Antara aktiviti yang paling banyak dilakukan oleh rakyat Malaysia ialah mendaki. Terdapat beberapa gunung di Malaysia yang tidak kalah cantiknya dengan gunung di luar negara. Tidak dinafikan ramai yang menghilangkan stress dan menenangkan fikiran dengan pergi mendaki.

Selain dapat mengeluarkan peluh, aktiviti ini juga memberikan kepuasan kepada pendaki dengan pemandangan cantik yang dapat dilihat di puncak gunung.

Kalau cakap mengenai gunung yang terdapat di Malaysia, pasti ramai tidak menyangka terdapat beberapa gunung di Malaysia yang mempunyai pemandangan yang menarik. Ramai yang menyatakan bahawa beberapa gunung ini sangat cantik seakan gunung yang terdapat di dalam movie luar negara.

Di Malaysia juga anda boleh merasai pengalaman mendaki di gunung-gunung tertinggi seperti di luar negara. Senarai di bawah merupakan antara gunung-gunung yang menjadi buruan pendaki muda di Malaysia. Jika anda seorang yang sukakan aktiviti mendaki, jangan lepaskan peluang untuk datang ke sini!

Gunung Kinabalu

Imej via [astroawani]

Gunung Kinabalu merupakan gunung paling tinggi di Asia Tenggara. Gunung ini terletak di Sabah dan ketinggiannya adalah 4095 meter. Gunung ini juga mempunyai pelbagai pelbagai jenis flora dan fauna. Malah, di gunung ini juga terdapat tumbuhan yang jarang dijumpai iaitu bunga rafflesia.

Anda dapat menikmati pendakian anda dengan melihat tumbuh-tumbuhan yang ada di gunung ini. Sekiranya anda ingin datang ke sini untuk mendaki, diingatkan untuk melakukan warmup terlebih dahulu kerana pendakian kebiasaannya memakan masa 2 hari 1 malam.

Ramai yang menyangka untuk mendaki di gunung ini sangat mustahil kerana puncaknya yang terlalu tinggi. Tetapi semuanya berbaloi apabila anda sampai ke puncak dan menikmati keindahan alam semulajadi dari puncak gunung.

Tidak dinafikan, ramai pelancong dari luar yang datang untuk merasai sendiri mendaki di gunung ini. Apa tunggu lagi? Pengalaman yang pastinya menarik untuk anda cuba. Rasai sendiri pengalaman menakluki gunung tertinggi di negara Asia!

Gunung Trusmadi

Imej via [mysabah]

Gunung Trusmadi merupakan gunung yang dijadikan hutan simpan kelas pertama. Gunung ini kaya dengan flora dan fauna yang sangat bernilai dan digunakan untuk perubatan. Semasa melakukan pendakian, anda dapat melihat tumbuhan berwarna-warni seperti orkid, periuk kera dan banyak lagi.

Gunung ini merupakan gunung kedua tertinggi selepas Gunung Kinabalu. Gunung ini terletak di Sabah dan mempunyai tinggi 2942 meter. Jika anda sukakan cabaran semasa pendakian, anda mungkin akan berminat untuk mendaki di gunung ini.

Gunung ini dikatakan lebih sukar untuk didaki berbanding Gunung Kinabalu. Anda perlu melalui jalan yang dipenuhi lumut dan berpaut pada akar untuk mendaki. Tetapi apa yang menariknya, anda boleh menikmati air bersih dari gunung selepas pendakian.

Keadaan gunung yang sejuk membuatkan para pendaki lebih nyaman untuk melakukan pendakian di sini. Pendakian di sini mungkin memakan masa selama 3 hari dua malam. Jika anda sampai ke puncak Gunung Trusmadi, anda dapat melihat puncak Gunung Kinabalu dari jauh. Memang sangat berbaloi untuk menikmati keindahan matahari yang terbit di puncak gunung.

Jika anda seorang yang sukakan pendakian yang mencabar, apa kata cuba datang ke sini?

Gunung Tambuyukon

Imej via [facebook]

Gunung Tambuyukon merupakan gunung ketiga yang tertinggi. Terletak di Sabah dan mempunyai ketinggian 2579-meter. Walaupun begitu, gunung ini tidak seperti gunung lain yang menjadi tarikan pendaki. Gunung ini sangat sunyi dengan kehadiran pendaki kerana gunung ini hanya membenarkan seramai 9 orang pendaki dalam satu masa.

Sekiranya anda ingin melakukan pendakian berkumpulan dengan rakan anda, anda perlu melakukan tempahan awal untuk memohon permit dari pihak Sabah Parks. Pendakian di sini juga tak kalah susahnya kerana perlu melalui jalan yang curam untuk mendaki mahupun ketika turun. Pendakian ke gunung ini memerlukan masa selama empat hari tiga malam.

Gunung ini mempunyai sungai yang dikenali sebagai Sungai Kepuakan. Berbanding gunung lain yang menyediakan tapak kem, gunung ini tidak menyediakan tapak kem. Sekiranya anda ingin mendaki ke gunung ini, diingatkan untuk menyediakan barang keperluan kem anda serta makanan yang mencukupi.

Gunung Murud

Imej via [borneotalk]

Kalau tadi semua gunung dekat Sabah, apa kata anda cuba daki gunung yang ada dekat Sarawak. Gunung Murud merupakan gunung tertinggi di Sarawak. Jika anda ingin mendaki di Gunung Murud, anda perlu meminta bantuan orang tempatan untuk menjadi pemandu arah.

Jalan ke Gunung Murud ini sering menjadi jalan yang digunakan orang tempatan untuk ke gereja untuk upacara keagamaan. Penganut agama Kristian di sini telah membina papan bagi memudahkan perjalanan mereka ke gereja setiap bulan July.

Sekiranya anda ingin melihat bunga orked yang mekar, anda boleh datang mendaki pada bulan September. Jika anda ingin datang ke sini, anda perlu menaiki pesawat Mas Wing. Jika anda datang ke sini jangan lepaskan peluang untuk melawat kebun epal yang terdapat di Ba’Kelalan.

Gunung Mulu

Imej via [southeastasia]

Jika anda ingin melihat batu kapur asli, anda boleh datang ke Gunung Mulu. Terkenal dengan pembentukan batu kapur. Gunung Mulu juga terletak di Sarawak dengan ketinggian 2376 meter. Di gunung ini, anda dapat menerokai hutan hujan tropika.

Gunung Mulu juga terkenal dengan susunan batu cantik dan gua-gua yang bersejarah. Antara gua yang terdapat di gunung ini adalah Mulu, Api dan Benarat. Gunung ini juga kaya dengan pelbagai flora dan fauna.

Gunung ini terkenal sebagai tempat pelancongan kerana pelancong dapat menikmati pelbagai keindahan alam semulajadi daripada sungai, hutan mahupun gunung yang cantik dihiasi lingkaran air batu yang jernih.

Gunung Mulu juga terdapat pelbagai jenis hutan seperti hutan lumut, hutan paya gambut dan banyak lagi. Terdapat beribu spesies tumbuhan berbunga dan pelbagai jenis paku pakis di gunung ini. Memang sangat menarik untuk diterokai!

Gunung Tahan 

Imej via [theculturetrip]

Jika dilihat dari nama gunung ini, cabaran yang perlu dilalui anda juga sangat mencabar. Anda perlu menahan diri dari pendakian yang panjang dan melalui jalan yang mencabar. Gunung Tahan merupakan gunung keenam tertinggi di Malaysia. 

Gunung Tahan terletak di Banjaran Tahan, Pahang. Gunung ini dipenuhi hutan yang tebal. Terdapat banyak pokok balak, lumut serta bonsai. Apa yang membuatkan pendaki ingin menawan gunung ini adalah kerana keadaan trek yang berbeza-beza. Bagi mereka yang suka mendaki, mereka pastinya inginkan cabaran yang berbeza bagi menjadikan pendakian lebih seronok.

Sekiranya anda ingin mendaki di Gunung Tahan, anda perlu menyediakan peralatan yang mencukupi bagi melalui jalan yang berakar, curam sehingga 90 darjah, meredah sungai, jalan berlumpur dan juga jalan yang penuh dengan batu-batu.

Jika anda ingin ke sini, anda perlu datang awal kerana hanya hanya 48 orang pendaki sahaja dibenarkan naik dalam sehari.  Anda juga memerlukan seorang juru haluan bagi setiap 12 orang pendaki. Terdapat dua jenis laluan pemula yang boleh dipilih iaitu laluan Kuala Tahan dan Merapoh.

Gunung Korbu 

Imej via [gunungbagging]

Gunung Korbu merupakan antara gunung di Malaysia yang patut anda terokai. Gunung Korbu ini terletak di Perak. Gunung ini sering  menjadi pilihan para pendaki luar negara mahupun dalam negara. Tempoh yang diperlukan oleh para pendaki untuk menawan gunung ini kebiasaannya adalah selama empat hari tiga malam.

Anda juga memerlukan pemandu tempatan untuk mendaki gunung ini kerana laluannya tidak bertanda dan pendaki akan mudah tersesat. Apa yang membuatkan gunung Korbu menarik dalam kalangan pendaki ialah apabila anda tiba di puncak, anda boleh terus ke Gunung Gayong, Gunung Yong Belar kemudian turun di Cameron Highland, Pahang.

Para pendaki juga boleh terus ke Gunung Yong Yap, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat yang memakan masa lebih 21 hari untuk melengkapkan G6 di Banjaran Titiwangsa. Pendakian ini pastinya menarik bagi mereka yang berminat dengan aktiviti mendaki.

Gunung Yong Belar

Imej via [superaishah]

Gunung Yong Belar yang mempunyai ketinggian 2181 meter ini terletak di sempadan Perak-Kelantan. Gunung ini merupakan gunung yang banyak diterokai oleh pelancong tempatan. Gunung ini lengkap dengan pemandangan yang cantik apabila tiba di puncak.

