WOW! 17 Tempat Menarik Di Johor Bahru Tiada Di Negeri Lain. Wajib Anda Sekeluarga Kunjungi.
Johor Bahru merupakan ibu negeri Johor. Daerah ini terletak di selatan Johor dan ia berdekatan dengan Negara Singapura. Oleh sebab itu, banyak kawasan di daerah ini yang dibangunkan untuk tujuan pelancongan. Jika anda bercuti di Johor Bahru, memang tak cukup setakat 3 hari 2 malam.
Terlalu banyak tempat menarik yang terdapat di sini. Yang penting adalah, bajet anda mencukupi. Ini kerana harga tiket taman tema di Johor Bahru, kebanyakannya agak mahal. Namun, ia sangat berbaloi dengan permainan, kemudahan serta pengalaman dan kepuasan yang anda akan dapat di sana.
Jom kita lihat 17 tempat menarik di Johor Bahru yang anda boleh lawati bersama keluarga.
1) Masjid Sultan Abu Bakar
Masjid yang dirasmikan pada tahun 1900 oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar ini juga merupakan masjid negeri Johor. Mengambil nama sempena Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim, masjid ini dibina mengikut seni bina Islam Barat dan mempunyai 4 buah menara di setiap sisi masjid.
Ia terletak di atas sebuah bukit yang menghadap Selat Johor. Bangunan ini mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan (1892-1900). Bangunan ini diperbuat daripada batu marmar dan kombinasinya direka oleh arkitek Moorish dan Victorian.
Masjid ini mampu memuatkan sehingga lebih 3,000 umat Islam dalam satu masa, tidak rugi anda datang ke sini untuk bersolat dan berehat bersama penduduk tempatan.
Lokasi: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru
2) Bangunan Sultan Ibrahim
Bangunan ini merupakan bekas pusat pemerintahan Johor. Namun ia kini, dijadikan sebagai salah satu tarikan utama pelancong di Johor Bahru. Bangunan yang mengabungkan seni bina kesultanan Johor, seni bina kolonial, dan seni bina Islam ini siap dibina pada tahun 1940 bertujuan untuk menyelaraskan dan menyatukan sistem pentadbiran negeri.
Infrastruktur luar bangunan ini mempunyai gaya kolonial, manakala, seni bina dalamannya pula mengikut gaya Melayu Johor dan terdapat sentuhan seni bina Islam pada ukiran-ukiran pada bangunan ini. Pada pencinta sejarah, anda harus berkunjung ke sini kerana Bangunan Sultan Ibrahim ini juga merupakan benteng pertahanan ketika Perang Dunia Kedua.
Lokasi: Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru
Waktu Operasi: Rabu – Isnin
Harga Tiket: Percuma
3) Istana Bukit Serene
Bangunan yang mempunyai bumbung yang berwarna hijau dan berbatu ini merupakan kawasan kediaman rasmi bagi Sultan Johor sejak 1998. Istana ini mempunyai kebun yang besar yang mana merupakan tapak biasa bagi banyak perhimpunan dan sambutan diraja. Menara utama mempunyai ketinggian sebanyak 35m. Istana ini terletak di atas Bukit Serene dan boleh dilihat dari Danga Bay.
Untuk makluman anda, Angkatan Tentera Johor ditugaskan untuk melindungi istana ini. Walaupun Istana Bukit Serene tidak dibuka untuk kunjungan awam, ramai yang gemar datang ke sini untuk bergambar dan melihat sendiri keindahan istana ini.
Lokasi: Jalan Straits View, Bukit Serene, Johor Bahru
4) Taman Merdeka
Taman Merdeka yang terletak di belakang Istana Bukit Serene merupakan salah satu lagi taman yang mengekalkan konsep taman hijau dalam bandar. Pengunjung biasanya datang ke sini untuk beriadah dan berehat sambil menikmati kawasan sekitar taman yang indah. Terdapat trek jogging mengelilingi taman ini selain pelbagai kemudahan awam lain.
Tarikan utama di sini ialah pertunjukan air pancut bermuzik yang dibuat pada waktu malam. Susunan pancutan air yang unik berlatar belakangkan lampu sorot yang berwarna warni diserikan lagi dengan alunan muzik yang merdu menarik pelbagai jenis pengunjung untuk datang ke sini.
Lokasi: Jalan Kolam Ayer, Johor Bahru
5) Galeri Seni Johor
Galeri Seni Johor terletak di atas bukit di tepi Lebuh Raya Stulang, tersergam indah sebuah Galeri Seni Johor yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk negeri ini. Kedudukannya yang strategik menjadikan bangunan ini sebagai destinasi pelancongan utama di bandar raya ini. Bangunan yang berwarna putih mempunyai 2 tingkat yang dibina pada 1910 mempamerkan kebanyakkannya lukisan Malaysia yang moden.
