|

Pulau Perhentian Kecil: Info Menarik Patut Anda Tahu

Buat anda yang tak pernah mengunjungi Pulau Perhentian, pasti anda tak tahu bahawa Pulau Perhentian ada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Ianya sangat penting untuk diketahui kerana dua pulau ini mempunyai banyak perbezaan.

Perbezaan ini juga akan mempengaruhi bajet, aktiviti dan perjalanan anda untuk ke sini. Namun apa yang perlu anda tahu adalah masa dan cara untuk ke sini adalah sama. Tambahan pula, kedua-dua buah pulau ini hanya bersebelahan.

Tertanya-tanya apa yang ada di Pulau Perhentian Kecil? Ini info menarik yang patut anda tahu sebelum merancang untuk ke sini!

Waktu Terbaik Ke Sini

Sebelum anda merancang percutian ke sini, anda perlu tahu bahawa Pulau Perhentian sesuai dikunjungi pada bulan Mac hingga Oktober kerana dari November hingga Februari mengalami musim monsun. Jadi berhati-hati dalam merancang segala aktiviti percutian melibatkan air.

Waktu yang paling baik dan menarik untuk mengunjungi pulau ini adalah bermula Julai hingga Ogos. Selain cuacanya yang baik untuk aktiviti pantai, anda juga dapat menikmati suasana atau pemandangan pantai dengan lebih cantik.

Cara ke Pulau Perhentian

Imej via [ Expedia ]

Jika anda ingin ke Pulau Perhentian menaiki kapal terbang, ambil tiket ke lapangan terbang yang berada di Kota Bharu kerana lebih dekat berbanding lapangan terbang di Kuala Terengganu. Kemudian naik teksi atau van untuk ke Jeti Besut. Sekiranya anda menaiki bas, stesen bas terdekat adalah Stesen Bas Kuala Besut.

Sama seperti Pulau Perhentian Besar, anda perlu ke Pulau Perhentian Kecil dengan menaiki bot laju dari Jeti Kuala Besut dengan tempoh perjalanan 30 hingga 45 minit. Namun anda perlu tahu bahawa Pulau Perhentian Kecil tidak mempunyai jeti. Untuk sampai ke sini, anda perlu menyewa bot kecil dari persisir laut ke pantai.

Harga tiket bot laju atau feri dari Jeti Besut ke Pulau Perhentian adalah RM 35 untuk dewasa manakala RM 20 untuk kanak-kanak. Tambang ini untuk perjalanan sehala sahaja.

Berikut merupakan jadual perjalanan untuk menaiki feri atau bot laju dari Jeti Besut ke Pulau Perhentian:

Imej via [ Besut Jetty ]

Berikut merupakan jadual perjalanan dari Pulau Perhentian ke Jeti Besut:

Imej via [ Besut Jetty ]

Penginapan

Ada tiga lokasi penginapan yang anda boleh pilih iaitu Coral Bay, Long Beach dan Kampung Nelayan. Setiap penginapan di lokasi ini mempunyai kelebihan tersendiri.

Lokasi yang paling meriah di Pulau Perhentian Kecil semestinya Long Beach. Menginaplah di Long Beach untuk menikmati pemandangan pantai yang lebih cantik dan boleh mandi dengan selesa di sana.

Kebanyakan penginapan di sini mengenakan kadar penginapan yang sedikit tinggi berbanding dua lokasi lain. Namun apa yang menarik adalah suasana di sini lebih meriah dan menjadi tempat tumpuan utama jika ke Pulau Perhentian. Walaupun begitu, kemeriahannya kurang sesuai untuk kanak-kanak lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana sedikit bising.

Antara chalet atau resort yang terdapat di sini adalah D’Rock Garden Resort, Panorama Chalet, each Guest House dan Matahari Chalet.

Coral Bay juga mempunyai pemandangan yang menarik namun pantainya kurang sesuai untuk kanak-kanak kerana terdapat banyak batu karang. Namun buat muda-mudi, pasti menjadi port terbaik untuk bergambar lebih-lebih lagi untuk melihat matahari terbenam.

Jarak dari Long Beach ke Coral Bay adalah 15 minit berjalan kaki. Anda boleh menginap di Shri-La Island Resort, Senja Bay Resort, Arbay Chalet, Amy Chalet dan lain-lain.

