15 Tempat Menarik Percuma di Selangor Gembira dan Best
Tahukah anda ada tempat menarik percuma di Selangor yang boleh dikunjungi bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Nak bercuti tidak semestinya perlu mengeluarkan duit yang banyak. Cukup sekadar mengunjungi tempat-tempat yang menenangkan, pasti lega tekanan yang ada pada diri.
Bagi yang kekurangan bajet untuk bercuti terutama yang mempunyai ahli keluarga yang ramai mahupun pelajar, apa kata anda ke tempat-tempat yang kami kongsikan ini. Sesuai juga dijadikan port dating bersama pasangan.
Paya Indah Wetland
Nak percutian berkonsepkan alam semula jadi? Bawa sahaja keluarga ke Paya Indah Wetlands. Namun kawasan atau aktiviti percuma adalah terhad. Jika mahu masuk secara percuma, pengunjung boleh datang mengikut pintu masuk Dengkil dan berpeluang melihat landak, kura-kura, buaya dan badak air.
Jika berkesempatan, datanglah pada 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk melihat haiwan-haiwan tersebut diberi makan oleh penjaga dari Perhililitan.
Pengunjung juga berpeluang untuk menjelajah safari menaiki jeep dan bot dengan bayaran tertentu tetapi melalui laluan masuk dari Gamuda Cove. Jadual bot adalah pada pukul 9.00 pagi, 11.00 pagi, 2.00 petang dan 4.00 petang.
Alamat: KM 4, Jalan Dengkil, Banting, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari (8.00 am-6.00 pm)
Secret Garden
Siapa sangka di tengah-tengah pembangunan yang pesat terdapat tempat yang menyimpan lebih 500 jenis tumbuhan eksotik. Secret Garden ini berada di rooftop pusat membeli-belah terkenal di Selangor iaitu 1 Utama.
Luasnya melebihi 30 000 kaki persegi sekali gus menyandang gelaran Taman Atas Bumbung Terbesar di Asia Tenggara. Taman ini meliputi tumbahan dari pelbagai jenis bunga, herba, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Secret Garden dibuka pada Sabtu, Ahad dan cuti umum sahaja dan semestinya percuma untuk orang awam. Namun pengunjung perlu mendaftar sebelum masuk ke dalam. Nak hirup udara segar sambil mengenal tumbuhan-tumbuhan cantik? Jom ke Secret Garden! Jangan lepaskan peluang untuk bergambar sepuasnya.
Alamat: Upper Roof (above Food Republic, 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: Sabtu-Ahad (10.00 am-10.00 pm)
Muzium Orang Asli
Muzium yang terletak di Gombak ini mempamerkan sejarah, budaya dan cara hidup orang asli yang berada di semenanjung Malaysia. Ruang muzium ini terdiri daripada perpustakaan, galeri dan dewan kecil.
Muzium yang telah dibuka pada September 1987, berada jauh dari bandar Selangor. Pelbagai artifak dipamerkan untuk tontonan awam dan apa yang lebih menarik ada artifak berusia lebih 600 tahun. Secara tidak langsung, kita dapat mengetahui sejarah dan gaya hidup orang asli pada zaman dahulu.
Alamat: Batu 12, Gombak, Selangor
Waktu operasi: Sabtu-Khamis (9.00 am -5.00 pm)
Muzium Coklat
Muzium Coklat mempunyai dua zon iaitu Muzium Coklat 1.0 dan Muzium Coklat 2.0. Tiket masuk ke Muzium Coklat 1.0 adalah percuma manakalan Muzium Coklat 2.0 dikenakan bayaran sekadar RM 5 sahaja untuk dewasa manakala RM 3 untuk kanak-kanak.
Sebaik sahaja memasuki pintu masuk Muzium Coklat 1.0, pengunjung akan melihat galeri yang memaparkan sejarah dan perkembangan coklat. Di Muzium Coklat 2.0 pula, pengunjung berpeluang melihat kilang coklat, puluhan jenis patung lembu, koleksi arca coklat dan lain-lain. Pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai jenis coklat dari jenama terkenal di dunia.
Alamat: 2, Jalan Teknologi 3/5, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-4.30 pm)
Taman Tasik Metropolitan
Mencari tempat menarik percuma di Selangor untuk beriadah bersama yang tersayang? Salah satu tempat yang menarik perhatian kami semestinya Taman Tasik Metropolitan. Berkeluasan 218.8 ekar, taman tasik ini sering menjadi tumpuan ramai untuk bersenam terutama pada hujung minggu.
