17 Tempat Menarik Di Port Dickson. Bukan Setakat Ada Pantai. Tapi Macam-Macam Tempat Best Ada Di Sini.
Mencari tempat meanrik di Port Dickson?
Port Dickson adalah tempat yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia sekalipun mereka merupakan penduduk luar Negeri Sembilan.
Apabila kita sebut Port Dickson, kita pasti akan terbayang pantai dan laut yang sesuai untuk bermandi-manda dan lakukan aktiviti di air. Itu dulu pada zaman 90-an, memang Port Dickson hanya untuk pengunjung yang ingin bercuti di tepian pantai berkelah dan bersantai-santai di hotel yang terdapat di sepanjang pantai Port Dickson.
Namun kini, terdapat banyak tempat menarik diwujudkan untuk memenuhi keperluan pengunjung yang saban tahun semakin ramai mengunjungi Port Dickson. Pelbagai aktiviti yang boleh anda sekeluarga lakukan di sini selain daripada aktiviti di pantai. Jom kita lihat, 17 tempat menarik di Port Dickson yang pasti membuatkan anak-anak seronok berkunjung di sini.
1) PD Waterfront
PD Water Front ibarat penyambut tetamu bagi pengunjung yang datang ke Port Dickson. Ia salah satu tempat yang baru dibina dan ia mempunyai satu laluan berjalan kaki panjang betul-betul bersebelahan dengan pantai. Di kawasan ini, anda akan menjumpai banyak kedai makan dan penginapan moden, seterusnya menjadikan tempat ini ideal untuk mereka yang mencari tempat penginapan yang dekat dengan bandar Port Dickson.
Jika anda tidak tahu aktiviti yang nak dibuat di Port Dickson, anda bolehlah berjalan-jalan bersama keluarga di sepanjang PD Waterfrnt ini. Sambil menghirup udara segar laut, ditiup angina sepoi bahsa, dapat juga anda berriadah ringan di sini. Bila sudah penat, bolehlah beli makanan dan minuman yang dijual di sini.
Lokasi: PD Waterfront, Persiaran Waterfront, Kampung Bahasa Kapor, 71000 Port Dickson
2) Pantai Teluk Kemang
Pantai paling besar dan paling popular di Port Dickson adalah Pantai Teluk Kemang. Banyak penginapan popular seperti resort, hotel dan apartment tersusun sepanjang pantai ini. Hal ini menjadikannya sebagai tumpuan pelancong. Selain daripada kemudahan penginapan, aktiviti serta kemeriahan di pantai ini membuatkan ramai orang suka ke sini.
Kepada penggemar sukan air, Pantai Teluk Kemang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti Jet Ski, Banana Boat dan macam-macam lagi.
Lokasi: Pantai Teluk Kemang, 71050 Port Dickson
3) Pantai Saujana
Pantai Saujana merupakan pantai yang berkepanjangan 1 km. Selain Pantai Teluk Kemang, Pantai Saujana juga merupakan satu tempat berkelah tepi pantai yang sangat popular di Port Dickson. Pantai ini terkenal dengan pantai yang luas dan pasirnya yang halus.
Walaupun kemudahan di sini kurang jika dibandingkan dengan Pantai Teluk Kemang, tetapi ia lebih sesuai untuk mereka yang berniat untuk memasang kemah di tepi pantai sambil berkelah bersama keluarga. Pantai ini juga sesuai untuk pasangan baru berkahwin yang berbulan madu dan ingin berjalan-jalan romantis sepanjang pantai.
Kalau anda datang pada malam Ahad, bolehlah anda membeli-belah di pasar malam yang agak meriah di sini. Nak makan pun mudah. Kedai makan memang banyak berdekatan pantai ini, dari masakan Melayu hinggalah Western, semuanya ada di sini.
Lokasi: Jalan Pantai, Batu 4, Pantai Saujana, 71050 Port Dickson
4) Pantai Cahaya
Dari pantai Saujana, anda boleh berjalan kaki terus ke Pantai Cahaya. Pantai ini selalu sesak dengan orang pada hujung minggu. Jika anda bercadang untuk ke sini, silalh datang awal agar mudah untuk anda dapat parkir dan dapat cop tempat yang sesuai untuk bentar tikar dan berkelah di sini. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Kebiasaannya pengunjung datang hanya untuk bersantai, melepak-lepak sambil berkelah di sini bersama keluarga.
