Mencari idea tempat menarik di Pulau Jeju?

Orang kata, tak cukup syarat bagi peminat tegar Korea jika tidak pernah menjejakkan kaki ke Pulau Jeju. Jika anda pernah sampai ke Seoul, sesungguhnya Pulau Jeju sangatlah berlainan kehidupannya dengan Bandar Seoul.

Pulau ini sangat kaya dengan sumber alam semula jadi dan pemandangan bak syurga dunia ini bakal memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Jika anda gemar meneroka tempat-tempat semulajadi dan mengamati pemandangan yang indah, Pulau Jeju adalah tempat wajib yang perlu anda lawati.

Jika nak disenaraikan tempat-tempat menarik yang terdapat di Pulau Jeju ini tersangatlah banyak. Maka, kami hanya pilih 18 tempat menarik yang popular sahaja di Pulau Jeju untuk bacaan anda.

1) Seongsan Ilculbong

Imej via civitatis

Inilah tempatnya yang sangat ideal untuk anda menyaksikan keindahan matahari terbit di Pulau Jeju. Kedudukannya paling timur di bahagian pulau Jeju. Jadi ia memang menjadi port utama pengunjung yang ingin menikmati kejadian matahari terbit.

Songsan Ilchulbong merupakan bekas gunung berapi yang telah wujud di Jeju sejak 100,000 tahun dahulu. Istimewanya kawasan ini, kita dapat melihat kawah gunung yang sangat cantik di tepi laut. Kawah besar di puncak Seongsan Ilchulbong ini memiliki diameter sekitar 600 meter dan tinggi 90 meter. Tapak gunung berapi ini diiktiraf sebagai UNESCO World Heritage dan tempat tarikan utama pelancong yang bercuti di Pulau Jeju.

Selain menikmati pemandangan indah di kala matahari terbit dan mendaki bukit, anda juga boleh menunggang kuda poni di padang rumput yang terdapat di pintu masuk  Seongsan Ilchulbong.

Lokasi: 284-12, Ilchul-ro, Seongsan-eup, Seogwipo-si, Jeju-do

2) Seopjikoji

Imej via justgola

Seopjikoji merupakan teluk yang terletak di sebelah timur Pulau Jeju. Di sini, anda akan disajikan dengan pemandangan yang indah di sepanjang pesisir pantai di sini terutama di musim bunga. Berbeza dengan kawasan teluk lain di Pulau Jeju, Seopjikoji terbentuk daripada debu gunung berapi berwarna merah yang dipanggil ‘songyi’.

Jika anda seorang peminat tegar drama Korea, Seopjikoji adalah antara lokasi kegemaran bagi penggambaran drama dan filem Korea, antaranya drama popular Korea ‘All-in’.

 

Lokasi: Seopjikoji-ro, Seongsan-eup, Seogwipo-si, Jeju-do, South Korea

3) Gunung Sanbang

Imej via twobrownfeet

Gunung Sanbang merupakan gunung yang cantik yang terletak di bahagian paling selatan Pulau Jeju. Ia terbentuk daripada aktiviti letusan gunung berapi aktif pada kira-kira 700,000 hingga 800,000 tahun dahulu. Beza Sanbangsan dengan gunung lain, terdapat gua besar di gunung Sanbangsan yang dijadikan tempat ibadah masyarakat Jeju yang beragama buddha. Makna bagi ‘Sanbang’ itu sendiri bermaksud gua di dalam gunung kerana di gunung ini terdapat gua yang terletak pada ketinggian 150 daripada aras laut.

Menariknya, di kawasan gunung ini terdapat ladang bunga kanola yang besar. Kalau anda datang ke sini pada musim bunga, andaakan dikelilingi dengan bunga kanola berwarna kuning cerah. Ia sememangnya satu panorama yang indah dan haruslah anda bergambar kenangan di tengah-tengah ladang bunga kanola ini dengan berlatar belakangkan Gunung Sanbang.

Lokasi: 218-10, Sanbang-ro, Andeok-myeon, Seogwipo-si, Jeju-do

4) Yongmeori Coast

Imej via twobrownfeet

Yongmeori Coast terletak betul-betul di depan Gunung Sanbang. Ia merupakan sebuah tebing tinggi di sepanjang laluan tepi laut. Tebing dengan jaluran semulajadi di permukaannya ini terjadi daripada hakisan angin sejak ribuan tahun hingga membentuk tebing yang curam dan berjalur. Fenomena alam semulajadi  seperti ini sememangnya sesuatu yang unik untuk kita saksikan dengan mata sendiri.

