15 Tempat Snorkeling di Malaysia yang Cantik
Anda mencari tempat snorkeling di Malaysia? Kami sertakan banyak tempat snorkeling di hampir setiap negeri dan pastinya tempatnya cantik dan berbaloi jika anda datang ke sana.
Ramai yang suka teroka dasar laut untuk menikmati pemandangan yang indah, unik dan jarang dilihat. Berada di dalam air sememangnya memberi ketenangan apabila menikmati keindahan ciptaan Tuhan ini.
Sebut sahaja snorkeling, pasti tempat-tempat seperti pulau terbayang di minda. Antara tempat snorkeling yang terkenal semestinya terletak di pantai timur seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas.
Sebenarnya terdapat banyak lagi pulau yang boleh anda teroka untuk snorkeling di negeri lain. Jom tengok pulau mana yang mungkin menjadi destinasi pilihan anda.
Pulau Redang
Siapa je tak kenal Pulau Redang? Pulau paling terkenal dengan aktiviti laut dan pantai termasuklah snorkeling. Pulau Redang merupakan salah satu pulau terbesar di pantai timur yang jernih dan bersih.
Keadaan air yang jernih dan bersih ini menampakkan keadaan pasir yang halus dan berwarna putih. Nak tengok terumbu karang dan pelbagai jenis ikan.
Tahukah anda, jika anda sampai di sini banyak tempat atau kawasan snorkeling anda boleh pergi. Antaranya Pantai Pasir Panjang, Taman Laut Redang, Tanjung Tengah Redang dan Pulau Lima.
Setiap kawasan ini mempunyai tarikan tersendiri. Jika anda ke Tanjung Tengah Redang, anda dapat melihat penyu, jerung dan schooling needle fish. Manakala di Taman Laut Redang, anda boleh melihat pelbagai jenis terumbu karang buatan manusia di bawah jeti bersama pelbagai jenis ikan.
Lokasi: Pulau Redang, Kuala Nerus, Terengganu.
Pulau Susu Dara
Pasti ada di kalangan anda yang tidak pernah atau jarang mendengar tentang Pulau Susu Dara. Pulau Susu Dara juga berhampiran dengan Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Terdapat dua kawasan yang sesuai untuk aktiviti snorkeling iaitu Pulau Susu Dara Kecil dan Pulau Tokong.
Pemandangan tempat snorkeling di Malaysia ini tak kurang hebatnya. Cantik, bersih dan mendamaikan. Terdapat batu-batu besar dan terumbu karang yang menjadi tempat pelbagai ikan-ikan bermain dengan jelas. Nak tengok ikan Nemo? Datang sahaja ke sini!
Lokasi: Pulau Susu Dara, Terengganu
Pulau Tenggol
Pulau Tenggol terletak di Dungun, Terengganu. Merupakan taman merin yang diwartakan, pulau ini masih dijaga dengan baik. Jika anda ke sini menggunakan bot laju dari dari Kuala Dungun, anda boleh sampai cepat iaitu 45 minit. Namun lebih lama jika anda menaiki bot biasa.
Walaupun keluasan pulau ini sangat kecil, namun sangat puas untuk menikmati keindahan laut. Hampir kesemua tarikan terkumpul di sini seperti ikan jerung, paus, rumpai laut dan terumbu karang.
Sebelum ke sini pastikan anda membuat persiapan awal seperti tempahan bot dan tempahan alat snorkeling. Anda juga boleh menginap di resort yang terdapat di sini. Waktu yang sesuai untuk ke sini untuk snorkeling adalah April hingga Oktober kerana air pasang-surut.
Lokasi: Pulau Tenggol, Terengganu
Pulau Aur
Pulau Aur terletak di Johor. Pulau ini terbentuk dari gabungan tiga pulau iaitu Pulau Lang, Pulau Dayang dan Pulau Pinang. Menariknya di sini, anda tidak perlu menaiki bot ke pulau lain untuk snorkelling. Cukup bermula di pesisir pantai pasti memuaskan.
Nak ke pulau ini, anda perlu menaiki bot dari Jeti Mersing selama 2 jam 30 minit. Jauh perjalanan tapi berbaloi dengan pemandangan sekeliling. Pasti ramai tak tahu tentang pantai ini.
Di sini terdapat beberapa chalet disediakan buat pelancong. Jika anda mahukan percutian yang jauh dari kesibukan kota dan tanpa sebarang gajet, memang digalakkan ke sini. Sesekali hari tanpa memegang gajet pasti memuaskan lagi-lagi berada di tengah-tengah pulau.