Tarikan yang terdapat di Pantai Cahaya adalah jetinya. Keunikan jeti ini ialah ia menghubungkan di antara Pantai Cahaya dan Pulau Burung. Di sini juga pengunjung boleh menikmati keindahan Laut Selat Melaka dan persisiran Pantai Port Dickson serta panorama matahari terbenam pada waktu senja. Sekiranya air laut pasang, pengunjung boleh melihat dari atas jeti pelbagai jenis ikan berenang sambil berehat bersama keluarga.
Lokasi: Km. 1 Jalan Pantai, 71009 Port Dickson
5) Pulau Burung
Pulau ini berdekatan dengan Pantai Cahaya Negeri. Pulau Burung ini sangat menarik untuk anda menikmati alam semula jadi hutan dengan pokok-pokok paya bakau yang tumbuh di sekitar pulau kecil ini. Untuk ke sini, anda boleh menggunakan platform jambatan kayu kira-kira 150m. Namun, jika sewaktu air surut, anda boleh sahaja berjalan kaki di atas pasir dari Pantai Cahaya ke Pulau Burung.
Antara tarikan utama di sini adalah suasananya yang nyaman di tepi pantai dan sering menjadi tempat untuk para jurugambar dan kaki selfie untuk bergambar pada waktu senja di atas platform kayu ini. Bagi anda yang kaki pancing, jangan lupa bawa peralatan memancing sekali sebab pulau ini juga tempat yang sesuai untuk aktiviti ini.
Lokasi: Pulau Burung, 71000, Negeri Sembilan
6) Prima Water Park Theme Park Resort
Walaupun Port Dickson sangat sinonim dengan pantai dan laut, namun tidak semua orang suka mandi laut. Maka, bagi anda yang tidar gemar mandi air masin, anda boleh ke Prima Water Theme Park Port Dickson untuk bermandi-mandi di sini. Anda boleh bersuka ria di pantai buatan manusia terbesar di Malaysia.
Disamping itu, tempat ini juga mempunyai taman tema air yang lengkap dengan lagun, air terjun, gelongsor air dan kolam renang yang luas. Taman tema air ini merupakan sebahagian daripada hotel Primaland Port Dickson Resort & Convention Centre (PRCC). Sekiranya anda ingin bermalam di hotel ini pun boleh. Tetapi, jika anda tidak menginap di hotel Primaland, anda tetap boleh beli tiket masuk ke kawasan taman tema di kaunter jualan tiket.
Anda juga boleh mengunaan fasiliti yang lain seperti taman permainan kanak-kanak bertema lanun. Taman tema air ini dibuka untuk 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang.
Lokasi: No. 1 PD Prima, Jalan Pantai, Batu 13, 71250 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8.00pagi – 7.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM20 (Harga satu sesi)
7) Turtle Hatchery Center
Terengganu sinonim dengan penyu. Tapi, di Port Dickson juga ada pusat pemulihan penyu seperti di Terengganu. Pusat ini ditubuhkan untuk memelihara dan memulihara populasi penyu-penyu yang ada di perairan Pantai Port Dickson. Terdapat banyak kolam yang menempatkan penyu-penyu pelbagai spesies seperti penyu belimbing dan penyu karah.
Pusat penetasan penyu ini berkolaborasi dengan Santuari Penyu Rantau Abang, Terengganu dalam usaha untuk mengekalkan populasi penyu serta memberi kesedaran kepada pelancong tentang kepentingan hidupan marin ini dalam ekosistem laut.
Pusat ini terletak di pengawasan Glory Beach Resort yang juga menyediakan kemudahan resort dan hotel. Jika anda menginap di Glory Beach Resort sepanjang percutian anda di Port Dickson, amat rugi jika anda tidak manfaatkan peluang ini untuk bawa anak-anak anda juga mengenali haiwan istimewa ini dengan lebih dekat.
Lokasi: Glory Beach Resort Sdn.Bhd, Batu 2, Jalan Seremban Tanjung Gemuk
8) Muzium Tentera Darat
Muzium Tentera Port Dickson ini merupakan antara muzium tentera yang terbesar di negara kita dan ia terletak bersebelahan dengan Pusat Latihan Tentera Darat Malaysia. Muzium ini didirikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mempelajari sedikit mengenai sejarah perjuangan angkatan tentera Negara kita.
Disini terdapat 9 galeri berbeza yang membawa anda pulang ke zaman penjajahan Portugis hingga ke zaman penjajahan Jepun. Disamping itu, anda dapat melihat pameran kereta kebal dan jet pejuang di bahagian luar muzium.
