7 Tips Melancong Dalam Negara
Ketahui tips melancong dalam negara agar semuanya teratur dari segi bajet, penginapan, tarikh dan sebagainya.
Tak perlu ke luar negara, Malaysia juga kaya dengan dengan pelbagai tempat menarik di seluruh negeri. Malah ada tempat yang terkenal di seluruh dunia dan menjadi tempat tumpuan pelancong asing.
Dari bandar yang penuh dengan pembangunan yang gah sehinggalah destinasi yang dipenuhi dengan kecantikan alam semula jadi, pasti memukau setiap mata yang memandang. Walaupun melancong dalam negara, anda seharusnya tahu tips melancong agar percutian anda lebih lancar. Ini tips-tips yang perlu anda tahu.
Pilih Lokasi Terbaik
Faktor utama dalam merancang pelancongan bersama yang tersayang semestinya pilihan lokasi idaman. Di Malaysia terdapat pelbagai jenis aktiviti dan tempat pelancongan yang menarik.
Ada yang lebih suka melancong di tempat yang dikelilingi alam semula jadi, di bandar, pantai dan sebagainya. Pilih lokasi yang menjadi kesukaan anda agar anda lebih menikmati percutian tersebut.
Dah tahu lokasi percutian, buatlah tempahan penginapan seawal mungkin kerana harga akan meningkat jika anda membuat tempahan pada waktu puncak atau pada saat akhir. Pilihan penginapan seharusnya sesuai dengan bilangan dan usia penginap.
Sekiranya anda bercuti dengan kelompok yang kecil, menginap di hotel pasti berbaloi. Namun jika anda bercuti dengan kelompok yang ramai serta mempunyai warga emas, orang kurang upaya mahupun kanak-kanak, menginap di homestay pasti lebih selesa, meriah dan berbaloi.
Waktu yang Sesuai
Pemilihan waktu melancong yang sesuai merupakan faktor utama dalam perancangan percutian ini. Jika anda tidak suka berada dalam kesesakan dan kepadatan pelancong lain, pilihlah waktu di luar cuti sekolah dan cuti umum. Walaubagaimanapun, pasti ada yang suka melancong pada waktu tersebut kerana terasa lebih meriah.
Keadaan musim atau cuaca terhadap tempat yang ingin dituju juga menjadi faktor penting dalam pemilihan destinasi. Sebagai contoh, Malaysia khususnya di pantai timur akan mengalami musim hujan bermula November sehingga Mac. Oleh itu, ianya mungkin tidak sesuai untuk bercuti di sana pada musim tersebut.
Rancang tarikh yang sesuai dengan anda dan seeloknya awal dari tarikh yang ditetapkan kerana hal ini bakal menentukan bajet melancong anda.
Dapatkan baucer promo atau diskaun
Seperti yang anda tahu, kini makin banyak promosi yang menawarkan harga diskaun yang berbaloi tidak kira tempat menarik, penginapan, tempat makan mahupun perkhidmatan lain. Dapatkan baucer tersebut dan gunakan sebaiknya. Dengan cara ini, kos percutian anda dapat dijimatkan lagi.
Urus bajet dengan baik
Seperti yang telah dinyatakan di atas, pemilihan tarikh bercuti mempengaruhi bajet sewaktu melancong. Lebih awal anda merancang, lebih jimat dan berbaloi kos yang bakal anda nikmati.
Sebaik sahaja mendapat tarikh sesuai untuk melancong, anda seharusnya terus membuat tempahan tiket penerbangan, penginapan dan sebagainya untuk mendapatkan harga yang lebih murah.
Perancangan bajet secara kasar membantu anda untuk lebih berjimat dan bersedia terhadap sebarang kos. Seeloknya, buatlah senarai perbelanjaan sepanjang percutian dan anda haruslah berdisiplin dalam menguruskan kewangan agar perbelanjaan anda tidak melebihi kadar yang sepatutnya.
Bawa barang keperluan sahaja
Tips ini memang perlu dirancang sebaiknya terutama golongan wanita. Kadangkala barangan yang dibawa melebihi kadar yang sepatutnya. Hal ini akan menyukarkan anda untuk mengangkat barangan anda yang banyak dan berat.
Tambahan pula, anda pasti akan membeli barangan cenderamata di lokasi percutian yang pasti akan menambah dan memenuhkan bagasi anda. Oleh itu, bawa pakaian dan barang yang betul-betul diperlukan sahaja.
Rancang tempat yang ingin dituju
Sebelum tibanya hari anda bercuti, pastikan anda tahu destinasi-destinasi yang bakal anda tuju. Cari tempat menarik dan tempat makan yang berada di lokasi bercutian anda agar lebih mudah untuk bergerak dan jimat masa. Jika banyak tempat yang ingin dituju, hadkan masa disetiap tempat.
Simpan duit dan dokumen penting dengan baik
Tidak kira melancong dalam mahupun luar negara, isu kecurian kadangkala memang berlaku. Simpan dokumen penting seperti kad pengenalan, kad lesen, wang dan sebagainya dengan sebaiknya.
Tips melancong dalam negara memang membantu dalam merancang percutian yang sempurna kelak. Tak kira jauh mahupun dekat lokasi yang anda pilih, perancangan yang teratur pasti membantu dalam merealisasikan percutian idaman anda.
Walaupun melancong dalam negara, kita tetap akan terdedah dengan pelbagai perkara baru dan menarik dari segi adat, budaya, pemakanan dan sebagainya. Percayalah, banyak tempat menarik dalam negara yang pasti belum anda terokai.
Lekas rancang percutian anda sebaiknya agar anda sentiasa menikmati waktu-waktu ini dengan istimewa bersama yang tersayang. Selamat bercuti!
Anda kaki travel sama ada dalam mahupun luar negara? Ini tips-tips yang pasti bermanfaat buat anda: