Rumah Hutan Bonda Rozita (Cantik Terbaik)
Siapa yang tidak tahu dengan rumah hutan bonda Rozita yang terkenal ini. Rumah hutan ini bukan sahaja mesra alam, malah merupakan antara tempat menarik yang dapat dijadikan sebagai tempat percutian anda sekeluarga. Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, hutan bermaksud kawasan yang ditumbuhi pokok-pokok liar. Mungkin, nama Rumah Hutan ini diambil sempurna lokasinya yang duduk di tengah-tengah kawasan hutan.
Sekiranya anda suka bercuti di tempat-tempat yang mesra alam, anda mungkin akan suka dengan rumah hitam ini. Terletak di Batang Kali, Selangor dan menyediakan pelbagai jenis terapi yang pastinya menarik minat kaum wanita yang ingin memanjakan diri mereka dengan rawatan spa dan banyak lagi.
Spa Kecantikan
Rumah Hutan Bonda Rozita ini menyediakan spa yang disediakan bagi semua peringkat umur dan jantina. Antara pakej yang di sediakan di sini ialah meditasi untuk wanita, spa untuk wanita, meditasi untuk lelaki dan meditasi untuk kanak-kanak. Meditasi untuk wanita terbahagi kepada 3 pakej iaitu sireh pucuk seribu, Patma sari dan mengkudu akar. Masing-masing dijalankan selama 2 jam. Harga pakej ini adalah sebanyak RM 255 sehingga RM 305.
Selain itu, terdapat spa untuk wanita yang terbahagi kepada 3 pakej yang dikenali dengan seri inai perindu, dewi kemangi dan terapi spa vagina. Pakej ini juga dijalankan selama 1 jam hingga 2 jam 30 minit. Harga bagi pakej ini masing-masing bermula dari RM 155 hingga RM 375. Dua pakej ini kebiasaannya di sediakan untuk kaum wanita.
Di samping itu, terdapat juga pakej untuk lelaki yang dikenali sebagai pakej meditasi lelaki. Pakej ini menyediakan 3 jenis meditasi iaitu serunai dewa, telunjuk dewa dan cendana danggi. Masa untuk rawatan ini dibuat ialah selama 1 jam sehingga 2 jam. Pakej ini juga bermula dari RM 155 hingga RM 255.
Sekiranya anda berminat untuk memberikan anak-anak anda penjagaan spa, di Rumah Bonda ini ada menyediakan pakej untuk kanak-kanak. Pakej yang diberi nama meditasi untuk kanak-kanak ini mempunyai pelbagai jenis rawatan bermula daripada pakej dukung anak untuk mereka yang berumur 12 tahun ke bawah dan mereka yang berumur 7-11 tahun. Masing-masing memerlukan rawatan selama 1 jam dengan harga yang bermula dari RM 75 hingga RM 145.
Warung Bonda
Jangan risau sekiranya anda ingin mencari makanan di sini. Rumah Hutan Bonda Rozita menyediakan warung makanan yang menjadi tempat makan bagi mereka yang bercuti ke sini. Sama seperti tema Rumah Bonda, Warung Bonda menyediakan masakan yang bertemakan masakan kampung. Makanan di warung ini disediakan dalam bentuk set seperti set nilam dan set premium. Harga bagi set nilam ialah RM 40 manakala harga bagi set premium ialah RM 80.
Set nilam terdiri daripada nasi putih, kari ayam, kambas goreng, sambal kentang dan air tembikai. Manakala, set premium pula terdiri daripada nasi putih, sup tulang, ikan lunak, sayur campur, sambal kentang dan kedondong asam boi. Anda juga boleh menambah pelbagai lauk yang anda mahukan seperti asam pedas ikan mayong, ayam goreng dan banyak lagi.
Makanan yang terkenal di warung ini ialah ikan bakar bersama air asam. Antara jenis ikan bakar yang disediakan ialah ikan lunak dan ikan talapia. Ikan bakar ini dihidangkan bersama dengan air asam. Ramai pengunjung yang datang ke sini memuji ikan bakar dan air asamnya. Di sini, anda boleh merasai pengalaman menjamu selera menghadap ke arah alam semulajadi kerana lokasi warung yang menghadap ke arah hutan.
Bonda Valley
Bagi kaki selfie, tempat ini pastinya akan menarik perhatian mereka. Gaya seakan buai sarang burung yang terdapat di Bali menjadikan port ini sebagai tempat untuk mengambil gambar. Ramai yang datang ke sini tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar di sini.
Bentuk sarang burung yang mempunyai tempat duduk serta berbentuk hati menjadikan tempat ini lebih menarik. Walaupun begitu, di sekeliling rumah bond aini juga mempunyai banyak tempat menarik untuk bergambar. Hal ini termasuk dengan reka bentuk rumah-rumahnya yang unik dengan ukiran corak tradisional.