Salah satu sebab taman ini menjadi tumpuan ramai adalah kerana landskap yang menarik dan cantik. Pengunjung boleh berjogging, berbasikal, bermain layang-layang dan berkelah. Antara tarikan lain termasuklah taman permainan, menara tinjau dan trek permainan kereta kontrol. Pelbagai kemudahan disediakan termasuklah tandas, surau, gerai dan gazebo.
Alamat: Jalan Lingkaran Tengah 2, 7, Pavement, Taman Metropolitan Kepong, 52100 Kepong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (6.00 pagi – 8.00 malam)
Eco Grandeur
Bagi pelajar kolej yang mencari port healing yang best dan menenangkan, datang sahaja ke Eco Grandeur yang berada di puncak alam. Persekitaran dan landskap sangat memukau sehingga menjadi lokasi photoshoot untuk perkahwinan, pre-konco mahupun sekadar ootd.
Merupakan sebahagian daripada taman perumahan mewah berkonsepkan flora iaitu EcoWorld, kawasannya sangat luas dan sesuai untuk beriadah dan berkelah.
Alamat: Lot 6232 Eco Grandeur, Persiaran Mokhtar Dahari, Bandar Puncak Alam, 42300, Selangor
Taman Tasik Elmina
Taman Tasik Elmina apa kurangnya, landskap menarik dan cantik sehingga menjadi tumpuan ramai untuk ootd. Taman tasik ini sangat terkenal dengan jambatan yang berwarna oren dan jambatan gegelung yang berwarna pelangi. Hanya 15 minit berjalan kaki untuk menuju dari salah satu jambatan ini ke jambatan yang lain.
Menjelang pagi dan petang, tempat ini dipenuhi dengan ramai orang yang berjogging. Jika berkesempatan, anda boleh melihat matahari terbenam di tasik berdekatan.
Alamat: Elmina Central Park, Seksyen U16 City of Elmina, 40160, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari (9.30 am-6.30 pm)
Taman Tasik Shah Alam
Taman Tasik Shah Alam merupakan taman awam pertama di Selangor yang dibuka pada 1985. Taman tasik yang berkeluasan 43 ekar ini mempunyai laluan refleksologi, jogging dan berbasikal. Pengunjung boleh bersiar-siar di sepanjang tasik. Jangan lupa bawa anak-anak agar mereka boleh bermain di taman permainan.
Taman tasik ini berdekatan dengan restoran terapung. Jadi jika sudah penat berjalan, anda boleh makan di kedai tersebut. Antara tempat menarik yang berdekatan dengan tasik ini adalah I-City, Laman Seni 7 dan Taman Botani Negara Shah Alam.
Alamat: Pesiaran Tasik, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
Royal Selangor Visitor Centre
Pasti ada yang tertanya-tanya apa yang ada di sini? Royal Selangor Visitor Centre sebenarnya adalah syarikat pengeluaran piuter. Tempat ini mempamerkan pelbagai jenis piuter bersama sejarah menarik. Binaan KLCC yang diperbuat daripada 7 ribu piuter antara yang menjadi tumpuan di Royal Selangor Visitor Centre. Bukan itu sahaja, pengunjung berpeluang melihat sendiri kilang pembuatan piuter secara langsung.
Apa yang lebih menarik, pengunjung berpeluang membuat sendiri kraftangan dari piuter ini termasuklah gelang dan keychain dengan bayaran tertentu. Secara tidak langsung, pengunjung dapat mempelajari cara pembuatan dari awal sehingga akhir serta dapat membawa hasil tangan tersebut pulang ke rumah. Sijil juga diberikan kepada pengunjung!
Alamat: 4, Jalan Usahawan 6, Setapak Jaya, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-5.00 pm)
Bukit Jelutong Ecopark Selangor
Tempat menarik percuma di Selangor ini memang perlu anda kunjungi kerana sesuai untuk seisi keluarga. Apa yang ada di sini? Bukit Jelutong Ecopark merupakan salah satu tempat rekreasi pilihan ramai. Tempat percuma ini mempunyai pelbagai jenis haiwan seperti berada di sebuah zoo.
Pengunjung berpeluang melihat, memegang dan memberi makan pada pelbagai haiwan jinak yang ada di sini. Anak-anak terutamanya pasti seronok melihat kambing, itik, burung, arnab dan lain-lain secara dekat. Banyak lagi haiwan lain yang pasti mencuri tumpuan anda. Yang penting, semuanya memang jinak.
