5 Aktiviti Taman Botani Putrajaya (Santai dan Menarik)

Taman Botani Putrajaya merupakan tempat rekreasi yang sering dikunjungi oleh penduduk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Setelah penat bekerja, ramai yang ke sini untuk bersantai atau beriadah.

Taman Botani Putrajaya terletak di Presint 1 dan mula dibuka pada 31 Ogos 2001. Untuk pengetahuan anda, Taman Botani Putrajaya pernah mendapat anugerah di peringkat antarabangsa.

Taman ini pernah tersenarai dalam 40 taman yang mempersonakan di Asia yang terkandung dalam buku Paradise Found: Journeys Through Noble Gardens of Asia. Bukan itu sahaja, pada 2008, Yayasan Chelsea Diraja, London telah menganugerahkan Taman Botani Putrajaya sebagai Taman paling mengagumkan di Asia Pada Pameran Bunga Perdana Premier Dunia Chelsea.

Keluasan Taman Botani ini adalah 230 ekar bersamaan 93 hektar. Memang sangat luas, bersih dan selesa untuk anda beriadah seisi keluarga.  Terdapat 700 spesis flora di tanam dan kesemuanya diimport khas dari lebih 90 buah negara. Menariknya, tiket masuk adalah percuma! Ruang parkir yang disediakan buat pengunjung sangat luas dan selesa.

Tahukah anda Putrajaya mempunyai banyak taman untuk beriadah. Taman Botani Putrajaya adalah antara Taman-Taman Awam di Putrajaya yang menakjubkan sehingga mendapat gelaran Mother of All Gardens.

Persekitaran yang dipenuhi alam flora yang cantik dengan konsep ‘Bandar dalam Taman’ memang sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah. Jom teroka aktiviti yang boleh anda lakukan di sini!

Teroka Pelbagai Tanaman

Imej via [ Taman Botani Putrajaya ]

Anda seorang penggemar botani? Anda memang perlu datang ke sini dan melihat sendiri pelbagai jenis bunga, herba dan tumbuhan lain yang unik. Bukan sekadar lawatan, anda juga boleh belajar dan memperoleh pelbagai maklumat bermanfaat.

Terdapat lapan tema tanaman Taman Etnobotani  yang ada di sini termasuklah ubatan, ulaman, tanaman pinggir hutan dan sebagainya. Pasti ada tanaman yang  tidak pernah anda jumpai memandangkan banyak tanaman diimport dari luar negara.

Tanaman tersebut dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti koleksi tanaman Amerika Tropika, koleksi tanaman Afrika, Taman Paku-Pakis dan Taman Suria.

Ramai yang ke sini untuk berjoging bersama keluarga dan sahabat. Tak kira pagi atau petang, kawasan ini sering dijadikan tempat berjoging kerana luas, bersih dan selamat.

Anggaran trek adalah 3.4 km sahaja dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 4 minit untuk berjoging satu taman ini. Laluannya mudah dan rata, sesuai untuk kanak-kanak dan warga emas berjoging. Hilang rasa penat berjalan atau jogging apabila dapat menghirup udara segar di sini.

Berkelah

Taman Botani Putrajaya juga adalah tempat sesuai untuk berkelah. Kawasannya luas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan lain sudah pasti memudahkan anda.

Bawa tikar dan makanan sendiri dari rumah kerana di sini tidak banyak pilihan makanan yang ada dijual. Hamparkan tikar di tepi tasik dan berkelahlah dengan selesa di sana.

Makan sambil berada dikelilingi khazanah alam sudah pasti dapat menenangkan jiwa dan mungkin membuatkan anda menambah selera. Setelah selesai berkelah, jangan lupa untuk kemaskan semula tempat yang diduduki dan buang sampah di tempat yang sepatutnya.

Berbasikal atau Menaiki Tram

Memandangkan Taman Botani Putrajaya amat luas, ada dua cara untuk anda mengelilingi taman ini iaitu berbasikal atau menaiki tram. Kadar sewaan terhadap basikal dan tram dikenakan namun tidaklah mahal. Kadarnya juga berubah terutama pada hujung minggu.

Anda boleh menyewanya sebaik sahaja anda memasuki Taman Botani ini. Nak bawa basikal sendiri pun boleh. Lebih mudah dan selesa untuk mengayuh di taman ini.

Ootd

Imej via [ Visit Selangor ]

Tak perlu diwar-warkan lagi, pasti ramai yang mempunyai cadangan untuk bergambar di sini. Ada yang bergambar untuk majlis perkahwinan, majlis hari jadi dan lain-lain. Berlatarbelakangkan khazanah alam yang menghijau, pasti anda akan peroleh gambar yang lebih cantik.

Selain berlatarkan tumbuhan, jangan lepaskan peluang untuk ootd di Astaka Morocco. Persis seperti di Morocco, anda boleh bergambar ala-ala di luar negara dengan pelbagai sudut menarik. Bangunan ini disediakan sebagai lambang pertukaran budaya antara Malaysia dan Morocco.

Ukiran corak dan kaligrafi memenuhi dinding bangunan ini. Antara sudut cantik yang boleh anda bergambar adalah pintu masuk dan kolam air yang terdapat di tengah-tengah kawasan ini. Buat pengetahuan anda, kolam air ini memang mempersona. Mana tidaknya, ia diinspirasikan daripada kolam Al Hambra di Sepanyol.

Bayaran masuk dikenakan jika anda ingin memasuki kawasan dalam bangunan. Namun jangan khuatir, kerana bayarannya tidaklah begitu mahal. Jika anda sekadar ingin bergambar di kawasan luar, tiada bayaran dikenakan.

Anda boleh membeli tiket masuk ke Astaka Morocco di pintu masuk Taman Botani ini. Astaka ditutup pada hari Selasa.

Memberi Ikan Makan

Di Taman Botani Putrajaya, terdapat tasik yang agak luas dan dipenuhi dengan pelbagai spesis ikan. Anda berpeluang untuk memberi ikan makan di sini.

Makanan haruslah di bawa sendiri. Lazimnya pengunjung akan membawa roti untuk diberikan pada ikan-ikan tersebut. Namun anda diingatkan untuk berpada-pada dalam memberi ikan tersebut makanan dan buanglah sampah di tempat yang sepatutnya.

Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan di Taman Botani Putrajaya. Kawasannya yang luas sesuai untuk segala aktiviti santai. Pelbagai kemudahan turut disediakan seperti parkir yang luas, kedai makan, kedai cenderamata, tandas dan surau. Jadi, tak perlu risau jika anda ingin meluangkan masa yang lama di sini.

Tunggu apa lagi? Cepat ajak keluarga, pasangan dan rakan-rakan untuk beriadah di sini. Datang sekali, pasti anda akan ke sini semula dan menikmati keindahan Taman Botani Putrajaya.

Alamat: Lebuh Perdana Barat, Presint 1, 62000 Putrajaya, Malaysia

No telefon: 03-8887 7770

Email: http://www.ppj.gov.my/

Facebook: Taman Botani Putrajaya

Waktu operasi:  Setiap hari (7.00 pagi – 7.00 petang)

Alang-alang sudah berada di Putrajaya, jom tengok tempat yang mungkin anda boleh kunjungi di sini. Semuanya memang berbaloi untuk datang bersama keluarga atau rakan-rakan:

Similar Posts