Satu lagi tempat menarik untuk pelancongan yang bertemakan alam adalah Kuala Mu yang terletak di perkampungan orang asli di Sungai Siput. Para pecinta alam, anda memang perlu ke sini!

Terletak di dalam Hutan Simpan Piah, ia merupakan tempat tinggal bagi beberapa buah kampung seperti Kampung Kuala Mu, Kampung Bersah, Kampung Toh dan Kampung Gapeh.

Kuala Mu adalah hidden gem yang ramai tak tahu. Nak ke sini juga anda perlu melalui perjalanan yang panjang dan berbukit. Dari Kuala Mu, anda berada pada ketinggian 600m atau 700m dari paras laut.

Pastikan anda mengisi minyak kenderaan anda dengan penuh jika anda ingin ke sini memandangkan tiada hentian atau tempat isi minyak di sepanjang jalan. Sebaik-baiknya servis kereta anda terlebih dahulu kerana jalannya berbukit tinggi. Sekiranya anda dari pekan Sungai Siput, kira-kira satu jam atau lebih untuk sampai ke Kuala Mu.

Apabila berada di tengah-tengah hutan, anda perlu bersedia dengan ketiadaan rangkaian internet. Tidak mengapa, sesekali lupaka hal luar dan menikmati percutian sepenuhnya pasti memberi kepuasan berganda.

Berkelah dan Barbeku               

Imej via [ Nenasoren Blogspot ]

Aktiviti apabila berada di tengah alam dan sungai semestinya berkelah. Banyak tempat sesuai yang berada di tepi sungai dan ada juga yang menyediakan tapak untuk berkelah dengan selesa. Bentang sahaja tikar di tepi sungai dan makan bersama keluarga pasti berselera.

Jika berkesempatan, buat aktiviti barbeku untuk lebih seronok dan puas. Dapat makan-makanan yang panas sambil rendam kaki di dalam air sungai pasti membuatkan anda nyaman dan bertambah selera. Jangan lupa bawa bahan perapan dari rumah seperti ayam atau kambing perap, sosej, ikan dan sebagainya.

Menginap atau Berkhemah

Imej via [ Kucing Baca Kitab Blogspot ]

Sudah penat menyelusuri jalan yang panjang dan berliku, apa kata anda menginap di sini. Terdapat beberapa chalet yang anda boleh menginap dan rata-ratanya berada di tepi sungai.

Pasti nyaman, tenang dan dapat tidur dengan lena. Tidur sambil ditemani suara alam dan suasana sejuk pasti memberi kualiti tidur yang baik.

Uniknya chalet di sini kerana diperbuat daripada sumber hutan kesemuanya. Sebagai contoh, struktur chalet dibina menggunakan buluh dan kayu yang kukuh. Hampir kesemua chalet tidak mempunyai pendingin hawa, namun anda tidak perlu risau kerana memang sejuk terutama waktu malam dan pagi.

Anda juga perlu tahu bahawa chalet-chalet di sini menyediakan tandas di luar chalet yang perlu dikongsi sesame pengunjung. Walaupun begitu, mereka menyediakan beberapa buah tandas dan bilik mandi yang mencukupi.

Antara chalet yang boleh anda pilih adalah Chalet Kampung Bersah, Chalet Dusun Kg Kuala Mu dan Tapak Perkhemahan Kg Gapeh.  Setiap chalet mempunyai kemudahan asas seperti tilam, kelambu, selimut dan bantal. Kebanyakan bilik tidak mempunyai plug point namun pengusaha menyediakannya di satu tempat khas dan boleh dikongsi beramai-ramai.

Soal harga anda tak perlu risau kerana memang berbaloi dan rata-ratanya mengenakan kadar bawah RM 100. Memang berpatutan!

Para pecinta alam pasti ada yang suka berkhemah. Anda juga boleh menyewa tapak dan berkhemah di sini. Ada juga kedai runcit untuk anda membeli barangan asas.

Mandi-manda

Imje via [ Komuniti Pos Kuala Mu Sungai Siput ]

Rugi ke Kuala Mu tetapi tidak mengisi masa terluang dengan mandi sungai. Rata-rata di sini mempunyai kawasan air sungai yang cetek. Ada tempat yang berbatu dan ada tempat yang lapang.

Dengar bunyi deruan air sungai dan air terjun, siapa sahaja yang tahan untuk tidak mandi di sungai ini. Lebih-lebih lagi apabila tengok ramai orang yang seronok bermandi-manda.

Pasti anak-anak seronok dapat mandi sungai yang sejuk, bersih dan jernih. Walaupun sungainya cetek dan sesuai untuk kanak-kanak, namun ibu bapa khususnya perlulah memantau keadaan anak-anak untuk mengelakkan sebarang perkara berlaku.

Jungle trekking

Ada beberapa chalet yang menyediakan pakej untuk hiking atau jungle trekking. Jika anda seorang yang suka akan cabaran, anda memang perlu mencubanya.

Ada juga chalet yang mempunyai jalan untuk ke air terjun yang cantik. Hanya jalan beberapa minit anda dapat menikmati keindahan air terjun tersebut.

Menyelami Kehidupan Orang Asli

Imej via [ Malaysian Car Camping ]

Seperti yang anda tahu, Kuala Mu merupakan kawasan penempatan orang asli. Sambil menghayati keindahan alam di sini, anda juga boleh menyelami kehidupan mereka di sini.

Buat pengetahuan anda, Suku Temiar merupakan etnik utama orang asli yang berada di Kuala Mu. Mereka sememangnya sangat peramah jika melayan pengunjung. Jika berkesempatan dan bernasib baik, bolehlah anda merasai buah-buahan tempatan seperti durian.

Memang puas jika dapat menghabiskan cuti di Kuala Mu. Tempat yang penuh ketenangan, segar dan sentiasa bersih. Mana tidaknya, tempat ini dijaga sepenuhnya oleh penduduk orang asli di sini. Jangan lupa untuk support produk orang asli di sini seperti kraftangan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Jom ajak keluarga atau rakan-rakan untuk bercuti dan melakukan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menghilangkan penat bekerja.

Alang-alang berada di Perak, ini tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika anda ke negeri Darul Ridzuan ini.

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.