Selain itu, anda juga berpeluang untuk melihat ‘Duyung Pulau Jeju’ yang dikenali juga sebagai ‘Haenyo’ yang menjual hasil tangkapan mereka seperti gamat, sotong dan hasil laut di sepanjang pesisir pantai di sini.

Namun begitu, kawasan ini ditutup kepada pelawat sewaktu cuaca buruk dan ketika air pasang. Jadi, rancang perjalanan anda ke sini sebaiknya. Pastikan anda cek ramalam cuaca sebelum datang ke sini.

Lokasi: South Korea, Jeju-do, Seogwipo-si, 안덕면 Andeok-myeon, 사계리

5) Gunung Halla

Imej via lifestylust

Gunung Halla merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan dan terdapat 368 gunung-gunang yang lebih kecil dan rendah di sekelilingnya yang dipanggil Oreums (puncak gunung).

Hallasan terbentuk daripada letusan volcano di Pulau Jeju. Dalam kalangan masyarakat tempatan, gunung ini adalah sangat sinonim dan ikonik bagi Pulau jeju. Mereka menganggap, ‘Hallasan’ adalah Jeju dan Jeju adalah ‘Hallasan’.

Lawatan ke Gunung Halla adalah percuma, namun pendakian di Gunung Halla hanya dibenarkan pada siang hari dan pendaki dikehendaki turun semula sebelum matahari terbenam.

Meskipun Gunung Halla yang setinggi 1950m adalah yang tertinggi di Korea, namun ia adalah gunung yang mudah untuk didaki. Kebanyakan pendaki berjaya sampai ke puncak dan turun semula dalam masa sehari.

Setibanya para pendaki di puncak, anda akan dihidangkan dengan pemandangan tasik daripada kawah gunung dan pemandangan di sekitar pulau Jeju yang menakjubkan dari puncak gunung ini.

Lokasi: Odeung-dong, Jeju-si

6) Jusangjeolli Cliffs

Imej via retireediary

Jusangjeolli Cliffs adalah tebing laut yang sangat unik dan cantik di selatan Pulau Jeju. Ia terbentuk antara 250,000 ke 140,000 tahun lalu apabila gunung berapi Hallasan masih aktif.

Tebing laut ini bukan tebing laut biasa kerana batu-batuan di sini berbentuk Heksagon. Apa yang menariknya adalah bentuk heksagon yang terjadi pada batu-batuan ini hampir sempurna di setiap sudut seperti ditempa dengan tangan. Malahan bentuk heksagon di Giant’s Causeway di Utara Ireland juga tidak sesempurna bentuk heksagon yang terdapat di sini. Fenomena ini terhasil daripada larva gunung berapi yang bertemu dengan air laut lalu membentuk tebing laut yang unik.

Pemandangan tepi laut di sini sangat cantik. Bagi anda yang merupakan seorang pencinta alam semula jadi, tempat ini adalah wajib untuk anda lawati kerana panorama indah ini pasti membuatkan anda puas hati.

Lokasi: Jungmun-dong, Seogwipo-si, Jeju-do, South Korea

 

7) Cheonjeyeon Waterfall

Imej via wanderingbrowns

Tidak jauh daripada Jusangjeolli Cliff, terdapat air terjun yang terkenal di Pulau Jeju iaitu Cheonjeyeon Waterfall.

Air terjun ini mempunyai 3 tingkat yang terletak di Jungmun. Tingkat pertama daripada air terjun ini mengalir daripada bumbung gua. Meskipun kelihatan cetek, kedalaman air di sini adalah 22 meter. Oleh itu para pelawat tidak dibenarkan untuk berenang di air terjun ini. Pengunjung tidak dibenarkan mandi di waterfall ini untuk menjaga kebersihan air sungai.

Mungkin anda akan berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat bermandi-manda dan merasai kedinginan air terjun ini. Namun percayalah, kekecewaan anda itu akan terubat dengan kesegaran serta ketenangan yang dapat dinikmati di kawasan Cheonjiyeon Waterfall. Ini kerana, ia dikelilingi dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan eksotik yang cantik.

Lokasi: South Korea, Jeju-do, Seogwipo-si, Jungmun-dong, 2232

 

8) Sangumburi Crater

Imej via thetravellingsquid

Sebenarnya banyak sangat kawasan tarikan pelancong di Pulau Jeju yang terhasil daripada letusan gunung berapi. Sangumburi adalah satu lagi kawah yang terbentuk dari letusan volcano. Tidak seperti Hallasan dan Songsan Ilchulbong, Sangumburi meletus dengan pantas tetapi tidak mengeluarkan lava dan debu yang banyak. Pembentukan kon juga adalah kurang di sekelilingnya.

