13 Tempat Menarik Di Temerloh. Lazatnya Gulai Tempoyak Ikan Patin!
Mencari tempat meanrik di Temerloh? Temerloh Bandar Ikan Patin merupakan sebuah bandar yang terletak di negeri Pahang. Lokasinya menjadi titik tengah bagi tanah Semenanjung Malaysia. Terdapat banyak tempat menarik di Temerloh yang sesuai dikunjungi untuk anak-anak kecil.
Selain dapat melihat haiwan-haiwan yang diperlihara di sini, anak-anak juga boleh bermandi-manda di taman air yang ada di Temerloh. Jangan tak percaya, siap ada taman air islamik tau di sini. Memang rare! Apa-apapun, yang paling menarik adalah menu masakan ikan patin lemak tempoyak yang menjadi identiti bagi Temerloh. Jom kita lihat 11 tempat menarik di Temerloh yang boleh dilawati oleh anda sekeluarga.
1) Esplanade Temerloh (WaterFront)
Walaupun di Temerloh ini tiada pantai, tetapi anda boleh menggantikan panorama laut dengan pemandangan di pesisir Sungai Pahang di Esplanade Temerloh. Anda sekeluarga boleh berkelah dan beristirehat di sini sambil menikmati angin sepoi-sepoi Sungai Pahang.
Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini ialah menaiki bot untuk menyusuri sungai Pahang, beristirehat di tepi sungai dan juga menyeberangi sungai Pahang ke Kampung Bangau. Selain kemudahan bot, di sini juga terdapat banyak gerai makan untuk pengunjung bersantai di tepi sungai Pahang.
Lebih menarik lagi, terdapat jambatan gantung Kuala Semantan, iaitu sebuah jambatan yang menghubungkan Esplanade Temerloh sebagai Menara A ke dataran Patin sebagai Menara B. ketinggian jambatan ini adalah 40.22meter dan panjangnya adalah 86meter boleh dilalui 3 -4 orang sahaja dalam satu masa.
Jika anda tercari-cari tempat yang sesuai untuk anda sekeluarga bersantai-santai di petang hari, Esplanade Temerloh adalah tempat ideal untuk anda.
Lokasi: Pesisir Sungai Pahang Berhampiran Dataran Patin
2) Dataran Patin
Seperti mana nama jolokannya, Bandar Ikan Patin, maka haruslah ada satu tempat yang ikonik agar para pengunjung dapat menikmati ikan patin yang menjadi identiti bandar ini. Dataran Patin adalah salah satu daripada restoran yang terkenal di daerah ini. Tahukah anda, untuk sampai ke Dataran Patin, anda perlu melalui sebuah jambatan gantung untuk merentasi sungai dari Esplanade Temerloh. Memang rare sangat!
Sesampai sahaja anda di Dataran Patin, anda akan menikmati aroma Ikan Patn Lemak Tempoyak yang menggugat selera anda. Sementara menunggu hidangan anda sedia dihidang di atas meja, anda bolehlah melihat panorama Sungai Pahang dan Sungai Semantan yang terbentang indah di hadapan anda. Bolehlah berswafoto dengan berlatar belakangkan sungai yang indah.
Sebenarnya terdapat banyak lagi restoren ikan patin yang sedap-sedap di sekitar Temerloh. Bolehlah anda cuba ‘Google’ restoren-restoren lain menyajikan menu ikan patin yang lazat dan viral.
Lokasi: Pesisir Sungai Pahang Berhampiran Taman Esplanade (Kampung Bangau Tanjung)
3) Taman Tema Air Kubang Gajah
Bagi anak-anak, taman air ataupun aktiviti mandi-manda sememangnya suatu aktiviti wajib yang perlu ada dalam mana-mana trip percutian. Bagi anda yang bergelar ibu ayah, jangan risau, di Temerloh, anda boleh bawa anak-anak anda berseronok di Taman Tema Air Kubang Gajah.
Taman tema ini tidaklah sebesar dan segah seperti Legoland, Sunway Lagoon, mahupun Gambang Water Park. Tetapi ia sudah memadai untuk anda meluangkan masa Bersama keluarga di sini. Terdapat bot mainan atas air, gelongsor di dalam kolam untuk anak-anak anda bermain. Bagi golongan ibu-ibu yang tak dapat mandi kerana menjaga bayi kecil, jangan risau, anda boleh menyewa tapak wakaf/gazebo yang mana mempunyai kemudahan plug elektrik, kipas dan juga buaian tidur untuk bayi.
Kemudahan seperti tandas dan tempat persalinan baju juga tersedia di sini. Untuk Muslim yang ingin solat, berdekatan dengan taman tema air ini terdapat Surau Bukit Angin. Anda berjalan kaki ke surau ini pun boleh.
Selain itu, pihak taman tema air juga turut menyediakan kemudahan sewaan bilik bagi mereka yang ingin menginap di sini. Harganya berpatutan, malah pakej sewaan bilik sudah termasuk untuk tiket ke taman tema air sekali.
Lokasi: Waterpark Kubang Gajah, Taman Awam Kubang Gajah, 28000 Temerloh
Waktu Operasi: Cuti Sekolah, Cuti Umum, Sabtu & Ahad (9.00am – 7.30pm) | Hari Sekolah (2.00pm – 7.30pm) | Rabu Tutup
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kanak (2 – 12 Tahun) RM8 | Kanak-kanak (1 Tahun 11 Bulan & Kebawah) Percuma | OKU & Warga Emas RM5
4) Taman Rekreasi Wadi Al- Amin
Selain Taman Tema Air Kubang Gajah, anda juga boleh ke Wadi Al-Amin iaitu sebuah kolam mandi yang diselia oleh pihak Maahad Tahfiz Al-quran Al-Amin. Kolam ini salah satu cara bagi mendapatkan dana untuk menampung perbelanjaan maahad tahfiz tersebut. Seolah-olah seperti anda membeli sambal beramal. Anda beli tiket masuk kolam mandi ini secara tidak langsung, anda membantu kewangan pihak maahad tahfiz tersebut.
Walaupun kolam mandi ini tidaklah secanggih seperti taman tema air yang lain, namun Wadi Al-Amin memberi sebuah nilai yang tidak akan anda dapat di mana-mana taman tema air. Di sini, kolam mandi wanita dan lelaki diasingkan, malah kolam wanita terletak di tempat tertutup. Selain itu, terdapat juga kolam kecil untuk kanak-kanak.
Selain itu, anda juga dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat di kawasan kolam mandi ini. Bukan itu sahaja, di sebelah kolam renang ini juga terdapat kolam yang disediakan khas untuk anda yang ingin cuba memancing ikan. Makanan dan minuman juga turut dijual di sini untuk kemudahan para pengunjung.
Lokasi: Wadi Al-Amin (Maahad tahfiz), Kampung Berhala Gantang Temerloh, 28000
Waktu Operasi: Isnin Tutup (Kecuali Cuti Sekolah/ Cuti Umum) | Selasa – Jumaat (3.00pm – 6.30pm) | Sabtu & Ahad, Cuti Umum (9.00am – 6.30pm) | Cuti Sekolah (10.00am – 6.30pm)
Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3
5) Krau Wildlife Reserve
JIka anda ingin mencari rezab hidupan liar, anda boleh ke Krau Wildlife Reserve antara rezab terbesar di Malaysia. Rezab ini mempunyai keluasan sekitar 60 349 hektar dan telah ada berpuluh tahun dahulu.
Krau Wildlife Reserve juga menempatkan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan. Jadi, untuk peminat gajah dan ingin melihat secara dekat, inilah adalah tempatnya. Lebih menarik lagi, adanya pusat penyelidikan yang agak terkenal di seluruh dunia dalam pengkajian tentang burung dan kelawar berada di sini.
Lokasi: Bukit Rengit, 28500, Lanchang, Pahang
6) Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan adalah tempat perlindungan dan penjagaan gajah yang terletak di Kuala Gandah, Lanchang. Gajah-gajah yang ditempatkan di sini merupakan sebahagian gajah yang kurang bernasib baik kerana ditinggalkan daripada gerombolan mereka ataupun gajah liar dan gajah denak yang telah ditangkap dan kemudiannya dilepaskan oleh Taman Negara.
Di Pusat Konservasi ini, anda boleh melihat haiwan yang diancam kepupusan ini di depan mata anda sendiri. Selain dapat mengenali haiwan ini dengan lebih dekat, anda juga berpeluang untuk memberi gajah makan dan memandikan gajah.
Lokasi: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Jabatan Perhilitan, Kuala Gandah, 28500 Lanchang
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.30pm)
7) Deerland Park
Berdekatan dengan Pusat Konservasi Gajah terdapat DeerLand Park iaitu sebuah taman peliharaan rusa. Di sini bukan sahaja ada rusa tempatan, tetapi juga spesies-spesies yang didatangkan dari luar negara.
