Sebut sahaja tentang Menara Condong Teluk Intan,pasti ramai yang mengetahui tentang mercu tanda di daerah ini. Satu-satunya menara condong yang terdapat di Malaysia, Menara CondongTeluk Intan hampir menyerupai Menara Condong Pisa yang terletak di Itali.

Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana menara ini boleh dibina dengan senget? Tahukah anda, menara ini dibina dengan tegak dan sempurna pada tahun 1885 sebagai tempat takungan air oleh kontraktor Leong Choon Chong. Pembinaan tangka air ini bertujuan membekalkan air ke kawasan sekitar serta sebagai simpanan jika berlaku kebakaran atau kemarau sebelum wujudnya tangka air di Changkat Jong.

Sehingga kini, tangki air tersebut dapat dilihat di dalam menara yang terletak di tingkat tiga namun tidak lagi berfungsi. Tangki air ini mempunyai ketinggian 16 kaki dan boleh memuatkan 680 kaki isipadu air. Tangki ini diperbuat daripada keluli.

Kecondongan menara ini berpunca daripada banjir besar yang menimpa Teluk Intan hingga menenggelamkan menara tersebut. Ia juga berlaku atas faktor pembinaan menara di tanah yang lembut dan bebanan tangki air. Hal ini menyebabkan menara condong ke arah barat laut.

Keunikan Menara Condong Teluk Intan

Menara Condong Teluk Intan juga berperanan sebagai penanda jam serta penunjuk arah laluan kapal ke Pelabuhan Telok Anson pada awal penubuhannya. Walaupun tangki air sudah tidak berfungsi, namun jam besar yang berada di menara ini berfungsi dengan baik dan akan berbunyi setiap 15 minit.

Jika dilihat dari segi luaran menara, pasti ada yang berfikiran bahawa menara ini mempunyai lapan tingkat. Hakikatnya, ada tiga tingkat sahaja jika diteroka di sudut dalam menara. Menara ini berketinggian 25 meter.

Uniknya menara ini masih kukuh pembinaannya walaupun pernah ditenggelamkan dan telah dibina lebih 100 tahun. Jika anda masuk ke dalam, anda pasti kagum dengan dekorasi dalamannya. Antara yang mencuri tumpuan adalah tangga panjang dengan 110 buah anak tangga menuju ke aras tiga. Buat masa sekarang, aras tiga yang mempunyai peninggalan tangka air ditutup dan pengunjung hanya dibenarkan masuk hingga ke aras dua.

Sebaik sahaja melangkah ke dalam menara, pengunjung dapat melihat binaan dindingnya yang diperbuat daripada batu-bata yang dicat berwarna putih dan berlantaikan marmar. Beranda dan anak tangga pula diperbuat daripada kayu.

Imej via [ Sue Izza ]

Di arah bawah juga dihiasi dengan pasu bunga serta kerusi untuk pengunjung berehat. Selain itu, dinding-dinding menara dihiasi dengan gambar-gambar lama menara serta sejarah dan info-info menarik buat pengunjung.

Aktiviti Menarik Menara Condong Teluk Intan

Banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di Kawasan sekitar menara condong. Aktiviti utama semestinya menghayati dan mempelajari sejarah tentang pembinaan dan senibina menara ini lebih-lebih lagi buat anak-anak.

Selain itu, menara condong ini menjadi lokasi untuk bersiar-siar terutama pada waktu pagi dan petang, tidak kira buat pelancong luar mahupun penduduk tempatan. Di sekitar menara terdapat dataran yang berbata dan luas untuk pengunjung. Banyak parkir juga disediakan buat pengunjung.

Walaupun berada di kawasan bandar, berada di sini pasti memberikan ketenangan lebih-lebih lagi tempat yang berangin lembut. Jangan ketinggalan untuk merakamkan gambar di segenap sudut.  Jika ada pengunjung yang tidak dapat melihat kecondongan menara dengan mata kasar, rakamkan dengan kamera, pasti terlihat jelas kecondongannya.

Pemandangan menara pada waktu malam juga tidak mengecawakan. Menara Condong Teluk Intan akan diterangkan dengan lampu berwarna-warni yang pasti memukau pengunjung.

Dah puas meneroka sekitar menara, aktiviti membeli-belah pasti menjadi kegemaran buat ibu-ibu. Buat pengetahuan anda, terdapat banyak kedai cenderamata dan kedai makan sekitar dataran dan menara condong. Jika lapar atau ingin membeli cenderamata, pilih sahaja kedai yang anda mahu. Tak perlu menaiki kereta, cukup berjalan untuk sampai ke deretan kedai.

Sekiranya anda datang pada hari Sabtu, lebih banyak pilihan makanan dan cenderamata yang boleh anda pilih kerana terdapat pasar malam di sekitar Kawasan menara.

Imej via [ River Cruise Teluk Intan ]

Tak jauh dari Menara Condong Teluk Intan, anda boleh ke Pulau Bangau yang mengambil masa kira-kira lima minit sahaja jarak perjalanannya. Di Pulau Bangau, pengunjung boleh menaiki river cruise untuk meneroka pulau yang kaya dengan pelbagai jenis burung sambil menikmati keindahan alam. Dikatakan pulau ini menjadi tempat penghijrahan pelbagai spesis burung dari seluruh dunia.

Tak cukup dengan itu, pengunjung dapat melihat landskap matahari terbenam yang mempersona. Sekiranya datang pada waktu malam, pengunjung berpeluang untuk melihat kelip-kelip yang bersinar.

Lokasi: Lot 1&2, Komplex Menara Condong, Jalan Bandar, Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak

Menarik tak Menara Condong Teluk Intan ini? Ia pasti menjadi tempat percutian yang berbaloi untuk dikunjungi kerana bukan sahaja kaya dengan sejarah, malah merupakan tempat yang kaya dengan flora dan fauna.

Meluangkan masa seharian di Teluk Intan pasti memberikan pengalaman unik dan terbaik. Jika berkunjung ke Teluk Intan, jangan lepaskan peluang untuk berada di Kawasan ini.

Jom teroka tempat-tempat menarik yang berada di sekitar Teluk Intan seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.