Alamat: Jalan Lelangit U8/45, Bukit Jelutong, 40150 Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari (7.00am-7.00 pm)
Japan Friendship Garden Selangor
Nak berada di tempat yang mempunyai vibe-vibe Jepun? Japan Friendship Garden Selangor pasti dapat merealisasikan keinginan anda! Pengunjung boleh bersiar-siar dan bergambar dengan pelbagai sudut menarik.
Taman yang mempunyai keluasan 242.7 meter persegi ini merupakan simbolik penghargaan kepada Jepun yang merupakan pelabur terbanyak yang melabur di Selangor. Laman Zen, Gerbang Torii Tsukubai dan Kolam Maze merupakan kawasan yang menggambarkan Jepun itu sendiri. Jom luangkan masa bersama pasangan atau keluarga di sini.
Alamat: Persiaran Bandar Raya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Selasa-Ahad (10.00 am-6.30 pm)
Secret Garden Putrajaya
Tak tahu nak lepak di mana pada waktu malam? Jom ke Secret Garden Putrajaya yang menjadi port healing waktu malam yang tenang dengan vibe romantik. Lampu berwarna-warni menghiasi keindahan sekeliling termasuklah pada pancuran air pancut, replika dan pokok-pokok.
Secret Garden Putrajaya sangat mudah untuk diakses. Taman ini berada berhadapan Pulse Grande Hotel. Kini, lebih 2 juta pengunjung telah ke sini untuk menyaksikan keindahan taman cantik ini.
Alamat: Presint 1, 62000 Putrajaya
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-12.00 am)
View Point Bukit Antarabangsa
Dahulu, View Point Bukit Antarabangsa merupakan tempat riadah yang sering dipenuhi ramai orang untuk berbasikal, jogging dan lain-lain. Kini, Bukit Antarabangsa lebih dikenali dengan tempat healing paling best di Selangor.
Kawasan berbukit ini dikelilingi dengan tumbuhan semula jadi dan pengunjung juga berpeluang melihat permandangan bangunan tertinggi di Malaysia seperti Menara Merdeka 118, KLCC dan KL Tower. Ramai yang membawa tikar dan kerusi healing untuk lepak bersama pasangan, rakan mahupun keluarga. Ada juga yang membawa makanan untuk berkelah dan melihat matahari terbenam.
Alamat: Bukit Antarabangsa, Ampang
Sungai Kanching
Jika ada yang tak tahu, Selangor juga mempunyai beberapa air terjun dan sungai yang terkenal termasuklah Sungai Kanching. Setiap sungai ini mempunyai keistimewaan masing-masing. Sungai Kanching terkenal dengan7 tingkat air terjunnya.
Jangan risau, laluan untuk ke setiap lapisan atau tingkat air terjun disediakan dengan elok. Kebiasaannya, tingkat 1 hingga 3 dipenuhi ramai orang. Makin tinggi anda pergi, makin kurang pengunjung dan makin cantik permandangan anda dapat lihat.
Bayaran dikenakan untuk parkir di pintu masuk. Namun perlu diingatkan, kadangkala sungai ini didatangi dengan segerombolan monyet. Jadi pengunjung perlu berhati-hati terutama jika membawa makanan.
Alamat: Rawang, Selangor
Batu Caves
Tengok sahaja gambar pasti ramai tahu tempatnya dimana. Tempat ikonik ini sinonim dengan ratusan anak tangga berwarna-warni dan sebuah patung emas yang sangat besar iaitu patung Dewa Murugan, menempatkan sebuah tempat beribadat bagi kaum India.
Uniknya adalah bukit batu kapur ini telah melebihi 400 juta tahun. Di dalam gua ini, terdapat kuil yang telah dibina lebih 100 tahun. Kebanyakan pengunjung luar yang bukan beragama Hindu datang ke sini untuk bergambar di 272 anak tangga serta melihat budaya kaum ini.
Alamat: Gombak, Selangor
Jom luangkan masa anda di tempat menarik percuma di Selangor! Sesekali keluar bercuti dan bersantai pasti memberikan ketenangan.
Nak bercuti tidak semestinya memerlukan wang yang banyak. Cukup sekadar ke tempat yang baru, tenang dan cantik sudah memuaskan.
Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Selangor? Jangan lupa masukkan tempat-tempat ini dalam senarai tempat yang perlu dikunjungi jika anda ke negeri ini.