Anda yang sukakan lagu dan drama kpop semestinya teringin nak jekakkan kaki ke Seoul, kan? Teringin nak makan kimchi dan makanan-makanannya yang sangat enak, nak tengok penduduk sana yang peramah, nak ke Pulau Jeju ala-ala winter sonata. Paling penting, nak shopping barangan penjagaan kulit & kosmetik Korea yang menjadi kegilaan di Malaysia sekarang. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan 15 tempat menarik di Seoul yang wajib anda pergi kalau taknak menyesal seumur hidup.

tempat menarik di seoul

Sumber: Bucketlistbelles

1. Pulau Jeju

Kalau anda penggemar kpop, pasti drama Winter Sonata merupakan antara drama yang pastinya meninggalkan kesan dihati anda. Bila sebut tentang drama Winter Sonata, pasti secara automatik anda akan teringat Pulau Jeju. Pulau Jeju merupakan destinasi yang wajib anda pergi sekiranya menjejakkan kaki ke Korea Selatan.

Pulau romantik ini juga dikenali sebagai “Kota Bulan Madu Korea Selatan”. Ia merupakan sebuah pulau yang cantik dan dipenuhi dengan pokok-pokok yang romantik. Menariknya, beberapa tempat menarik di Pulau Jeju telah dinobatkan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sini seperti bersantai melihat keindahan alam, melawat perkapungan tradisional, melawat muzium, mendaki bukit, dan meneroka gua. Kami akan senaraikan beberapa tempat menarik di Pulau Jeju sebagai panduan untuk anda.

2. Seongeup Folk Village, Pulau Jeju

Kalau anda peminat drama Korea, penggambaran untuk drama Dae Jang Geum dilakukan di sini. Ia merupakan sebuah pekan kecil berkeluasan 40 ekar yang mempamerkan budaya klasik di pulau Jeju. Di sini anda boleh melihat batu hitam dari gunung berapi yang dijadikan sebagai perhiasan di rumah penduduknya.

Salah satu daripada batu hitam yang terkenal di sini ialah batu hitam yang diukir sebagai patung harubangs iaitu seorang lelaki tua. Selain itu, anda juga boleh melihat alatan antik dari buluh dan kayu. Di tengah perkampungan ini terdapat sebatang pokok yang dipercayai sudah berusia ratusan tahun.

Anda pasti akan leka berjalan-jalan di sekitar perkampungan ini. Bukan sahaja anda akan berasa seolah-olah berada dalam drama korea, malah anda juga akan terasa seperti kembali ke zaman silam.

tempat menarik di seoul

Sumber: Histravel

3. Dokkaebi Road, Pulau Jeju

Dokkaebi Road yang bermaksud Jalan Misteri terletak di kaki gunung. Ia merupakan jalan yang penuh misteri kerana apa sahaja objek boleh bergerak menaiki bukit ini dengan sendiri, termasuk kereta yang dimatikan enjin dan gear diletak pada mod Neutral. Kalau anda tuang air, ia akan menaiki bukit, bukannya turun ke bawah. Hebat kan?

4. Woljeong Beach, Pulau Jeju

Pantai Woljeong merupakan merupakan pantai dengan pasir putih dan air laut yang membiru cantik. Anda boleh bersantai sambil mandi laut di sini. Terdapat banyak cafe untuk anda melepak. Dari Pantai Woljeong anda dapat melihat kincir angin dan pemandangan desa yang mendamaikan.

tempat menarik di seoul

Sumber: Jejutourism

5. Jeju Haenyo Museum, Pulau Jeju

Haenyeo adalah nama seorang penyelam wanita lagenda di Pulau Jeju. Beliau boleh menyelam tanpa menggunakan tangki oksigen dan peralatan menyelam. Dengan hanya memakai goggles dan mengikat tiub berbentuk bulat seperti bola dikeliling pinggangnya untuk memberikan imbangan sewaktu menyelam, beliau boleh menyelam sehingga kedalaman 20 meter untuk menangkap ikan, ketam, rumpai laut, kerang dan karangan laut.

6. Yongmeori Coast, Pulau Jeju

Ia merupakan tebing tinggi di sepanjang laluan tepi laut yang terhasil daripada hakisan angin sejak ribuan tahun dahulu. Yongmeori Coast merupakan lokasi yang digemari oleh pencinta alam semula jadi. Di sini anda juga boleh melihat hasil tangkapan nelayan di pulau ini yang dijual di sepanjang pesisir pantai.

tempat menarik di seoul

Sumber: Depositphotos

7. Hallasan Mountain, Pulau Jeju

Gunung Hallasan terbentuk daripada letusan gunung berapi. Ia merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan. Tiada bayaran masuk dikenakanjika anda ingin mendaki gunung ini. Pendakian gunung ini sangat mudah dan sesuai untuk beginner.

Dari puncak Gunung Hallasan, anda akan dapat melihat pemandangan tasik daripada kawah gunung dan pemandangan di sekitar pulau Jeju yang menakjubkan. Walau bagaimana pun, demi keselamatan, anda dikehendaki turun sebelum matahari terbenam.