Galeri ini dibuka pada 29 Januari 2004 dan memiliki ratusan lukisan, catan, arca, cetak, ukiran seramik, seni logam dan tekstil manakala pentadbirannya diuruskan YWJ.
Lokasi: JKR 144, Jalan Petrie, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor
6) Taman Rekreasi Hutan Bandar
Ia terletak di Jalan Tasek Utara iaitu di Ulu Ayer Molek (terletak 1.5km ke timur selatan dari Larkin Sentral dan juga terletak kira-kira 3km dari Bangunan Sultan Iskandar). Kawasan seluas 50 ekar ini merupakan kawasan rekreasi yang masih mengekalkan kehijauan tamannya yang nyaman dan bersih.
Terdapat kolam mandi awam dibuka untuk kanak-kanak pada hujung minggu dan cuti umum. Anda boleh berjogging di sini mengelilingi sekitar taman dan 7 buah tasik yang berada di seluruh taman ini. Dan kepada yang ingin berkhemah di sini, kadar bayaran yang dikenakan amat berpatutan dan meliputi kemudahan awam yang lain seperti surau, bilik air, dan lain-lain.
Lokasi: Jalan Tasek Utara, Kolam Ayer, 80100 Johor Bahru
7) Sanrio Hello Kitty Town
Seperti namanya, sudah pasti kita sudah agak apa yang tersedia di taman tema ini. Hello Kitty bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak perempuan, malah ia turut menjadi kegilaan sesetengah wanita dewasa.
Sanrio Hello Kitty Town terbahagi kepada beberapa bahagian. Anda boleh bermain di dalam cawan besar yang berpusing-pusing di Tea Cup’s Ride. Belajar menghias biskut Hello Kitty di Wishful Studio. Anda juga boleh melawat dan cuci mata di Hello Kitty House iaitu sebuah rumah yang dihias indah dengan dekorasi bertemakan Hello Kitty. Anda juga boleh mencuba pelbagai lagi permainan di Friendship Land dan di Black Wonder.
Selain bermain, di depan Friendship Land juga terdapat satu tempat makan yang dinamakan CinnamoRoll Cafe. Ibubapa dan anak-anak yang sudah kelaparan dan penat bermain di dalamnya bolehlah berehat seketika di kafe ini sambil mengisi perut dan menghilangkan dahaga.
Lokasi: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor
8) The Little Big Club
The Little Big Club adalah taman tema yang merangkumi dua tingkat dan dipenuhi dengan karakter kesukaan kanak-kanak seperti Bob the Builder®, Barney®, Angelina Ballerina®, Pingu® dan Thomas & Friends®. Ia terletak berdekatan dengan Sanrio Hello Kitty Town. Aktiviti yang disediakan disini termasuk pelbagai permainan interaktif dan menarik untuk keluarga dengan kanak-kanak.
Di tingkat 2, kanak-kanak boleh mengaktifkan diri dengan Bob Builder® Struktur Main serta Can-Do-Crew Bob, di mana mereka dapat membantu membina rumah-rumah di Bobsville melalui aktiviti-aktiviti yang termasuk pemasangan bata, pintu dan rangka tingkap, dapur dan pemasangan bilik mandi seperti Bob the Builder.
Di Dance Studio Angelina Ballerina pula, anda akan bertemu dan menari bersama Angelina Ballerina®. Kelas tarian diketuai oleh seorang imej janaan komputer (CGI) Angelina Ballerina dan rakan-rakannya, Cik Mimi, Vicki, Gracie dan AZ yang mengajar anak-anak pergerakan tarian yang menyeronokkan.
The Little Big Club® juga menampilkan Pingu, Barney® dan rakan-rakan, di mana terdapat persembahan pentas secara langsung, kawasan permainan yang menyeronokkan untuk kanak-kanak dan watak bertemu, pelbagai jenis tunggangan, kawasan permainan dan menyanyi secara langsung. Aras 3 pula menampilkan permainan bertemakan Thomas & Friends® dimana watak-watak ini menawarkan pelbagai tunggangan.
Lokasi: Persiaran Puteri Selatan, 79100 Nusajaya, Johor
9) Johor Premium Outlet (JPO)
JPO terletak di persimpangan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Hubungan Kedua. Ia menjadi destinasi beli-belah popular bagi pengunjung yang arif dan meminati fesyen, bukan saja warganegara Malaysia, tetapi Singapura dan seluruh dunia.