Kami mencadangkan anda untuk menginap di Kampung Nelayan jika membawa keluarga yang mempunyai anak-anak kecil. Paling menarik terdapat banyak gerai jualan yang menjual makanan enak dan jauh lebih murah. Lebih banyak pilihan makanan dan senang sahaja untuk mencarinya.

Aktiviti menarik

Buat pengetahuan anda, Pulau Perhentian Kecil sesuai untuk mereka yang suka akan aktiviti lasak dan suka akan percutian yang penuh dengan pelbagai aktiviti.

Aktiviti pertama adalah mendaki di Hiking Windmill selama 30 minit untuk sampai ke puncak. Pemandangan dari puncak sememangnya memukau kerana dapat melihat laut kebiruan yang luas.

Jika penginapan anda berada di Long Beach, D’Lagoon atau Coral Bay, anda boleh mendaki ke sini tanpa membuat sebarang bayaran tambahan. Namun jika anda menginap di Kampung Nelayan, anda perlu menyewa bot untuk ke sini kerana jaraknya yang agak jauh.

Anda juga boleh berjalan ke Coral Bay untuk menikmati pemandangan matahari terbenam paling cantik dan jelas. Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan saat romantis melihat matahari terbenam bersama yang tersayang.

Aktiviti utama yang perlu anda cuba semestinya scuba diving atau snorkeling. Pendek kata, rugi jika ke Pulau Perhentian tetapi tidak melakukan aktiviti ini terutama snorkeling.

Antara check point menarik untuk snorkeling adalah Turtle Point, Shark Point dan Taman Laut. Anda juga mungkin berpeluang untuk berenang bersama jerung, penyu serta melihat kehidupan marin yang lain.

Bukan itu sahaja, aktiviti lain yang boleh menggembirakan anda adalah berkayak, menaiki banana bot, island hopping, bermain layang-layang dan banyak lagi.

Imej via [ Perhentian Fireshow ]

Aktiviti sebelah malam juga ada. Aktiviti yang sering dinantikan semestinya persembahan api atau ‘fireshow’. Jika anda menginap di Coral Bay, anda perlu ke Long Beach untuk menikmati persembahan api yang pasti memukau penonton. Diingatkan untuk membawa lampu suluh kerana sepanjang jalan tiada lampu dan gelap.

Info Tambahan

Di Pulau Perhentian Kecil tidak mempunyai kenderaan seperti kereta. Jika anda ingin mengelilingi pulau di daratan, anda perlu berjalan kaki. Namun untuk ke suatu tempat dari tempat yang lain tidaklah begitu jauh.

Bukan itu sahaja, anda perlu membawa wang tunai yang mencukupi kerana di sini tiada mesin ATM. Bawa wang secukupnya untuk memudahkan urusan anda.

Tak cukup dengan itu, bawa roti dan air mineral secukupnya kerana dengan cuaca yang panas dan aktiviti yang pasti memenatkan. Jika anda bawa roti sendiri, bolehlah anda memberi ikan-ikan makan.

Seeloknya buatlah tempahan melalui agen dengan pakej-pakej yang lebih berbaloi. Dengan pakej ini, anda tak perlu pening kepala memikirkan penginapan, pengangkutan dan aktiviti untuk dilakukan. Bayar sahaja dan semuanya tersedia dengan mudah.

Imej via [ Tuna Bay ]

Secara ringkasnya, kami mencadangkan anda untuk ke Pulau Perhentian Besar jika inginkan percutian yang lebih eksklusif, mewah, relaks dan tenang. Namun jika anda inginkan percutian dengan lebih banyak aktiviti lasak serta bajet kecil, Pulau Perhentian Kecil sesuai untuk anda.

Pasti ramai yang menjadikan Pulau Perhentian sebagai destinasi percutian bersama keluarga, bulan madu atau percutian korporat. Mana tidaknya, pulau ini antara pulau tercantik di Malaysia dan menjadi destinasi utama pelancong yang suka akan laut.

Berminat untuk melancong ke Pulau Perhentian Kecil? Rancanglah percutian anda sebaiknya ke sini. Pergi ke Terengganu jangan lupa singgah ke tempat-tempat di bawah. Selamat bercuti!

Similar Posts