Apa yang menarik di Egang-Egang Resort? Buat anda yang sering merancang percutian ke tempat-tempat menarik tetapi menginginkan percutian yang berbeza dan eksklusif, anda boleh menginap di Egang-Egang Resort.

Egang-Egang Resort adalah salah satu penginapan di atas air yang pasti membuatkan para pecinta alam jatuh hati dengan pemandangan laut yang kebiruan.

Egang-Egang Resort terletak di perairan Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. Masa perjalanan yang diambil dari jeti hanyalah sekitar 10 hingga 15 minit sahaja dengan menaiki bot. Buat anda yang pertama kali merancang percutian ke Egang-Egang Resort pasti akan terpukau dengan suasana dan pemandangan yang terdapat di sana.

Egang-Egang Resort ini juga telah menjadi salah satu destinasi penginapan atas air dengan harga yang amat berpatutan. Resort kayu yang dibina di atas air laut yang jernih telah menjadi tumpuan banyak pengunjung untuk bercuti dengan mewah dan lebih privasi.

Penginapan

Imej via [ Egang-Egang Resort ]

Egang-Egang Resort mempunyai empat jenis chalet iaitu Chalet Dua Bilik Tidur dengan 1 katil bersaiz queen, Chalet Satu Bilik Tidur dengan 1 katil bersaiz queen dan 1 katil dua tingkat, Chalet Satu Bilik Tidur dengan 1 katil dua tingkat dan yang terakhir adalah Chalet dengan 1 katil queen dan 1 katil dua tingkat.

Setiap chalet diperbuat dengan konsep tradisional yang menggunakan kayu sepenuhnya. Walaubagaimanapun, chalet terapung ini tetap kelihatan eksklusif dan mewah. Setiap chalet disediakan kipas, katil dan tilam yang sangat selesa dan sesuai untuk penginapan bajet seperti yang ditawarkan.

Bukan itu sahaja, Egang-Egang Resort menyediakan sebuah balkoni khas yang mempunyai tangga untuk menuruni ke laut yang kehijauan. Buka sahaja pintu, pengunjung dapat terus terjun ke dalam laut. Kerusi rehat juga disediakan di balkoni untuk pengunjung berehat sambil menikmati keindahan alam.

Harga penginapan di Egang-Egang Resort adalah berbeza, bergantung kepada tarikh yang anda pilih, tempoh menginap dan juga jenis chalet yang anda inginkan. Setakat ini, harganya cukup berpatutan iaitu dari RM450 – RM850. Sesuai untuk percutian atau penginapan terapung bajet tetapi eksklusif.

Waktu yang ditetapkan untuk Check-In ke tempat penginapan adalah dari pukul 12.00 pm, begitu juga apabila anda ingin Check-Out, waktunya adalah sama. Tetapi anda boleh memohon untuk Check-In atau Check-Out lebih awal semasa membuat tempahan. Jika anda Check-In atau Check-Out sebelum atau selepas tempoh khusus, anda akan dikenakan bayaran tambahan.

Kemudahan dan Perkhidmatan

Untuk makan dan minum di Egang-Egang Resort, penginap tidak perlu risau sama kerana di sini mereka menyediakan sarapan, makan malam dan makan tengahhari percuma bergantung dengan pakej yang anda ambil.

Anda juga boleh menikmati menu makanan laut yang banyak dan sedap seperti sotong goreng celup tepung, ikan yang pelbagai, ketam serta udang yang segar dari nelayan di sana. 

Namun jika anda ingin mencari menu makanan lain yang dapat memuaskan lagi tekak anda, anda boleh pergi ke tempat-tempat makan yang ada di persekitaran Egang-Egang Resort dimana terdapat banyak restoran dan kafe yang berdekatan.

Sekiranya pengunjung membuat tempahan pakej bersama pihak resort, ia termasuk pakej penginapan, makan dan minum, kemudahan pengangkutan dan beberapa aktiviti menarik. Semuanya lengkap tersedia untuk memudahkan percutian para pengunjung.

Aktiviti Menarik

Pasti anda semua bertanya-tanya apa aktiviti menarik yang boleh dilakukan di tempat percutian di atas air ini? Walaupun Egang-Egang Resort ini merupakan destinasi percutian di atas air, namun banyak aktiviti yang boleh anda lakukan di sini.

Antaranya adalah lawatan sambil teroka tentang budaya setempat iaitu kehidupan para nelayan dan masyarakat atas air.

Bukan itu sahaja, kemudahan sukan air di lokasi seperti snorkeling, menyelam dan juga memancing adalah antara aktiviti menarik yang disediakan untuk pengunjung-pengunjung yang datang bercuti ke Egang-Egang Resort ini.

Buat anda yang ingin meneroka hidupan akuatik, aktiviti snorkeling dan menyelam sangat sesuai untuk anda. Anda boleh melihat pelbagai jenis hidupan laut seperti terumbu karang, rumpai laut, obor-obor, ikan dan penyu.

Jika anda tidak boleh berenang tetapi teringin melihat keindahan hidupan laut, tiada masalah kerana anda boleh menggunakan baju pelampung dan dijaga oleh penjaga di sana. Anda juga masih boleh melihat hidupan laut dengan jelas oleh kerana air lautnya yang sangat jernih.

Selain itu, anda juga boleh mencuba aktiviti tambahan yang lebih mencabar dan menyeronokkan. Antaranya adalah Parasailing dan Banana Boat. Sukan air yang mencabar ini sangat popular dan digemari ramai pengunjung jika ke pantai.

Tak cukup dengan itu, anda juga boleh mendaki Bohey Dulang yang berada bertentangan resort. Lazimnya, pemandu arah akan diberi kepada pengunjung memandangkan ia termasuk dalam pakej percutian untuk mendaki bukit ini.

Lokasi: Bum Bum Island, Semporna, Sabah

No telefon: 016-368 0049

Facebook: Egang-Egang Resort

Secara ringkasnya, Egang-Egang Resort adalah tempat percutian atau penginapan yang sesuai untuk mereka yang menginginkan privasi di Semporna. Penuh ketenangan memandangkan penginap sahaja yang berada di kawasan tersebut.

Nak bersantai atau melakukan aktiviti lasak, kedua-duanya ada tersedia buat pengunjung memilihnya. Sesekali berada bersama hidupan marin pasti membuatkan semua terpukau. Bukan hanya dapat menikmati angin laut yang nyaman, tetapi anda juga dapat merasai pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan dalam hidup anda.

Mencari tempat menarik di Sabah? Mungkin tempat ini yang anda cari untuk percutian bersama keluarga mahupun rakan-rakan!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.