8. Cheonjeyeon Waterfall, Pulau Jeju

Selain mendaki gunung, anda juga boleh pergi ke air terjun yang terkenal di Pulau Jeju iaitu Cheonjeyeon Waterfall. Ia .erupakan air terjun 3 tingkat. Apa yang menarik, tingkat pertama air terjun ini mengalir daripada bumbung gua. Dengan kedalaman 22 meter, anda tidak dibenarkan untuk berenang di air terjun ini.

tempat menarik di seoul

Sumber: Jusgola

9. Changdeokgung Palace, Seoul

Changdeokgung Palace merupakan salah satu daripada tempat tinggal bagi keluarga diraja Korea yang dibuka kepada orang ramai untuk dikunjungi. Istana indah ini sangat besar! Anda memerlukan sekurang-kurangnya 2 jam untuk melihat seluruh kawasan istana. Di luar istana terdapat sebuah taman yang cantik dengan pokok bewarna-warni dan kolam yang dipenuhi teratai. Kalau nak lagi cantik, anda datang pada musim luruh.

10. National Museum of Korea, Seoul

Jika anda sampai ke Seoul, jangan lupa untuk berkunjung ke sini. Pameran di muzium ini bertemakan zaman pra-sejarah Korea sehingga zaman moden sekarang. Masuk ke muzium ini seperti merentasi masa. Banyak juga tempat duduk disediakan. Apa yang menarik, terdapat penerangan dalam bahasa inggeris, jadi anda tidak akan terpinga-pinga melihat pameran di sini. Bayaran masuk adalah percuma.

11. Namsan Seoul Tower, Seoul

N Seoul Tower atau Namsan Seoul Tower merupakan salah satu daripada bangunan ikonik di Seoul. Menara yang berketinggian 777 kaki ini terletak di atas bukit.Pemandangan dari dek pemerhatian menara ini sungguh mengagumkan, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

Menara ini dibuka pada setiap hari. Pada hari isnin hingga jumaat & ahad, ia dibuka dari pukul 10 pagi hingga 11 malam. Pada hari sabtu, ia dibuka dari 10 pagi hingga 12 pagi. Bayaran masuk ialah 10,000 Won untuk dewasa dan  8,000 Won untuk kanak-kanak.

tempat menarik di seoul

Sumber: Visitkorea

12. Hangang Park, Seoul

Taman rekreasi ini terletak di tepi Sungai Hangan. Dari sini anda dapat melihat keindahan Bandar Seoul yang terletak di seberang sungai. Ianya cukup cantik & bersih. Anda juga boleh berkhemah di sini. Di antara aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di sini ialah bermain bola keranjang, bermain bola tampar, bermain tenis, bermain skateboard dan rollerblade, berbasikal, berenang,dan berbabeku. Kalau anda sukakan aktiviti air, anda boleh melakukan aktiviti bot pedal, berkenu, dan ski air.

13. Insadong, Seoul

Pada zaman Dinasti Joseon pada tahun  tempat 1392-1910, Insadong merupakan tempat bagi pelukis-pelukis di Korea mempelajari seni lukisan. Sehingga kini Insadong masih menjadi pusat kesenian di mana di sini terdapat banyak galeri seni, galeri lukisan, dan pusat kraftangan. Di sini anda boleh membeli barangan cenderamata seperti kaligrafi, teh yang pelbagai jenis, hanji iaitu kertas tradisional Korea, hanbok iaitu pakaian tradisional Korea, dan bermacam-macam lagi. Kalau anda datang ke Seoul, jangan lupa untuk singgah di sini.

Sumber: Preparetravelplans

14. Bukchon Hanok Village, Seoul

Bukchon Hanok Village merupakan lokasi terbaik untuk anda melihat keindahan budaya tradisional masyarakat Korea. Sebaik sahaja anda menjejakkan kaki di sini, anda akan berasa seolah-olah kembali ke zaman silam. Macam kembali ke zaman dulu. Atau mungkin juga anda akan terasa seperti berada dalam drama korea.

Semua rumah klasik atau hanok di Bukchon Hanok Village adalah rumah tradisional yang langsung tak berubah sejak zaman dahulu. Rumah-rumah klasik di sini ada yang telah dijadikan sebagai rumah tumpangan, restoran, pusat kebudayaan dan rumah teh. Anda pasti akan leka berjalan-jalan menghabiskan masa di sini.

15. Namsan Park, Seoul

Namsan Park merupakan lokasi bersejarah di Seoul. Pada zaman dahulu ia merupakan kawasan kubu daripada serangan musuh. Setelah peperangan tamat, kubu tersebut diubah suai menjadi sebuah taman yang cantik. Pada hujung minggu, taman ini menjadi tumpuan untuk berkelah sambil menenangkan fikiran. Di sini anda dapat menikmati keindahan pokok-pokok dan bunga-bungaan yang berwarna-warni. Nak lagi cantik, anda perlu datang pada musim luruh.

tempat menarik di seoul

Sumber: Travel

Itulah dia 15 tempat menarik di Seoul yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Menarik kan? Kalau anda teringin nak main salji, boleh datang pada musim sejuk. Mulai hari ini anda bolehlah mula kumpul duit untuk melancong ke sana. Kami jamin, percutian anda pasti akan menjadi kenangan yang paling terindah.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.