19 Tempat Menarik Di Sarawak. Penuh Kehijauan Alam Semula Jadi.
Sarawak merupakan sebuah negeri yang terbesar di Malaysia. Negeri ini terdiri daripada 12 bahagian yang merangkumi 40 daerah. Dengan keluasan yang sebegini besar, sudah pastilah negeri ini mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dilawati oleh para pengunjung. Jom kita lihat 19 tempat menarik yang terdapat di Sarawak untuk anda sekeluarga kunjungi.
1) Muzium Sarawak
Muzium adalah tempat yang paling ideal untuk anda mengetahui latar belakang sesebuah tempat. Untuk mengetahui tentang sejarah dan latar belakang negeri Sarawak, Muzium Sarawak adalah tempatnya Bangunan muzium ini dibina mengikut rekabentuk dewan bandaraya di Perancis. Muzium ini memiliki beberapa bahagian yang berbeza dan salah satu bahagiannya telah dibuka sejak tahun 1891. Usia bangunan ini sahaja pun sudah boleh dianggap antik, belum lagi termasuk barang pameran yang terdapat di muzium ini. Namun, untuk bahagian muzium yang baru, bahagian atasnya digunakan untuk program rasmi, tingkat bawah pula terdapat akuarium, memorial pahlawan dan taman botani.
Lokasi: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00pagi – 4:45petang) | Sabtu – Ahad (10.00pagi – 4.00petang)
Bayaran Masuk: Percuma
2) Taman Negara Bako
Taman Negara ini adalah yang terkecil di Sarawak. Walaupun kecil, taman negara ini merupakan taman negara tertua di Sarawak. Namun begitu, taman negara ini dikatakan paling unik kerana menyimpan hampir semua spesis tumbuhan Borneo. Ia menempatkan pelbagai jenis hidupan liar termasuklah monyet belanda yang memiliki hidung yang besar ataupun dipanggil monyet proboscis yang hanyalah terdapat di Borneo. Di samping itu, terdapat juga pantai, laut, paya bukau dan kawasan air terjun untuk anda melakukan pelbagai aktiviti riadah. Untuk menjalankan aktiviti di sini, anda perlulah menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Sarawak terlebih dahulu.
Lokasi: Forest Department Sarawak, Bangunan Wisma Sumber Alam, Jalan Stadium, Petra Jaya 93660, Kuching
Harga: Tiket Bas Asia No 1 dari Kuching ke Terminal Bako RM3.50 sehala | Harga tiket bot dari Terminal Bako ke Taman Negara Bako RM15 sehala | Park Conservation fee RM10
3) Taman Negara Kubah
Taman Negara Kubah ini mendapat namanya bersempena Gunung Serapi yang berbentuk seperti kubah. Macam2 aktiviti boleh buat di Taman Negara Kubah ni, boleh mendaki ke Air Terjun Gunung Serapi atau melaui laluan2 mendaki seperti ke Puncak Gunung Serapi. Boleh berjalan atau berbasikal kerana terdapat kemudahan laluan berturap hingga ke puncak gunung. Ada juga tapak perkhemahan untuk mereka yang suka berkhemah.
Apa yang membuat Taman Negara Kubah lebih istimewa ialah kerana ia kaya dengan pelbagai spesis tumbuhan palma. Terdapat 86 spesis tumbuhan palma di Kubah di mana 16 daripadanya merupakan tumbuhan palma endemik Borneo. Tumbuhan-tumbuhan palma di Kubah juga telah dikenalpasti penting dari sudut sejarah dan ekologi tempatan. Ahli botani Itali yng tersohor Edoardo Beccari (1843-1920), telah tinggal di Sarawak dari tahun 1865 hingga 1868 adalah ahli botani pertama yang merekodkan kebanyakan tumbuhan-tumbuhan palma yang terdapat di Kubah. Penemuan dan pengalaman beliau dapat dibaca dalam buku karangan beliau iaitu Wandering in the Great Forests of Borneo.
Lokasi: Jalan Lundu-Sampadi, Kuching
Waktu Operasi: 8.00pagi – 5.00petang
Harga Tiket: RM10
4) Pusat Hidupan Liar Semenggoh
Teringin nak tengok aksi orang utan yang comel-comel?Datanglah ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh. Orang utan disini diberikan latihan oleh ranjer-ranjer untuk hidup di dalam hutan sebelum dilepaskan ke hutan yang berada di sekitar. Orang utan akan pulang ke pusat pemeliharaan pada pukul 9 – 10 pagi dan 3 – 3.30 petang untuk makan, jadi waktu-waktu ini adalah yang terbaik untuk anda melihat keletah orang utan yang amat menghiburkan hati di hutan ini.
Lokasi: Jalan Puncak Borneo, 93250 Kuching
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00pagi– 4.45petang)
Bayaran Masuk: RM10
5) Taman Negara Gunung Gading
Taman Negara Gunung Gading merupakan tempat pemuliharaan bunga terbesar iaitu Rafflesia. Pada awalnya, proses pemuliharaan ini dijalankan secara tertutup, namun Jabatan Taman Negara mula membukanya kepada orang ramai agar lebih ramai dapat melihat bunga unik ini dengan lebih dekat. Sekiranya anda teringin melihat bunga ini ketika ia mengembang besar, waktu yang terbaik adalah semasa musim hujan. Dan bunga ini juga tidak mengembang sepanjang tahun, jadi sebelum anda membuat lawatan ke sini, carilah maklumat atau bertanya kepada penjaga taman negara ini berkenaan musim bunga pakma ini. Sekurang-kurangnya tidaklah begitu kecewa sekiranya lawatan anda ke sini bukan waktu bunga ini berkembang. Namun begitu, masih banyak khazanah alam semula jadi lain yang boleh anda nikmati di taman negara ini.
Lokasi: Lundu, Kuching
Waktu Operasi: 8.00pagi – 5.00petang
Bayaran Masuk: RM20
6) Muzium Kebudayaan Sarawak
Anda ingin melihat budaya dan cara hidup masyarakat Sarawak yang terdiri daripada berbilang etnik dan kaum? Pastikan anda luangkan masa anda untuk melawat Muzium Kebudayaan Sarawak untuk merasai sendiri pengalaman kehidupan etnik-etnik di Sarawak. Berdasarkan kajian, Sarawak memiliki 27 etnik kesemuanya. Anda dapat melihat replika rumah serta bangunan etnik-etnik utama di Sarawak sebagai contoh rumah panjang Orang Ulu, rumah tinggi Melanau, pagoda orang Cina dan lain-lain.
Lawatan anda di sini akan dibantu oleh kakitangan muzium yang akan berpakaian dengan pakaian-pakaian tradisional etnik di Sarawak. Anda akan diberikan penerangan oleh kakitangan yang berada di muzium tentang kehidupan seharian etnik-etnik ini. Anda juga berpeluang melihat persembahan kebudayaan sebanyak dua kali sehari. Lebih menarik, di sini turut disediakan tempat untuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara etnik seperti Melayu, Iban, Bidayuh atau Orang Ulu.
Sekiranya anda ingin membeli kraftangan asli oleh etnik-etnik di Sarawak, anda boleh melawat kedai kraftangan yang ada di muzium ini.
Lokasi: Kampung Budaya Sarawak, 93010 Kuching
Waktu Persembahan: 11.30pagi & 4.00petang
Bayaran Masuk dan Makan: Dewasa RM75 | Kanak-kanak RM40
7) Kuching Wetlands National Park
Taman ini taman ini terdiri daripada 3 komponen iaitu pantai, laut dan juga ekosistem air tawar. Selain daripada kelainan daripada segi jenis tumbuh-tumbuhan, terdapat juga pelbagai jenis hidupan liar di kawasan berpaya bakau seperti proboscis monkey iaitu monyet yang berhidung besar, helang laut, buaya dan lain-lain. Untuk menuju ke taman ini anda akan dibawa menaiki bot dan beberapa orang pemandu pelancong akan membantu anda untuk menerokai taman ini.
Lokasi: Petra Jaya, 93050 Kuching
Waktu Operasi: 9.00pagi – 8.00malam
8) Pantai Damai
Pantai Damai merupakan pantai yang menarik untuk dikunjungi di Kuching. Pantainya luas, pasirnya halus dan air lautnya bersih dan berombak tenang. Berdekatan dengan pantai ini, anda dapat melihat hutan hujan tropika yang paling tua di dunia dan menikmati pemandangan indah pokok-pokok hutan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong. Ia sebuah panorama yang cukup indah.
Jika anda ingin bercuti di sini, anda boleh menginap di dua buah resort yang menarik di sini iaitu Damai Beach Resort dan Damai Puri Resort & Spa.
Lokasi: Teluk Bandung Santubong, 93756 Kuching
9) Taman Negara Gunung Mulu
Kekayaan flora dan fauna di Taman Negara Gunung Mulu menyebabkan ia menjadi salah satu taman hijau yang paling banyak diselidiki di dunia. Dikatakan tumbuhan jenis vaskular sahaja terdapat lebih daripada 3000 spesies di dalam hutan ini.
Antara tarikan yang terdpaat di taman negara ini adalah gua-gua yang wajib diteroka iaitu Gua Rusa dan Gua Air Jernih. Kalau anda nak tahu, di sini jugalah terdapatnya ruang bawah tanah yang terbesar di dunia yang dipanggil Sarawak Chamber sehingga dikatakan boleh memuatkan 40 buah kapal terbang! Memang banyak tarikan luar biasa di Taman Negara ini.
Alamat: Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak
Bayaran: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM30 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM10 | Kanak-kanak 6 Tahun Kebawah Percuma | Warga Emas (60 Tahun Keatas) RM7
10) Taman Negara Niah
Taman Negara Niah terdiri daripada hutan dipterokarp, paya gambut dan batu kapur yang menempatkan Gua Niah. Gua Niah bukan sebarangan gua. Ia mempunyai keistimewaan serta nilai sejarahnya yang tersendiriGua yang terdiri daripada sebuah Gua Besar dan beberapa Gua Kecil ini pernah menjadi penempatan awal manusia sekitar 40,000 tahun yang lalu. Kawasan ini merupakan sebuah kawasan penempatan manusia pada 40,000 tahun dahulu, dan mempunyai salah satu pintu masuk gua terbesar di dunia. Kawasan perkuburan Paleolitik dan Neolitik serta ukiran-ukiran lukisan dinding era zaman besi juga terdapat di gua ini. Kawasan sekeliling gua ini pula dihiasi hutan tebal dan merupakan habitat kepada pelbagai sepsis tumbuhan dan hidupan liar.
Sebelum memasuki kawasan gua yang legend ini, anda perlu melalui laluan berpapan yang berketinggian beberapa kaki daripada lantai hutan sambil disajikan dengan udara segar dan bunyi kicipan burung serta haiwan-haiwan lain.
Apa-apa pun, jika anda ke Taman Negara Niah, pakailah pakaian yang sesuaian. Anda juga perlu memakai penutup kepala untuk mengelak daripada terkena najis kelawar. Di samping itu, lampu suluh juga jangan lupa dibawa, kerana terdapat laluan yang gelap-gelita perlu dilalui untuk melihat banyak lagi gua-gua lain.
Alamat: Taman Negara Niah, 98200 Miri
11) Hawaii Beach
Hawaii Beach terletak di Kampong Bakam, Miri. Untuk sampai ke pantai ini, anda perlu berjalan kaki melalui papan kayu yang disediakan. Sambil menikmati pemandangan pantai ‘hawaii’ ini anda boleh berbbq dengan menggunakan peralatan bbq yang disediakan dengan caj tambahan.
Alamat: Kampung Bakam, 98000 Miri
12) Miri City Fan Recreation Park
Miri City Fan Recreation Park merupakan taman rekreasi yang cantik dan berbentuk seperti kipas. Ia pernah mendapat anugerah lanskap bandar yang terbaik di Malaysia pada tahun 2001.
Taman yang berkeluasan 10.4 hektar ini memiliki tarikan-tarikan seperti Musical Fountain, Islamic Garden, Health Garden, Chinese Garden yang lengkap dengan kolam ikan koi dan Pustaka Miri. Di sini juga terdapat kolam renang awam untuk anda bermandi-mandi. Malah kelas belajar berenang juga turut disediakan di sini.
Alamat: Jalan Kipas, 98000 Miri
13) Miri Crocodile Farm & Mini Zoo
Sarawak agak sinonim dengan haiwan reptilia bernama buaya ini kerana sungai-sungai di Sarawak adalah habitat bagi haiwan ini. Nak lihat buaya di sungai, memang suatu yang bahaya. Jadi kita lihatlah buaya di Miri Crocodile Farm & Mini Zoo.
Seperti namanya, Miri Crocodile Farm cum Mini Zoo, ia bukanlah sekadar memberi peluang untuk anda mendekati buaya-buaya yang tak terkira banyaknya, tetapi juga banyak haiwan lain di zoo mininya.
Antara haiwan eksotik yang terdapat di sini adalah beruang madu, monyet, python, landak, burung merak, dan banyak lagi termasuklah burung yang paling berbahaya di dunia, kasuari.
Alamat: Lot 164, 24Km Miri-Kuala Baram Road, 98000 Miri
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 6.00petang)
Bayaran: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM10
14) Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh
Rumah Panjang merupakan salah satu identiti bagi etnik Bidayuh di Sarawak. Rumh ini dibina pada tahun 1818. Rumah klasik ini turut memegang rekod sebagai rumah panjang yang paling panjang di Sarawak.
Apabila anda melawat rumah panjang ini, anda berpeluang melihat kehidupan masyarakat etnik Bidayuh. Dikatakan bahawa rumah panjang ini pada awalnya dibina untuk mengelakkan ancaman penyamun kerana memudahkan penduduk untuk berkumpul menentang penyamun.
