|

Pulau Tenggol: Cantik Dan Mempesona Di Terengganu

Pulau Tenggol merupakan pulau yang terletak di Terengganu. Seperti yang kita semua tahu, negeri Terengganu terkenal dengan negeri yang mempunyai pantai dan pulau yang cantik. Disebabkan negeri ini mempunyai pelbagai pulau yang menarik, ramai pelancong luar yang datang ke sini untuk menikmati keindahan pantai mahupun pulau.

Pulau Tenggol merupakan pulau yang terkenal bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti selam skuba. Pulau Tenggol mempunyai lebih daripada 20 lokasi menyelam dengan tarikan yang berbeza. Sekiranya anda mencari tempat untuk menarik untuk bercuti bersama keluarga mahupun rakan-rakan, anda boleh datang ke pulau ini.

Cara Ke Pulau Tenggol

Imej via [myisland]

Sekiranya anda ingin datang ke Pulau Tenggol, anda perlu menaiki kereta, bas atau kapal terbang untuk pergi ke jeti. Seperti yang anda tahu, pulau ini merupakan pulau kecil yang terpencil di negeri Terengganu. Jadi, satu-satunya cara untuk anda datang ke pulau ini ialah dengan menaiki bot. Bot yang anda akan naiki untuk ke pulau ini ialah jeti Aking Dungun.

Masa perjalanan untuk ke jeti akan memakan masa selama 3 hingga 4 jam. Sekiranya anda ingin datang ke jeti dengan menaiki bas, anda akan mengambil masa selama 7 jam. Masa perjalanan dari jeti ini ke pulau Tenggol mengambil masa selama 20 hingga 30 minit. Penempahan bot dibuat dari pusat menyelam mahupun resort kerana bilangan bot yang tidak banyak seperti di pulau yang lain.

Snorkelling

Walaupun pulau ini merupakan pulau yang kecil, aktiviti yang ditawarkan seperti snorkeling pastinya tidak akan mengecewakan anda. Menariknya di sini, sekiranya anda melakukan aktiviti snorkeling, anda pasti akan kagum dengan keindahan batu karang yang berwarna warni dan sihat.

Selain daripada melihat kecantikan batu karang, anda juga dapat melihat hidupan laut yang lain seperti ikan tropika Angelfish, Damsels, Wrasse, Butterflyfish. Jika anda bernasib baik, anda mungkin akan berpengalaman berjumpa dengan anak jerung dan anak penyu yang terdapat di sekitar ini.

Di sini juga terdapat tempat tumpuan bagi peminat snorkeling. Mereka yang ingin melakukan aktiviti snorkeling biasanya akan dibawa ke “Turtle Point”. Hal ini kerana keadaan air di sini lebih tenang dan sesuai untuk melakukan aktiviti snorkeling. Keadaan air yang jernih juga memberikan anda kelebihan untuk melihat hidupan laut dengan lebih jelas.

Jungle Trekking

Sekiranya anda meminati aktiviti lasak, aktiviti jungle trekking yang di sediakan di sini pastinya akan menarik perhatian anda. Bukit yang terletak di tengah-tengah pulau ini berketinggian sehingga 800 kaki. Anda bukan sahaja dapat menikmati udara yang segar, malah anda juga dapat melihat pelbagai jenis spesies tumbuhan dan haiwan yang terdapat di bukit ini.

Selain itu, bukit ini merupakan bukit yang dilindungi dari aktiviti pencerobohan da pembangunan menjadikan banyak khazanah alam masih dipelihara. Hutan simpan di Pulau Tenggol merupakan salah satu daripada 44 hutan simpan yang terdapat di negeri Terengganu. Antara spesies pokok yang terdapat di sini ialah pokok Balau Laut, tongkat ali dan Meranti yang berumur antara 150 hingga 200 tahun.

Mereka yang mendaki ke sini kebanyakannya ingin melihat pemandangan pulau Tenggol dari atas puncak. Anda juga berpeluang melihat keindahan matahari yang terbenam dari atas puncak dengan latar belakang pulau Tenggol. Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang terdapat di pulau ini.

Bersantai Di Tepi Pantai

Imej via [percutianbajet]

Aktiviti yang tidak akan dilepaskan ketika datang ke pantai ialah bersantai. Bersantai di tepi pantai dan merasai angin lembut yang menyapa muka pastinya memberikan ketenangan kepada anda. Keindahan Pulau Tenggol juga ialah memiliki pasir putih yang lembut dengan air pantai yang bersih.

Anak-anak anda juga pasti akan suka dengan aktiviti membina istana pasir yang menjadi kewajipan kanak-kaak setiap kali datang ke pantai. Anda dapat berjemur di tengah pantai dan duduk makan bersama keluarga dengan membentang tikar pastinya akan melengkapkan percutian anda ketika bercuti ke sini.

Menyelam Skuba

Imej via [holidaygogogo]

Rasai pengalaman menyelam scuba di Pulau Tenggol. Bagi peminat selam skuba, anda pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk menikmati keindahan laut dalam yang pastinya akan memukau anda. Bagi para penyelam scuba di pulau ini, anda pasti akan terpukau dengan penyu yang akan datang menyelam bersama-sama anda.

Sekiranya anda bernasib baik, anda dapat melihat jerung paus yang dikatakan terdapat di pulau ini. Anda juga boleh melihat pelbagai jenis ikan seperti humphead parrotfish, giant stingray, leopard shark, batfish, whale shark dan schooling jacks. Bagi peralatan scuba pula, anda boleh membawa sendiri peralatan anda mahupun menyewa di resort yang terdapat di sini.

