8 Tempat Menarik di Seam Reap Buat Anda Teruja Ke Sana
Hendak tahu tempat menarik di Seam Reap?
Siem Reap yang terletak di Kemboja merupakan destinasi perlancongan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi setelah Air Asia menyediakan penerbangan terus ke sana dengan harga yang murah.
Untuk maklumat anda, matawang yang digunakan di Siem Reap ialah Riel, namun anda boleh juga gunakan Dollar Amerika semasa berada di sana. Jadi jika anda bercadang nak bercuti di Siem Reap, kami cadangkan anda tukar duit kepada matawang Dollar Amerika, bukannya Riel.
Ok, jom kami kongsikan tempat menarik di Siem Reap sebagai panduan anda semasa bercuti di sana.
1. Angkor World Heritage
Tempat menarik di Siem Reap yang pertama ingin kami kongsikan kepada anda ialah Angkor World Heritage. Seperti yang anda sedia maklum, Siem Reap dan Kemboja sememangnya terkenal dengan Candi Angkor Watt, Bayon Temple dan Angkor Thom.
Di sinilah terletaknya candi-candi yang terkenal di seluruh dunia tersebut. Apa yang menarik, selain candi Angkor Watt, Bayon Temple dan Angkor Thom, di sini juga terdapat ratusan kuil yang lain.
Terdapat dua pakej yang disediakan di sini iaitu pakej 1 hari dan pakej 3 hari. Sedikit tips daripad kami, kalau anda ingin melawat candi yang popular sahaja, pakej satu hari sudah memadai. Kami juga cadangkan anda membeli tiket dengan lebih awal bagi melancarkan perjalanan percutian anda.
Satu lagi tips dari kami, Angkor World Heritage terkenal dengan pemandangan matahari terbitnya yang indah. Oleh itu, pastikan anda sampai di sini sebelum matahari terbit untuk menikmati pemadangan indah yang tiada tandingannya.
Kalau anda tak sempat untuk melawat kesemua kuil yang ada di sini, kami cadangkan anda melawat 3 kuil utama yang paling popular iaitu:
- Angkor Watt yang merupakan kuil paling besar dan tercantik. Di sini anda akan dapat banyak gambar yang cantik.
- Bayon Temple yang merupakan kuil yang terkenal dengan ukiran muka manusia dalam pelbagai memek muka seperti tersenyum, menangis, marah, dan sedih.
- Angkor Thom yang terkenal sebagai lokasi penggambaran filem Tomb Rider lakonan Angelina Jolie.
Bayaran masuk ke Angkor Heritage World adalah RM80 untuk setiap orang. Walau pun harganya mungkin agak mahal, ia pastinya amat berbaloi.
2. Tonle Sap Lake
Seterusnya, anda boleh meneruskan percutian di Seam Reap dengan melawat Tasik Tonle Sap yang pernuh bersejarah.
Di sini anda boleh menaiki bot untuk berjalan di sekeliling tasik sambil melihat perkampung terapung yang ada di sekitar tasik. Tasik ini juga mempunyai pokok teratai yang cantik. Namun di sebalik teratai yang cantik, anda perlu tahu bahawa tasik ini dihuni oleh banyak buaya.
Pemandu bot akan membawa anda melihat kawasan buaya bersantai sambil memanaskan badan. Pendek kata, lawatan anda ke Tasik Tonle Sap pastinya menyeronokkan.
3. D’Angkor Artisan
Tempat menarik di Seam Reap yang seterusnya ialah D’Angkor Artisan iaitu sebuah premis yang mempamerkan cara-cara menghasilkan hasil kraftangan seperti lilin, minyak wangi, sabun dan sebagainya.
Anda sekeluarga pasti berseronok meluangkan masa di sini. Kami cadangkan anda luangkan masa sekurang-kurangnya 2 jam di sini supaya dapat melihat langkah menghasilkan hasil kraftangan tanpa perlu tergesa-gesa.
Masuk ke D’Angkor Artisan adalah percuma. Dah puas melihat tangan-tangan seni menghasilkan barang kraftangan, bolehlah anda membeli lilin, sabun, atau minyak wangi sebagai kenangan. Nak dijadikan sebagai cenderamata buat yang tersayang pun boleh.
4. Royal Residence
Dah puas tengok barang kraftangan, anda boleh bawa keluarga melihat istana diraja pula. Dengan bayaran masuk adalah percuma, anda boleh masuk ke Royal Residence yang merupakan tempat persinggahan bagi Raja Kemboja apabila beliau datang melawat Siem Reap.
Ala-ala macam istana hinggap. Istana yang cantik ini mempunyai taman yang sangat indah dengan padang yang luas. Apa yang menarik, di padang tersebut terdapat pokok besar yang menjadi rumah bagi kelawar. Kalau nak tengok kelawar berterbangan, pastikan anda sampai di sana sekitar pukul 6.00 petang.
Kalau anda jenis yang suka berselfie untuk dimuatnaik ke media sosial seperti instagram dan facebook, di sini anda akan dapat banyak gambar yang cantik. Bukan sahaja di dalam istana, malah pemandangan di taman dan padangnya juga sangat menarik.
5. Muzium Perang Kemboja
Muzium Perang Kemboja yang terletak di tengah Bandar Siem Reap ini adalah tempat menarik di Siem Reap yang wajib anda kunjungi semasa bercuti di sana, terutamanya jika anda sukakan sejarah.
Tiket masuk ialah lebih kurang RM20 untuk sekepala. Di Muzium Perang ini ada dipamerkan artifak tinggalan perang semasa peperangan Kemboja. Di sini anda juga boleh mengetahui sejarah perang Kemboja sehingga kemerdekaan. Di antara artifak tinggalan perang yang dipamerkan di sini ialah:
- Jet pejuang
- Meriam
- Peluru
- Peluru meriam
- Jip tentera
- Helikopter
- Kapal perang
- Kereta kebal
Apa yang menarik, di muzium ini anda bebas untuk memegang artifak yang dipamerkan. Bolehlah anda cuba rasa betapa beratnya peluru meriam yang digunakan semasa perang. Teringin nak naik helikopter? Boleh panjat helikopter zaman perang yang dipamerkan di sini. Menarik kan? Biasanya di muzium lain anda tak dibenarkan untuk menyentuh bahan pameran. Memandangkan muzium ini tidak begitu besar, masa yang diambil untuk menghabiskan lawatan di sini adalah lebih kurang 30 sehingga 45 minit sahaja.
6. Mini Killing Field
Tempat menarik di Siem Reap yang seterusnya ialah Mini Killing Field. Seperti Muzium Perang tadi, Mini Killing Field juga merupakan tarikan perlancongan yang berkisar tentang zaman perang di Kemboja.
Apa yang menarik di sini? Di Mini Killing Field dipamerkan tengkorak kepala yang diletakkan di dalam bekas kaca. Apa yang menarik, semua tengkorak yang dipamerkan di sini adalah tengkorak manusia yang sebenar, bukannya tengkorak tiruan atau plastik. Masuk ke sini adalah percuma.
Namun, jika anda melancong bersama anak kecil, kami tak galakkan anda untuk melawat ke sini. Tak berapa sesuai untuk anak kecil, bimbang ada yang meragam dan mengigau malam nanti.
7. Seam Reap Night Market
Pasar malam ini dibuka setiap malam bermula pukul 6.00 petang. Dah puas berjalan-jalan melihat tempat menarik di sekitar Bandar Seam Reap, bolehlah anda luangkan masa di sini dibelah malamnya.
Terdapat pelbagai barang yang dijual di sini termasuk makanan kering, pakaian, dan sebagainya. Biasanya pelancong akan memilih untuk membeli teh kemboja yang terkenal.
Di sini anda boleh membeli teh kemboja dalam pelbagai perisa dengan harga yang murah berbanding jika dibeli di kedai. Apa yang menarik, di sini anda juga boleh tawar-menawar sehingga dapat harga yang anda mahukan. selain teh kemboja, di pasar malam ini juga ada banyak dijual kerepek yang enak.
Kalau selama ni anda tak pernah makan kerepek nangka, bolehlah cuba beli. Selain itu, di sini juga ada dijual barang cenderamata seperti fridge magnet dan keychain. Kalau anda pandai tawar-menawar, akan dapat beli dengan harga yang murah.
8. Ladang Sutera Angkor
Dengan bayaran masuk sebanyak RM20 untuk seorang, di sini anda akan melihat proses membuat sutera. Menarik kan? Kat mana lagi anda boleh mempelajari cara penghasilan kain sutera yang lembut dan harum.
Seperti yang anda tahu, kain sutera dibuat daripada ulat sutera. Di sini anda akan dibawa melihat ulat sutera yang berada di dalam kempompong dan telah dilahirkan.
Kalau anda teringin nak pegang ulat sutera pun boleh. Biasanya pekerja di sini akan mempelawa anda untuk menyentuh ulat sutera yang dipamerkan. Kalau anda berani dan tak rasa geli, bolehlah cuba sentuh.
Kemudian anda akan dibawa melihat proses menghasilkan benang sutera dan seterusnya proses menenun dan mengait benang sutera untuk dijadikan sebagai sehelai kain sutera.
Dah puas tengok proses penghasilan kain sutera, anda bolehlah singgah di kedai menjual cenderamata yang ada di sini. Kalau anda mencari cenderamata sebagai kenangan atau sebagai buah tangan buat orang tersayang di Malaysia, kami cadangkan anda beli di sini.
Kalau ada bajet bolehlah beli sehelai dua kain sutera. Atau boleh saja beli rantai kunci atau fridge magnet yang dijual di sini.
Itulah dia 8 tempat menarik di Siem Reap yang ingin kami kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput juga baca artikel tulisan kami seperti tempat menarik di Melbourne , tempat menarik di Sydney dan tempat menarik di Aceh. Manalah tahu anda bercadang ke sana.