Lokasi: Pulau Aur, Mersing, Johor
Pulau Gemia
Mengambil masa 15 minit untuk ke sini dari Jeti Marang, pulau ini berdekatan dengan Pulau Kapas. Walaubagaimanapun, Pulau Gemia tidak terlalu terkenal seperti pulau yang berada berhampiran. Namun cukup memuaskan jika anda berada di sini.
Sekiranya anda ingin ke sini, waktu yang sesuai bermula Mac sehingga Oktober. Selain dari tempoh ini, resort, bot dan feri ditutup kerana mengalami musim angin monsun. Terdapat satu penginapan di Pulau Gemia iaitu Gem Wellness Spa & Island Resort.
Selain snorkeling, anda juga boleh bermandi-manda, bersantai dan berkayak. Jangan lupa untuk mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.
Lokasi: Pulau Gemia, Mukim Rusila, Marang, Terengganu
Pulau Pemanggil
Pernah dengan tentang Pulau Pemanggil? Pulau Pemanggil terletak di Mersing, Johor. Terdapat empat resort disediakan buat pelancong untuk menginap dengan mewah dan berbaloi.
Berada di Taman Laut Negeri Johor, anggaran masa yang diambil untuk sampai ke sini adalah satu jam lebih sahaja. Terdapat banyak tempat unik dan bersejarah di sini seperti kapal lama karam iaitu Lancang Kuning dan Batu Nenek Buau.
Tempat snorkeling yang boleh anda pergi adalah Teluk Kador, Lanting Beach Lagoon, Kampung Pak Kaleh dan Batu Buau. Di sebalik pelbagai hidupan marin di dasar laut, latar dan persekitaran juga sangat memukau.
Lokasi: Pulau Pemanggil, Mersing, Johor
Pulau Babi Besar
Nama pulau yang unik ini merupakan gelaran yang dipanggil oleh masyarakat setempat. Namun, pulau ini dikenali sebagai Pulau Besar. Air lautnya yang kebiruan dan jernih menampakkan pasir putih yang berkilau. Pasti tak kelip mata memandang keindahan dari dasar laut.
April hingga September merupakan waktu terbaik untuk datang ke sini memandangkan cuaca sangat baik. Anda perlu menaiki bot dari Jeti Mersing dengan anggaran 30 minit perjalanan. Mungkin ini tempat snorkeling di Malaysia yang anda perlu kunjungi untuk bercuti!
Lokasi: Pulau Babi Besar, Mersing, Johor
Pulau Pangkor
Pulau Pangkor terletak di Perak dan merupakan destinasi percutian yang terkenal di Malaysia. Anda perlu menaiki feri untuk ke sini. Sekiranya anda ingin perjalanan yang lebih lama, anda boleh menaiki feri di Jeti Marina. Jika nak cepat sampai, naik saja feri di Jeti Lumut.
Pulau Giam dan Pantai Coral merupakan kawasan yang sering dijadikan lokasi untuk snorkelling. Nak lagi mudah dan jimat, pilih saja pakej snorkeling yang turut menyediakan kelengkapan aktiviti ini dengan harga yang berbaloi.
Lokasi: Pulau Pangkor, Perak
Pulau Mabul
Pulau Mabul antara lokasi terkenal seluruh dunia untuk percutian dan aktiviti snorkeling sehingga mendapat pengiktirafan sebagai lokasi muck diving terbaik di dunia. Walaupun pulau berbentuk bujur dan kecil, namun persekitarannya pasti memukau setiap pengunjung.
Tak berkesempatan ke Maldives? Cukuplah ke Pulau Mabul anda akan merasai suasana seakan dengannya. Snorkeling di sini pasti memberikan pengalaman unik dan berbeza berbanding pulau yang lain kerana terdapat aneka hidupan makro dalam air.
Ada juga spesis hidupan marin yang sukar ditemui di pulau lain. Jangan lupa untuk bawa kamera dan rakamkan gambar anda di sini termasuk sewaktu berada di bawah laut. Anda akan dapat hasil gambar yang sememangnya cantik tanpa perlu di edit.
Lokasi: Pulau Mabul, Sabah
Pulau Tioman
Pulau Tioman merupakan pulau terbesar dan mempunyai gugusan 8 buah pulau yang lain. Antara Pulau yang anda boleh kunjung untuk snorkelling adalah Pulau Renggis, Pulau Tulai, Pulau Tomok, Pulau Jahat, Monkey Bay dan Pulau Soyak.
Memang puas bercuti ke Pulau Tioman kerana terdapat pelbagai tempat menarik yang lain termasuk Pusat Taman Marin, Kampung Tekek, Juara Turtle Project dan Vision Commerce Duty Free Shop. Pencinta alam dan hidupan marin memang patut datang ke sini!