Bukan setakat rusa, tetapi taman ini juga menempatkan beberapa jenis haiwan lain seperti memerang, burung unta, landak, pelanduk, burung merak, beruang madu dan banyak lagi. Boleh dikatakan Deerkand Park ini seperti mini zoo.
Dah puas lihat haiwan-haiwan yang terdapat di sini, anda juga boleh ke Deerland Nature iaitu sebuah taman herba. Kebanyakan warisan herba nenek moyang kita seperti kacip fatimah dan tongkat ali turut ditanam di sini.
Banyak sangat aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini antaranya belajar menyumpit, merentas hutan, night walking, belajar memasak ala hutan dan macam-macam lagi. Jika anda dapat luangkan lebih masa di sini dan mencuba aktiviti-aktiviti menarik ini, pasti lawatan anda ke sini memberi 1001 pengalaman yang kenangan yang inda buat anda sekeluarga.
Lokasi: Deerland Park, 28500 Lanchang, Pahang
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (11.00am – 6.00pm)
8) Pusat Pemuliharaan Seladang
Pusat Pemuliharaan Seladang ditubuhkan bagi menempatkan haiwan yang terancam di negara ini di dalam sebuah habitat semula jadi yang berpagar. Ia ditubuhkan pada tahun 1976. Selalunya kita hanya tahu harimau, gajah, orang utan dan beberapa haiwan liar yang lain sahaja diancam kepupusa. Kita jarang mendengar tentang haiwan yang bernama seladang ini. Jadi, inilah peluang keemas an untuk anda sekeluarga melihat dan mengenali haiwan ini dengan lebih dekat di sini.
Pusat pemuliharaan ini telah berjaya membiakkan lebih daripada 30 ekor seladang daripada jenis Bos Gaurus Hubbacki yang merupakan jenis seladang yang terbesar di Malaysia. Nak lihat dan kenal haiwan seladang ini? Haruslah anda sekeluarga luangkan sedikit masa anda untuk melawat ke Pusat Perlindungan Seladang yang terletak di Kuala Krau, Temerloh ini.
Lokasi: Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau
9) Kampungstay Desa Murni
Ingin merasai pengalaman menginap di kampung halaman yang segar dan tenang? Anda boleh menikmati suasanan tersebut di Kampungstay Desa Murni. Bukan setakat suasana serta keadaan sekekliling sahaja seperti kampung, tetapi juga binaan bangunan inap desa ini juga memenuhi kriteria binaan tradisional.
Selain berehat serta bersantai-santai di bilik, anda juga meneroka kawasan sekitar kampung dengan menaiki basikal sewa yang disediakan pihak penginapan. Setelah itu, anda juga boleh memenuhkan hari anda dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang ditawarkan seperti mencanting batik dan memancing.
Kampungstay Desa Murni dilengkapi dengan kemudahan wifi, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak. Bukan itu sahaja, khidmat rawatan spa, sauna dan bekam turut ditawarkan. Segala kemudahan ini boleh dinikmati dari harga penginapan serendah RM150.
Jika anda tercari-cari lokasi percutian untuk menenangkan jiwa dan merehatkan minda, Kampungstay Desa Murni sememangnya pilihan ideal buat anda sekeluarga.
Lokasi: Kampungstay Desa Murni, Lot 1674, Jalan Homestay, Desa Murni Sanggang, 28020 Temerloh
10) Hutan Rekreasi Gunung Senyum
Bagi anda suka aktiviti mendaki bukit, apa kata anda luangkan pagi anda dengan pendakian di Gunung Senyum yang terdapat di terletak di kawasan Temerloh dan Jengka ini. Gunung Senyum ini berketinggian 1,594 kaki, dan mengambil masa sekitar 4jam pendakian untuk sampai ke puncak. Manakala, mengambil masa sekitar 3 jam untuk turun semula ke kaki bukit.
Di sini anda dapat menerokai lebih daripada 20 buah gua, melihat pokok-pokok herba dan banyak lagi kewujudan flora dan fauna lain. Lebih hebat lagi, hutan lipur di gunung ini turut menyimpan bukti kehidupan masyarakat Zaman Mesolitik. Teruja bukan? Sambil anda beriadah mendaki gunung, anda juga berpeluang mengenali Gunung Senyum yang menyimpan 1001 khazanah ini. Maka tidak hairanlah kenapa gua-gua di sini juga sangat klasik Namanya. Gua Terang Bulan, Gua Kolam Tujuh dan Gua Silat. Kalau anda rajin, bolehlah buat carian dan kaji kisah-kisah disebalik gua-gua ini. Pasti pengalaman anda mendaki di Gunung Senyum akan lebih bermakna dengan sedikit maklumat sedia ada yang anda tahu mengenai khazanah gunung ini.
Lokasi: Felda Jengka 25, Jengka, Pahang
11) Air Terjun Lata Bujang
Tak puas mendaki Gunung Senyum? Nak lagi aktiviti lasak yang best di Temerloh? Jangan risau, anda boleh lakukan pendakian untuk menuju ke Air Terjun Lata Bujang. Nak menuju ke sini anda perlu melalui trek-trek yang mencabar, daripada kawasan yang terlalu curam, yang licin hinggalah kepada laluan-laluan yang dihalangi pokok tumbang. Mencabar bukan?
Walaupun mencabar, perjalanan anda yang sukar ini sangat berbaloi kerana anda akan dihidangkan dengan Air Terjun Lata Bujang yang segar di kelilingi alam semula jadi. Perjalanan anda melalui trek mencabar ini mungkin mengambil masa 2 jam atau lebih. Selepas itu, anda akan sampai ke kawasan perkhemahan Lata Bujang sebelum meneruskan perjalanan kurang 1 jam untuk ke kawasan air terjun 4 tingkat. Dah sampai di kawasan air terjun, maka anda bolehlah berendam menyejukkan badan dan melepaskan lelah setelah berjam-jam meredah hutan untuk sampai ke sini.
Lokasi: Air Terjun Lata Bujang, Krau
12) Lanchang Edible Garden
Kalau di Kyoto Jepun ada Bamboo Street, jangan tak percaya, di Lanchang Temerloh pula ada Lanchang Edible Garden yang penuh dengan pohon-pohon buluh. Anda boleh menginap di sini, tidur di bawah rimbunan buluh dan ditemani bau-bau buluh yang segar. Terdapat pelbagai pakej penginapan beserta makanan yang tersedia untuk keselesaan serta kemudahan pengunjung.
Selain daripada penginapan, terdapat aktiviti-aktiviti lain yang anda boleh lakukan di sini. Antaranya memancing ikan di kolam yang disediakan, di samping melihat proses dan merasai pengalaman membuat arang buluh yang digunakan bagi menghasilkan bahan pewangi. Selain itu, bagi penggemar buah-buahan tempatan, anda boleh menikmati buah nangka dan manga segar yang dipetik dari ladang.
Selain itu, pihak pengurusan Lanchang Edible Garden turut menyediakan kenderaan khas bagi membawa pengunjung melalui kebun buah-buahan dan ladang sawit ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang terletak berhampiran.
Lokasi: Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Temerloh
13) Pekan Sehari Temerloh
Salah satu identiti bagi Temerloh adalah Pekan Sehari. Pekan Sari adalah syurga buat penggemar makanan kampung seperti ulam-ulam yang segar, tempoyak, sambal hitam dan bermacam-macam lagi.
Pekan Sehari sama seperti pasar hujung minggu seperti di tempat-tempat lain, namun yang menjadikannya begitu istimewa adalah usia dan pilihan barangan dapur yang banyak. Pekan Sari asalnya merupakan sebuah pasar sehari yang telah wujud sejak 80 tahun dahulu atau mungkin lebih lama lagi. Dahulu ia dipanggil sebuah pekan kerana pasar tersebut menjadi pusat buat penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan bahan mentah kegunaan dapur.
Kelangsungan pasar tersebut terus hidup hingga hari ini yang kini dipanggil Pekan Sari meskipun pernah dilanda banjir besar.
Walau bagaimanapun, apa yang paling penting adalah, selain daripada pelbagai barangan yang dijual di sini, harga barangan di sini sangat murah dan berpatutan.
Lokasi: Persisir Jalan Lurah Semantan, Temerloh Berhampiran Sungai Pahang
Waktu Operasi: Setiap Ahad dari 6.30 pagi – 2.00 petang
Itulah dia 13 tempat menarik di Temerloh, Pahang yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Temerloh. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik di Kuantan Tempat Menarik Di Bukit Tinggi dan Tempat Menarik Di Janda Baik