Fenomena ini digelar ‘maru’ di Korea dan Sangumburi adalah satu-satunya yang terdapat di negara ini. Masa terbaik untuk mengunjungi lokasi ini adalah pada musim luruh dan musim sejuk. Bayaran masuk ke sini adalah 6000won.

Lokasi: 768 Bijarim-ro, Jochon-eup, Jeju-si, Jeju-do, South Korea

9) Jeongbang Waterfall

Imej via trazy

Sumber air terjun Jeongbang berpunca daripada sungai Donghun-chun. Air terjun ini sering diperkatakan sebagai satu-satunya air terjun di Asia yang airnya jatuh terus ke laut. Namun ramai yang menyangkal penyataan ini. Katanya, air tersebut sebenarnya bukan jatuh terus ke laut tetapi di sebuah teluk kecil yang berada tepat di tepi laut, sebelum airnya mengalir perlahan-lahan ke laut.

Tidak kisahlah sama ada ia terus jatuh ke laut ataupun tidak, yang penting adalah, Air Terjun Jeongbang tetap menawarkan keindahan luar biasa kepada pengunjungnya. Kawasan ini menyajikan saujana mata memandang lautan nan luas dan percikan air terjun yang menyegarkan dengan ketinggian 23meter.

Bayaran masuk ke kawasan air terjun ini adalah 2000won.

Lokasi: 37 Chilsimni-ro214beon-gil, Donghong-dong, Seogwipo-si, Jeju-do, South Korea

10) Udo Island

Imej via thereshegoesagain

Pulau Udo terletak berhampiran Seongsan Ilchulbong. Anda boleh menaiki feri selama 15 minit dari Seongsan Port untuk sampai ke pulau ini. Tambang feri adalah 5500won untuk 2 hala.

Aktiviti yang boleh anda dilakukan di pulau ini adalah menunggang basikal, ATV atau anda juga boleh mengambil tour 1 hari dengan bas. Meluangkan masa selama 1 hari sudah cukup untuk anda menjelajah ke seluruh pulau ini.

Tarikan utama di pulau Udo adalah pantainya yang cantik, pasir jerlus, tradisi menyelam tanpa peralatan oleh penyelam wanita tempatan dan juga warisan sejarah.

Lokasi: Udo-ro, Jeju-si, Jeju-do

11) Woljeong Beach

Imej via ttnotes

Terdapat banyak pantai di Pulau Jeju. Namun, antara pantai yang pasirnya putih bersih adalah Pantai Woljeong.

Bagi anda yang sukakan fotografi, pasti anda akan puas hati dapat merakam gambar pemandangan di sini. Sungguh! Pantai ini menghidangkan pemandangan menarik terutama bila sinaran matahari memancar ke permukaan laut.

Selain itu, pantai ini juga terdapat banyak kafe di sepanjang jalan pesisir pantai. Dari pantai ini anda akan dapat melihat kincir angin dan pemandangan kawasan luar bandar yang menarik.

Lokasi: 33-3, Woljeong-ri, Gujwa-eupJeju, Jeju Island, South Korea

12) Manjanggul Cave

Imej via cavinteo

Salah satu tempat menarik yang anda harus eksplorasi adalah Manjanggul Cave. Ia merupakan terowong lava paling menarik di dunia yang terbentuk sejak 2.5 juta tahun dahulu. Terowong ini kaya dengan berbagai bentuk batuan seperti stalagmite yang panjang dan lorong yang terbentuk daripada lava letusan gunung berapi.

Panjang terowong ini adalah 14,422m. Namun begitu hanya 1km daripadanya dibuka kepada para pelawat.

Anda dinasihatkan membawa baju sejuk sewaktu berkunjung ke sini kerana suhu di dalam terowong yang rendah dan sejuk. Pemakaian kasut yang sesuai juga penting bagi mengelakkan anda terjatuh sewaktu meneroka terowong yang licin dan gelap.

Lokasi: 182 Manjanggul-gil, Gujwa-eup, Jeju-si, Jeju-do, South Korea

13) Songeup Folk Village

Imej via tourkekorea

Seongeup Folk Village adalah pekan kecil yang memaparkan budaya unik di pulau ini. Contohnya,  batu hitam dari gunung berapi yang bersepah di sekitar sini dan diletakkan juga di rumah penduduk tempatan. Jika anda ingin melihat Pulau Jeju pada tahun 50an, boleh melawat ke Seongeup Folk Village. Malah, mereka juga membina pagar rumah menggunakan batu larva yang mudah ditemui di sekitar Pulau Jeju.

Salah satu daripada batu hitam ini telah diukir dengan patung harubangs, iaitu patung seorang lelaki tua. Sebatang pokok yang terdapat di tengah-tengah perkampungan ini juga dipercayai berusia ratusan tahun.

