Sulur Bidar: Lagenda Tasik Kenyir
Tasik Kenyir yang terletak di Terengganu merupakan antara tempat yang hangat diperkatakan dengan kemunculan sulur bidar. Bagi masyarakat Melayu, anda pastinya pernah mendengar mengenai makhluk yang menghuni di kawasan sungai, tasik dan lubuk paya. Mereka yang gemar memancing pastinya akan mengenali makhluk misteri ini.
Legenda yang terdapat di Tasik Kenyir juga dikatakan akan muncul apabila tibanya hari hujan. Legend aini sering diperkatakan setiap kali para pemancing berada di Sulur Bidar ini. Sulur Bidar ini sebenarnya gelaran yang diberikan oleh kaki pemancing untuk menunjukkan makhluk ini. Malah sulur bidar ini juga turut ditemui di Tasik Banding Royal Belum, Tasik Chini dan Sungai Pahang.
Nama Sulur Bidar turut dikenali sebagai Hantu Balung Bidai. Menurut orang-orang lama, Sulur Bidar ini digambarkan sebagai makhluk yang berbentuk seperti tikar dan mempunyai 4 kepala di penjuru tikar tersebut. Apa yang membuatnya menjadi menakutkan adalah kerana kekuatannya yang mampu menerbalikkan bot kecil dengan membuat kocakan kepada sungai, paya mahupun tasik.
Terdapat legenda yang menyatakan badan makhluk misteri ini seakan kulit ular tetapi berbentuk segi empat dan leper. Bentuknya yang seperti tikar serta warna yang putih menjadikannya makhluk yang lagenda bagi para pemancing. Sulur Bidar ini dikatakan akan menggulung mangsanya dan menenggelamkannya ke dalam air selama beberapa hari.
Lagenda popular yang dikatakan dalam kalangan masyarakat ialah Lagenda di Tasik Kenyir ini kemungkinan terdiri dari gangguan jin mahupun syaitan yang suka menganggu manusia. Semangat jahat yang terdapat di dalam air tersebut telah menyerupai tikar tersebut bagi menyasarkan mangsa mereka.
Selain itu, ada juga masyarakat Sunda yang menggelar Sulur Bidar ini sebagai Leled Samak. Leled membawa maksud menggulung manakala samak bermaksud tikar. Mengikut kepercayaan mereka, lagenda ini dikatakan bermula apabila tikar mengkuang yang digunakan untuk tujuan mengalas jenazah seorang lelaki pengamal ilmu hitam telah dibuang ke dalam sungai. Hal ini telah menyebabkan roh jahat yang menjadi tempat penunggu sungai tersebut mula mendampingi tikar itu.
Disebabkan oleh kisah legenda yang semakin berleluasa, terdapat beberapa orang yang memberitahu bahawa kemunculan sulur bidar ini sebenarnya dapat dikesan. Sulur Bidar ini dikatakan akan muncul apabila terdapatnya kesan puasaran melalui buih-buih yang muncul beserta daun-daun yang terdapat di sekitar tasik. Pusaran ini akan menimbulkan bau yang hanyir.
Penduduk tempatan menyatakan bahawa keadaan daun tersebut kering dan boleh dibakar. Apa yang pelik ialah daun tersebut sebenarnya muncul dari dasar laut. Bagi masyarakat yang beragama islam, mereka diperingatkan untuk melaungkan azan dengan kuat apabila berada dalam situasi tersebut bagi mengelakkan sesuatu yang buruk dari berlaku.
Terdapat beberapa orang yang berkongsi pengalaman mereka sendiri ketika penampakan sulur bidar ini. Antaranya ialah Encik Mohamed Asri Bin Omar (49 tahun) yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Hal ini terjadi ketika beliau pergi memancing di Tasik Banding Royal Belum, Gerik, Perak.
Beliau menyatakan bahawa terdapat perubahan saiz pada buih yang muncul secara tiba-tiba di tengah sungai. Buih tersebut mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk menjadi semakin besar. Namun begitu, tiada kelibat rupa dan warna makhluk misteri yang dikesan dengan lebih terperinci.
Hal ini juga terjadi kepada sekumpulan pekerja yang telah meletakkan kamera mereka di dasar air untuk merakam projek mereka. Walau bagaimanapun, terdapat kejadian yang tidak disangka dimana kamera tersebut telah merakam makhluk yang seakan kain bergerak di hadapan kamera. Hal ini telah menimbulkan banyak spekulasi masyarakat.
Kejadian ini berterusan dan diperkatakan oleh semua masyarakat sehingga krew dan pemilik houseboat di Tasik Kenyir menyatakan ‘fenomena’ itu sebagai gas yang datang dari tanah. Hal ini turut di sokong oleh pihak Oil & Gas berikutan hal ini menolak seluruh spekulasi yang ditimbulkan mengenai kewujudan Sulur Bidar.
Terdapat sebuah video yang dimuat naik oleh Jeremy Buckingham bagi menyokong pernyataan yang dikeluarkan oleh mereka. Secara saintifiknya, tasik, lombong ataupun sungai sememangnya menyimpan daun dan kayu-kayu kering yang mereput di dalam dasarnya.
Buih yang membuak-buak pada permukaan air itu sebenarnya adalah gas H2S (Hidrogen Sulfat) yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Gas tersebut adalah hasil daripada benda reput yang terendap di dalam laut, tasik buatan manusia ataupun sungai.
Walaupun begitu, pada 6 Oktober 2020, terdapat sebuah video yang telah dimuat naik oleh Ustaz Rosdi Hasan TV, di saluran Youtube milik beliau. Kandungan video tersebut jelas menunjukkan kemunculan buih di dalam sungai yang beliau pergi. Ustaz Rosdi Hasan dilihat menyeru makhluk tersebut bagi melihat sendiri sekiranya fenomena tersebut betul mahupun tidak.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa makhluk sulur bidar tersebut sememangnya wujud. Hal ini dikatakan demikian kerana kesan buih yang muncul apabila diseur. Beliau juga menyatakan bahawa buih tersebut tidak berbau hanyir seperti yang dinyatakan. Walaupun begitu, beliau hanya dapat merasai kemunculan makhluk tersebut tetapi tidak melihat rupa dan warnanya dengan jelas.
Kesimpulan
Lagenda sulur bidar ini sememangnya masih kuat diperkatakan dalam kalangan pemancing. Walaubagaimanapun, kewujudan ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya. Jika dilihat dari sudut yang logic, penjelasan secara saintifik sememangnya akan membuatkan ramai orang lebih mempercayainya berbanding dengan perkara ghaib yang disampaikan oleh orang dulu-dulu. Apa pendapat anda?
Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti: