20 Tempat Menarik Di Vietnam. Banyak Tempat Peninggalan Sejarah
Mencari tempat menarik di Vietnam?
Vietnam antara negara yang sering menjadi pilihan warga Malaysia untuk bercuti. Bukan setakat kos bercuti ke sana agak murah, tetapi juga banyak tempat menarik untuk dilawati di sana, terutama sekali bagi mereka yang sukakan sejarah. Selain itu, Vietnam juga antara lubuk bagi mereka yang shopping.
Mana tidaknya banyak barangan yang anda boleh dapatkan di sana dengan harga yang sangat murah seperti pakaian, kasut, beg dan banyak lagi barangan lain. Antara dua tempat yang menjadi tumpuan pelancong adalah Hanoi dan Ho Chi Minh. Jom kita lihat 20 tempat menarik untuk dilawati di negara Vietnam.
1) Ho Chi Minh Mausoleum
Ho Chi Minh Mausoleum adalah makam tokoh agung bagi negara Vietnam iaitu Ho Chi Minh. Oleh kerana warga Vietnam sangat menghormati Ho Chi Minh, maka banyak peraturan yang perlu dipatuhi ketika melawat makam ini. Untuk ke sini, anda diwajibkan berpakaian dengan sopan dan tidak membawa kamera. Anda tidak dibenarkan sama sekali untuk menangkap gambar semasa berada di kawasan ini dan tidak memasukkan tangan di dalam poket sebagai tanda hormat.
Walaupun terdapat banyak peraturan, namun Ho Chi Ming Mausoleum tetapi menjadi pilihan para pengunjung sehinggakan ada ketika anda perlu beratur untuk masuk ke sini. Memandangkan tiada sebarang bayaran yang dikenakan untuk masuk ke sini, maka haruslah anda tidak melepaskan peluang untuk melawat makam Ho Chi Minh ini. Bagi anda yang membawa kamera, anda boleh tinggalkan kamera anda di tempat penyimpanan barang yang tersedia di sini.
Lokasi: 2 Hùng Vương, Điện Bàn, Ba Đình, Hà Nội 100000, Vietnam
Waktu Operasi: Selasa – Khamis (7.30 am – 10.30 am) | Sabtu & Ahad (7.30 am – 11.00 am)
Harga Tiket: Percuma
2) Vietnam Military History Museum
Vietnam antara negara yang mengalami peperangan dalam usaha mereka mengecapi kemerdekaan. Maka tidak hairanlah, mereka mempunyai tentera serta kelengkapan perang yang lengap.
Sekiranya anda ke Hanoi, jangan lepaskan peluang untuk melawat Vietnam Military History Museum. Bahan pameran yang terdapat di sini bukanlah sedikit, tetapi terdapat lebih 20,000 bahan pameran untuk tatapan para pengunjung dan para pencinta sejarah. Koleksi yang dipamerkan adalah daripada zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman revolusi 1947 dan pembentukan Republik Demokratik Vietnam.
Lokasi: 28A Dien Bien Phu, Ba Dinh District Hanoi, Vietnam
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 11.30 pm) | Selasa – Khamis, Sabtu & Ahad (2.00 pm – 4.00 pm)
Bayaran: Masuk VND 30,000 | Kamera VND 20,000
3) Vietnamese Women’s Museum
Dari namanya sahaja sudah boleh teka apakah tema muzium ini. Ya, Vietnamese Women’s Museum adalah sebuah muzium yang mengangkat martabat wanita di Vietnam. Di sini anda dapat melihat pameran tentang peranan yang telah dimainkan wanita dalam masyarakat, adat, dalam peperangan di Vietnam dan banyak lagi.
Antara bahan pameran yang terdapat di sini adalah koleksi-koleksi poster propaganda, kostum, bakul tradisional, fabrik dengan motif daripada etnik-etnik yang berbeza di Vietnam. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 20,000 koleksi bahan pameran yang telah dikumpulkan dari sekitar 1970-an. Label serta penerangan bagi bahan-bahan pameran di sini juga lengkap berbahasa Inggeris agar pengunjung luar turut memahami setiap bahan yang dipamerkan di muzium ini.
Lokasi: 36 P Ly Thuong Kiet
Waktu Operasi: 8.00 am – 5.00 pm
Harga Tiket: VND 30,000
4) Vietnam Museum of Ethnology
Bukan rakyat Malaysia sahaja yang terdiri daripada pelbagai etnik, malah di Vietnam juga terdapat pelbagai etnik yang menjadi penduduk di negara itu. Vietnam Museum of Ethnology adalah salah satu daripada pecahan Vietnam Academy of Sosial Sciences. Muzium berperanan sebagai pusat kajian berkaitan kesemua 54 etnik berbeza di Vietnam.
Koleksi yang dipamerkan di muzium ini terdiri daripada pakaian, barangan kemas, dan pelbagai barangan yang berkaitan dengan perkahwinan, pengkebumian, termasuklah barangan kegunaan harian seperti bakul dan pisau. Di bahagian luar muzium ini terdapat taman-taman indah yang menempatkan replika saiz sebenar rumah-rumah yang berbeza di Vietnam.
Lokasi: Nguyễn Văn Huyên, Quan Hoa, Cầu Giấy, Hà Nội 100000, Vietnam
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.30 am – 5.30 pm)
Harga Tiket: VND 40.000
5) Vietnam Museum of Revolution
Bangunan muzium ini diibina pada tahun 1917 oleh penjajah Perancis. Namun kini, ia dijadikan muzium yang digunakan untuk mempamerkan pelbagai artifak, dokumentari dan banyak lagi yang berkaitan dengan perjuagan di Vietnam.
Pameran di muzium ini terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu dari 1858 – 1945 (jajahan Perancis), 1945 – 1975 (ketika perang Vietnam) dan 1975 – sekarang (selepas peperangan). Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 40,000 bahan pameran di sini.
Lokasi: 216 Đường Trần Quang Khải, Tràng Tiền, Hoàn Kiếm, Hà Nội 110000, Vietnam
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (8.00 am – 11.45 & 1.30 pm – 4.15 pm)
Harga Tiket: VND 15,000
6) Ho Tay Water Park
Dah puas melawat pelbagai muzium yang terdapat di Vietnam dan mengetahui serba sedikit tentang latar belakang negara Vietnam yang melau beberapa fasa peperangan sewaktu mereka dijajah, maka tibalah masanya untuk anda berhibur pula bersama keluarga. Anda boleh luangkan masa seharian di Ho Tay Water Park. Di sini terdapat 10 buah tarikan air yang berbeza untuk dicuba. Dari kolam renang, aneka gelongsor dan lazy river, segala keseronokan air terdapat di sini.
Lokasi: 614 Lạc Long Quân, Nhật Tân, Tây Hồ, Hànội
Waktu Operasi: Rabu – Isnin (9.00 am – 9.00 pm)
7) Imperial Citadel of Thang Long
Imperial Citadel of Thang Long adalah sebuah kompleks purba yang menjadi simbol kepada Hanoi. Ia telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2010.
Dulu, tempat ini pernah menjadi pusat politik Dinasti Li (1010) sehinggalah Dinasti Nguyen. Binaan ini telah melalui kerosakan yang teruk ketika kedatangan pihak Perancis dan pada abad ke-20, dan banyak struktur bangunan telah dirobohkan.
Namun begitu, setelah Vietnam mendapat merdeka, mereka berusaha untuk membaik pulih kawasan ini. Antara penemuan yang berjaya dilakukan adalah tapak-tapak asas istana lama, jalan lama, kolam-kolam dan telaga lama. Selain itu, terdapat juga penemuan lain seperti barangan seramik, duit syiling gangsa dan banyak lagi yang dipercayai datang daripada pelbagai tempat di sekitar Asia.
Lokasi: 19C Hoàng Diệu, Quán Thánh, Ba Đình, Hà Nội 100000, Vietnam
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00 am – 5.00 pm)
Harga Tiket: VND 30,000
8) Hanoi Old Quarter
Nak lihat kemeriahan Bandar Hanoi? Datanglah Hanoi Old Quarter kerana ia adalah sebuah lokasi yang agak padat dengan orang ramai kerana bukan sahaja penuh dengan penduduk setempat, tetapi juga para pelancong. Malah, terdapat banyak gerai jualan yang terdapat di sekitar kawasan ini.
Selain meriah, suasana di sini juga kelihatan agak klasik, membuatkan anda terasa seperti hidup di zaman beratus tahun yang lampau. Cara yang terbaik untuk anda menikmati semua ini adalah dengan menaiki cyclo ataupun beca. Waktu ini jugalah anda harus mengetik sebanyak mungkin gambar untuk mengabadikan keunikan Hanoi dalam kepingan-kepingan foto.
Lokasi: Hanoi Old Quarter
9) Taman Negara Ba Vi
Vietnam bukan sahaja penuh dengan peninggalan sejarah, tetapi juga mempunyai alam semulajadi yang masih segar. Di Taman Negara Ba Vi yang berkeluasan 26,720 ekar ini, anda dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan, burung dan haiwan-haiwan lain yang hidup dengan bebas.
Apa yang lebih menarik di taman negara ini adalah terdapatnya air terjun yang segar dan sejuk di taman negara ini. Memang syok apabila setelah penat meneroka keindahan khazanah alam di sini, kemudian dapat pula menyegarkan tubuh dengan air terjun.
Lokasi: Ba Vì, Hanoi, Vietnam
10) Dong Xuan Market
Dong Xuan Market adalah sebuah pasar tertutup yang terletak di dalam bangunan 4 tingkat. Salah satu daripada barangan jualan yang terdapat di sini adalah cenderamata yang dijual dalam harga yang cukup murah. Di sini juga anda boleh mengaplikasi kemahiran anda tawar-menawar.
Bangunan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1889 ini merupakan pasar tertutup yang terbesar di Hanoi. Antara barangan lain yang diniagakan di sini adalah hasil segar, aksesori, pakaian, barangan elektronik dan perkakasan rumah.
Lokasi: Dong Xuan Street, Hoan Kiem District, Hanoi
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00 am – 7.00 pm)
11) Museum of Ho Chi Minh City
Museum of Ho Chi Minh City juga digelar sebagai Dragon House (Nha Rong) ataupun Rumah Naga. Bangunan istana gaya neoklasik ini telah dibina oleh orang Perancis pada tahun 1863.
Ho Chi Minh adalah nama Presiden Vietnam dari tahun 1945 ke 1955. Beliau juga merupakan ketua pergerakan kebebasan Việt Minh dari tahun 1941 yang telah berjaya menumpaskan French Union pada tahun 1954 dalam pertempuran Điện Biên Phủ. Beliau adalah tokoh yang menjadi sanjungan rakyat Vietnam.
Seperti mana nama muzium ini, ia menempatkan pelbagai barangan yang pernah menjadi kepunyaan Ho Chi Minh seperti pakaian, cermin mata dan kasutnya. Jadi, untuk anda mengenali dengan lebih dekat tentang tokoh ini, anda bolehlah melawat Museum of Ho Chi Minh yang terletak di Bandar Ho Chi Minh.
Lokasi: Hồ Chí Minh City Museum, 65 Lý Tự Trọng, Bến Nghé, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)
Harga Tiket: 15,000 VND
12) War Remnants Museum
Vietnam merupakan salah satu negara yang sedikit lewat menerima kemerdekaan. Malah kemerdekaan yang mereka kecapi pada hari ini adalah dengan beberapa siri peperangan. Peperangan adalah sebuah tragedy berdarah yang semua orang tidak ingin laluinya. Namun, untuk memberi kesearan kepada generasi akan datang, perlu ada usaha untuk menggambarkan suasana peperangan dan sejarahnya kepada mereka agar generasi baru menghargai erti kemerdekaan.
Di War Remnants Museum ini anda dapat melihat pameran pelbagai jenis senjata, kereta kebal dan kapal yang telah digunakan sewaktu peperangan. Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat replika penjara dan alat penyeksaan yang digunakan ke atas banduan perang. Inilah salah satu lokasi yang dapat membuka mata anda tentang kesan yang dibawa oleh peperangan, seperti Peperangan Vietnam.
Bahan pameran di muzium ini ada yang bersifat agak berat untuk dilihat oleh kanak-kanak kerana terdapat banyak foto tentang peperangan. Oleh sebab itu, muzium ini turut menyediakan bilik permainan bagi menempatkan anak-anak sementara yang dewasa meneruskan perjalanan sekitar muzium.
Lokasi: 28 Vo Van Tan, District 3, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.30am – 12.00pm & 1.30pm – 5.00pm)
Harga Tiket: 15,000 VND
13) Dai Nam Van Hien
Dai Nam Van Hien adalah sebuah kompleks pelancongan yang terbesar di Vietnam dengan keluasan sekitar 450 hektar. Antara yang terdapat di sini adalah zoo, pusat membeli-belah, pusat hiburan, tokong Đại Nam Văn Hiến, hotel dan tempat menjamu selera.
Anda boleh luangkan masa seharian bersama keluarga di sini untuk meneroka pelbagai tarikan yang tersedia di sini. Terdapat pelbagai haiwan yang terdapat di zoo di sini. Malah, terdapat juga tarikan lain yang boleh didapati di sini seperti taman tema Snow World dan panggung wayang moden dengan teknologi 4D.
Lokasi: QL 13, Bến Cát, Bình Dương
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (5.00am – 6.00pm) | Sabtu & Ahad (5.00am – 8.00pm)
14) Saigon Zoo and Botanical Gardens
Pasti anda boleh bayangkan bagaimana zoo terdapat di dalam taman botani. Landskap yang cantik, dalam masa yang sama anda dapat melihat pelbagai jenis haiwan yang terdapat di sini.
Saigoon Zoo merupakan zoo tertua di dunia yang menempatkan pelbagai jenis haiwan eksotik. Anda akan menemui bahagian zoo dahulu sebaik masuk ke dalam pintu utama. Manakala, untuk menuju ke taman botani pula, anda perlu meneruskan perjalanan sehingga terlihat sebuah seksyen khas untuk taman ini. Panorama yang disajikan di taman botani ini sungguh mengujakan. Terdapat lebih daripada 1,830 batang pokok yang mana sesetengahnya sudah berusia lebih daripada 100 tahun di sini.
Lokasi: 2 Nguyen Binh Khiem Str., Ward Ben Nghe, District 1, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)
Harga Tiket: 20,000 VND
15) Ben Thanh Market
Ben Thanh Market antara tempat yang popular bagi anda yang ingin bershopping. Tak kisahlah pakaian, peralatan memasak, cenderamata, produk kaca, kopi, buahan kering dan bermacam lagi, semuanya ada di sini. Cukup padat dari awal hinggalah ke hujung. Jangan lupa untuk tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang paling murah ya.
Di waktu siang, anda boleh berjalan di kawasan bangunan untuk cuci mata dan membeli-belah. Manakala, di sebelah malam pula, di sekeliling bangunan pasar ini terdapat pasar malam. Tak sukup waktu siang, anda boleh sambung pula untuk shopping pada waktu malam.
Lokasi: Lê Lợi, Bến Thành, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Pasar Tertutup: Setiap Hari (6.00am – 6.00pm) | Pasar Malam: Setiap Hari (6.00pm – Tengah malam)
16) Water Puppet Show
Seperti mana Malaysia ada wayang kulit, begitu juga di Vietnam. Mereka terkenal dengan persembahan boneka air ataupun Water Puppet Show. Aktiviti kesenian ini telah wujud lama di Vietnam iaitu sejak dari abad ke-11 lagi.
Seperti kebanyakan pertunjukan tradisional yang lain, kisah yang sering diceritakan menggunakan boneka air ini adalah berkaitan dengan mitos-mitos, budaya dan kehidupan kampung Vietnam. Masa yang diambil untuk sesebuah pertunjukan adalah dalam sekitar 50 minit.
Lokasi: 55B Nguyen Thi Minh Khai Street, Ben Thanh Ward, District 1, Ho Chi Minh City
Waktu Operasi: Waktu Permbelian Tiket: Setiap Hari (8.30am – 11.30am & 1.30pm – 7.30pm) | Pertunjukan: Setiap Hari (5.00pm – 6.30pm)
Harga Tiket: 160,000 VND
17) Delta Mekong
Delta Mekong adalah salah satu daripada sungai yang terpanjang di dunia. Untuk melihat sisi lain kehidupan rakyat Vietnam selain daripada di Bandar Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh, adalah dengan melawat ke Delta Mekong.
Di sinilah anda dapat menyaksikan banyak kampung, pasar, dan sekolah yang terapung. Untuk menikmati pemandangan sekitar Mekong Delta anda boleh mendapatkan pakej menyusuri sungai daripada banyak pusat penginapan di bandar ini.
Lokasi: Mekong Delta, Ho Chi Minh City 70000
18) Cu Chi Tunnels
Cu Chi Tunnel merupakan salah satu daripada kesan peninggalan peperangan yang berlaku di Vietnam. Ia adalah sebuah terowong yang cukup panjang dan agak kompleks sekali rangkaiannya. Terowong ini dibina untuk melawan tentera Amerika dan Selatan Vietnam yang memiliki kelengkapan senjata yang lebih sempurna. Di sinilah ramai askar ditempatkan sebagai persediaan serangan dan tempat dimana segala bekalan dan alat perhubungan disalurkan.
Dari masa ke masa, terowong ini berkembang menjadi kawasan perkampungan bawah tanah, lengkap dengan hospital, dapur, kuaters, teater dan bermacam lagi. Namun kini, ia telah ditinggalkan setelah kehidupan di permukaan mula selamat. Sekiranya anda ke sini, adalah lebih baik lawatan anda diiringi oleh rakyat tempatan yang boleh menceritakan segala terperinci tentang Cu Chi Tunnel dan peristiwa yang berlaku di sini. Ini kerana, kisah mereka sangat menarik malah banyak pengajaran yang kitab oleh pelajari daripadanya.
Antara aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini adalah aktiviti menembak dengan menggunakan senapang M16 dengan caj tambahan. Pasti menarikkan? Selain itu, di sini juga terdapat kedai jualan cenderahati. Ada cenderahati yang dijual diperbuat daripada peluru-peluru yang digunakan sewaktu perang. Sangat menarik! Tetapi, sekiranya anda menaiki kapal terbang, anda perlu fikirkan kembali untuk membeli cenderahati ini kerana bimbang tidak lepas pemeriksaan kastam.
Lokasi: Đường tỉnh lộ 15, Phú Hiệp, Phú Mỹ Hưng, Củ Chi, Hồ Chí Minh 733814
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 5.00pm)
Harga Tiket: Operator Lawatan Dari 825,000 VND & Keatas | M16 35,000 VND/ Satu Peluru (Min 10 Peluru)
19) Suối Tiên Amusement Park
Suối Tiên Amusement Park merupakan salah satu yang terbesar di Ho Chi Minh dengan pelbagai permainan yang bertaraf dunia. Taman tema yang bertema Buddha ini dilengkapi dengan patung berwarna-warni makhluk mitos seperti naga, kura-kura dan phoenix. Antara tarikan yang ada di sini adalah roller coaster, Air Bicycle, Mystery of the Forest dan Teater 4D.
Lokasi: Phường Tân Phú, Quận 9, Phường Tân Phú, Quận 9, Hồ Chí Minh
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 6.00pm) | Sabtu & Ahad (8.00am – 6.30pm) | Cuti Umum (8.00am – 11.00pm)
Harga Tiket: Dewasa 50,000 VND | Kanak-kanak 25,000 VND
20) Ho Chi Minh City Book Street
Bagi anda yang pencinta buku, inilah syurga dunia anda. Ho Chi Minh City Book Street adalah sebuah tarikan yang baru sahaja dibuka iaitu pada awal September 2016. Di sepanjang jalan ini anda dapat lihat banyak kiosk-kiosk yang bersebelahan antara satu sama lain yang terdiri daripada penerbit dan kedai buku yang berbeza.
Manakala, di penghujung jalan ini pula terdapat ruang bacaan yang cukup selesa denga sofa dan kerusi untuk anda menghabiskan masa dengan bahan bacaan yang dibeli tadi. Kadangkala, di ruang ini juga sering dijalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan seni dan budaya.
Lokasi: Nguyễn Văn Bình, Bến Nghé, Quận 1, Hồ Chí Minh
Itulah dia 20 tempat menarik di Vietnam yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Vietnam. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Taiwan Di dan Tempat Menarik Di Filipina.