10 Hotel Unik di Malaysia (Menarik dan Berbaloi)
Kalau anda seorang yang suka meneroka, anda pastinya akan tertarik dengan hotel unik di Malaysia. Selain dapat merasai pengalaman baru, lebih menarik lagi jika tempat yang anda lawati, dapat membuatkan anda terbayang-bayang dan meninggalkan memori yang baik.
Zaman sekarang, kalau cakap mengenai sesuatu yang viral, pasti ramai berminat untuk mencuba. Apa kata anda cuba rasai pengalaman menginap di hotel ini.
Bukan sahaja reka bentuknya yang lain dari hotel biasa, namun lokasi hotel ini juga sangat unik. Pengalaman yang memang tidak akan anda lupakan. Ini merupakan senarai hotel unik di Malaysia yang perlu anda cuba. Mana tahu ada yang menjadi destinasi tetap percutian anda! Selamat membaca!
Time Capsule Retreat, Sungai Lembing
Jika anda seorang yang mahukan pengalaman bercuti sambil menikmati pemandangan langit malam, Time Capsule Retreat pastinya akan memberikan anda pengalaman tersebut. Sama seperti nama yang diberikan iaitu capsul, anda akan tinggal di dalam bilik yang seakan kapsul.
Kapsul dibina dengan separuh kaca untuk anda melihat keindahan langit malam serta menikmati pemandangan alam semula jadi di hadapan anda. Apa yang lebih menarik, bilik tersebut tidaklah kecil seperti yang anda sangkakan kerana boleh memuatkan sehingga 4 orang.
Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti air-cond di dalam bilik, televisyen, sofa dan banyak lagi. Anda juga boleh menikmati air terjun pelangi dan BBQ yang disediakan. Memang menarik untuk anda yang sukakan alam semulajadi.
Harga: Harga bermula dari RM 133
Alamat: Sungai Lembing, 26200 Sungai Lembing, Pahang
No. Telefon: 013-963 8888
Container Hotel, Kuala Lumpur
Kalau cakap tentang Kuala Lumpur, pasti ramai yang fikirkan mengenai bangunan tinggi dan elegan. Tapi, terdapat tempat penginapan unik yang terletak betul-betul di tengah pusat bandar.
Kalau fikir mengenai container, ramai tidak akan menyangka bahawa tempat ini dapat dijadikan hotel yang menarik. Bilik-bilik direka mengikut tema dan pastinya sesuai untuk anda yang ingin merasai pengalaman menginap di dalam container.
Diinspirasikan oleh konsep “Kyosho Jutaku” yang bermaksud hidup besar dengan jejak yang kecil, terdapat beberapa bilik yang ditawarkan seperti deluxe room, suite room dan banyak lagi. Rasai pengalaman menginap di sini!
Harga: Bermula dari RM 67
Alamat: 1, Jalan Delima, Imbi, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
No. Telefon: 03-2110 4388
Terra’s Tree House, Pahang
Kalau hotel yang lain terletak di tanah, lain pula dengan hotel ini yang dibina di atas pokok. Hotel ini dibina khas tanpa menebang pokok yang terdapat di sekitar kawasan itu. Untuk sampai ke hotel ini juga, anda perlu melalui jalan yang agak sempit dan mendaki bukit selama 10 hingga 15 minit.
Tetapi pemandangan dan udara segar yang akan anda rasai sangat berbaloi untuk dicuba! Rekaan sangat eksklusif kerana dibina menggunakan bahan seperti buluh dan daun nipah untuk atap. Pembinaan rumah pokok ini juga dibina khas oleh orang asli. Sangat berbaloi untuk merasai pengalaman menginap di atas pokok.
Harga: Bermula dari RM 233
Alamat: 39000 Brinchang, Pahang
No. Telefon: 012-661 3299
Bustel, Melaka
Kalau tadi hotel atas pokok, kali ni ada yang lagi unik dengan menggunakan bas lama sebagai hotel. Bas terpakai diubahsuai untuk dijadikan tempat penginapan yang cantik dan selesa. Memang menarik untuk dicuba.
Bas ini diletakkan dan disusun berdekatan kawasan pantai. Jadi ketika anda menginap disini, anda juga boleh menikmati pemandangan melihat matahari terbenam di pantai. Apa yang lagi menarik, tempat makan juga dijual di dalam bas dengan gaya “street food”. Anda juga boleh makan di dalam bas kerana meja makan disediakan.
Penginapan ini dilengkapi dengan kemudahan tandas serta katil. Semuanya serba lengkap. Apa lagi, jom rasai pengalaman yang tidak boleh anda dapatkan di tempat lain.
Harga: Bermula dari RM 90
Alamat: Dataran 1 Malaysia, Pantai Klebang, Melaka.
No. Telefon: 0197414113
Nipah Guesthouse Pangkor, Perak
Hotel unik di Malaysia yang lain ialah Nipah Guesthouse yang terletak di Pulau Pangkor. Hotel ini direka berkonsepkan Inggeris. Reka bentuknya yang unik iaitu segi tiga sangat menarik dan cantik.
Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan seperti penyaman udara, televisyen, wifi percuma dan kemudahan untuk membuat kopi. Bagi mereka yang sukakan aktiviti berkaitan air pastinya akan suka dengan sukan air. Terdapat juga aktiviti perjalanan dari pulau ke pulau.
Pemandangan dan hiasan luar hotel juga tidak kalah cantiknya. Terdapat kolam di hadapan hotel ketika anda membuka pintu. Memang tidak rugi menginap di sini!
Harga: Bermula dari RM 324
Alamat: 32300 Pangkor Island, Perak
No. Telefon: 017-506 9259
The Happy Eight Retreat, Perak
Mencari hotel yang unik dan cantik? Apa kata anda datang ke sini. Hotel ini memperagakan pelbagai hasil seni yang berasaskan kayu. Terdapat 13 jenis bilik yang mempunyai reka bentuk yang berbeza. Hotel ini juga menunjukkan hasil seni tradisional melayu seperti wau dan layang-layang. Setiap satu dicat dengan 13 bendera negeri di Malaysia.
Kebanyakan perabot dan hiasan diperbuat dari kayu lama yang dibuang dan digunakan semula. Hotel ini sangat sesuai bagi mereka yang mencintai seni tradisional seperti ukiran dan banyak lagi.
Harga: Bermula dari RM 155
Alamat: 46, Jalan Market, 30000 Ipoh, Perak
No. Telefon: 016-311 7008
Sailor’s Rest, Pahang
Terletak di tengah hutan tropika. Sailor’s Rest mempunyai sebuah rumah utama tiga bilik tidur dengan tambahan satu bilik, sebuah rumah bot, dua buah Chalet Kampung, dua buah Chalet Moden. Kemudahan yang disediakan seperti dewan makan, kolam ikan, kebun dan taman yang cantik.
Jika datang ke sini, anda bukan sahaja dapat menikmati percutian. Malah, anda juga dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga untuk meluangkan masa.Tempat ini sangat sesuai untuk datang bersama keluarga mahupun kawan-kawan.
Aktiviti yang disediakan seperti meneroka hutan, meredah sungai, memancing dan sungai untuk anda mandi. Memang sangat berbaloi!
Harga: Bermula dari RM 144
Alamat: Lorong Dato’ Panglima, Kuala Lurah, Kampung Janda Baik, 28750
No. Telefon: 012-360 9227
Glamz, Pahang
Bagi yang ingin merasai pengalaman seakan camping tetapi mahukan penginapan selesa. Inilah yang akan menarik perhatian anda. Berbentuk kemah separa bulat dengan persekitaran terbuka.
Pada waktu malam, anda dapat menikmati pemandangan berada di bawah kilauan bintang. Pada waktu pagi pula anda dapat menikmati kabus sejuk dan pemandangan matahari terbit.
Terdapat beberapa jenis bilik seperti khemah bell, dome keluarga, dome VIP dan setiap dome dihiasi dan dilengkapi dengan peralatan yang berbeza. Sangat menarik bukan?
Harga: Bermula dari RM 282
Alamat: 1, Jln Meranti, 69000 Genting Highlands, Pahang
No. Telefon: 012-664 5269
Hotel De Art, Selangor
Anda yang sukakan seni pasti akan teruja untuk cuba menginap di sini. Hotel ini direka dengan karya seni yang mengagumkan. Hiasan bilik berbeza bergantung pada jalan cerita tertentu. Terdapat hiasan dan karya seni yang diinspirasi dari filem, selebriti, fantasi dan seni moden. Memang sangat menarik!
Setiap bilik adalah karya artis muda terkemuka. Gaya-gaya tersebut bermula dari seni jalanan bandar dan tradisi grafiti yang diselitkan hip hop, retro, seni garis minimalis, hinggalah kepada ciptaan berinspirasikan filem. Memang puas hati datang!
Harga: Bermula dari RM 101
Alamat: 3 Jalan Kristal AS7/AS, Section 7, 40000 Shah Alam, Selangor.
No. Telefon: 03-5518 0976
Chengal Hill Retreat, Pahang
Keunikan tempat ini memang tak dapat dinafikan. Kawasan penginapan yang memberikan suasana kampung dan alam semula jadi yang mendamaikan. Reka Apachi direka khas dan mampu memuatkan 2 orang. Jika anda buka tingkap, anda boleh melihat pemandangan sungai. Di bawah rumah pula terdapat gazebo yang dibina.
Pelbagai aktiviti menarik seperti mandi sungai, Jungle trekking, memanah, ATV dan banyak lagi. Jenis penginapan yang ditawarkan juga berbeza seperti Riverside Chalet, Dorm Style Chalet, Water Chalet dan Apachi. Boleh pilih mengikut keselesaan anda!
Harga: Bermula dari RM 100
Alamat: Lot 5347, Kg. Sum-Sum Hilir, Malaysia, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
No. Telefon: 017-201 5118
Kesimpulan
Selain merasai sendiri pengalaman menginap di hotel unik di Malaysia, anda juga dapat merakam memori yang berharga dengan keluarga mahupun rakan anda. Ada yang menarik perhatian anda? Rasai sendiri percutian yang anda inginkan. Selain artikel ini, anda juga dijemput untuk melihat artikel kami yang lain.