Selain mempelajari budaya dan kehidupan etnik Bidayuh, anda boleh juga melawat kawasan kolam air panas yang berada berdekatan dengan rumah panjang ini.
Lokasi: Padawan, Siburan, 94700 Sarawak
15) Pasar Serikin
Keistimewaan Pasar Serikin adalah barangan kraftangan yang dijual di sini dengan harga yang murah. Antara kraftangan yang anda boleh temui di sini adalah kain batik, tikar, bubu, makanan tradisi dan bermacam lagi. Anda dinasihatkan untuk datang ke pasar ini pada awal pagi kerana peniaga-peniaga pasar akan mula mengemaskan barang untuk pulang sebaik sahaja pukul 12 tengahari.
Lokasi: Serikin, 94000 Bau
Waktu Operasi: Sabtu & Ahad
16) Fairy Cave
Gua Fairy atau dalam Bahasa Melayu, Gua Pari-Pari mendapat namanya sempena bentuk batu stalagmit yang berada di bahagian pintu masuk gua ini. Struktur stalagmite tersebut dikatakan berbentuk seperti dewa Cina. Selain itu, gua ini juga mempunyai kisah yang misteri dimana ia dikatakan bahawa pada dahulu kala terdapat sekumpulan manusia yang tinggal di situ, namun mereka kerap mendera kanak-kanak yang menyebabkan mereka disumpah menjadi batu. Kebenaran kisah ini masih belum diketahui namun terdapat beberapa batu yang menyerupai manusia yang boleh dijumpai didalamnya.
Lokasi: 94000 Bau, Sarawak
17) Taman Rimba Sebangkoi
Taman Rimba Sebangkoi dibuka pada tahun 2003 dengan tujuan untuk menyediakan tempat rehat, rekreasi dan komersil (RRC) bagi para pengguna lebuh raya Pan Borneo. Ianya telah menjadi tempat menarik di Sarikei, Sarawak.
Namun disebabkan persekitaran dan kemudahan yang wujud di RRC Sebangkoi, ia telah menjadi sebuah tempat penyelidikan dimana lebih 300 spesis herba dan pokok buah-buahan dari dalam dan luar negeri telah diusahakan oleh pihak Jabatan Pertanian di kawasan tersebut.
Taman ini dikelilingi dengan flora dan fauna seterusnya menyajikan keindahan alam semula jadi kepada para pengunjung. Terdapat pelbagai jenis spesies tumbuh-tumbuhan yang tumbuh sana termasuk hidupan liar seperti serangga-serangga kecil dan juga beberapa hidupan liar. Contoh haiwan-haiwan yang dapat dilihat seperti tupai, burung, rusa dan lain-lain.
Terdapat sebuah jambatan dibini di tinggkat atas bahagian air terjun tersebut yang strategik untuk menjadi tempat mengambil gambar berlatarkan pemandangan pokok-pokok yang menghijau.
Lokasi: Taman Sebangkoi, 96100 Sarikei, Sarawak
18) Pasar Teresang
Bercuti dan melawat ke tempat orang, bukan setakat untuk melihat tempat-tempat yang menghiburkan sahaja. Tetapi apa yang lebih utama adalah melihat dan mengenali budaya serta kehidupan mesyarakat setempat.
Di Sibu, anda boleh singgah ke Kapit yang merupakan sebuah daerah pedalaman dimana anda perlu menaiki bot ekspres dari Pekan Sibu untuk sampai ke sini.
Di Pasar Teresang, Kapi, banyak benda anda boleh jumpai seperti makanan eksotik yang sukar dicari di tempat lain. Sebagai contoh anda akan dapat melihat orang tempatan yang akan menjual binatang seperti ular sawa, katak dan macam-macam lagi.
Penduduk tempatan akan membawa hasil hutan atau hasil sungai yang mereka dapat untuk di jual. Sekiranya anda beruntung anda akan dapat melihat ikan kelah dan ikan Empurau yang dikatakan sangat mahal. Selain itu, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan juga ada dijual disini. Anda juga dapat melihat buah yang tidak terdapat di tempat lain iaitu buah dabai yang bermusim.
Jadi, sekiranya anda datang ke Kapit, jangan lupa untuk singgah ke Pasar Teresang. Anda akan dapat melihat pelbagai budaya dan suku kaum di sini. Anda juga dapat mempelajari sesuatu mengenai kehidupan mereka di sini.
Lokasi: Kapit, Sarawak
Itulah dia 18 tempat menarik di Sarawak yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Sarawak. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Kuching dan Tempat Menarik Di Mukah.