Siapa yang tak kenal dengan Bunga Siti Zubaidah, bunga yang pernah tular kerana mekar dan warnanya yang cantik. Tak hairahlah ramai yang mencari dan menanamnya di halaman rumah.

Bunga Siti Zubaidah turut dikenali sebagai Bunga Tiga Bulan. Hal ini kerana, bunga ini memerlukan tempoh masa tiga bulan untuk mekar sepenuhnya dan apabila sudah mekar sepenuhnya ianya mampu bertahan selama tiga bulan. Dalam Bahasa sainstifik pula, bunga ini digelar Hydrangea.

Sehingga kini, terdapat lebih 75 spesis Hydrangea di seluruh dunia dengan empat warna asas iaitu putih, ungu, biru dan merah jambu. Ramai yang terpukau dengan kecantikan bunga ini kerana kumpulan bunga kecil mekar merimbun membentuk sebuah jambangan dan warnanya kadangkala berwarna lembut atau pastel.

Namun disebalik kecantikan bunga ini, anda perlu tahu beberapa fakta mengenainya kerana ada risiko jika tersalah cara penjagaannya. Jom baca fakta menarik, cara penjagaan serta tips mendapatkan warna idaman Bunga Siti Zubaidah!

Fakta Menarik

  • Berubah Warna Mengikut pH Tanah

Jika ada yang tidak tahu, bunga ini akan berubah warna mengikut kadar pH tanah. Sepanjang tempoh tiga bulan untuk bunga ini mekar, warnanya mungkin berubah menjadi merah jambu, putih mahupun biru.

Jika keadaan tanah berasid, maka bunga akan berwarna biru namun jika tanah lebih beralkali, warna bunga menjadi merah jambu. Jika bunga berwana putih, ini kerana pH tanah adalah neutral. Jika keadaan tanah anda bercampur nilai pH, pasti warna lebih cantik!

  • Mempunyai Banyak Nama

Bunga Siti Zubaidah mempunyai banyak nama saintifik dan nama gelaran yang lain di seluruh dunia. Antaranya adalah Penny Mac, Bigleaf Hydrangea, Mophead Hydrangea, Hortensia dan French Hydrangea.

  • Ditemui di Jepun

Banyak kajian yang mengatakan bungai ini berasal dari Jepun. Malah selain bunga sakura, bunga yang digelar ‘Ajisai’ di negara ini juga menjadi identiti ikonik bagi negara Jepun. Tidak hairanlah jika Hydrangea banyak ditemui di negara ini lebih-lebih lagi pada Jun hingga pertengahan Julai.

  • Banyak Kegunaan

Terdapat banyak kegunaan Bunga Siti Zubaidah dan umumnya dijadikan hiasan rumah sama ada dalaman mahupun luaran. Bukan itu sahaja, ada yang menjadikannya sebagai bunga tangan sewaktu perkahwinan dan ada juga yang menjadikannya hiasan untuk hantaran.

Bunga yang pernah viral ini juga seringkali menjadi hiasan bouquet atau hadiah untuk seseorang terutama perempuan sebagai tanda penghargaan dan sebarang sambutan.

  • Hydrangea Day

Ramai yang menyukai bunga ini hingga wujudnya Hydrangea Day atau Hari Hydrangea yang disambut pada 5 Januari setiap tahun diseluruh dunia.

  • Bunga Beracun

Di sebalik kecantikan dan keunikan Bunga Siti Zubaidah, siapa sangka bunga ini sebenarnya sedikit bahaya kerana dikategorikan sebagai bunga beracun.

Dikatakan getah pada bunga ini mengandungi bahan beracun yang boleh membawa beberapa kesan sampingan bergantung pada kadar yang terdedah. Jika tidak betul cara pengendaliannya, anda mungkin akan mengalami muntah, cirit-birit, sawan dan lain-lain. Jadi elakkan anak-anak mahupun haiwan peliharaan kesayangan anda dari mendekati bunga ini.

  • Banyak Ditanam Di Negara Beriklim Sederhana

Bunga ini boleh dijumpai diseluruh negara namun lebih sesuai dan kerap ditemui di negara beriklim sederhana. Di negara yang mempunyai empat iklim pula, anda dapat melihat Bunga Siti Zubaidah tumbuh dengan mekarnya bermula Ogos dan September.

Cara Penjagaan Bunga Siti Zubaidah

  • Letakkan bunga Hydrangea di tempat yang redup, elakkan meletakkannya di bawah cahaya matahari secara terus.
  • Siraman air sekali sehari sudah mencukupi. Namun jika cuaca panas, anda boleh menyiramnya dua kali sehari. Pokok bunga ini akan layu jika kurang kadar airnya dan boleh mengganggu perkembangan tanaman lain.
  • Bunga Siti Zubaidah memerlukan penggunaan baja yang kaya dengan Nitrogen pada awal pertumbuhannya. Apabila pokok sudah matang dan mula berbunga, ia memerlukan baja yang kaya dengan fosforus (P) untuk menghasilkan bunga yang mekar.

Tips Menghasilkan Warna Bunga Diingini

  • Untuk mendapatkan bunga yang berwarna biru, tanah gambut atau sulfur perlu ditambahkan pada permukaan tanah di sekitar keratan pokok.
  • Jika ada yang berkenan untuk mendapatkan warna merah jambu, taburkan kapur pertanian pada permukaan tanah di sekitar pokok bunga tersebut.

Jika di Malaysia, Bunga Siti Zubaidah banyak dijumpai di Cameron Highland. Para ibu pasti tidak ketinggalan untuk membeli bunga segar Hydrangea di sini kerana bentuk dan warna bunganya di sana sedikit berlainan berbanding penanaman di kawasan lain. Seperti yang anda tahu, suhu juga menjadi salah satu faktor pertumbuhan bunga yang cantik.

Ada yang berkenan? Jom tambah koleksi bunga di taman bunga anda dengan Hydrangea! Bukan kita sahaja yang terpukau dengan kecantikannya, malah pasti ada tetamu yang terpegun tiap kali melihatnya.

Pecinta bunga pasti suka berada di taman yang penuh dengan pelbagai jenis tumbuhan. Jika berada di tempat-tempat ini, pasti membuatkan ramai yang rambang mata.

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.