Mee bandung Muar menjadi sebutan dikalangan penggemar mee bandung di Malaysia. Jika anda salah seorang darinya yang ingin mencuba keenakan mee bandung Muar, artikel ini tepat untuk anda kerana kami menyediakan senarai lokasi kedai mee bandung Muar yang enak dan pasti anda tak menyesal.

Setiap tempat, daerah atau negeri sudah pasti mempunyai satu makanan yang melambangkan makanan tradisi tempat tersebut. Mee bandung sudah pastinya menjadi lambang buat Johor kerana kesedapan mee bandungnya tiada tandingan ditempat lain memandangkan ia adalah resepi turun temurun. Kesedapan mee bandung semestinya dinilai dari kepekatan dan ramuan kuahnya.

Senarai lokasi ini kami kongsikan mengikut kedai yang terkenal dan yang disenaraikan oleh kebanyakan pelanggan di media sosial. Jadi tak perlu ragu-ragu dengan kesedapannya. Jika anda ke Johor, ini senarai kedai mee bandung Muar yang perlu anda cuba!

Mee Bandung Abu Bakar Hanipah

Imej via [ Tripadvisor ]

Warga Johor pasti sering datang ke kedai ini. Mana tidaknya, ia cukup sinonim dengan keaslian resepi mee bandung turun temurun menggunakan rempah tersendiri sejak 1930 lagi. Kepekatan kuah memang lazat dan kaya dengan rasa udang. Hidangannya penuh dan cukup untuk seorang.

Kedai ini sentiasa penuh dengan pengunjung terutama pada cuti umum. Jika anda tidak ingin bersesak, datang awal dan anda boleh menikmati mee udang dengan tenang.

Selain mee bandung, anda juga boleh mencuba sate dan aneka masakan panas yang lain. Jika anda suka dengan mee bandung ini, jangan lupa membeli perencah mee bandung keluaran kedai ini yang boleh dimakan untuk 8 orang.

Alamat: Jalan Abdullah, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor.

Mee Bandung Udang Galah Muo Ori

Imej via [ Mee Bandung Udang Galah Muo Ori ]

Mee bandung Muar di Tanjung Agas ini juga menjadi pilihan rata-rata warga Johor dan pengunjung luar. Mana tidaknya, sajian dihidangkan dalam kuantiti yang banyak dan udang galah yang besar. Walaubagaimanapun harga mee dijual dengan murah dan berpatutan.

Selain udang galah, keunikan mee bandung di sini adalah dibuat tanpa menggunakan sebarang pes. Namun kuahnya tetap pekat dan rasanya tiada tandingan.

Selain mee bandung udang galah, menu lain yang turut mencuri tumpuan adalah mee goreng udang galah dan nasi goreng udang galah. Setiap sajian memang penuh isinya serta udang galah yang dihidangkan segar dan besar.

Alamat: Tanjung Agas,  84000 Muar, Johor.

Waktu operasi: Khamis-Selasa (11 pagi-10 malam)

Mee Bandung Hjh Baridah Tanjung Agas

Imej via [ Restoran Baridah Mee Bandung Muar ]

Juga dikenali sebagai Restoran Baridah Mee Bandung Muar, Mee bandung udang galah gred A merupakan sajian utama dan sajian termahal di restoran ini. Namun harganya memang cukup berbaloi dengan saiz, kualiti udang dan kuantiti yang dihidangkan.

Kepekatan kuahnya serta kesegaran udang galah pasti membuatkan anda menjilat jari. Mee bandung gred B dan mee bandung biasa turut dijual dengan harga yang lebih murah.Kepekatan kuah dan rasa mee bandung tetap sama!

Menu lain yang ada seperti sup, soto dan mee rebus pasti membuat anda terliur dan kekenyangan. Aneka gulai dan lauk pauk untuk masakan tengahhari turut disediakan. Dengar kata asam pedas di sini memang padu!

Alamat: 1-26 Batu 1, Tanjung Agas, 84000 Muar, Johor

Mee Bandung Central

Imej via [ Fuad Bandung Central ]

Mee Bandung Central tidak kurang hebatnya. Kedai ini sentiasa dipenuhi dengan pengunjung tempatan dan luar negeri. Turut berada di Tanjung Agas, mudah sahaja nak cari kedai ini kerana berada di tepi jalan besar.

Oleh kerana mee bandung mendapat sambutan luar biasa, terdapat 3 cawangan lain diwujudkan demi memberi lebih ramai pengunjung turut merasai keenakan mee bandung ini.

Rata-rata pengunjung memberi komen baik dan memuji kepekatan kuahnya, harga serta kuantiti yang dihidangkan. Pes mee ini turut dijual di satu kedai khas berdekatan.

Alamat: Bersebelahan Surau Ar-Raudhah Tg Agas, Tanjung Agas, 84000 Muar, Johor.

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 tengahhari sehingga habis)

Kak Zai Mee Bandung Udang

Imej via [ Kak Zai Mee Bandung Udang ]

Jika anda mencari kedai ini di carian Google, anda pasti akan terus ke sini kerana kedai ini mendapat 5 bintang dan banyak komen terbaik terhadap sajian utamanya. Banyak pilihan menu yang anda boleh cuba selain mee bandung.

Mee bandung ini dihidangkan dengan udang galah yang segar dan besar. Satu hidangan penuh dengan udang dan mee yang pastinya akan membuatkan anda kekenyangan.  Campuran udang dengan kuahnya yang pekat likat serta cili jeruk pasti membuat anda ingin datang ke sini lagi.

Alamat: Jalan Melati, Felda Sungai Sibol, 81440 Kulai, Johor

Waktu operasi: Setiap hari (3.30 petang-10.30 malam)

Mee Bandung Muar JDM House

Imej via [ JDM House ]

Mee bandung Muar paling ori dan asli anda boleh peroleh di kedai ini. Sangat lejen kerana resepinya diperolehi turun temurun sejak 1959 lagi.

Ada mee bandung original, mee bandung ketam bangkang dan mee bandung udang galah. Ketam dan udang galah yang dihidangkan sangat besar dan segar. Semua menu dihidangkan dengan menarik dan mewah tetapi harga yang ditawarkan sangat berbaloi serta murah.

Makanan lain yang turut popular dengan keenakannya adalah masak lemak cili api udang galah atau daging salai, smoke beef cili api fettuccine dan pineapple rice with udang galah. Cuba kesemua menu ini jika anda datang beramai-ramai kerana sudah pasti akan menjilat jari.

Alamat: No 7, Jalan Cengkerik 6, Pusat Perdagangan Kempas, 81200 Johor Bahru, Johor.

Waktu operasi: Selasa, Rabu, Jumaat & Ahad (5 pm-11.30pm) | Khamis & Sabtu (12 pm-11.30pm)

Mee Bandung Muar Kg Melayu Majidee

Imej via [ Mee Bandung Muar Kg Melayu Majidee ]

Nakkan kelainan dalam mee bandung Muar? Datang saja ke Mee Bandung Muar Kg Melayu Majidee yang terletak di Johor Bahru, pasti memuaskan tekak dan hati anda.

Mana tidaknya, mee bandung ini bukan sahaja dihidangkan dengan udang-udang yang besar, malah dipenuhi dengan banyak kupang dan ketam yang segar. Gabungan makanan laut dengan mee kuah ini pastinya nampak meriah bukan sahaja dari rupa, malah dari rasanya yang padu.

Kedai ini turut menyediakan masakan panas dengan banyak pilihan menu makanan laut. Order sate sebagai makanan tambahan, pasti puas hati.

Alamat: Jln Tebrau Lama, Kampung Melayu Majidee, 81100 Johor Bahru, Johor.

Waktu operasi: Rabu-Ahad (5.00 petang-12.00 malam)

Mee Bandung Hjh Milah

Imej via [ Mee Bandung Hjh Milah ]

Penduduk Muar pasti sinonim dengan keenakan Mee Bandung Hjh Milah. Anda boleh cuba aneka mee bandung termasuklah mee bandung sotong, mee bandung ayam dan mee bandung daging.

Kuantiti mee yang disediakan memang banyak dan anda pasti dapat menghabiskannya dengan mudah kerana rasa kuahnya yang pekat dan seimbang.

Alamat: Gerai No 8, Medan Selera Tanjung Aga, KM1, Kampung Tanjung Agas, 84000 Muar, Johor.

Waktu operasi: Selasa-Ahad (10.00 pagi)

Mee Bandung Abang Sayang

Mee Bandung Abang Sayang turut terkenal di Muar. Berada di Hentian Maharani, Muar, senang je nak cari lokasi kedai ini. Kedai ini juga merupakan kedai mee bandung yang terawal di buka di Muar. Jadi bolehlah anda sarapan dengan sajian enak ini.

Anda boleh pilih sama ada ingin mee bandung biasa atau mee bandung spesial. Mee bandung biasa dijual dengan hanya RM 7.00 namun cukup mengenyangkan. Mee bandung spesial pula diletakkan dengan kuantiti udang, telur dan daging yang lebih.

Kuah mee semestinya pekat dan kaya dengan rasa udang. Selain mee bandung, masakan panas yang lain turut dijual.

Alamat: Hentian Maharani, Muar, Johor

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (8.30 pagi-6.30 petang)

Mee Bandung Muar Bai Omar 1 Original Pt Bulat

Imej via [ Mee Bandung Muar Bai Omar 1 Original Pt Bulat ]

Jika anda suka makanan laut, anda memang perlu datang ke kedai ini dan rasai mee bandung dengan kombinasi makanan laut tersebut. Semuanya besar dan segar.

Terletak Medan Selera Azmi Wawa & Rakan-rakan di Kampung Melayu Majidee, aneka mee bandung boleh anda pilih dan cuba. Antara yang terlaris adalah mee bandung seafood, mee bandung udang dan mee bandung gearbox.

Semuanya disajikan dengan kuantiti yang pasti mengenyangkan dah harganya juga sangat berbaloi. Selain mee bandung, kedai ini turut terkenal dengan keenakan char kuey teow.

Alamat: 21A, Jalan Masjid Kg Melayu, Majidee, 81000 Johor Bahru, Johor.

Waktu operasi: Isnin-Ahad (12.00 tengahhari-10.00 malam)

Dah membuat pilihan lokasi mee bandung Muar yang perlu anda terjah? Jika berkesempatan, cuba kesemuanya pasti anda tidak akan menyesal. Tak kira mee bandung udang galah atau gear box, ianya pasti menambah selera anda.

Banyak tempat menarik di Johor yang boleh anda kunjungi untuk mengisi masa percutian anda dengan indah. Ini mungkin tempat yang anda cari:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.