Sekiranya anda merancang untuk bercuti ke negeri Melaka, apa kata anda cuba datang ke Bandar Hilir Melaka yang menjadi salah satu tempat tarikan bagi para pelancong. Anda pastinya sudah mengetahui mengenai negeri Melaka yang kaya dengan tempat bersejarah. Jika anda ingin tahu, sungai Melaka merupakan titik permulaan bagi empayar Kesultanan Melaka.

Menariknya lagi, di Bandar Hilir mempunyai rekod sejarahnya yang tersendiri apabila 4 rangka manusia telah ditemui di bandar ini. Terdapat juga pelbagai artifak dan barang antic lain yang dijumpai di sini. Di bandar ini juga terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dapat anda lawati. Pada waktu malam juga, pemandangan di Bandar Hilir Melaka sangat cantik dihiasi dengan lampu yang berwarna warni.

Menara Taming Sari

Imej via [lokasipercutian]

Jika Menara di Kuala Lumpur terkenal dengan Menara kembar Petronas, Bandar Hilir Melaka juga terkenal dengan Menara Taming Sarinya. Menara ini merupakan salah satu tempat menarik yang harus anda pergi jika datang ke negeri ini. Menariknya mengenai Menara ini ialah, ia dapat berputar sehingga 360 darjah pada ketinggian 80 meter.

Disebabkan Menara yang berketinggian 80-meter ini, ramai pelancong yang datang ke sini dapat menikmati keindahan Menara bersejarah dari sudut pandangan atas. Disebabkan Menara ini berputar, anda dapat melihat keseluruhan bandar Hilir ini. Menariknya lagi, Menara Taming Sari ini akan menyalakan lampu pada waktu malam.

Sekiranya anda datang ke sini, bukan sahaja pemandangan dari atas menara ini yang menarik, malah mereka yang melihat menara dari bawah juga pastinya akan terpegun dengan keindahan lampu malam menara ini. Harga tiket Menara ini ialah RM 20 bagi orang dewasa, RM 10 bagi kanak-kanak dan RM 17 bagi warga emas. Menara ini dibuka pada jam 10 pagi sehingga 11 malam.

Melaka River Cruise

Imej via [bizandleisure]

Jika melawat Kota A Famosa anda terpaksa berjalan untuk menikmati prasejarah di sana, tetapi di Melaka River Cruise ini anda boleh melihat kawasan Sungai Melaka yang merupakan tempat bersejarah di sini. Menariknya lagi, anda melihat keindahan Sungai Melaka dengan menaiki bot yang mengambil masa selama 45 minit untuk melalui sungai yang sepanjang 9 kilometer.

Selain itu, pemandangan di sini pada waktu malam sangat cantik kerana dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Menariknya, terdapat juga lampu yang diletakkan di jambatan menjadikan tempat ini lebih menarik untuk dilawat pada waktu malam. Manakala, pada waktu petang pula, anda berpeluang untuk melihat keindahan matahari yang terbenam di Sungai Melaka ini.

Laluan yang anda lalui ketika melalui sungai ini juga sangat menarik. Antaranya anda akan berlayar merentasi bangunan bersejarah tinggalan Belanda, kincir air, kubu pesisir sungai dan 7 buah jambatan kecil sekitar bandar Melaka. Harga tiket bagi orang dewasa ialah RM 25, kanak-kanak yang berumur 2 hingga 12 tahun pula RM 15, warga emas RM 20 dan bagi pelajar IPTA/IPTS yang mempunyai kad pelajar ditawarkan dengan RM 20.

Waktu operasi bot ini adalah dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 malam. Anda boleh menaiki bot ini dari 2 jeti yang disediakan iaitu di Jeti Muara yang terletak berdekatan dengan muzium Samudera mahupun Jeti Taman Rempah yang terletak di Jambatan Hang Jebat. Jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati sendiri keindahan Sungai Melaka ini bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Kota A Famosa Bandar Hilir

Imej via [odisi.my]

Siapa yang tidak tahu mengenai Kota A Famosa yang terletak di negeri Melaka ini. Jika bercakap mengenai tempat bersejarah di negeri Melaka, Kota A Famosa merupakan salah satu tempat yang wajib dilawati ketika datang ke sini. Kota A Famosa ini juga merupakan salah satu tarikan pelancong kerana kubu di sini sebenarnya telah dibina oleh mereka yang ditawan. Kubu tentera Portugis ini dibina menggunakan tenaga 400 orang hamba milik raja Melaka.