Johor Premium Outlets pada awal pembukaannya menawarkan koleksi 80 kedai jenama pereka terkemuka di dalam satu persekitaran yang unik dan menawarkan penjimatan 25 hingga 65 peratus setiap hari. Sudahlah barangan berjenama, siap ada diskaun yang sangat jimat, malah anda juga dapat pegalaman membeli-belah yang sangat selesa di sini.
Koleksi jenama terkemuka yang sedia ada di Fasa I termasuklah Adidas, Armani, Brooks Brothers, Burberry, Canali, ck Calvin Klein, Coach, DKNY, Esprit, Fossil, Gap, Geox, Guess, Lacoste, Levi’s, Micheal Kors, Nike, Oroton, Royal Selangor, Salvatore Ferragamo, Swiss Watch Gallery, Timberland, Tommy Hilfiger, Tumi dan Victoria’s Secter. Malah, kini dengan pembukaan Fasa II, koleksi jenama juga bertambah, antaranya Aigner, Cotton On Kids, Columbia, Furla, Hush Puppies, Sembonia, Springfiels, Stride Rite, World of Outdoors dan banyak lagi yang cukup mengujakan.
Johor Premium Outlets ini juga menyediakan pelbagai jenis pilihan makanan dan minuman serta kemudahan lain termasuk pusat maklumat, mesin ATM, khidmat sewa kereta bayi dan kerusi roda untuk kemudahan pengunjung.
Lokasi: Jalan Premium Outlets Indahpura, 81000 Kulai
Waktu Operasi: Setiap hari (10.00pagi – 10.00malam)
10) Zoo Johor
Zoo Johor merupakan salah satu zoo tertua di Malaysia. Ia dibuka pada tahun 1928. Zoo ini menempatkan lebih 100 spesis haiwan termasuk binatang eksotik dan terancam. Antaranya ialah gajah, singa, gorila, burung flamingo, dan lain-lain.
Anda berpeluang untuk menonton pertunjukan haiwan yang pasti menghiburkan di sini. Terdapat banyak gerai makanan di sini untuk memastikan pengunjung zoo dapat berehat dan mengisi perut semasa berada di dalam zoo. Zoo Johor ini pastinya merupakan tempat yang amat sesuai untuk anda bercuti bersama keluarga.
Lokasi: Jalan Gertak Merah, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari (8.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1
11) Danga Bay
Danga Bay terletak di hadapan Istana Bukit Serene. Danga Bay telah dibangunkan oleh kerajaan negeri dan telah melalui pelbagai transformasi untuk dijadikan kawasan pelancongan.
Di pesisir pantai Danga Bay ada beberapa buah kapal layar mewah dan ‘cruise ship’. Cruise ship akan membawa penumpang di sepanjang Selat Tebrau. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan basikal untuk pengunjung sewa pada kadar yang berpatutan. Bolehlah anda bersiar-siar di sekitar Danga Bay dengan basikal tersebut. Sambil bersiar-siar, sambil bersenam.
Danga Bay sangat sesuai dilawati pada waktu malam. Pada masa inilah Danya Bay menjadi ‘hidup’ kerana semua lampu-lampu dan tempat menarik lain di buka. Ada juga taman tema kecil yang menempatkan beberapa permainan kecil seperti ‘Merry Go Round’ dan keretapi, sesuai untuk anak-anak kecil. Sebuah ‘Petting Zoo’ juga dibuka untuk anak-anak melihat binatang peliharaan dengan lebih dekat.
Lokasi: Danga Bay, 80200 Johor Bahru
12) Country Garden
Country Garden terletak berhampiran dengan Danga Bay dan hanya 5 minit dari pusat bandar. Country Garden ini dimajukan oleh syarikat pemaju yang berpusat di Guandong Province, China. Ada kawasan perumahan mewah yang masih belum siap tapi kawasan rekreasi di tepi pantai sudah boleh gunakan. Di kawasan pantai telah disediakan tempat untuk bermain ‘beach volleyball’ dan beberapa unit gazebo untuk bersantai.
Lokasi: Lot PTB 22056, Danga Bay, Jalan Bertingkat Skudai, 80200 Johor Bahru
13) Legoland Malaysia
Legoland Malaysia adalah Taman Tema Legoland pertama di Asia dan yang ke-enam di dunia. Taman tema ni terletak di Nusajaya dan dibuka pada 15 September 2012. Ia terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Dry Park dan Wet Park.
Taman tema yang juga mempunyai pusat penginapan sendiri menawarkan lebih 70 daya tarikan dan aktiviti menyeronokkan. Antaranya ialah tunggangan (rides) yang terdiri daripada Dragon’s Apprentice dan Project X. Terdapat juga gelongsor air yang amat menyeronokkan seperti Lego Slide Racer dan Brick Blaster.