Sejuk mata memandang melihat tempat snorkeling di Malaysia yang indah dan mendamaikan. Jom rancang aktiviti percutian anda dengan snorkelling. Pasti memberi pengalaman yang indah dan sukar dilupakan. Dah cuba pasti nak snorkeling lagi.
Pulau Perhentian
Siapa je yang tak kenal Pulau Perhentian? Pulau Perhentian merupakan destinasi utama untuk aktiviti pelancongan terutama snorkeling. Jika anda ingin ke sini, banyak pilihan pakej berbaloi termasuk penginapan, aktiviti, pengangkutan dan lain-lain.
Di Pulau Perhentian, terdapat banyak tempat yang anda boleh snorkeling seperti Pantai Tiga Ruang, kawasan penyu, kawasan ikan nemo, kawasan ikan jerung dan Lata Air Berani. Air lautnya yang jernih menampakkan lagi pelbagai hidupan marin tersebut.
Ramai pengunjung tempatan dan luar negara memilih Pulau Perhentian untuk snorkeling kerana keadaan sekeliling yang bersih dan cantik. Patutlah pulau ini pernah tersenarai sebagai pulau tercantik di dunia.
Lokasi: Pulau Perhentian, Terengganu
Pulau Kapas
Pulau Kapas turut menjadi lokasi tumpuan untuk snorkeling di Terengganu. Hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit sahaja dari jeti Marang ke pulau ini.
Anda pasti terpukau dengan keindahan Pulau Kapas kerana dikelilingi tumbuhan menghijau, air laut yang jernih serta pepasir yang keputihan. Tidak hairanlah kenapa pulau ini diberi nama sedemikian. Pulau ini sedikit cetek, sesuai jika anda ingin membawa anak-anak turut bersnorkeling.
Walaupun pulau ini tidak sebesar pulau terkenal yang lain, namun anda pasti puas untuk snorkeling di sini. Anda masih boleh meneroka hidupan laut seperti penyu, kerang gergasi, terumbu karang, damsels dan lain-lain.
Lokasi: Pulau Kapas, Terengganu
Tunku Abdul Rahman Marine Park
Turut dikenali sebagai Taman Negara Tunku Abdul Rahman, tempat ini mempunyai lima pecahan pulau yang boleh anda selami. Lima pulau tersebut adalah Pulau Sapi, Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sulug dan Pulau Mamutik.
Dalam satu hari anda pasti dapat meneroka semua pulau ini kerana masing-masing terletak berdekatan. Pulau Sapi adalah antara pulau yang terkenal di taman laut ini. Oleh sebab itulah pulau kecil ini sering dipenuhi pengunjung.
Anda boleh menaiki bot di Terminal Feri Jesselton Point untuk ke sini dengan anggaran masa 20 hingga 30 minit.
Lokasi: Sabah
Pulau Sipadan
Jika anda mencari tempat snorkeling di Sabah, Pulau Sipadan merupakan antara tempat yang menarik untuk anda teroka hidupan laut. Untuk pengetahuan anda, Pulau Sipadan antara tempat terbaik untuk aktiviti skuba dan snorkeling di dunia.
Tidak hairanlah jika permit diperlukan untuk anda datang meneroka pulau ini. Memang sangat puas jika anda ke sini kerana terdapat 3000 spesis ikan, 100 spesis terumbu karang, 20 spesis penyu dan hidupan laut yang lain dapat anda temui di sini.
Pulau ini juga terkenal dengan tempat persinggahan penyu untuk bertelur. Ramai juga pengunjung ke sini untuk melihat kitaran penyu tersebut.
Lokasi: Pulau Sipadan, Sabah
Pulau Langkawi
Pulau Langkawi juga tak ketinggalan dalam menyediakan pelbagai tempat untuk snorkeling di Malaysia. Sambil-sambil bercuti, rugi tak mencuba aktiviti air di sini.
Antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong untuk snorkeling termasuklah Pulau Payar, Pulau Beras Basah, Pantai Cenang dan sebagainya. Kesemua tempat ini mempunyai keunikan dan keistimewaan terhadap hidupan marin.
Pulau Payar merupakan destinasi popular untuk aktiviti ini. Banyak terumbu karang dan hidupan laut lain yang eksotik seperti belut Moray, clown fish dan barakuda.
Lokasi: Pulau Langkawi, Kedah
Tips tambahan untuk anda yang baru ingin berjinak dengan dunia snorkelling, anda boleh menempah pakej untuk lebih jimat dan mendapat pantauan atau tumpuan sepenuhnya dari mana-mana agen. Jadi, aktiviti anda terancang dan tidak sesat.
Jika anda pecinta alam, jom tengok tempat-tempat menarik yang boleh anda kunjungi untuk berehat dan menenangkan fikiran seperti di bawah: