|

15 Tempat Menarik di JB untuk Kanak-kanak

Banyak tempat menarik di JB untuk kanak-kanak jika anda ingin bawa mereka pada musim cuti sekolah ini. JB atau Johor Bahru sememangnya mempunyai banyak tarikan dan kawasan pelancongan terutama taman tema. Tempat-tempat seperti ini memang sangat sesuai untuk semua golongan termasuk kanak-kanak.

Ada tempat berbayar dan ada juga tempat yang percuma. Yang pasti kesemua tempat ini mesra kanak-kanak dan menjanjikan keseronokan sambil belajar dan mengasahkan bakat mereka dalam aktiviti-aktiviti tertentu. Apa tunggu lagi, jom kita teroka tempat untuk bawa mereka bersukaria pada hujung minggu ini.

Legoland

Imej via [ Legoland ]

Tempat paling popular di Johor yang sesuai untuk semua golongan usia termasuk kanak-kanak adalah Legoland. Kanak-kanak yang suka bermain lego terutamanya pasti teruja dapat bermandi-manda sambil bermain bermacam permainan santai dan juga lasak.

Selain taman tema air, sealife iaitu akuria yang menempatkan banyak hidupan laut dan taman tema juga ada di sini dengan tiket berlainan. Jika anda hendak teroka seluruh Legoland dengan harga lebih jimat dan berbaloi, jangan risau ada pakej harga combo untuk anda.

Nak habiskan semua permainan air dan darat ini dalam sehari pun tak cukup. Apa kata anda rancang terlebih dahulu permainan apa yang hendak dicuba sebaik sampai disini agar dapat jimat lebih masa. Nak lagi selesa apa kata bawa anak-anak bermalam di hotel Legoland yang cantik dihiasi pelbagai tema lego. Setiap penginapan mempunyai pengembaraan untuk anda seisi keluarga.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 10.00 pagi-5.00 petang

Harga tiket: Dewasa (RM 189) | Kanak-kanak (RM149)

Alamat: 7, Persiaran Medini Utara 3, 79100 Nusajaya, Johor.

Desaru Coast Adventure Park

Imej via [ Tripadvisor ]

Anak-anak suka bermain air? Nak bawa anak ke taman tema air yang lebih murah dan berbaloi? Apa kata bawa sesisi keluarga ke Desaru Coast Adventure Park dan luangkan masa seharian mencuba semua aktiviti menyeronokkan sampai penat.

Antara permainan atau tarikan yang menarik adalah Riptide, Giant Water Slides, Wild World dan lain-lain. Yang pasti semua permainan ini bertaraf dunia. Naik roller coaster pun pasti memberi pengalaman berbeza. Kenapa? Roller coaster di sini akan menurun dengan laju dari ketinggian 30 meter lalu masuk ke kolam air.

Waktu operasi: Khamis – Ahad | 10.00 pagi – 6.00 petang

Harga tiket: RM 65.00 | Kanak-kanak bawah tiga tahun (Percuma)

Alamat: No 4, Jalan Danau, DesaruCoast 81930 Bandar Penawar, Johor.

Austin Height Adventure Park

Imej via [ Tripadvisor ]

Taman tema air memang banyak di Johor. Austin Height Adventure Park tidak kurang hebatnya dari taman tema air yang lain. Baru dibuka pada tahun 2018, memang sesuai dengan anda yang hendak bersukaria bersama anak-anak dengan lebih selesa kerana tidak terlalu padat dengan pengunjung.

Bukan permainan air sahaja yang ada, luncur ais, sports and leisure park, taman adventure land, go-cart dan jumpstreet turut ada untuk anda meluangkan masa bersama anak-anak dengan seronok. Untuk pengetahuan anda, Austin Height Adventure Park merupakan taman tema terbesar di Malaysia berkonsepkan edutainment.

Waktu operasi: Isnin-Jumaat | 10.00 pagi-6.00 petang

Harga tiket:

Taman air- Dewasa (RM 80) | Kanak-kanak bawah 120cm (RM 70) | Kanak-kanak bawah 3 tahun (RM 12)

Adventure park- Dewasa (RM 80) | Kanak-kanak bawah 120cm (RM 80)

Alamat: 71, Jalan Austin Heights 8/1, Taman Mount Austin, 81 100 Johor Bahru, Johor.

Skyscape

Imej [ Skyscape Johor Bahru ]

Di Johor pun anda boleh lihat pemandangan sekitar negeri ini dengan panorama 360 darjah tau sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Khas untuk anda yang berani sahaja, seperti berdiri di awang-awangan kerana anda perlu berdiri di lantai yang berkaca sambil menjamu mata melihat sekeliling.

Untuk pengetahuan anda, Skyscape berada di puncak bangunan KOMTAR Johor Bahru Sentral Station. Jom tengok gelangat anak-anak anda apabila berada di lantai berkaca seolah sedang terapung. Takut atau lebih mengujakan mereka?

Waktu operasi: Ahad-Jumaat | 9.30 pagi-5.30 petang

Harga tiket: Dewasa (RM 28) | Kanak-kanak (RM 18)

Alamat: Level 34, Menara JLand Johor Bahru City Centre (JBCC, Jalan Tun Abdul Razak, 80000 Johor Bahru, Johor.

Zoo Johor

Imej via [ City Seaker ]

Walaupun anggaran haiwan hanya 100 ekor sahaja di sini, namun zoo ini masih menarik untuk dikunjungi kerana terdapat pelbagai haiwan yang ada seperti badak air, buaya, rusa dan harimau. Bukan sekadar kunjungan biasa, anak-anak pasti terpukau dengan gelagat haiwan-haiwan tersebut.

Kanak-kanak perlu di bawa ke zoo agar mereka dapat mengenali dan belajar tentang haiwan-haiwan yang berada di dunia. Secara tidak langsung, mereka juga dapat belajar menghargai alam flora dan fauna. Paling istimewa, anak-anak berpeluang menaiki dan mendayung bot di sebuah kolam kecil di sini.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 8.30 pagi – 6.00 petang

Harga tiket: RM 2

Alamat: Jalan Gertak Merah, Taman Istana, 80000 Johor Bahru, Johor.

Dinasour Alive

Imej via [ KSL Resorts ]

Dinasour Alive adalah taman tema air yang khas buat kanak-kanak. Nama pun dinasour, memang ada beberapa replika dinasour yang sangat besar di sini buat kanak-kanak pecinta dinasour. Tak cukup dengan itu, dinasour ini juga mempunyai sensor dan bunyi, memang kelihatan asli.

Dinasour Alive terletak di Hotel KSL. Bayaran masuk untuk tetamu hotel adalah percuma, berbeza dengan pengunjung luar. Nak lagi menarik anda boleh memasuki ke taman tema air ini tanpa had jika anda menginap di hotel ini. Bawa seisi keluarga untuk menginap di sini dengan harga berbaloi dan perkhidmatan yang memuaskan.

Waktu operasi: Isnin-Juamat

Harga tiket: Dewasa & Kanak-kanak (RM 50) | Warga emas (RM 30)

Alamat: 33 Jalan Seladang 80250 Johor Bahru.

Rock World

Imej via [ Weekend Notes ]

Khas untuk kanak-kanak berumur atas 12 tahun yang suka memanjat, Rock World adalah platform yang tepat bagi mereka untuk menyerlahkan lagi bakat terpendam. Lengkap dengan sistem keselamatan yang baik serta tenaga pengajar, anda tidak perlu was-was dan boleh memanjat sepuas hati.

Aktiviti lasak ini pasti digemari mereka. Sebelum datang ke sini, anda perlu membuat tempahan tiket terlebih dahulu secara dalam talian. Sebarang tempahan tiket secara walk in tidak diterima. Yang pasti bayaran masuk berbaloi untuk anda sekeluarga bersukan.

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (6.00 petang- 10.00 malam) | Sabtu & Ahad (10.00 pagi-10.00 malam)

Alamat: No. 6, Jln Perniagaan Setia 4, Setia Business Park 2, 81100 Johor Bahru, Johor.