Lokasi: 29길33 Seongeupjeonguihyeon-ro, Pyoseon-myeon, Seogwipo-si, Jeju-do, South Korea

14) Gimnyeong Maze Park

Imej via ttnotes

Gimnyeong Maze Park merupakan antara taman rekreasi yang popular di Korea. Jika anda teringin untuk mencuba permainan maze, boleh ke Gimnyeong Maze Park yang terdapat di Pulau Jeju.

Selain dari maze, tarikan lain yang terdapat di sini ialah kucing-kucing comel yang gebu gebas. Jadi, bagi anda yang pencinta kucing, pasti akan teruja jika dapat luangkan masa anda di sini.

Pastinya permainan maze yang di sini akan membuatkan anda terpaksa perah otak dan usaha untuk cari jalan keluar. Jika sudah berjaya sampai ke jalan keluar, jangan lupa bunyikan loceng yang terdapat di situ. Konon-konon sebagai simbol kejayaanlah.

Bayaran masuk ke taman rekreasi maze ini adalah 3300won bagi seorang dewasa.

 

Lokasi: 122 Manjanggul-gil, Goojwa-eub, Jeju-si, Jeju-do

15) Tangerine Farms

Imej via jejutourism

Jika di Cameron Highland, anda boleh memetik strawberi sendiri. Di Pulau Jeju, anda berpeluang merasai pengalaman memetik buah limau. Ladang buah limau adalah satu lagi perkara yang sangat sinonim dengan Pulau Jeju. Penanaman buah limau dijalankan di serata Pulau Jeju dan hampir semua rumah di pulau ini memiliki ladang oren sendiri.

Malahan jika anda ke sini, anda boleh berpeluang melihat pokok oren di tengah-tengah roundabout. Ada beberapa jenis buah limau tetapi yang paling terkenal di sini adalah Halabong. Oleh kerana buah limau terlalu banyak di sini, maka anda boleh mendapatnya dengan harga yang murah. Malah ada juga produk lain yang dihasilkan daripada limau seperti coklat.

Lokasi: Yeonbuk-ro, Donam-dong, Jeju-si, Jeju-do, South Korea

16) Green Tea Farm

Imej via kkday

Terdapat beberapa ladang Green Tea di Pulau Jeju, namun antara yang popular adalah O’sulloc Tea Farm. Jika melawat ke ladang teyh hijau ini, anda bukan sekadar melawat ladang teh, tapi boleh juga melawat muzium teh dan makmal teh yang menceritakan pelbagai jenis teh yang terdapat di seluruh dunia.

Anda juga berpeluang mencuba teh hijau segar dari ladang sambil menikmati pemandangan indah ladang disini.

Lokasi: 15, Sinhwayeoksa-ro, Andeok-myeon, Seogwipo, Jeju Island 63521, South Korea

17) Camellia Hill

Imej via visitjeju

Jika di Sanbangsan anda dikelilingi oleh bunga kanola pada musim bunga, tetapi di Camellia Hill anda pasti akan jatuh cinta dengan bunga camellia yang wangi menyengat dan berkembang mekar pada musim sejuk.

Berada di sini membuatkan anda seperti di dalam filem Alice in the Wonderland. Taman seluas 172,00 meter persegi ini juga memiliki kafe dan perbagai kawasan menarik seperti Wild flower road, Camellia Forest, garden, observatory, traditional straw house, grass field, Yongso Falls dan banyak lagi.

Bayaran masuk ke sini adalah 8000won.

Lokasi: 166 Byeongang-ro, Andeok-myeon, Seogwipo-si, Jeju-do, South Korea

18) Shinwha Theme Park

Imej via mizz4yuworkplay

Jika sepanjang keberadaan anda di Pulau Jeju, anda sudah puas menikmati keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di pulau ini. Anda bolehlah pertimbangkan untuk berhibur dengan alam buatan manusia iaitu di Taman tema Shinwha World.

Taman teman ini adalah salah satu taman tema terbesar di Korea. Dengan seluas 2.5 juta meter persegi taman tema ini menghimpunkan lebih 20 jenis permainan yang boleh anda naiki. Selain itu, di sini juga terdapat kemudahan penginapan dengan beberapa hotel mewah yang menempatkan lebih 2,000 buah bilik.

Lokasi:  South Korea, Jeju-do, Seogwipo-si, 특별자치도, Andeok-myeon, Sinhwayeoksa-ro, 304번길 98 KR

Itulah dia 18 tempat menarik di Pulau Jeju, Korea Selatan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Pulau Jeju. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Korea dan Tempat Menarik Di Seoul.

Penulis: Husna Ismail

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.