Seain itu, terdapat Miniland yang mempamerkan mini monumen terkenal yang dibina dengan Lego seperti KLIA, Putrajaya, Gerbang Istana Sultan Johor, dan macam-macam lagi. Untuk pengunjung yang ingin bersantai, anda boleh menaiki kereta api Lego yang akan melalui setiap pelusuk Legoland Malaysia. Kepada pengunjung yang ingin menginap di sini, terdapat hotel disediakan iaitu Legoland Hotel.
Keistimewaan diberikan kepada penginap di hotel ini adalah mereka akan mendapat akses istimewa untuk melakukan aktiviti-aktiviti tertentu di samping dapat menghadiri pertunjukan Lego yang tidak ada di Legoland.
Lokasi: Jalan Legoland, Medini, Nusajaya, Johor Bahru
Waktu Operasi: 9.00pagi – 7.00petang
Harga Tiket: Bergantung kepada pakej anda
14) Austin Heights Adventure Park
Austin Heights Adventure Park merupakan taman tema yang mampu memberikan anda pengalaman mencabar dengan gelongsor tiub serta gelongsor air yang popular di sini. Cabaran lain seperti Yellow Wall, Supersurf dan Rainbow Hood pasti menghiburkan anda seisi keluarga.
Selain taman tema air, kawasan ini juga menawarkan aktiviti menarik lain kepada pengunjung seperti Adventure Park yang tidak kurang hebatnya, ski, go kart drift, dan Jump Street trampoline park.
Lokasi: 71, Jalan Austin Heights 8/1, Taman Mount Austin, 81100 Johor Bahru
Waktu Operasi: 10pagi – 7.00malam
15) Angry Bird Theme Park
Tidak cukup dengan karakter Lego dan Hello Kitty, sebuah lagi taman tema kanak-kanak yang bertemakan permainan animasi terkenal, Angry Bird juga dibuka di Johor Bahru. Ia terletak di bangunan Komtar JBCC. Taman hiburan ini mengandungi lebih sedozen permainan untuk kanak-kanak. Antaranya ialah Red’s Jungle Run, permainan ini dibina seperti permainan animasi Angry Bird sendiri.
Lebih mengujakan, anda berpeluang untuk bermain permainan Angry Bird ini di skrin besar sambil menonton filem Angry Bird secara percuma. Terdapat juga restoran dan kedai cenderamata disediakan di sini.
Lokasi: Level 3, Komtar JBCC, Johor Bahru City Centre, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari, 10 pg – 10 ptg
Harga Tiket: Warganegara (RM60) | Warga Asing (RM75)
16) Kuso Trick Art Gallery
Sama seperti galeri gambar 3D yang lain, Kuso Trick Art Gallery juga sesuai untuk pengunjung yang suka bergambar kerana galeri ini menawarkan pelbagai lukisan seni yang seakan-akan benar.
Anda boleh bergambar dalam pelbagai gaya di samping menggunakan prop yang anda bagi mendapatkan gambar yang bermutu untuk anda muat naik dalam laman sosial anda. Terdapat pelbagai tema lukisan di sini antaranya ialah komedi, seram, dan romantik. Para pengunjung akan diberikan taklimat ringkas oleh kakitangan galeri ini sebelum memulakan jelajah mereka.
Lokasi: No 83-85, Jln Mutiara Emas 10/2, Taman Mount Austin, Johor Bahru
Waktu Operasi: 11 pg – 9 ptg
Harga Tiket: Dewasa (RM20), Warga Emas: (RM15)
17) Dinosaur Alive Water Theme Park
Taman tema ini dikendalikan oleh KSL Hotel & Resort. Seperti mana namanya, taman tema ini bertemakan haiwan dinasour. Para pengunjung akan disambut dengan ngauman Tyrannosaurus Rex. Terdapat beberapa gelongsor air yang agak kecil dan bersesuian untuk kanak-kanak.
Di samping itu, terdapat juga replika dinosaur yang mencapai ketinggian 85 kaki. Antara tarikan lain di sini ialah terdapat animasi dinosaur yang akan bergerak secara tiba-tiba apabila ada pengunjung yang datang berdekatan. Bagi anda yang ada sakit jantung atau bawa anak-anak kecil, pastikan anda berhati-hati agar tidak terkejut.
Lokasi: Tingkat 7, KSL Hotel & Resort, Johor Bahru
Waktu Operasi: Setiap hari
Harga Tiket: Tetamu hotel: Percuma | Tetamu luar: RM50
Itulah dia 17 tempat menarik di Johor Bahru yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Johor Bahru. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik di Desaru dan Tempat Menarik di Negeri Sembilan.
One Comment