Don Hu Jurassic Park

Imej via [ Tripadvisor ]

Terletak di Muar, taman yang mengumpulkan pelbagai jenis dinasour yang besar dan kelihatan sangat real pasti membuatkan anda seperti berada di zaman dinasour dan seperti dalam filem Jurrasic World. Kini lebih menarik kerana bukan sekadar pameran, malah terdapat banyak permainan untuk anak-anak bermain dengan riang.

Tiket juga sangat berpatutan dengan 14 permainan berbeza. Hanya RM 10 sahaja untuk satu permainan, RM 50 untuk 6 kali bermain dan RM 100 untuk bermain sebanyak 14 kali permainan yang ada. Ada juga kedai yang menjual cenderamata dinasour seperti keychain dan patung dinasour yang dijual dengan harga yang berbaloi dan murah.

Waktu operasi: Khamis-Selasa | 10.00 pagi-6.45 petang

Alamat: Kampung Sabak Aur, 84000 Muar, Johor.

Lasser Battle Experience

Imej via [ The Smart Local ]

Berkonsepkan glow in the  dark, berada di dalam ruang ini seolah-olah sedang berperang di zaman maya dan moden. Mana tidaknya, penuh dengan lampu LED serta peralatan yang canggih, pasti mengujakan anda serta anak-anak. Dapat pegang pistol yang mempunyai sensor LED menambahkan ‘feel’ untuk berperang.

Anda dan keluarga yang sukakan cabaran dan aktiviti berpeluh memang patut datang ke sini. Lebih 55 pilihan mod permainan yang boleh anda pilih bermula dari peringkat mudah hingga mencabar. Setiap permainan mengambil masa selama 10 minit.

Waktu operasi: Isnin-Rabu (11.00 pagi-7.00 malam) | Khamis-Ahad (11.00 pagi-8.00malam)

Harga tiket: RM 35 – RM 48

Alamat: Lot MS-11, Johor Bahru City Square, 108, Jalan Wong Ah Fook, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor.

Olymkids

Imej via [ Olymkids ]

Olymkids merupakan sebuah taman permainan ‘indoor’ diwujudkan bukan sahaja untuk berseronok namun dapat memupuk minat bersukan dan menggalakkan mereka berlajar melalui permainan. Terdapat 20 permainan menarik yang anak anda boleh cuba seperti mini rock climbing, kickboxing, memanah dan menembak.

Ibubapa atau penjaga juga boleh menemani dan bermain bersama anak. Secara tidak langsung, anda dapat mengetahui minat atau hobi serta mengasah bakat anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang ada.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 10.00 pagi-10.00 malam

Alamat: L2-53 Toppen Shopping Centre, 33, Jln Harmonium, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru, Johor.

Playlrn

Imej via [ KLOOK ]

Terletak di pusat membeli-belah R&F, memang banyak permainan sesuai untuk ibubapa dan anak-anak seperti Baby Gym, Creative Station dan Discovery Station. Di sini, anak-anak boleh bermain dengan seronok sambil belajar banyak perkara seperti tentang cara penyelesaian masalah.

Taman permainan ini sesuai untuk bayi hingga kanak-kanak berumur 12 tahun. Jika sudah penat bermain, anda boleh berehat bersama anak di kafe yang telah disediakan. Tak perlu khuatir, kawasan ini selamat, bersih dan selesa.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 10.00 pagi-10.00 malam

Harga tiket: Dewasa (RM 15) | Kanak-kanak (RM 55-RM 65)

Alamat: 02-86b Mercu 1, Jalan Tanjung Puteri, 1, R&F, Tanjung Puteri, 80300 Johor Bahru, Johor.

Fanpekka

Imej via [ ticket2u ]

Berada di tingkat dua Aeon Tebrau, taman permainan dalaman ini berkonsepkan ala-ala fantasi. Dengan keluasan 27 500 kaki persegi, anak-anak pasti teruja dan puas bermain pelbagai aktiviti di sini. Sewaktu pandemik ini, had masa yang ditetapkan untuk satu tiket adalah dua jam sahaja. Namun puas untuk mereka bermain sepuas hati.

