Anda yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur pasti pernah dengar atau berkunjung di G2G Animal Garden. Bagi yang tak ketahui, G2G Animal Garden adalah sebuah petting zoo yang terletak di Malaysia Agro Exposition Park Serdang.

Jika anda pecinta haiwan atau anda mencari tempat untuk beriadah bersama keluarga, tempat ini pasti dapat mengisi masa anda dengan seronok. Lebih-lebih lagi jika anda membawa anak-anak. Mereka terdedah dengan jenis-jenis haiwan dan persekitaran.

Untuk pengetahuan anda, terdapat 70 spesis dengan lebih 250 haiwan ternakan dan eksotik yang dijaga dengan baik di G2G Animal Garden. Anda bukan sahaja dapat melihat, malah anda dapat bergambar, memberi makan dan memegang dengan jarak dekat. Yang penting kesemua haiwan ini memang jinak, mesra dan selamat untuk kanak-kanak.

Imej via [ G2G Animal Garden Official ]

Terletak berdekatan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), G2G Animal Garden mempunyai 12 zon berbeza mengikut jenis haiwan seperti Animal Therapy House, Reptile House, Tortoise Garden dan Cat House. Setiap zon mempunyai tarikan dan aktiviti tersendiri terhadap beberapa jenis spesis haiwan yang ada.

Haiwan jinak seperti pelbagai jenis kura-kura, burung, kambing, kuda dan rusa pasti membuatkan anak-anak berani untuk memegangnya. Jom uji keberanian anda untuk memegang haiwan eksotik seperti ular dan Iguana.

Nak aktiviti lebih menarik untuk anak-anak? Apa kata anda ajak mereka untuk menunggang kuda dan menangkap ikan. Pasti meninggalkan memori manis buat si kecil.

Anda pasti tertanya-tanya tentang kemudahan yang disediakan untuk keselesaan anda. Parkir adalah luas serta persekitarannya bersih. Jangan risau, jika anda penat berjalan, terdapat kawasan untuk berehat disediakan dengan baik. Ada juga tandas dan surau yang bersih serta selesa.

Gerai dan kafe turut disediakan di dalam kawasan ini. Jadi tidaklah anda pening untuk memikirkan tempat makan yang lain. Paling penting, banyak sudut ootd untuk anda rakamkan puluhan gambar untuk dijadikan kenangan. Posing sepuasnya dengan pelbagai gaya di sarang burung gergasi, kerusi gergasi, rumah pokok dan mural yang terdapat di pintu masuk.

Tak hairanlah ramai yang datang ke G2G Animal Garden bersama keluarga dan ada juga yang membuat rombongan atau lawatan sambil belajar untuk kanak-kanak. Memang tempat yang sangat menarik dan berbaloi untuk dikunjungi.

Bukan sahaja dapat mengenal pelbagai spesis, malah dapat menghilangkan stress apabila melihat keletah haiwan ternakan yang berada dikelilingi alam. Apa tunggu lagi? Jom ajak keluarga atau rakan-rakan untuk meluangkan masa di sini!

Alamat: Jalan MAEPS 4/1, Fasa 3 Presint 9, 43400 Serdang, Selangor

Waktu operasi: Isnin-Jumaat Kecuali Selasa (10.00 pagi-6.00 petang) | Sabtu & Ahad (9.30 pagi-6.00 petang)

Harga Tiket: Kanak-kanak ( RM 20) | Dewasa (RM 25) | Kanak-kanak bawah 90cm (Percuma)

Website: G2G Animal Garden

Media Sosial: Facebook

No Telefon: 019-925 6852

Anda berada di Selangor dan mencari tempat menarik di sini? Tempat-tempat ini pasti memuaskan percutian anda di negeri ini:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.