Pada zaman dahulu, kota ini mempunyai 8 menara kawalan setinggi bangunanan 4 tingkat, 70 meriam yang dihalau ke seluruh arah serta dikawal oleh 80 pengawal sepoi yang lengkap bersenjata. Kubu ini juga dibina sebaik sahaja Melaka ditawan oleh Protugis. Walau bagaimanapun, apa yang tinggal di sini sebenarnya hanyalah saki baki bangunan setelah Portugis diserang oleh British.

Sekiranya anda seorang yang meminati sejarah, anda pastinya akan teruja untuk melihat bekas peninggalan akibat kesan peperangan pada ketika dahulu. Tidak dinafikan tempat ini merupakan tempat yang sangat menarik untuk dilawati sekiranya anda bercuti ke negeri Melaka. Hal ini kerana, banyak pengorbanan dan sejarah yang dapat dipelajari ketika melawati Kota A Famosa ini.

The Shore Sky Tower

Imej via [holidify.com]

The Shore Sky Tower, sama seperti nama yang diberikan, bangunan ini mempunyai jalan kaca yang sangat menarik. Bangunan yang mempunyai 42 tingkat ini memberikan anda pengalaman untuk berdiri di atas kaca dan melihat pemandangan yang terdapat di bawah bangunan tersebut.

Bagi mereka yang tekutkan ketinggian, anda mungkin akan merasa takut untuk pergi ke bangunan ini. Bagi anda yang ingin merasai pengalaman berjalan di atas jambatan kaca, sky tower ini mungkin dapat memberikan anda pengalaman tersebut.

Anda juga boleh bergambar di setiap penjuru kaca lantai ini. Tetapi anda tidak dibenarkan untuk mengambil gambar menggunakan kamera anda sendiri sebaliknya aka nada seorang juru gambar yang akan mengambil gambar anda di sini. Harga tiket untuk dewasa adalah RM 25, kanak-knak RM 18 dan warga emas RM 25. Sky Tower ini beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 10 malam.

Menariknya lagi, di bawah bangunan ini disediakan shopping mall. Jika anda panas dan letih setelah meneroka sky tower ini, anda boleh turun ke bawah dan pergi ke shopping mall yang diberi nama The Shore Shopping Gallery. Jom rasai sendiri pengalaman berjalan di atas lantai kaca.

Rumah Terbalik Melaka

Imej via [tempatmenarik]

Anda pastinya pernah mendengar mengenai rumah terbalik yang menjadi tarikan di media sosial. Rumah terbalik ini sering menjadi tempat tumpuan pelancong yang datang ke Melaka. Hal ini kerana kedudukan barang-barang yang terdapat di dalam rumah ini adalah secara terbalik. Sememangnya rumah terbalik ini menjadi tarikan terutamanya bagi mereka yang suka bergambar.

Walaupun begitu, rumah terbalik ini hanya menawarkan 6 ruang untuk anda bergambar. Sekiranya anda berniat untuk datang ke sini bersama rakan-rakan anda, pastikan anda membawa kamera bagi mengambil gambar yang menarik dalam pelbagai posisi.

Harga untuk masuk ke dalam rumah terbalik ini juga sangat berpatutan iaitu RM 15 bagi dewasa dan RM 10 bagi kanak-kanak. Waktu rumah ini dibuka pula ialah pada pukul 10 pagi sehingga 7 petang pada hari isnin hingga khamis. Manakala, bagi hari Jumaat, sabtu dan ahad, rumah ini dibuka pada 10 pagi sehingga 9 malam. Jom datang bersama rakan-rakan anda untuk mengambil gambar yang menarik di sini.

The Stadthuys

Imej via [dreamstime]

The Stadthuys merupakan salah satu tempat bersejarah yang terdapat di bandar Melaka. Muzium ini terletak di tengah-tengah Dataran Belanda yang juga dikenali sebagai Dataran Merah. Bangunan ini dibina sebagai bangunan Belanda yang tertua yang masih berada di Asia. Bangunan ini dibina pada 1650 oleh pihak Belanda.

