Tips melancong ke Turki ini pasti membantu anda yang sedang dalam perancangan untuk bercuti di negara yang penuh dengan tempat yang menarik, memukau, senang mencari makanan halal, barangan murah dan tempat yang kaya dengan sejarah. Tak hairanlah jika Turki menjadi destinasi percutian luar negara idaman ramai.

Antara bandar Turki yang terkenal dan menjadi destinasi pelancongan utama adalah Cappadocia, Istanbul dan Ankara. Tempat menarik yang menjadi idaman ramai untuk diterokai pula semestinya Hagia Sophia, Blue Mosque, Grand Bazar dan sebagainya.

Aktiviti utama yang perlu dicuba semestinya menaiki belon udara panas, melihat permandangan indah di puncak batuan dan lain-lain. Nak cerita tentang keistimewaan Turki memang tiada penyudah. Jadi jika anda mempunyai perancangan untuk ke sini, ini tips penting yang perlu anda tahu sebelum ke sini.

Pilih waktu melancong yang sesuai

Turki juga mengalami perubahan musim seperti negara Eropah yang lain iaitu musim bunga, musim sejuk, musim luruh dan musim panas. Waktu terbaik untuk menjelajah ke negara ini semestinya pada musim bunga iaitu pada April. Anda akan melihat bunga tulip mekar di kebanyakan kawasan selain cuacanya yang berangin sejuk walaupun matahari terpacak di atas kepala.

Bagi yang berkesempatan untuk merasai cuaca sejuk dan bermain salji di Turki, anda boleh ke sini sekitar Disember hingga Mac. Cuaca memang sangat sejuk serta waktu siangnya pendek. Dengar kata, kos percutian pada musim ini memang rendah.

Membuat perancangan bajet

Nak bercuti memang memerlukan perancangan bajet dengan baik. Hal ini dapat mengelakkan anda berbelanja lebih dari kadar yang ditetapkan.

Setiap orang pasti mahukan penjimatan sewaktu bercuti. Untuk lebih jimat, anda perlulah membuat tempahan tiket penerbangan dan penginapan seawal yang mungkin. Tiket penerbangan lebih rendah jika anda memilih untuk transit namun tempoh perjalanan sedikit panjang. Kadar penginapan pula tinggi pada waktu puncak serta tempahan saat akhir.

Selain itu, anda seharusnya mengkaji terlebih dahulu bayaran lain yang diperlukan seperti kos makan, kos pengangkutan awam serta bayaran tiket masuk ke tempat tertentu. Apabila sudah membuat senarai pengurusan bajet, anda perlulah patuhinya.

Jangan buat pertukaran wang di lapangan terbang atau hotel

Seperti yang kita tahu, kadar pertukaran wang asing lebih tinggi jika anda menukarkannya di lapangan terbang atau hotel. Oleh itu, buatlah penukaran wang asing dengan awal di tempat yang sepatutnya. Oh ya, sebelum terlupa di Turki menggunakan mata wang lira.

Tentukan destinasi yang ingin dituju

Anda juga perlulah membuat persediaan awal terhadap lokasi-lokasi yang bakal anda kunjungi di Turki. Hal ini dapat menjimatkan masa serta melancarkan lagi perjalanan anda. Jika sudah ada tempat menarik yang ingin dituju, hadkan masa anda di setiap destinasi tersebut.

Muat turun aplikasi penting

Tips ini sangat penting terutama buat anda yang melancong secara individu mahupun tanpa sebarang agen pelancongan. Antara aplikasi penting yang perlu anda muat turun sewaktu di Turki adalah BiTaksi untuk teksi awam. Anda boleh mendapatkan teksi tanpa menggunakan aplikasi ini namun kadarnya lebih tinggi serta terdapat risiko ‘scam’.

Zomato pula adalah aplikasi untuk mencari tempat makan menarik berdasarkan review pengunjung serta Trafi iaitu aplikasi yang menghubungkan semua jenis pengangkutan awam seperti tram, keretapi, metro dan bas.

Simpan dokumen penting dan barang berharga dengan baik

Tak kira luar negara mahupun dalam negara, pasti ada kes kecurian terhadap pelancong. Namun di luar negara, caranya lebih licik sehingga anda pasti tidak dapat menyedari kehilangan barang anda. Simpan dokumen penting dan barang berharga seperti wang, kad pengenalan, passport dan sebagainya dengan baik.

Berhati-hatilah apabila berada di kawasan tumpuan, kawasan yang dipenuhi orang serta di dalam perkhidmatan awam yang anda naiki. Lokasi-lokasi ini menjadi ‘hotspot’ kegiatan yang tidak berperikemanusiaan ini.

Bukan itu sahaja, ada juga kegiatan tidak bermoral iaitu ‘scam’ dengan pelbagai cara licik termasuklah peminta sedekah, menyamar menjadi polis atau askar serta pengilap kasut.

Ketahui beberapa perkataan asas Turki

Tips ini juga antara tips melancong ke Turki yang penting. Anda perlu tahu bahawa kebanyakkan rakyat Turki tidak boleh berbahasa Inggeris walaupun berada di kawasan tumpuan. Anda digalakkan untuk mempelajari beberapa perkataan asas bahasa Turki agar memudahkan anda untuk berkomunikasi bersama mereka. Hal ini juga penting dalam urusniaga.

Paling tidak, perkataan yang anda harus ketahui adalah terima kasih, nombor, tawar-menawar dan panggilan hormat.

Jika tidak sempat mempelajarinya, anda juga boleh menggunakan translator seperti Google Translate. Namun cara ini pasti melambatkan anda untuk berkomunikasi antara satu sama lain.

Menaiki pengangkutan awam

Bagi yang bercuti secara solo mahupun bercuti tanpa menggunakan perkhidmatan agen pelancongan, anda sememangnya perlu menaiki pengangkutan awam agar lebih mudah dan jimat. Lebih banyak pengangkutan awam di sini termasuklah tram, metro dan feri. Gunakan aplikasi Trafi agar lebih mudah untuk mengakses pengangkutan awam ini.

Dah tahu tips melancong ke Turki, mudahlah anda untuk mengatur segala perancangan dengan mudah. Memang seronok melancong ke Turki, tak hairanlah jika ada yang datang kembali ke negara ini untuk bercuti.

Sambil bercuti, secara tidak langsung anda dapat didedahkan dengan sejarah, adat dan budaya masyarakat Turki, melihat keunikan negara ini, mencuba pelbagai menu Turki yang sedap dan mencuba pelbagai aktiviti luar biasa.

Apa tunggu lagi? Jom rancang percutian anda ke Turki! Selamat bercuti!

Jika anda seorang yang suka melancong, tips-tips melancong di negara tumpuan ini pasti membantu anda kelak:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.