Kursus Menyelam PADI

Imej via [tenggol]

Pulau Tenggol terkenal dengan tempat menyelam yang menarik terutamanya bagi mereka yang suka melihat hidupan laut. Sekiranya anda ingin merasai pengalaman menyelam di pulau ini, anda boleh belajar menyelam dan mendapatkan sijil daripada PADI ketika berada di sini. Menariknya di sini, jika anda belajar berenang, anda dapat menikmati rupa dasar laut yang menarik dan dipenuhi dengan pelbagai jenis spesies laut.

Selain itu, anda dapat merasai sendiri pengalaman menyelam dengan bimbingan pengajar skuba. Kursus ini akan mengajar anda dari cara untuk timbulkan badan, daya kecemasan dan Teknik navigasi. Anda akan diberikan sijil menyelam setelah anda berjaya melepasi semua peperiksaan di kursus ini. Jom belajar sambil menikmati keindahan pulau Tenggol. Memang berbaloi!

Sukan Air

Bagi mereka yang menyukai sukan air, terdapat pelbagai aktiviti lain yang dapat anda lakukan selain daripada menyelam scuba dan snorkeling. Antaranya ialah terdapat beberapa resort yang menawarkan perkhidmatan seperti berkayak, berlayar, surfing dan banyak lagi.

Kesemua aktiviti ini sememangnya sesuai jika anda meminati sukan lasak. Hal ini kerana, kesemua sukan ini memerlukan ketahanan tangan yang baik. Aktiviti ini sememangnya sesuai untuk dilakukan bersama-sama rakan anda. Jangan lepaskan peluang untuk merancang percutian idaman anda di sini!

Tempat Menyelam Terbaik

Imej via [caridestinasi]

Walaupun Pulau Tenggol merupakan pulau yang kecil, Pulau Tenggol mempunyai tempat menyelam terbaik dengan jumlah yang banyak sehingga 20 tempat menyelam. Kesemua tempat menyelam ini mempunyai suasana yang berbeza seperti arus air dan spesies hidupan marin yang akan anda temui.

Imej via [

Antara tempat menyelam terkenal disini ialah Tokong Timur, Teluk Air Tawar, Gua Rajawali, Tanjung Gemuk, Moonrackeri dan banyak lagi. Tempat menyelam ini sangat menarik kerana mempunyai tarikan yang berbeza. Sekiranya anda ingin melihat spesies Lizardfish dan Ikan Pisang, anda boleh datang ke tokong timur.

Manakala Teluk Air Tawar kebiasaannya dikunjungi oleh penyelam yang berpengalaman kerana arusnya yang deras. Hidupan laut di Teluk Air Tawar mula aktif dengan kehadiran Humphead Parrotfish, Ikan Pari Gergasi dan banyak lagi. Bagi mereka yang suka melihat terumbu karang, Moonrackeri pasti akan menarik perhatian anda. Hal ini kerana formasi terumbu termasuk struktur terumbu keras setinggi 5 hingga 10-meter dan pelbagai terumbu lembut dan kulit terdapat di sini.

Tempat Penginapan

Imej via [caridestinasi]

Terdapat dua tempat penginapan yang dapat anda pilih ketika bercuti di Pulau Tenggol. Antara tempat penginapan yang terdapat di sini ialah Tenggol Coral Beach Resort dan Tenggol Island Beach Resort. Tempat penginapan ini mempunyai tarikan masing-masing.

Sekiranya anda ingin penginapan bertaraf hotel, anda boleh menginap di Tenggol Coral Beach resort. Coral Beach Resort menyediakan bilik yang dilengkapi dengan pemandangan laut yang cantik. Terdapat beberapa bilik yang dapat anda pilih iaitu standard room, bayview chalet, beach front chalet dan beach front deluxe. Resort ini juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang dapat anda lakukan.

Tenggol island beach resort pula merupakan resort menyelam yang diiktiraf oleh PADI. Resort ini merupakan resort mesra kanak-kanak dan kemudahan seperti restoran bagi mereka yang menginap di sini. Sekiranya anda ingin belajar menyelam, anda boleh mengambil pakej yang disediakan di resort ini. Sama seperti resort coral, resort ini juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang lain.

Kesimpulan

Pulau Tenggol sememangnya menjadi tarikan para pelancong sama ada di luar mahupun dalam negara. Keindahan hidupan laut seharusnya tetap dipelihara agar generasi akan datang dapat melihat pelbagai ikan dan hidupan laut yang semakin pupus.

Keindahan di Pulau Tenggol ini juga bukan sahaja tertumpu pada kehidupan di dalam laut, malah persisiran pantai yang cantik dihiasi pasir putih pastinya memberikan anda ketenangan ketika bercuti ke sini. Air laut yang jernih dengan pemandangan matahari terbenam di pulau Tanggol ini pastinya berbaloi untuk dilihat dengan keluarga mahupun pasangan yang tercinta. Jangan lepaskan peluang anda untuk merasai sendiri pengalaman bercuti ke sini.

Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:

Rujukan:

Halal Will Travel. (2020). My Pulau Tenggol Experience: A Peaceful And Secluded Island Getaway In Terengganu. https://www.havehalalwilltravel.com/pulau-tenggol-resort-2020

Lokasi Percutian. (2019). Tempat Menarik Di Pulau Tenggol, Terengganu. https://lokasipercutian.com/tempat-menarik-di-pulau-tenggol-terengganu/

Similar Posts