Jangan lupa bawakan stoking untuk anak-anak atau anda boleh membelinya di kaunter Fanpekka dengan harga RM 6.00. Diinspirasikan daripada Finland, taman permainan ini dipisahkan kepada empat zon berbeza. Bukan sekadar bermain, anda juga dapat mengasah bakat si kecil.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 10.00 pagi-10.00 malam

Harga tiket: Dewasa (RM 12) | Kanak-kanak (RM 62)

Alamat: Persiaran Desa Tebrau, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru, Johor.

Utopia Jungle World

Imej via [ KLOOK ]

Utopia Jungle World berada di tingkat 1 Paradigm Mall. Terdapat lapan zon berbeza yang anak-anak boleh bermain iaitu Bumper Car, Jungle World, Nature’s Beach, Balloon House, Interactive Slide, Rainbow Tree, Adventure Pool dan Art Zone.

Nak mencuba banyak zon dengan lebih jimat? Apa kata anda pilih pakej kombo untuk kesemua sekali dengan penjimatan berganda. Tempat ini tak terlalu besar dan tak terlalu kecil tetapi sesuai dengan anak-anak untuk bermain dengan riang dan boleh dipantau dari jauh.

Waktu operasi: Harga tiket: Dewasa (Percuma) | Kanak-kanak 1-12 tahun (RM 12 – RM 45, mengikut zon) | Kanak-kanak bawah 1 tahun (Percuma)

Alamat: Paradigm Mall Johor Bahru 1F13-13A, Jalan Bertingkat Skudai, 81200 Johor Bahru, Johor.

Kiddytopia

Imej via [ Visit Johor ]

Antara tarikan yang pasti tidak akan mengecewakan anak-anak anda adalah Lego House, Rainbow and Donut Slide dan Ball Pool. Aktiviti santai untuk mereka juga ada iaitu menonton mini pawagam dan bermain di bahagian Toddler. Ibu bapa atau penjaga boleh turut serta menemani anak-anak ketika bermain.

Indoor Playground ini bertempat di tingkat empat The Mall Mid Valley Southkey. Berdasarkan review pengunjung, tempat ini bersih, selesa dan selamat. Paling penting, staf peramah dan baik, mudah untuk pelanggan berurusan. Anak-anak teruja, penjaga juga turut teruja dan rasa ingin bermain bersama-sama.

Waktu operasi: Isnin-Ahad | 10.00 pagi- 10.00 malam

Harga tiket: Kanak-kanak 2-12 tahun (RM 20- RM 38) | Kanak-kanak bawah 2 tahun (RM 15-RM 20) | Penjaga (Percuma) *tertakluk pada pakej dan waktu anda datang

Alamat: TM-042 & 043, Level 4, Mid Valley, Persiaran Southkey 1, Southkey, 81100 Johor Bahru, Johor.

Seven Castle

Imej via [ KLOOK ]

Seven Castle wajar dimasukkan ke dalam senarai tempat menarik di JB untuk kanak-kanak kerana tempat ini merupakan kawasan permainan dalaman yang meriah. Ada kolam bola, gelongsor berwarna-warni, terowong mini, trampoline dan macam-macam lagi.

Berada di perkarangan Tesco Desa Tebrau, bayaran masuk Seven Castle bergantung pada tempoh masa dan hari yang anda kunjungi tempat ini untuk bermain. Bawa anak-anak ke taman permainan dalaman lebih selamat, selesa dan seronok berbanding taman permainan di luar. Walaubagaimanapun, sentiasa pantau anak agar perkara tidak diingini berlaku.

Waktu operasi: Isnin-Sabtu | 10.00 pagi-10.00 malam

Alamat: Lot 73A, Level 2, Jalan Bertingkat Skudai, Taman Bukit Mewah, 81200 Johor Bahru, Johor.

Sebenarnya banyak tempat menarik di JB untuk kanak-kanak bersukaria melakukan pelbagai aktiviti. Namun ada beberapa tempat yang telah ditutup sepenuhnya kesan daripada pandemik ini. Ayuh sokong dan rancakkan kembali dunia kanak-kanak ini agar tidak ada lagi yang ditutup. Sambil berseronok jangan lupa untuk jaga SOP yang ditetapkan untuk melindungi si kecil dan seisi keluarga.

Kami juga ada menulis artikel lain tentang tempat menarik yang lain di Johor seperti:

Similar Posts