yang perlu dipertimbangkan dalam mencari port berkhemah yang terbaik. Tinjauan kami terhadap feedback pengunjung rata-rata berpuas hati dengan kebersihan tandas di sini. Tandas yang berkonsepkan klasik di sini menggunakan sumber air bukit sepenuhnya. Memang bersih dan menyegarkan!

Sinki juga disediakan di setiap tepi tandas. Mudahlah pengunjung untuk membersihkan apa-apa barangan sepanjang perkhemahan.

Selain itu, pihak campsite turut menyediakan surau yang selesa. Terdapat ruangan solat untuk lelaki dan perempuan untuk kemudahan pengunjung yang berkhemah di sini mahupun pengunjung yang datang untuk daytrip sahaja.

Bukan itu sahaja, kemudahan plugpoint turut disediakan untuk pengunjung menggunakan peralatan eletrik seperti mengecas telefon bimbit dan sebagainya. Nak sewa generator dan powerbank juga boleh.

Parkir yang disediakan juga luas dan bersih. Kadar parkir dikenakan dengan kadar RM 5 per entry. Antara kemudahan lain yang boleh anda sewa adalah pondok rehat dan pit barbeku.

Pasti ada yang tertanya-tanya tentang line coverage di kawasan ini kan? Jangan khuatir kerana telko untuk Celcom, Maxis dan Digi sangat lancar di sini. Silap-silap anda tidak berpeluang untuk menggunakan telefon bimbit kerana asyik melayani percutian di tengah alam ini.

Aktiviti Menarik

Aktiviti yang boleh pengunjung lakukan di sini memang unik dan menarik. Kesemuanya anda boleh sertai dan ada yang dikenakan bayaran namun tetap berbaloi. Ada juga pakej berkhemah yang termasuk dengan kadar sewaan beberapa aktiviti.

Aktiviti utama di sini semestinya mandi-manda di sungai. Apa yang menarik adalah sungai di sini sangat sejuk, jernih dan bersih. Hal ini menjadi sebab utama mengapa ramai pengunjung memilih Teratak Tok Alang sebagai lokasi perkhemahan dan bermandi-manda.

Sungai pula ada tempat cetek yang sesuai untuk kanak-kanak serta ada tempat yang dalam untuk dewasa berenang dengan riang. Bawa anak-anak di kawasan cetek dan tidak berbatu untuk selamat, namun anda juga perlulah sentiasa memantau mereka. Terlupa membawa pelampung? Jangan risau anda boleh menyewanya di sini.

Mahukan aktiviti yang penuh dengan informasi sambil melakukan aktiviti tersebut? Anda boleh menyertai aktiviti water tubing dengan menerokai keindahan alam semulajadi dengan pelampung. Perjalanan dengan jarak 1.5KM yang mengambil masa kira-kira 45 minit bergantung kederasan air sungai dan menempuh 4 jeram.

Pada waktu malam pula, pengunjung boleh menyertai aktiviti night walk dengan kadar RM 10 untuk dewasa manakala RM 5 untuk kanak-kanak berumur tujuh tahun. Aktiviti ini bermula 9.45 malam dan akan menyelusuri hutan dan sungai sepanjang 2km. Aktiviti ini akan diketuai oleh swiper yang terlatih. Memang best dapat menikmati keindahan alam semula jadi pada waktu malam.

Mahukan aktiviti lebih mencabar? Jangan risau kerana anda boleh menunggang ATV dan melalui trek yang sangat mencabar. Ada juga aktiviti memanah.

Tak sah jika berkhemah tanpa barbeku. Jika anda tidak membawa peralatan barbeku anda boleh menyewanya. Ada juga barangan keperluan yang boleh anda dapati di kedai runcit di kawasan ini termasuklah ais batu, kayu api dan produk salai.

Maklumat Lanjut

Nak tahu maklumat lanjut atau ingin membuat sebarang tempahan, layari laman berikut:

No telefon: 019-807 4517

Facebook: Teratak TOK ALANG

Lokasi: Teratak Tok Alang, Kampung Hulu Rening, Batang Kali, Selangor.

Menarik kan lokasi perkhemahan di Teratak Tok Alang? Rata-rata pengunjung yang pernah datang ke sini memberikan komen positif malah ramai yang ingin bercuti semula pada masa akan datang. Bukan sahaja tempat menarik, malah layanan atau perkhidmatan yang disediakan juga memuaskan.

Jika anda berminat, lakukan tempahan segera kerana lokasi ini sentiasa dipenuhi pengunjung terutama pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

Bawa anak-anak mahupun berkhemah bersama rakan pasti lebih meriah dan lebih seronok kerana dapat meluangkan masa bersama-sama sambil melakukan pelbagai aktiviti menarik. Apa tunggu lagi? Jom rancang bersama mereka! Selamat bercuti!

Buat nature lover atau kaki camping di Selangor, jangan lepaskan peluang untuk berkhemah di sini pula:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.