Lokasi: Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa, Persiaran Pahlawan, 71050 Port Dickson
Waktu Operasi: Rabu-Ahad (10.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: Percuma
9) PD Ostrich Farm
Pusat penternakkan Burung Unta ini lebih dikenali sebagai PD Ostrich Farm. Di sini anda dapat mempelajari sedikit tentang burung gergasi ini sambil berinteraksi dengan haiwan tersebut. Selain burung unta, terdapat haiwan lain seperti keldai, kambing, arnab dan angsa di sini. Kanak-kanak diberi peluang untuk menyentuh dan memberi makanan kepada haiwan-haiwan ini.
Selain itu, anda juga berpeluang untuk menunggang burung unta, menaiki ATV, atau bermain Paintball dengan bayaran tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Lokasi: Lot 1419, Jalan Kemang 13, Batu 9 Jalan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM8 | Kanak-kanak RM4
10) Alive 3D Art Gallery
Jika anda seorang yang gemar bergambar apatah lagi bergambar dengan pelbagai aksi yang rare, anda pasti akan jatuh cinta dengan tempat ini. Sama seperti galeri gambar 3D lain yang terdapat di negeri-negeri lain, Alive 3D Art Gallery Port Dickson juga menawarkan anda pengalaman bergambar yang menyeronokkan dengan setiap gambar mural yang pelik-pelik dan rare.
Terdapat sebanyak 50 lukisan 3D beraneka tema setiap satu menjanjikan ilusi yang berlainan. Antara 5 tema yang anda boleh jumpai di sini adalah aquarium, adventure, animation, seni dan eksotik.
Lokasi: No 38-40, Jalan DS 2/1, Bandar Dataran Segar, Lukut, 71010 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Jumaat (11.00pagi – 10.00malam) | Sabtu-Ahad & Cuti Sekolah (10.00pagi – 11.00malam)
Harga Tiket: Dewasa RM15 | Kanak-kanak RM10
11) Wild West Cowboy
Setelah anda puas bergambar di Alive 3D Art Gallery, bolehlah anda sambung perjalanan anda ke Taman Tema Wild West Cowboy pula. Bangunan 3 tingkat ini menyediakan pelbagai hiburan yang boleh didapati disini seperti wayang interaksi seperti 5D Motion Adventures dan 7D Interactive Movie, Taman Hiburan Mini dan permainan menguji minda seperti AWAKE.
Harga tiket untuk ke Wild West Cowboy Indoor Theme Park ini berbeza mengikut pakej. Jika anda bercadang untuk ke sini, pastikan masa yang diluangkan di sini cukup untuk anda menikmati segala permainan dan tayangan yang disediakan di sini. Biarlah ia berbaloi dengan harga tiket yang anda bayar.
Lokasi: 59-64, Jalan Ds 2/1, Bandar Dataran Segar, 71010 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (11.00pagi – 10.00malam)
12) Pusat Ikan Hiasan
Kepada pencinta akuarium dan ikan hiasan, Pusat Ikan Hiasan Teluk Kemang pasti menjadi tempat wajib untuk anda singgah. Pusat Ikan ini diurus oleh Jabatan Perikanan Port Dickson. Ia merupakan sebuah tempat tertutup penuh dengan akuarium yang mempamerkan berbagai jenis hidupan laut yang menarik.
Bukan sahaja untuk dilihat tetapi ada beberapa jenis ikan yang anda diberi peluang untuk sentuh, menjadikan tempat ini sesuai untuk semua peringkat umur. Yang minat memancing atau mahu belajar sedikit tentang kehidupan bawah laut jangan lupa untuk menuju ke desinasi ini.
Lokasi: Batu 7, Jln Pantai, Teluk Kemang, 71050 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: Percuma
13) Rumah Terbalik
Berbeza dengan Rumah Terbalik di Sabah, Rumah Terbalik Port Dickon merupakan sebuah rumah kedai yang diubah suai menjadi tarikan pelancong dan menjanjikan suatu pengalaman bergambar yang berbeza. Disini anda boleh menjumpai semua bilik yang ada di rumah biasa, bezanya semua bilik terbalik, seolah-olah anda berjalan di atas bumbung.
Bila lagi nak buat aksi kelakar dan luar biasa semasa bergambar kan? Jadi, jika anda ke sini, jangan malu untuk bergambar sakan ya. Aksi-aksi anda akan membuatkan gambar yang terhasil sangat real dan pasti menjadi kenangan yang terindah buat anda sekeluarga.