Kereta Triton Pickup
Sekiranya anda datang ke sini, jangan terkejut jika kereta anda perlu ditinggalkan di luar. Hal ini kerana jalan naik ke kawasan homestay sangat kecil. Disebabkan hal itu, anda akan diambil oleh kereta yang disediakan khas di sini yang akan mengambil anda apabila anda selesai mendaftar.
Kereta untuk pickup ini sebenarnya merupakan kereta triton. Tetapi kereta ini telah di naik taraf menjadi kereta yang selesa untuk dinaiki oleh bilangan orang yang ramai. Kereta triton yang direnovasi ini juga mempunyai besi yang dihiasi dengan corak flora dan keadaan dalam kereta yang seakan pagar van bagi memastikan keselamatan anda terjamin.
Sungai
Sekiranya anda datang ke sini untuk bercuti, anak-anak anda mesti suka dengan sungai yang disediakan di sini. Sungai semula jadi ini sangat cantik dengan aliran air dan kawasan yang bersih. Jangan risau untuk membiarkan anak-anak anda berenang di sini kerana paras sungai ini sememangnya cetek dan sesuai untuk kanak-kanak bermain.
Di sungai ini juga terdapat jambatan yang dapat anda lalui untuk ke seberang sungai. Jadi anda boleh membawa anak-anak anda untuk bermain di sungai ini. Anda juga boleh menenangkan diri dan menikmati masa rehat anda. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman anda.
Ruang Menunggu
Bukan sahaja reka bentuk penginapan di sini direka dengan ukiran tradisional yang cantik, malah ruang menunggu juga terdiri dari alas lantai kayu dan perabot kayu. Jika dilihat dari luar ruang menunggu, anda pasti akan terfikir mengenai gabungan seni bina tradisional dan moden yang cukup memikat.
Menariknya di sini, anda akan dapat melihat pelbagai produk yang dijual oleh Bonda Rozita itu sendiri. Produk-produk ini diperagakan dengan cantik di atas satu meja dan rak belakang seperti dikedai farmasi. Jika anda datang ke sini, anda boleh membeli produk yang anda inginkan sekaligus menenangkan fikiran dengan bercuti di sini.
Tempat Penginapan
Jika anda datang kesini untuk berehat dan menenangkan fikiran, penginapan ala kampung ini pastinya dapat mengimbas memori anda ketika berada di kampung. Homestay di sini terdiri daripada pelbagai jenis rumah dengan harga, kemudahan serta perkhidmatan yang berbeza.
Antara rumah yang dapat anda pilih ialah rumah buluh kuning, rumah melayu, rumah kaca, rumah bunga raya, rumah kemboja, rumah kenanga, rumah ester dan rumah cempaka. Sekiranya anda inginkan keselesaan yang lebih, anda boleh mengambil jenis rumah yang bermula dengan rumah raya yang dilengkapi dengan kemudahan memasak, dekat dengan sungai dan banyak lagi kelebihan yang lain.
Kemudahan yang anda boleh dapat di homestay ini ialah televisyen, free breakfast, tapak BBQ, peralatan dapur dan kemudahan untuk anda memasak. Jika anda inginkan rumah yang dilengkapi dengan beranda, anda mungkin boleh memilih rumah jenis Cempaka. Anda boleh melihat sungai di beranda yang terbuka. Memang sangat menarik!
Mini Zoo
Anak-anak yang masih kecil mesti akan suka dengan zoo mini yang disediakan di sini. Walaupun tidak secara keseluruhan haiwan terdapat di sini, tetapi anda boleh melihat pelbagai jenis burung yang unik dan tidak dapat dilihat di luar.
Menariknya, anda tidak perlu risau mengenai kebersihan zoo ini kerana kesemua haiwan diletakkan di dalam sarang mereka. Jadi anak-anak anda boleh bebas melihat pelbagai jenis burung yang terdapat di sini.
Kesimpulan
Kawasan hutan yang dipenuhi flora dan fauna sememangnya dapat memberikan kita ketenangan. Mungkin anda mahukan hari yang nyaman tanpa bunyi bising bandar dan berehat di tengah-tengah kehijauan. Rumah Hutan ini mendapat review yang baik dari pengenjungnya kerana mereka merasa nyaman duduk di dalam kawasan yang dipenuhi alam semulajadi.
Tempat ini juga sememangnya menarik untuk mengajar anak anda hidup tanpa telefon. Meluangkan masa bersama-sama sambil menikmati air terjun yang terdapat di sana. Suri rumah dapat berehat dan memanjakan diri mereka sememangnya sangat menarik.
Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:
Rujukan:
- Bonda Rozita. (2022). Bonda Valley. https://www.bondavalley.com/rhutan
- Kamus Bahasa Melayu. (2017). Hutan. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hutan
- Husna. (2020). Family Trip Di Rumah Hutan batang Kali. Siap Ada Spa! Memang 5 Bintang La. https://www.libur.com.my/family-trip-di-rumah-hutan-batang-kali-siap-ada-spa-memang-5-bintang-la/