Ketika anda mendaki gunung ini, anda akan melalui jalan yang berlumpur dan berakar yang menyebabkan pendaki sukar untuk mendaki. Selain itu, gunung ini turut mengandungi hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas yang bernilai untuk perubatan.

Terdapat beberapa kawasan perkemahan di gunung ini. Di kawasan perkemahan ini juga terdapat anak sungai yang pastinya memudahkan para pendaki untuk memasak dan mengambil air bersih untuk digunakan.

Di puncak gunung ini, anda boleh melihat pemandangan Gunung Korbu dan puncak Gunung Gayong. Pemandangan yang menarik dipenuhi dengan awan pastinya sangat berbaloi!

Gunung Gayong

Imej via [keeminginsj]

Gunung Gayong merupakan gunung yang terletak di negeri Perak. Gunung ini juga merupakan sebahagian gunung Banjaran Titiwangsa.

Gunung Gayong sering menjadi tempat mendaki bagi penduduk di Perak. Gunung Gayong mempunyai pokok-pokok tebal. Gunung ini mempunyai banyak jenis hutan seperti hutan Montane, hutan Dipterokarp Bukit, Hutan Ericaceous dan banyak lagi.

Gunung ini juga kaya dengan flora bernilai yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan. Gunung ini tidak sesuai untuk bercamping kerana persekitaran yang sempit. Jika anda ingin mendaki di gunung ini, anda perlu melalui jalan yang mempunyai sungai, jalan berbatu dan jalan yang penuh dengan akar pokok.

Jika anda ingin datang bersama rakan-rakan, tempat ini mungkin sesuai untuk merasai sendiri pengalaman mendaki.

Gunung Chamah

Imej via [vymaps]

Gunung ini terletak di Kuala Betis, Kelantan. Jika anda berminat untuk mendaki di gunung yang terdapat di Kelantan, anda boleh datang ke sini.

Jika anda ingin mendaki di sini, anda perlu membayar yuran permit sebanyak RM 5. Anda perlu menaiki kenderaan 4×4 untuk sampai ke titik permulaan. Semasa perjalanan ke titik permulaan, anda boleh melihat rumah orang asli yang terdapat di sana.

Apa yang membuatkan pendakian ke gunung ini lebih menarik, gunung ini tidak diketahui ramai. Pendakian untuk ke puncak gunung ini memakan masa selama 3 jam. Pendakian ke gunung ini juga sangat mencabar kerana trek yang mencuram. Jika anda ingin menginap di rumah orang asli, anda perlu membayar RM 10 untuk seorang.

Pemandangan di puncak pastinya akan membuatkan anda terpegun. Cuaca di atas puncak juga sangat sejuk. Pastikan anda menyediakan selimut kecemasan. Semasa anda ingin turun ke bawah, di ingatkan untuk membawa air semasa di tapak kem kerana sepanjang perjalanan turun, tiada sumber air yang terdapat di sana.

Jika anda ingin merasai pendakian yang mencuram dan mencabar, apa kata datang dan tawan gunung yang terdapat di Kelantan ini.   

Gunung Batu Putih

Imej via [gunungbagging]

Gunung ini merupakan gunung kelapan yang tertinggi di Malaysia. Gunung Batu Putih terletak di Perak. Sepanjang pendakian di gunung ini, terdapat beberapa ekor lintah di sini. Jadi pastikan anda memakai stokin untuk mengelak dari digigit.

Masa untuk sampai ke puncak, anda akan mengambil masa selama 9 hingga 10 jam. Untuk ke puncak, anda perlu melalui jalan yang licin sebelum naik ke curam. Gunung Batu Putih tidak mempunyai papan tanda menyebabkan pendakian menjadi agak sukar. Anda mungkin akan terjumpa banyak plastic yang diikat di dahan pokok sebagai tanda bagi pendaki-pendaki di sini.

Jika anda ingin mendaki di gunung ini, anda perlu membayar RM 10 untuk seorang dan RM 20 untuk pendakian berkumpulan. Pendakian di sini pastinya akan memberikan anda pengalaman baru. Anda dapat menikmati pemandangan matahari terbenam ataupun terbit ketika sampai ke puncak gunung. Memang sangat menarik!

Kesimpulan

Senarai di atas merupakan antara gunung di Malaysia yang menjadi tarikan para pelancong sama ada dari dalam negara mahupun luar negara. Aktiviti seperti mendaki dapat memberikan anda ketenangan dari kesibukan dunia.

Anda mungkin ingin merasai pengalaman menakluki gunung-gunung menarik yang terdapat di Malaysia. Berbaloi untuk dicuba! Rasai sendiri pengalaman mendaki di gunung-gunung ini.

Selain artikel di atas, anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik lain yang terdapat di website kami seperti:

Penulis: Kira Asla

Writing makes me happy!

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.