Lokasi: No 15, Jalan Coral Walk, Batu 9, Jalan Pantai, Teluk Kemang, Batu 9, 71050 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10.00pagi – 9.00malam)
Harga Tiket: Dewasa – RM20 | Kanak-kanak – RM15
14) Hutan Rekreasi & Rumah Api Tanjung Tuan
Jika anda bercadang untuk berriadah dan melakukan aktiviti yang mengeluarkan peuh, anda bolehlah ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Hutanini merupakan kawasan berbukit. Dan di atas bukit tersebut terletaknya sebuah rumah api yang bersejarah.
Rumah api Tanjung Tuan atau nama lainnya Cape Rachado Lighthouse, adalah sebuah mercu tanda popular yang sering menjadi tumpuan pelangcong yang datang bercuti ke Port Dickson. Ia dianggap rumah api yang tertua di negara kita dan dibina pada abad yang ke 16, zaman Portugis memerintah Melaka.
Semenjak itu, rumah api ini diperbaharui beberapa kali oleh Kerajaan British, kali pertama pada tahun 1817, dan bangunan yang boleh dilihat sekarang disiapkan pada tahun 1863. Tambahan terbaru pada Rumah api tersebut adalah sebuah radar MEASAT yang di bina pada tahun 1990.
Namun sayangnya, pengunjung tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam rumah api ini. Anda hanya boleh bergambar luar sahaja. Pada waktu petang, lokasi ini memang sesuai untuk anda melihat pemandangan Selat Melaka dan matahari terbenam yang cantik.
Lokasi: Jalan Pantai, Tanjung Tuan, 71050 Port Dickson, Melaka
15) Pantai Blue Lagoon
Pantai Blue Lagoon merupakan pantai yang terletak di dalam teluk kecil berhampiran dengan Cape Rachado, hanya 18 Kilometer dari Bandar Port Dickson. Air laut di sini cetek dan tenang kerana pantai ini dilindungi oleh teluk, seterusnya membuatkan tempat ini sesuai untuk kanak-kanak bermandi laut.
Disamping itu ia terletak berdekatan dengan Hutan Lipur Tanjung Tuan dan pelancong sering dapat melihat hidupan liar seperti tupai, monyet dan burung. Pada waktu malam pula boleh kelihatan lampu suluhan rumah api Cape Rachado merentas air laut di hadapan anda.
Lokasi: Batu 10, Jalan Pantai, 71050 Port Dickson
16) Kota & Muzium Lukut
Salah satu tapak bersejarah yang popular di Port Dickson adalah Kota dan Muzium Lukut. Ia merupakan sebuah kubu yang didirikan diatas bukit oleh Raja Jumaat pada tahun 1847. Muzium ini menyimpan pelbagai artifak dan gambar yang berkaitan dengan sejarah pelombongan biji timah di kawasan lukut.
Terdapat 4 galeri pameran utama iaitu Galeri Nassau, Galeri Teknologi Pembuatan Tradisional, Galeri Negeri Sembilan Beradat dan Sejarah Kegemilangan Lukut. Kemudahan seperti tandas, tempat permainan kanak-kanak dan parkir kereta turut disediakan di sini. Malah, kantin juga ad ajika anda ingin membeli makanan dan minuman untuk alas perut.
Lokasi: Lot 730, Kota Lukut, 71010 Port Dickson
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Percuma
17) Kompleks Baitul Hilal
Kompleks Baitul hilal merupakan balai cerap yang terletak bersebelahan dengan Klana Beach Resort. Balai cerap ini mempunyai kubah dan menghadap ke perairan Selat Melaka dilengkapi dengan teleskop bersaiz 24 inci dan uniknya ia berkemampuan membuat cerapan sehingga 0 darjah bagi tujuan cerapan hilal ataupun anak bulan. Kompleks Baitul Hilal menjadi pusat rujukan dan penyelidikan penting bagi pelbagai kegiatan seperti melihat anak bulan, kaji bintang dan planet terutama bagi menjana pembangunan dan kemajuan ilmu astronomi.
Pada mulanya ia didirikan sebagai tempat penyelidikan astronomi dan kemudian dibuka kepada orang awam dengan tujuan mempromosi edu tourism di Port Dickson. Tempat ini menampilkan pameran artifak yang digunakan pengkaji ilmu falak dari zaman dahulu hingga ke zaman moden.
Lokasi: Lot 4506 Batu 8, Jalan Pantai, 5, Tanjung Tanah Merah
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (9.00pagi – 12.00 tgh hari)
Itulah dia 17 tempat menarik di Port Dickson yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Port Dickson. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Johor Bahru dan Tempat Menarik Di Cameron Highland.