Walaupun begitu, pada zaman tersebut bangunan ini berfungsi sebagai kediaman gabenor dan dewan bandar. Namun, pada tahun 1982, bangunan ini telah dijadikan muzium. Bangunan ini mempunyai pelbagai ciri seni bina Belanda yang terdiri dari pintu, tingkap louver, atap dan banyak lagi. 

Penggunaan warna yang menyerlah juga merupakan salah satu tarikan seni bina belanda pada zaman dahulu. Muzium ini juga diubah suai menjadi 5 buah muzium iaitu muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi dan Muzium Yang Di-Pertuan Negeri. 

Menariknya di sini, terdapat perkhidmatan beca yang disediakan. Jadi anda boleh merasai pengalaman menaiki beca ketika mengunjungi muzium ini. Terdapat bayaran yang dikenakan untuk memasuki muzium ini iaitu bagi mereka yang dewasa RM 3, manakala bagi kanak-kanak RM 2. Tiket ini merupakan tiket untuk memasuki kelima-lima muzium yang disenaraikan. Jom datang ke sini bersama keluarga dan rakan-rakan anda. 

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Imej via [foursquare]

Bagi rakyat Malaysia, anda pastinya mengetahui mnegenai pengisytiharan kemerdekaan yang dilakukan di Bandar Hilir Melaka. Pengisytiharan ini dilakukan oleh Perdana Menteri malaysia yang pertama iaitu Tunku Andul Rahman Putra Al-Haj. Tempat pengumuman ini dilakukan adalah di Padang Pahlawan. 

Di memorial ini, terdapat pelbagai bahan pameran yang bernilai seperti manuskrip, pita video, filem dan slaid. Antara menuskrip yang terdapat di sini adalah perjanjian dan teks ucapan yang berkaitan dengan perjuangan untuk mencapai kemerdekaan. Anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran untuk masuk ke memorial ini. Memorial ini dibuka pada pukul 9 pagi sehingga 6 petang. 

Muzium Samudera

Imej via [facebook.com]

Seperti yang anda tahu, negeri Melaka dikenali dengan sejarah kelautannya. Disebabkan itu, terdapat satu tempat tarikan yang dikenali sebagai Muzium Samudera dibina di Bandar Hilir ini. Menariknya mengenai muzium ini, ia memiliki bentuk kapal. Kapal ini pula merupakan replika kapal Flor De La Mar. 

Tujuan muzium ini di bina adalah untuk mengetengahkan sejarah kelautan negeri Melaka dan zaman kegemilangan Melaka. Muzium ini memaparkan perkembangan perdagangan dari zaman kesultanan Melayu Melaka hingga zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Terdapat bayaran yang dikenakan untuk memasuki muzium ini. Bayaran bagi mereka yang dewasa ialah RM 3, manakala bagi kanak-kanak dan pelajar dikenakan RM 1. Muzium ini mula beroperasi pada pukul 9 pagi sehingga 5.30 petang. Manakala pada hari Jumaat hingga Ahad, muzium ini beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 9 malam. 

The Pirate Adventure – Melaka Alive

Imej via [vkeong.com]

Jika anda datang ke sini bersama anak-anak, anda boleh membawa anak anda datang ke The Pirate Adventure. Tempat ini merupakan salah satu tarikan terbaru yang ada di Melaka. Ia merupakan hiburan yang sekaligus memberi informasi mengenai sejarah kegemilangan negeri Melaka. Menariknya lagi, pirate adventure ini juga merupakan pertunjukan teater muzikal yang diilhamkan oleh kapal. 

Persembahan akan diadakan 2 kali sehari iaitu pada waktu petang dan malam. Menariknya di sini, anda dapat melihat persembahan secara langsung melalui kesan khas yang menarik seperti visual, muzik dan lakonan secara langsung. Bagi anda yang ingin merasai pengalaman menaiki kapal lanun, anda boleh datang ke sini untuk mencuba sendiri. 

Kesimpulan

Sebenarnya terdapat pelbagai tempat menarik di Bandar Hilir Melaka yang dapat anda pergi. Muzium dan galeri juga banyak terdapat di sini. Sekiranya anda berniat untuk datang ke sini, jangan lupa untuk melawati ke semua tempat tarikan yang telah disenaraikan di sini. Anda bukan sahaja dapat melawati tempat bersejarah, malah dapat meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Jangan lepaskan peluang anda untuk ke sini.

Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:

Penulis: Kira Asla

Writing makes me happy!

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.