13 Tempat Honeymoon Di Melaka
Melaka pastinya membuatkan kita terbayang kisah Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang. Sekadar lagenda yang kononnya dua insan ini bercinta. Mungkin selama ini Melaka terkenal dengan tempat-tempat bersejarahnya.
Namun tahukah anda Melaka mempunyai banyak tempat yang sesuai untuk honeymoon? Kerajaan yang pernah ditawan Portugis pada 1511 ini turut mempunyai pelbagai destinasi yang menjadi tarikan pelancong.
Datang ke Melaka bersama pasangan untuk honeymoon merupakan idea yang bernas. Artikel kali ini, kami ingin mengajak anda menerokai tempat-tempat menarik honeymoon di Melaka.
1. Menara Taming Sari
Tak sah jika anda ke Melaka tetapi tidak singgah di sini. Menara berketinggian 110 meter ini merupakan Gyro Tower pertama di Malaysia. Pengunjung dapat menaiki dek berkaca yang akan membawa anda ke puncak menara.
Dari atas ini anda dapat melihat jangkauan kawasan indah Melaka. Waktu terbaik berkunjung ke sini adalah ketika waktu petang kerana panorama matahari tenggelam sungguh mengasikkan.
2. Melaka River Park And Cruise
Selain beca yang menjadi pengangkutan yang terkenal untuk bersiar-siar di bandar Melaka, anda juga boleh menaiki bot. Menelusuri Sungai Melaka terutama sekali pada waktu malam pasti akan mencapai tujuan honeymoon anda kerana ia sangat romantik.
Sepanjang 30 minit perjalanan anda akan dihidangkan dengan bangunan klasik Melaka yang berlatar-belakangkan lampu-lampu cantik. Berbaloi bercuti di tempat honeymoon di Melaka ini!
3. Muzium Kesultanan Melayu Melaka
 Jika tiba di Melaka, maka seharusnya anda berkunjung dan melihat betapa gahnya kerajaan ini suatu ketika dahulu. Muzium ini menyimpan replika istana, gambar-gambar dan barangan bersejarah.
Pameran di sini bakal mencampakkan anda pada kurun ke 15. Iatersedia dalam bentuk infografik, diorama dan galeri.
4. Rumah Terbalik Melaka
Destinasi ini sama seperti konsep upside down house yang biasa. Namun, ia merupakan destinasi terbaik untuk mengambil foto. Bayangkanlah, anda mampu melakukan pelbagai aksi yang kreatif.
Rumah ini disusun terbalik bermula perabot hinggalah struktur rumahnya. Dapur, ruang tamu dan bilik semuanya terbalik. Tiket hanya seharga RM 18 berbaloi untuk anda.
5. The Shore Oceanarium
Sudah jemu dengan tempat bersejarah? Berkunjunglah ke akuarium setara Aquaria KLCC ini. The Shore Oceanarium ini menjadi rumah bagi hampir 300 spesies hidupan laut.
Obor-obor, jerung, kuda laut dan macam-macam lagi hidupan laut yang comel berada di sini. Merupakan satu bonus di tempat honeymoon di Melaka ini kerana mereka turut menyediakan pengembaraan laut khas menggunakan kaca mata 3D.
6. Philea Resort & SPA Melaka
Nak honeymoon mestilah perlukan tempat penginapan menarik. Kedudukan Resort ini sangat strategik memandangkan ia terletak berhampiran dengan pusat-pusat peranginan.
Destinasi bertaraf 5 bintang ini menawarkan hampir 200 bilik dengan 3 kategori berbeza. Konsep dekorasinya bertemakan desa namun bercirikan mewah. Kolam renang juga disediakan buat yang menginap.
7. Pantai Klebang Melaka
Sudah penat dengan kesibukkan bandar? Pantai yang terletak 5 km dari Bandar Hilir Melaka ini amat ideal buat anda bersiar-siar. Duduk berkelah dan bermandi-manda menikmati alam semulajadi pastinya menenangkan.
8. Melaka Wonderland Theme Park
Taman tema air tidak kalah menariknya untuk honeymoon bersama pasangan. Melaka Wonderland menyediakan 11 gelongsor air gergasi dan tarikan permainan air.
Aktiviti yang terkenal di sini antaranya adalah Adventure Island, Kamikaze Race, Tornado Chaser dan lain-lain. Taman tema dengan kapasiti air sebanyak 200 juta liter yang merupakan salah satu tempat honeymoon di Melaka ini pastinya tidak membuatkan anda bosan.
9. Kota A Famosa
Binaan tahun 1512 ini bagaikan isi dengan kuku Melaka. Bangunan yang dibina Portugis ini menjadi ikonik bagi Melaka. Selain pengalaman baru, ilmu sejarah juga boleh kita kutip di binaan Eropah tertua di Asia ini. Jangan lepaskan peluang merakam momen anda di depan pintu kubu Porto De Santiago.
10. Muzium Maritim
Struktur binaan muzium yang unik ini membuat ia mudah diingati jika menapak di bumi berdaulat ini. Statistik menunjukkan bahawa seramai 20,000 pengunjung bertandang ke sini setiap bulan.
Tarikan utama adalah replika Kapal Flor De La Mar yang mana kapal aslinya sudah karam di perairan sumatera. Pameran di sini dalam wujud infografik, replika senjata dan kapal.
11. Casa Del Rio
Casa Del Rio menjanjikan suasana romantis buat pasangan yang datang berbulan madu. Pakej yang ditawarkan sangat eksklusif selain kedudukannya yang dekat dengan tempat menarik lain.
Dari sini, anda boleh berjalan kaki ke Muzium Maritim, A Famosa, Jonker Street Night Market dan lain-lain. Fasiliti yang disediakan di sini cukup lengkap disamping terdapat kolam Infinty Pool.
12. Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka
Hampir 20 spesies rama-rama dipamerkan di taman ini. Landskap taman ini dihiasi bunga-bunga berwarna-warni. Suasana romantis semestinya boleh dihidupkan di persekitaran seperti ini.
Ini barulah namanya tempat honeymoon di Melaka! Disamping rama-rama, haiwan reptilia lain seperti ular,iguana, tarantula dan serangga eksotik juga dipamerkan.
13. The Shore Sky Tower
Dari atas menara 42 tingkat ini anda mampu menjadi helang meninjau segenap bandar Melaka. Menara yang paling tinggi di Bandar Melaka ini mempunyai Sky Deck,dimana lantainya dibuat daripada kaca.
Anda boleh bersiar-siar di atas puncak menara dan melihat Melaka dari celah kaki anda.
Demikianlah 13 tempat menarik untuk honeymoon di Melaka. Lengkap tempat bersejarah, destinasi berfoto dan penginapan kami cadangkan buat anda.
Jom baca juga tempat memancing di Melaka, tempat honeymoon di Johor, tempat honeymoon di Pahang dan tempat honeymoon di Perak.
Rujukan:
- Tempat Menarik di Malaysia Untuk Honeymoon. https://my.theasianparent.com/tempat-menarik-di-malaysia-untuk-honeymoon
- Tempat Menarik Melaka. https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-melaka/